Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Tuesday, February 22, 2011

Pusat Islam UPM Integrasikan Konsep Ilmu, Iman dan Amal

Pusat Islam UPM Integrasikan Konsep Ilmu, Iman dan Amal

Date: 13-07-2005 (Utusan Malaysia)
Author: ZUNAIDAH ZAINON



CAPTION:

1. PUSAT Islam Universiti Putra Malaysia yang terletak bersebelahan masjid
memainkan peranan besar dalam melahirkan mahasiswa unggul.

2. MENYEGARKAN... kehijauan pokok-pokok renek yang terdapat di sekitar
masjid mewujudkan landskap yang menarik dan indah.

3. MASJID Universiti Putra Malaysia. Di sinilah berlangsungnya segala aktiviti
Pusat Islam.

4. Pintu masuk utama ke Masjid UPM.

5. RUANG solat yang luas dan selesa boleh menampung sehingga lapan ribu
jemaah.

INSTITUSI

PUSAT Islam Universiti Putra Malaysia memikul tanggungjawab besar
sebagai entiti kepada keseimbangan pendidikan akademik dan agama
kepada warga kampusnya.

Peranan utamanya untuk menjalankan aktiviti berbentuk kerohanian dan
keagamaan sama ada kepada mahasiswa, kakitangan dan masyarakat
sekitar sebagai usaha bagi melahirkan persefahaman muhibah antara
manusia.

"Pusat Islam juga berfungsi sebagai sebuah institusi yang memartabatkan
agama Islam dengan mengintegrasikan konsep ilmu, iman dan amal,'' jelas
Pengarahnya, Dr. Amini Amir Abdullah.

Idealisme

Beliau merupakan pengarah yang keenam sejak pusat Islam ditubuhkan
pada 1 Oktober 1988 di kampus Universiti Putra Malaysia (dahulu dikenali
sebagai Universiti Pertanian Malaysia, UPM).

Pusat Islam UPM mempunyai hasrat untuk menjadi model pusat
perkhidmatan yang unggul dengan menerapkan idealisme dan dinamik Islam
serta berusaha melahirkan para graduan yang mempunyai kekuatan
akidah, berketrampilan dan personaliti unggul.

Bagi mencapai matlamat tersebut, beliau menjelaskan, pusat Islam sentiasa
merancang pelbagai aktiviti dan kegiatan yang boleh menyumbang ke arah
pembentukan nilai-nilai insaniah yang tinggi.

"Kami sentiasa memastikan warga kampus dapat menghayati dan
mempraktikkan agama Islam yang syumul dan kamil. Ini amat penting dalam
diri seorang mahasiswa,'' jelas beliau yang juga merupakan Pensyarah
Tamadun Islam dan Tamadun Asia di Fakulti Ekologi Manusia, UPM.

Perancangan yang dilakukan adalah selari dengan matlamat Bahagian Hal
Ehwal Mahasiswa UPM yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor HEP,
Prof Madya Azali Mohamed.

Bagi mencapai proses tersebut, pusat Islam menyediakan khidmat
profesional dan perundingan kepada warga kampus dan masyarakat
setempat dengan menjalinkan kerjasama bersama beberapa agensi
kerajaan.

Antaranya ialah Yayasan Islam Hadhari, Yayasan Dakwah Islamiah, Jabatan
Agama Islam Selangor, Biro Tata Negara, Jabatan Hal Ehwal Khas serta
Institut Pengajian Tinggi Awam dan swasta.

Pusat Islam juga berperanan dalam memberi kefahaman kepada orang
bukan Islam tentang ajaran Islam yang sebenar sebagai usaha memupuk
semangat perpaduan dan integrasi nasional di kalangan masyarakat
berbilang kaum dan agama.

Struktur pentadbiran Pusat Islam terdiri daripada Pengarah yang dibantu oleh
Setiausaha dan di bawahnya ialah Pegawai Hal Ehwal Islam dan Pembantu
Tadbir Kanan.

Sistem pengurusannya terbahagi kepada dua iaitu Unit Pentadbiran dan
Kewangan serta Unit Pengurusan Masjid dan Aktiviti. Masjid UPM juga
berada di bawah pemantauan Pusat Islam.

Aktiviti yang dijalankan terbahagi kepada empat bahagian iaitu menjayakan
hari kebesaran Islam, pendidikan dan kerohanian, pengimarahan masjid
serta perkhidmatan sosial dan kebajikan.

Program utama yang diberi tumpuan pada masa ini ialah Program Putra
Perkasa-Gerak Iman bagi sesi pengajian 2005/2006 yang melibatkan 14
aktiviti keseluruhannya.

Kefahaman

Antaranya ialah Forum Silang Agama & Budaya dan Forum Nilai Murni, Etika
dan Moral, Bengkel Pembangunan Insan, Pertandingan Nasyid dan Tilawah
Al-Quran Peringkat Kolej Kediaman UPM dan Kursus Pengurusan Jenazah.

Pusat Islam turut menganjurkan beberapa aktiviti tahunan, antaranya Kuliah
Tasawwur Islam yang diadakan di setiap kolej kediaman selepas solat
Maghrib.

Ia bertujuan untuk memberi kefahaman sebenar mengenai ajaran-ajaran
Islam yang tulen dan dirangka bagi membentuk rohani, tingkah laku sosial
dan peribadi mahasiswa yang dahagakan ilmu-ilmu berbentuk fardu ain.

Kursus Tarannum al-Quran pula tertumpu kepada kemahiran membaca dan
teknik-teknik berlagu dalam al-Quran. Di samping itu, ia juga menumpukan
perhatian kepada cara dan teknik melaungkan azan dengan betul.

Pusat Islam turut menjalinkan hubungan yang erat dengan Yayasan Islam
Hadhari, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Pejabat Daerah Agama yang
banyak memberikan manfaat dan kelebihan untuk melonjakkan nama
Islam.

Selain itu, universiti perlu menggerakkan aktiviti Islam Hadhari bermula
September 2004 melalui ceramah, kuliah dan seminar.

Bersesuaian dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi untuk memperkenalkan Islam Hadhari, pusat Islam mengambil
kesempatan dengan menganjurkan Forum Islam Hadhari sebagai satu
pendekatan baru dalam pembangunan negara.

Melalui program ini, pusat Islam berharap mahasiswa boleh bersama-sama
dengan kerajaan dalam menjana dan merealisasikan konsep Islam Hadhari.

"Kesemua aktiviti dan program yang dijalankan mengambil kira keperluan
dan kepentingan para pelajar serta masyarakat setempat. Hingga setakat ini,
boleh dikatakan setiap aktiviti mendapat sambutan yang menggalakkan,''
ulas beliau mengenai penglibatan warga kampus UPM dalam aktiviti Pusat
Islam.

Tambah Amini, masjid UPM merupakan masjid pertama di Malaysia dan di
dunia yang memaparkan skrip khutbah Jumaat dalam bahasa Inggeris di
atas paparan skrin LCD. Bagaimanapun, khutbah Jumaat disampaikan
dalam bahasa Melayu.

"Setakat ini ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para
jemaah setelah setahun diperkenalkan. Ini merupakan sesuatu yang unik dan
telah diikuti oleh beberapa masjid yang lain,'' jelas beliau mengenai
keistimewaan masjid UPM yang turut memenangi Anugerah Masjid Terbaik
daerah Petaling peringkat negeri Selangor bagi tahun 2004.

Pusat Islam bukan sahaja memainkan peranan sebagai pusat perkhidmatan
aktiviti kebajikan dan keagamaan, malah sebagai sebuah institusi
penyelidikan bersesuaian dengan visi UPM menjadi sebuah universiti
berteraskan kepada penyelidikan.

Ini terbukti dengan penglibatan Amini dalam beberapa siri penyelidikan,
antaranya Kajian Keselamatan Jalan Raya di bawah Pusat Penyelidikan
Keselamatan Jalan Raya UPM.

Beliau turut terlibat mempengerusikan Kajian Nilai Integriti Kakitangan UPM
yang dalam proses akhir menyiapkan laporan dan Penyelidikan Persepsi
Melayu Bandar Terhadap Wawasan 2020.

"Berdasarkan kepada penglibatan saya, ini menandakan Pusat Islam turut
bergiat secara aktif dalam bidang penyelidikan sebagai menyahut seruan
universiti dan kerajaan,'' jelas beliau.

Bagi sebuah institusi pengajian tinggi, pelbagai masalah melibatkan
mahasiswa dan warga kampusnya tidak boleh dipertikaikan lagi. Ini termasuk
gejala maksiat yang melanda pelajar institusi pengajian tinggi.

Pusat Islam UPM mempunyai mekanisme tersendiri dalam menangani isu
sedemikian.

Menurut Amini, Pusat Islam mengambil pendekatan berhikmah mengikut
mentaliti dan kondisi mahasiswa kerana menghormati mereka sebagai
golongan terpelajar. Sekiranya menggunakan kaedah yang ekstrem atau
melampau, ia boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.

"Selain daripada kuliah-kuliah ilmu, Pusat Islam akan memberi nilai tambah
sebagai pusat pemulihan dan keagamaan. Kami juga akan menjalankan
unsur pencegahan, nasihat dan bimbingan ke arah mencapai kebaikan dan
keredhaan Allah s.w.t,'' ujarnya.

Seharusnya, peranan yang dimainkan oleh Pusat Islam beserta aktiviti dan
program keagamaan dapat menjalankan fungsi universiti dengan lebih baik
dalam melahirkan graduan yang seimbang duniawi dan ukhrawi selain
berdaya saing dan terus maju melalui pembelajaran berterusan.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak