Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Tuesday, February 22, 2011

Mengubah Ciptaan Allah Perbuatan Yang Dilaknat

Mengubah Ciptaan Allah Perbuatan Yang Dilaknat
Date: 20-09-2005 (Utusan Malaysia)
Author: ZUNAIDAH ZAINON



BUDAYA mencukur bulu kening sudah menjadi satu trend dalam masyarakat
hari ini yang dipercayai berpunca daripada pengaruh Barat.

Orang Timur mudah mengikuti apa yang cuba dipopularkan Barat, walaupun
ia bertentangan dengan norma dan hukum agama.

Namun, globalisasi mampu mengubah segala-galanya, waima budaya dan
cara hidup sekalipun. Demikian menurut Pengarah Pusat Islam Universiti
Putra Malaysia, Dr. Amini Amir Abdullah.

Beliau berpendapat, sebagai sebuah negara yang sudah mencapai
kemerdekaan sejak 48 tahun lalu, masyarakat Islam harus mempunyai
identiti tersendiri dan tidak perlu terikut-ikut dengan apa yang ditinggalkan
oleh penjajah.

"Kita mudah meniru budaya orang lain hingga kita lupa bahawa segala
ciptaan Allah s.w.t. adalah yang terbaik. Mengekalkan keaslian pada wajah
akan menampilkan rupa paras yang lebih menarik," tegas beliau ketika
diminta mengulas kecenderungan wanita moden hari ini mencukur bulu
kening semata-mata untuk kelihatan menawan.

Amini turut menegur sesetengah wanita yang cenderung memakai bulu mata
palsu atau melentikkan alis mata agar ia tampak cantik dan mempesonakan
tanpa memikirkan kesan yang akan dihadapi.

Beliau menceritakan, semasa zaman Nabi Yusof, kebanyakan kaum
wanitanya mempunyai bulu kening yang tebal tetapi itu tidak mendatangkan
masalah kepada mereka.

Sesungguhnya sebaik-baik ciptaan Allah s.w.t. adalah manusia yang
sempurna dari segi akal dan anggota tubuh badan.

Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Allah melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu keningnya atau bulu muka
atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya, wanita
yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik. Perbuatan itu telah mengubah
ciptaan Allah.

"Berdasarkan hadis di atas, secara komprehensif apabila Allah s.w.t. sebut
'melaknat', itu menunjukkan penegasan tentang betapa perbuatan tersebut
adalah haram di sisi agama," jelas Amini merujuk hadis Bukhari Muslim dan
Abu Daud.

Menukar

Abdullah bin Mas'ud berkata: Allah melaknat orang yang membuat tatu, yang
meminta dibuat tatu untuknya, yang mencabut bulu di muka, yang meminta
dicabutkan bulu di mukanya dan orang yang menjarangkan gigi untuk
kecantikan, kerana mereka semua telah menukarkan ciptaan Allah.

Riwayat di atas juga jelas menunjukkan bahawa perbuatan membuat tatu,
mencabut bulu-bulu yang terdapat di muka termasuk kening, menjarangkan
gigi merupakan yang dilaknat oleh Allah kerana ia mengubah ciptaan-Nya.

Beliau menyatakan sebuah lagi hadis daripada Aisyah. Suatu hari isteri Abu
Ishaq menziarahi isteri Rasulullah iaitu Aisyah dan bertanya tentang hukum
wanita yang membuang bulu yang terdapat di dahi demi menambat hati
suami. Lalu Aisyah menjawab, perkara itu tidak terlarang.

"Seperti yang dinyatakan Aisyah, jelas bahawa mencukur bulu kening
dibenarkan sekiranya ia bertujuan menambat hati suami tetapi bagaimana si
isteri hendak berhadapan dengan khalayak dengan keadaan bulu keningnya
yang dicukur?" soal beliau.

Beliau menjelaskan, sebenarnya di dalam Islam, membentuk bulu kening
agar ia kelihatan kemas dan cantik di pandang, adalah diharuskan kerana ia
tidak mengubah ciptaan Allah s.w.t.

Sebaliknya, jika membuangnya sampai habis, sama ada dengan bercukur,
mencabut atau menggunakan ubat hingga mengubah fitrah asal adalah
diharamkan. Begitu juga jika mengupah orang lain mencabut dan mencukur
bulu kening.

Tambah Amini, mencukur bulu kening juga tidak boleh dilakukan oleh
golongan lelaki transeksual.

"Pernah berlaku sebuah kisah, seorang wanita mempunyai bulu muka yang
panjang hingga kelihatan sangat hodoh dan mengaibkan. Keadaan ini
membenarkan dia bercukur untuk menghilangkan perasaan malu
berhadapan dengan masyarakat.

"Wanita yang kelihatan seolah-olah mempunyai misai juga diharuskan
bercukur kerana ia menjadi bahan bualan dan mengaibkan dirinya," ujar
beliau dengan memberikan beberapa contoh.

Amini menjelaskan lagi, menurut Imam Nawawi, adalah digalakkan bagi
wanita yang mempunyai misai dan janggut supaya mencabutnya. Perbuatan
sebegini walaupun termasuk dalam mengubah ciptaan Allah s.w.t. tetapi
diharuskan.

Habis

Tambah Amini, ada juga sesetengah wanita yang gemar mentatu bulu
keningnya, sedangkan yang asal dicukur sampai habis.

Jelas di dalam hadis yang dibawa oleh Ibnu Umar r.a., bahawa Rasulullah
s.a.w. melaknat orang yang menyambung rambutnya dengan rambut orang
lain. Juga orang yang meminta rambutnya disambung dengan rambut orang
lain.

Demikian juga Allah melaknat orang yang mencacah kulitnya (bertatu dengan
gambar, tulisan dan sebagainya) serta orang yang meminta ditatu. (Muttafaq
`alaih)

"Ada pendapat menyatakan apabila bertatu, air sembahyang tidak meresap
di badan. Jadi semasa kita membasuh muka mengambil air sembahyang,
macam mana pula keadaannya?" kata Amini yang turut menasihati kaum
wanita agar menjauhi tindakan mentatu bulu kening.

Beliau menasihati anak-anak muda hari ini, terutama remaja perempuan
supaya tidak mencukur bulu kening tanpa sebab yang munasabah kerana
kejadian asal bulu kening itu adalah sempurna dan cantik.

Seboleh-bolehnya, janganlah terpengaruh dengan budaya dan fesyen dari
Barat tetapi berpegang teguhlah pada agama. Tetapi disunatkan mencukur
bulu ketiak dan bulu kemaluan setiap 40 hari.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak