Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Thursday, February 24, 2011

Maksud Isu-isu Perkauman dan Isu-isu Sensitif: Satu Pendahuluan

Maksud Isu-isu Perkauman dan Isu-isu Sensitif: Satu Pendahuluan
Suara Pusat Islam UPM, 6 Oktober 2010

Isu-isu perkauman bermaksud isu-isu yang melibatkan hubungan antara kaum dalam aspek penggunaan bahasa, dimensi agama, tingkah laku sosial, perlakuan fizikal, sektor pekerjaan, perbuatan buli, penulisan dan literatur, rasisme dan seumpamanya.
Dalam konteks Malaysia, isu-isu sensitif pula membawa erti isu-isu yang melibatkan perkara-perkara yang sensitif dalam Malaysia berkaitan dengan hak-hak keistimewaan Melayu, status Bumiputera, kontrak sosial, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sistem kuota dan perkara-perkara stereotype.

Isu-isu ini tidak boleh dibahaskan, didebatkan atau dibincangkan secara terbuka kerana ia akan membawa kepada api permusuhan hasil daripada perasaan kurang senang dan tidak berpuas hati. Isu-isu sensitif ibarat api dalam sekam yang menyala dalam diam-diam hingga boleh membawa kepada kebakaran. Ini juga adalah salah satu sebab yang bakal membawa kepada insiden konflik atau pergaduhan antara kaum. Isu-isu perkauman dan isu-isu sensitif juga melibatkan perlakuan memperlekehkan dan merendah-rendahkan kaum lain serta mempertikaikan hak orang lain. Termasuk juga dalam ruang lingkup tafsiran isu perkauman dan isu sensitif ialah ucapan, perbuatan, perkataan, penerbitan atau sebarang cara yang boleh ditafsirkan sebagai kecenderungan menghasut (Akta Hasutan 1948).

Akta Hasutan telah menggariskan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum di negara ini. Kecenderungan menghasut mencakupi perlakuan ataupun kecenderungan melakukan sesuatu yang membawa kebencian, penghinaan atau ketidaksetiaan kepada Raja atau kerajaan, membangkitkan perasaan rakyat untuk mendapatkan perubahan kerajaan yang memerintah dengan cara yang tidak sah, menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat, menyebarluaskan perasaan dan niat jahat serta konflik antara kaum, mempersoalkan dalam apa jua bentuk atau sebarang perkara berkaitan Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan (Akta Hasutan 1948).

Isu-isu perkauman dan isu-isu sensitif boleh menggugat perpaduan dan kesepakatan antara kaum, mewujudkan huru-hara dan ancaman ketenteraman awam, mencetuskan konflik dan perselisihan kaum dan konflik antara agama, mewujudkan suasana prejudis, prasangka, dan hubungan tidak baik antara kaum, menghilangkan semangat toleransi, menimbulkan suasana tidak aman serta mengurangkan persefahaman bangsa berbilang kaum. Kesemua elemen-elemen negatif ini akan mengganggu-gugat keharmonian hubungan antara kaum sehingga menjejaskan perpaduan, menghilangkan kesedaran tentang kepentingan hubungan antara kaum, merencatkan keselesaan rakyat pelbagai kaum agar dapat hidup dengan harmoni dan mengusutkan hubungan interaksi antara agama dan budaya.

Contoh yang ketara ialah ketika kempen Pilihanraya Umum  1969.
Semasa kempen tersebut, parti-parti politik pembangkang yang   bertanding telah memainkan isu-isu yang sensitif seperti kedudukan dan hak keistimewaan orang Melayu, soal bahasa dan kerakyatan untuk memancing undi daripada orang ramai. Ini telah menimbulkan pelbagai rasa tidak puas hati di kalangan orang-orang Melayu. Insiden ini disusuli dengan perarakan sempena kejayaan pembangkang (DAP dan GERAKAN) yang memenangi kerusi yang agak banyak dan berjaya menafikan majoriti dua per tiga Parti Perikatan. Orang-orang Melayu pula telah mengadakan perhimpunan susulan. Keadaan menjadi tidak terkawal dan akhirnya tercetuslah peristiwa hitam 13 Mei 1969.

Imam al-Ghazali r.h. pernah menasihatkan agar manusia Muslim yang baik akhlaknya bergaul dengan sahabat yang dapat menyelamatkan diri daripada bahaya kejahatan, fitnah dan keburukan. Damaikanlah dua orang saudara yang berselisih faham dan tutuplah semua keaiban orang-orang yang beragama Islam serta bantulah kepentingan orang-orang yang beragama Islam. Imam al-Ghazali juga melarang berburuk sangka dan memburuk-burukkan orang lain serta tenteramkanlah hati mereka yang ditimpa musibah. Imam al-Ghazali juga menyarankan agar kita harus merasa takut dalam membuat sebarang tuduhan kerana tuduhan itu mungkin timbul daripada hati yang buruk sangka ataupun lidah yang memburukkan orang lain. Al-Ghazali menjelaskan bahawa dalam pergaulan hidup manusia sehari-hari, manusia akan bertemu dengan tiga jenis manusia. Masing-masing adalah sahabat, kenalan dan umum. Ketiga-tiga jenis tersebut mempunyai tata tertibnya tersendiri untuk menghadapi pergaulan hidup bersama. Berikut adalah syarat-syarat pergaulan dengan orang ramai; (1) Tidak masuk campur dalam percakapan mereka, (2) Tidak mendengar omong kosong dan dusta mereka serta tidak mencampuri kalimat-kalimat kotor yang mereka ucapkan, (3) Jangan banyak bertemu dengan mereka, (4) Mengingatkan mereka dengan nasihat-nasihat halus dan bersikap lembut terhadap perbuatan mereka yang mungkar.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: ”Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai), yang sering menghalangi amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum agama, lagi yang amat berdosa” (Al-Qalam: 11).







1 comment:

Unknown said...

apa maksud sikap perkauman?

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak