Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Friday, February 25, 2011

Keamanan, Kemakmuran Dan Kemerdekaan 


Negara kita kini berada di puncak kejayaan yang cukup gemilang. Sesungguhnya, kemerdekaan merupakan satu nikmat yang cukup besar dari Allah S.W.T. Islam merupakan agama yang diturunkan oleh Allah S.W.T untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan umatnya. Kemerdekaan bermakna kejayaan perjuangan dari kesempitan dan penderitaan hidup kepada kemakmuran, pembangunan samaada pembangunan fizikal atau kerohanian. dari kejahilan kepada bertamadun. Jika difikirkan, kedatangan Islam di alam ini adalah bersifat kemerdekaan. Ini dikatakan sedemikian kerana Islam menyeru manusia membebaskan diri dan pemikiran dari belenggu penjajah dan syirik kepada Allah serta membebaskan diri dari diperhambakan  dan membebaskan negara dari cengkaman musuh. Kemerdekaan mempunyai erti yang sangat mendalam dalam kehidupan kita namun kita perlu sedar bahawa dalam meraikan kemerdekaan ini, jalan di hadapan masih jauh, masih banyak liku, ranjau, onak dan duri yang perlu ditempuhi dan cabaran mesti dihadapi.

Walaupun sudah setengah abad kita mencapai kemerdekaan, namun ada tanda-tanda menunjukkan wujudnya penjajahan bentuk baru,yang dirancang untuk menghancurkan semula bangsa dan negara ini. Perlu diingat bahawa kuasa besar dunia memang kekal dengan sikap turun-temurun ingin menjajah. Mereka mendalangi rusuhan, perang saudara dan menuduh negara-negara yang mempertahankan kedaulatan mereka sebagai pengganas. Mereka bertindak meruntuhkan ekonomi negara membangun dengan melakukan serangan pasaran modal, matawang dan sebagainya. Mereka jajah pemikiran rakyat dengan pelbagai bentuk dan cara. Ditanam dengan sifat melawan, pemberontakan, penentangan dan kebencian antara rakyat dan pemerintah, antara rakyat dan rakyat, antara puak dan puak, antara kaum dan kaum. Maka dengan itu mereka harap akan lunturlah semangat dan impian untuk mengekalkan sebuah negara yang bermaruah.

Dalam kita berusaha meningkatkan kesedaran kita kepada pentingnya kemerdekaan dan dalam melahirkan kesyukuran ke atas manisnya nikmat kemerdekaan itu jangan sekali kita lupakan bahawa sifat kecuaian serta kealpaan di dalam masyarakat kita masih lagi berleluasa. Kita mahu tanahair kita Malaysia terkenal kerana keindahan dan kemakmuran muka buminya, namun kita juga mahu tanahair kita masyhur kerana ketinggian budi pekerti dan disiplin rakyatnya. Apalah ertinya kemerdekaan sekiranya rakyat tidak berdisiplin, sama ada kepada peraturan agama ataupun negara. Sudah tentulah akan berlaku penyakit sosial dan keruntuhan akhlak serta akidah yang akhirnya negara akan menjadi tidak aman dan selamat.

Pembentukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan kepercayaan adalah bertitik-tolak dari penghayatan Islam yang diamalkan di negara kita ini yang telah menjadi ramuan kepada kekukuhan perpaduan seperti mana yang kita nikmati pada hari ini di mana tidak timbul sebarang keresahan dan kerunsingan di kalangan bukan Islam. Justeru, kita perlulah memainkan peranan dalam memastikan kesucian agama Islam tidak dicemari dengan menunjukkan contoh teladan terbaik dan terpuji, khususnya kepada rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam. Bagi menjamin kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk ini terpelihara, kita seharusnya saling memahami dan menghormati agama, budaya hidup dan adat resam antara kaum, sentiasa memupuk semangat setia kawan, mengelakkan perkara-perkara yang menimbulkan bibit-bibit perkauman dan sentiasa bersedia menyelesaikan sebarang masalah dengan hati yang terbuka. Kita harus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh kepada dunia luar. Apa yang paling penting, kita harus buktikan bahawa dengan kemerdekaan inilah kita dapat hidup dalam keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati sehingga ke hari ini.

Sebagai tanda syukur kepada Allah Taala, marilah kita sama-sama mengembeling tenaga dan bertekad untuk mempertahankan tanahair kita dari sebarang ancaman samaada ancaman kepada akidah Islam, kepada bangsa dan keselamatan Negara samaada dari dalam ataupun luar negara. Tanpa kesetiaan anak watan, apalah maknanya sebuah kemerdekaan.

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak