Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Thursday, May 16, 2013

Kementerian Baharu Harus Atasi Cabaran Sosial Ekonomi Bandar Menyeluruh

Kementerian Baharu Harus Atasi Cabaran Sosial Ekonomi Bandar Menyeluruh - Ahli Akademik - BERNAMA 14 Mei 2013


Fokus Berita Oleh Mohd Yusof Saari

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Kementerian baharu yang bakal diwujudkan bagi menangani cabaran sosial ekonomi bandar perlu berfungsi dengan lebih menyeluruh daripada apa yang dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Ahli akademik dan pemimpin belia berpendapat objektif kementerian baharu bagi menyediakan perumahan awam berkualiti kepada generasi muda di bandar-bandar akan menjadi lebih mudah dan tersusun jika kerajaan menggabungkan peranannya dengan kementerian yang pernah diketuai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin itu.

Menurut mereka menggantikan nama' Wilayah Persekutuan' dengan nama lain di dalam kementerian baharu itu sahaja sudah berupaya menggambarkan peranan menyeluruh yang bakal dimainkan kementerian itu kelak.

"Jika motif penubuhannya adalah untuk mengupayakan generasi muda memiliki rumah di kawasan bandar, penukaran nama itu sahaja dengan sendirinya mampu memberi inspirasi kepada golongan muda bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat kepentingan mereka di seluruh negara," kata Dr Amini Amir Abdullah dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau mengulas janji Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan sebuah kementerian baharu seperti yang digariskan dalam aku janji pilihan raya umum lepas bertujuan menangani cabaran sosial dan ekonomi bandar seiring dengan anjakan corak demografi bandar.

Menurut manifesto BN yang dilancarkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 April lepas, tindakan itu adalah perlu kerana lebih daripada 70 peratus penduduk negara ini tinggal di kawasan bandar.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata menerusi kementerian baharu itu, kerajaan boleh mengimbangi pola penempatan masyarakat di bandar-bandar seluruh negara dan tidak lagi terhad hanya kepada Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan seperti yang dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar sebelum ini.

Amini Amir berkata percantuman dua kementerian itu juga akan membawa satu perubahan dan rombakan besar kepada corak populasi masyarakat bandar di seluruh negara yang kini dilihat hanya dimonopoli satu kaum.

Tegasnya tumpuan berlebihan kementerian terbabit sebelum ini terhadap usaha membolehkan golongan berpendapatan rendah memiliki rumah di bandar perlu dinilai dan diseimbangkan oleh kementerian baharu itu kerana golongan menengah Melayu di bandar juga memerlukan perhatian serupa.

Beliau berkata selain penyediaan infrastruktur asas seperti balai polis, klinik, hospital, kawasan rekreasi, surau, rumah ibadat dan pusat kegiatan ekonomi, pembinaan perumahan awam itu juga perlu dirancang di kawasan berdekatan dengan kemudahan pengangkutan awam dan pusat-pusat pengajian.

Ditanya individu yang dianggap layak mengetuai kementerian baharu itu, pensyarah Fakulti Ekologi Manusia itu tanpa ragu-ragu menamakan Raja Nong Chik sebagai calon utama bagi menduduki kerusi menteri.

"Pada saya Raja Nong Chik telah melaksanakan tugas sebagi menteri dengan baik, beliau adalah bekas menteri yang bagus dan cemerlang dan dilihat paling layak untuk jawatan itu," katanya.

Pada pilihan raya umum lepas, Raja Nong Chik yang bertanding mewakili BN di kawasan Parlimen Lembah Pantai tewas kepada Nurul Izzah Anwar (PKR) dengan majoriti 1,847 undi.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee pula berkata jika diwujudkan, kementerian baharu itu perlu melaksanakan fungsi dalam ruang lingkup yang lebih menyeluruh bagi mengelak penghijrahan golongan muda ke bandar-bandar besar.

Beliau berkata bagi membentuk keseimbangan pola masyarakat, pembinaan perumahan awam tidak boleh lagi hanya berpusat di bandar-bandar besar sebaliknya perlu dianjak pembangunannya sehingga ke pinggir bandar.

"Selain berfungsi menyediakan kemudahan perumahan, kementerian itu juga perlu mengambil berat soal keseimbangan kaum kerana taburan penduduk yang seimbang di bandar dan pinggir badan mampu mengelak monopoli satu kaum apabila kawasan tersebut terus membangun," katanya.

Bagi memenuhi aspirasi orang muda untuk memiliki rumah, Mohamed Maliki mencadangkan supaya harga jualan bagi rumah-rumah yang bakal dibina adalah antara RM200,000 hingga RM250,000 dengan kementerian baharu itu memikirkan mekanisme khusus memudahkan proses pinjaman bank.

Berhubung calon menteri bagi kementerian baharu itu, Mohamed Maliki berkata beliau yang mewakili suara generasi muda mengharapkan individu yang dipilih berkeupayaan membawa aspirasi semua kaum dan bersifat berorientasikan tindakan.

"Selain memiliki kemahiran dalam bidang ekonomi dan perancangan, individu yang hendak dipilih perlu memiliki keberanian dalam membuat keputusan ketika berurusan dengan pemaju, institusi kewangan dan pihak perancang bandar... inilah kriteria yang ingin dilihat orang muda," katanya tanpa menyebut nama individu berkenaan.

-- BERNAMA

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak