Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Monday, February 14, 2011

Isu Azan: Berakhirnya Sebuah Isu!

Isu Azan: Berakhirnya Sebuah Isu!
21 Januari 2011
Pada hari Jumaat minggu lepas, bekas setiausaha akhbar kepada mantan Presiden MCA, Ong Ka Ting, iaitu peguam Ng Kian Nam menulis dengan perasaan kecewa kepada akhbar termasuk Perdana Menteri, bahawa laungan azan dikumandangkan dengan kuat terutamanya pada waktu subuh. Ng yang tinggal di Kondominium Pantai Hill Park, Pantai Dalam, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merujuk kepada laungan azan dari Masjid Al Ikhlasiah, Kampong Kerinchi, Pantai Dalam pada waktu subuh. Kondominium Ng terletak 1.6km daripada Masjid. Dia baru saja berpindah ke situ kira-kira 15 bulan yang lalu. 

Datuk Raja Nong Chik, Menteri Wilayah Persekutuan telah meminta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk meninjau kembali permasalahan ini. JAWI telah mengarahkan kepada masjid untuk menurunkan kadar kekuatan bunyi speaker yang digunakan oleh muazzin. Berikutan itu, beberapa kelompok NGO telah berdemonstrasi di depan masjid tersebut selepas sembahyang Jumaat untuk menyerlahkan kekecewaan dan ketidakpuasan hati terhadap Ng.

Sebenarnya, isu yang berlaku di Pantai Dalam bukanlah isu baharu. Pada bulan September 2008, jemaah sebuah surau di Puchong terkejut dengan kedatangan YB. Theresa Kok, Ahli Parlimen Seputih dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara yang meminta agar mereka menurunkan kekuatan bunyi pembesar suara ketika azan.

Laporan polis terhadap dirinya dilakukan pada 14 September 2008 oleh NGO seperti Perwaris, Pekida, dan lain-lain. Usikan ini boleh menjejaskan keharmonian kehidupan masyarakat berbilang kaum. Akhirnya, YB. Theresa Kok ditahan pada bulan September 2008 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, Perkara 73 (1) dan kemudiannya dibebaskan.

YB. Teoh Nie Ching pula menarik perhatian khalayak ramai apabila beliau mengunjungi Masjid As-Salam, Puchong pada 25 September 2010 untuk menyertai aktiviti senamrobik. Pakaiannya tidak sesuai untuk memasuki masjid ketika itu hingga menimbulkan pula isu had dan sempadan orang bukan Islam memasuki masjid. Semestinya, pakaiannya ketika itu tidak selari dengan etika berpakaian ketika berada di masjid.

Agak ramai wakil rakyat bukan Islam mencipta kontroversi kerana tidak memahami kod etika berpakaian dan adab ketika berada di dalam dan di luar kawasan masjid. Manakala orang-orang Melayu amat memahami dan menerima hakikat serta realiti masyarakat berbilang kaum Malaysia. Orang-orang Melayu dan Muslim boleh menerima amalan ritual dan spiritual masyarakat Buddha yang membakar gaharu di mana-mana sahaja atau membakar kertas upacara keagamaan sungguhpun baunya memeritkan. Begitu juga upacara pembakaran gaharu di tengah malam Tahun Baru Cina. Orang-orang Hindu pula berpesta dengan buah kelapa ketika Thaipusam dengan gendang India yang menimbulkan bunyi yang sangat kuat manakala air dan buah kelapa bertaburan di atas jalan raya. Orang Kristian pula membunyikan loceng gereja ketika hari Ahad dan hari-hari tertentu. Orang-orang Melayu tidak mempunyai sebarang masalah dan tiada halangan dalam kesemua amalan orang bukan Islam ini.

Tujuan azan (call for prayers) adalah untuk memanggil jemaah datang bersembahyang berjemaah di masjid. Kalau laungan itu terlalu perlahan, ia defeat the purpose of azan (tidak mencapai maksud azan itu dikumandangkan). Apakah laungan azan surau dan masjid terlalu kuat hingga menjejaskan kehidupan orang lain dan menidakkan toleransi bukan Islam? Apakah kita lupa selama ini kita menerima dan menghormati amalan agama dalam kemajmukan masyarakat di negara kita? Dalam kes Ng di atas, apa yang berlaku ialah kuliah Subuh diadakan dengan menggunakan pembesar suara hingga ke luar masjid. Azan yang dikumandangkan selama 4 hingga 6 minit tidaklah mengganggu keharmonian dan keheningan orang lain.
Dalam isu ini, janganlah kita emosional dan berprasangka buruk. Masalah timbul apabila wujud pihak ketiga yang menjadi “batu api”. Kita masih belum memahami maksud penerimaan dalam salah satu prinsip konsep 1Malaysia. Penerimaan dalam konsep 1Malaysia memanifestasikan cita rasa rakyat Malaysia untuk mengurangkan elemen-elemen negatif dan mewujudkan pemahaman punca dan sebab-musabab setiap masalah yang timbul. 

Apa yang penting dalam konteks penerimaan ialah kita mesti menerima hakikat realiti hubungan  etnik di Malaysia termasuk latar belakang sejarah, kontrak sosial dan wasiat Raja-Raja Melayu. Kita perlu membawa perubahan dengan menangani secara bijaksana dan berhikmah semua masalah yang berkaitan dengan hubungan antara kaum dan isu perkauman serta isu sensitif. Kita perlu menyumbang dan bersama kerajaan dalam mewujudkan keharmonian hidup dalam masyarakat berbilang kaum. Kita juga perlu sedar bahawa semua dasar berkaitan politik, sosial, ekonomi, pendidikan, pertanian dan seumpamanya mempengaruhi corak dan pola hubungan antara kaum dalam negara kita. Perkembangan terkini menunjukkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba melakukan eksperimen untuk menguji tahap kekukuhan hubungan antara kaum, menghilangkan semangat kerukunan kehidupan bermasyarakat, mewujudkan permusuhan dan sentimen, dan mewujudkan prejudis yang boleh membawa keretakan dan permusuhan antara masyarakat berlainan etnik.

Mengapa kita tidak mahu memahami dan menerima realiti kepelbagaian sistem kepercayaan dan amalan keagamaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia? Siapakah dalang di sebalik semua insiden dan prasangka membabi-buta yang boleh membawa kepada insiden-insiden konflik kaum?. Tahun lepas juga menyaksikan beberapa insiden seperti cubaan membakar gereja, surau dan membaling kepala dan organ khinzir. Apakah kita tidak sedar bahawa ada orang yang baling batu sembunyi tangan? Adakah kita sedar, isu yang sedang kita hadapi ini boleh menjejaskan keharmonian dan kedamaian masyarakat berbilang kaum? Kenapa kita tidak boleh berbincang dan mencari pendekatan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang bakal mengundang padah? Bukankah menyatakan secara terbuka isu sensitif membawa kepada perlbagai polemik dan implikasi negatif. Adakah peguam kita tidak diajar memahami undang-undang negara dan Perlembagaan Persekutuan? 

Orang bukan Islam harus memahami sensitiviti umat Islam. Jika pihak berkuasa tempatan di Switzerland melarang pembinaan menara masjid atau larangan azan di masjid-masjid di United Kingdom, seseorang dapat memahami dengan mudah bahawa kedua-dua negara tersebut bukanlah negara Islam. Di Malaysia, Islam adalah agama persekutuan dan bukan hanya agama ritual atau istiadat. Kita patut menyelesaikan masalah ini dengan bijaksana dan tuntas. Jangan biarkan orang menangguk di air yang keruh. Kita patut menunjukkan toleransi yang tinggi dan penerimaan hingga persefahaman yang erat dan jitu tercapai. Kita perlu sedar bahawa kepelbagaian agama dan latar belakang etnik di negara kita adalah satu kekuatan dan bukannya kerapuhan umpama retak menanti belah! Kita memuji usaha YB. Datuk Raja Nong Chik mencari jalan penyelesaian. Pada 17 Januari 2011 (Isnin), Ng Kian Nam telah memohon maaf secara terbuka kepada Pengerusi Masjid Al-Ikhlasiah, Kampong Kerinchi, Pantai Dalam, penduduk setempat dan umat Islam semuanya. Beliau tersalah faham kerana dianggapnya kuliah Subuh adalah laungan azan. Inilah yang kita kehendaki, permohonan maaf secara terbuka dan saling maaf-memaafkan dan akhirnya, berakhirlah sebuah isu.

1 comment:

miss myaira said...

Salam Pak Long..

Saya bersetuju dgn ulasan pak long itu, di sini kita lihat orang Melayu makin bersikap terbuka dan boleh menerima dan bangsa lain cuba memprovakasikan perkara-perkara yang boleh membuatkan org melayu khususnya Islam marah..

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak