Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Monday, February 14, 2011

Krisis di Mesir dan Kerapuhan Perpaduan Umat Islam

Krisis di Mesir dan Kerapuhan Perpaduan Umat Islam
Suara Pusat Islam
Universiti Putra Malaysia
11 Februari 2011

Hari ini sudah 18 hari rakyat Mesir memperjuangkan hak mereka. Apa yang menyedihkan kita ialah pertembungan dua kelompok besar penunjuk perasaan; puak yang pro-Hosni dan puak yang mahukan Hosni Mubarak meletakkan jawatan. Pada hari Sabtu minggu lepas, Mubarak menegaskan bahawa beliau tidak akan melepaskan jawatannya walaupun rakyat Mesir sudah berdemonstrasi hampir sepuluh hari. Namun demikian, dua anak lelakinya, Gamal dan Ala serta isterinya telahpun bertolak ke London. Barangkali mereka mencari suaka politik. Sesudah 10 hari krisis Mesir berlaku, lebih 100 orang telah meninggal dunia dan 2000 orang tercedera. Orang-orang Islam bertelagah sesama mereka kerana menentukan kebenaran pemerintahan authoritarian Mubarak selama 30 tahun walaupun beliau menjanjikan perubahan dalam aspek sosial, ekonomi dan politik di Mesir. Hal ini tidak menghairankan kita. Rakyat Mesir juga mendesak Presidennya berundur dan meminda perlembagaan. Mengenai rakyat dan negara Mesir, saya telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk “Idea dan Pemikiran Muhammad Abduh: Tokoh Reformis Dari Timur Tengah dalam IKRAB International Conference on Malaysia – West Asia Civilization and Culture di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 29 September 2010 jam 11.00-12.00 tengah hari.  Antara lain saya jelaskan: Semangat patriotik juga tidak boleh dipisahkan daripada konsep kesetiaan terhadap tanah air. Apabila seseorang mencintai negaranya, sepenuh ketaatsetiaan mestilah ditumpukan kepada tanah airnya kerana segala keperluan hidupnya wujud di tanah airnya dan daripada tanah airnyalah seseorang akan memperolehi keaiban ataupun keagungan. Rakyat diajar untuk menjunjung undang-undang. Abduh juga mengesa supaya ia dilaksanakan dengan penuh rasa keadilan dan persamaan. Rakyat dan kerajaan diajar supaya bekerjasama demi kebajikan masing-masing. Menurut Abduh, negara akan menjadi aman makmur dan diperintah dengan baik sekiranya prinsip undang-undang diletakkan di tempat yang tinggi dan sekiranya pemerintah juga menjunjung undang-undang tersebut lebih daripada masyarakat yang menjunjungnya. Pemerintah mestilah menyedari tanggungjawab sebenarnya di dalam setiap tindak-tanduk mereka agar negara akan menjadi sempurna. Kerana itu juga beliau menyerang amalan memberi dan menerima rasuah dan amalan pilih kasih di dalam jabatan-jabatan kerajaan, pembaziran dan sikap boros pemerintah dan menyeru dipertingkatkan ekonomi negara. Menurut Abduh, kepincangan yang berlaku di dalam pentadbiran berpunca daripada kurangnya pendidikan dan latihan yang tidak sempurna.”

Senario Mesir di atas merupakan realiti hampir seratus tahun dahulu. Itulah antara punca apa yang berlaku di Mesir masa kini. Barat telah melahirkan kebimbangan mengenai penguasaan Al-Ikhwan Al-Muslimun di Mesir. Al-Ikhwan Al-Muslimun merupakan gerakan Islam yang tertua dan terbesar di Mesir dengan mempunyai 600,000 ahli yang berdaftar. Pihak Barat khuatir Al-Ikhwan Al-Muslimun akan memegang tampuk penguasaan dan mengamalkan ajaran yang radikal sama seperti kelompok HAMAS di Palestin. Barat juga bimbang bahawa Al-Ikhwan akan mengambil alih kuasa melalui demokrasi daripada Hosni Mubarak dan menjadikan Mesir sebagai negara yang lebih Islam. Ada sebabnya kenapa pihak Barat bimbang dengan kebangkitan Al-Ikhwan. Pertama, Al-Ikhwan yang ditubuhkan pada tahun 1928 oleh Hasan Al-Banna merupakan tunjang gerakan Islam yang telah mempengaruhi gerakan Islam seluruh dunia melalui sistem pentarbiahannya. Kedua, ia dianggap sebagai gerakan Islam pertama dalam dunia politik Arab dengan sokongan dan dokongan daripada akar umbi hingga menjejaskan status quo beberapa kerajaan utama di Asia Barat. Ketiga, pimpinan Al-Ikhwan seperti Al-Banna, Said Hawa, Syed Qutb dan lain-lain adalah idola dengan penyebaran idea melalui penulisan yang berbagai perspektif. Sebenarnya, Al-Ikhwan secara rasmi telah diharamkan di Mesir dan beberapa negara Asia Barat. Ini tidaklah menghairankan memandangkan ramai pengikut Al-Ikhwan yang bertebaran di Asia Barat.

Saya tidak melihat kebangkitan rakyat di Tunisia, Mesir dan Yaman serta mungkin juga negara-negara Timur Tengah yang lain sebagai sesuatu yang terancang. Ia adalah kerana kegagalan pihak berkuasa menyelesaikan masalah sosio-ekonomi rakyat dan impak ekonomi kerana kegawatan ekonomi. Ada juga yang berpendapat bahawa kebangkitan rakyat yang berlaku di Tunisia dan Mesir adalah kerana pengaruh Revolusi Iran 1979 yang menggugat de facto mana-mana kerajaan. Pemimpin-pemimpin Iran sudah mula mengeluarkan kenyataan mengenai pengaruh Revolusi Iran 1979 dan apa yang dikatakan sebagai “pemerintahan Islam dan demokrasi berdasarkan agama” serta perdamaian Sunni-Syiah. Negara kita Malaysia mempunyai acuan tersendiri berdasarkan masyarakat berbilang kaum dan persekitaran sosio-budaya masyarakat. Janganlah kita pula terikut-ikut dengan mana-mana perjuangan yang menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenarnya. Perdana Menteri Malaysia, YAB. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak telah memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang ingin mengambil alih kuasa dengan menggunakan demonstrasi seperti Mesir. Katanya: “Jangan fikir apa yang berlaku di Mesir mesti juga berlaku di Malaysia. Kita tidak akan benarkan ia berlaku di sini”.

Dalam satu tindakan yang agak drastik, kerajaan Mesir telah memaklumkan kenaikan gaji penjawat awam dan pesara sebanyak 15%. Saya menyeru kepada rakyat Mesir agar mengutamakan perpaduan dalam segala pemikiran dan tindakan. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Al-Hujurat: 10). Berdamailah dan jangan bergaduh. Berpegang teguhlah dengan agama Allah dan hindarkan permusuhan kerana orang-orang Islam itu bersaudara. Carilah perdamaian dan keharmonian kerana Islam itu agama kesejahteraan. Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran: 103 yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak