Bismillahirrahmanirrahim
MENGINGATI MATI DAN PERINGATAN MENGENAI KEMATIAN
Dr. Amini Amir Abdullah
Mati ialah pengakhiran hidup manusia di dunia yang fana dan satu proses perpindahan roh manusia ke alam barzakh dan alam baqa. Mati ialah satu proses terpisahnya roh daripada jasad dan merupakan perpisahan alam yang realiti ke alam yang mujarrad. Kematian akan dirasai oleh setiap jasad yang bernyawa apabila tiba masa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Setiap makhluk pasti akan mati. Ia dinamakan ajal mubram. Masa kematian boleh berubah daripada satu masa ke masa yang lain. Ia dinamakan ajal mu’allaq. Mati adalah penamatan hidup di dunia; dunia yang cukup dikejari dan disayangi oleh manusia. Apabila tiba pengakhiran hidup dengan kematian, ia tidak akan dapat ditangguh atau dipercepatkan. Ia tetap akan berlaku.
Hikmah kematian bukan sahaja pada diri si mati, bahkan juga pada yang masih hidup. Pengakhir riwayat hidup individu mengandungi kebaikan dan bagi yang mati ia sebagai penamatan hidup yang baik (husn al-khatimah) atau penamatan hidup yang penuh keburukan (su’ al-khatimah). Bagi yang hidup, kematian orang lain merupakan satu pengiktibaran, menimbulkan keinsafan untuk mempertingkatkan amalan, bermuhasabah diri dan membuat persediaan yang secukupnya untuk menemui Allah.
Hikmah dan Hakikat Kematian
Dalam Islam, adalah cukup disunatkan mengingati mati. Menziarahi orang sakit, orang nazak, terlibat dalam pengurusan jenazah seperti mandi, solat jenazah, mengiringi jenazah, talqin dan tahlil, semuanya mendekatkan diri kepada Allah dan mengingati mati. Justeru persediaan perlulah rapi bagi mengadap Rabbul Jalil.
Dakwah Rasulullah s.a.w. di Makkah bertembung dengan dua kematian. Iaitu kematian bapa saudaranya Abu Talib dan isterinya Saidatina Khadijah r.a. Peristiwa yang berlaku pada tahun ke 10 kenabian Rasulullah s.a.w. ini, sungguhpun menghibakan Nabi, namun baginda tetap bersabar dan tabah menghadapi pemergian orang yang disayanginya ini. Pada masa yang sama Rasulullah s.a.w. menghadapi pula tentangan hebat Mushrikin Makkah. Namun baginda tidak pula mengaku kalah, bahkan semangatnya semakin kuat. Inilah contoh yang perlu kita ikuti dan teladani. Dengan lain perkataan, hati perlu diperkuatkan walaupun sedih menghadapi kematian saudara terdekat yang tersayang.
Kematian adalah satu kemestian mengikut takdir Ilahi. Mengenai takdir kematian, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Dan Allah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian ia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). Dan tiada mengandung seseorang perempuan, (juga seekor betina), dan tidak pula satu-satunya melahirkan (anak yang dikandungnya) melainkan dengan keadaan yang diketahui Allah. Dan tidak diberikan seseorang berumur panjang, juga tidak dijadikan seseorang pendek umurnya, melainkan ada kadarnya di dalam Kitab Ilahi. Sesungguhnya yang demikian itu mudah sahaja kepada Allah.”(Surah Fatir: Ayat 11)
Ada kematian di sisi Allah yang tidak dinamakan mati, tetapi “hidup” di sisi Allah s.w.t. iaitu orang yang mati kerana perjuangan mati syahid yang tidak menyeleweng. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki”. (Surah Ali ‘Imran : Ayat 169)
Mereka yang “hidup” ini hidup dalam alam lain, bukannya alam mayapada ini. Mereka mendapat kenikmatan yang melimpah–ruah. Bagaimanakah kondisi mereka dalam dunia itu? Hanya Allah s.w.t. yang mengetahui keadaan hidup mereka dalam dunia yang mempunyai keistimewaan yang tersendiri itu.
Allah s.w.t. mengingatkan kita tentang keduniaan dan kepentingan hidup akhirat. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan Akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri Akhirat itu adalah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari Akhirat”. (Surah Al-‘Ankabut : Ayat 64)
Orang yang tidak mahu menerima agama Allah disifatkan orang yang mati. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “(Maka janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad terhadap keadaan mereka yang demikian), kerana sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar suaramu, apabila mereka berpaling undur (disebabkan keingkarannya)”. (Surah Ar-Rum: Ayat 52)
Orang Mushrik dan kafir disamakan oleh Allah s.w.t. dengan orang-orang yang mati tidak bernyawa yang mustahil dapat mendengar sebarang seruan dakwah, pendidkan dan pengajaran. Persamaan orang mushrikin dan kafir bertepatan dengan orang tuli yang tidak mungkin mendengar panggilan sekiranya membelakangi orang yang memanggil.
Dengan izin Allah s.w.t. Malaikat Maut akan mencabut nyawa manusia bergantung sejauh mana amalan manusia. Sekiranya amalannya baik, mudahlah pengambilan nyawa itu, begitulah juga sebaliknya. Firman Allah s.w.t.: “(Katakanlah wahai Muhammad); “Nyawa kamu akan diambil oleh Malaikat Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)”. (Surah As-Sajdah: Ayat 11) “Dan mereka (yang kafir) itu berkata : “Adakah apabila kami telah hilang lenyap dalam tanah, kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu? Betulkah demikian?” (Mereka bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula) bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan degan Tuhannya.” (Surah As-Sajdah : Ayat 10)
Tiadalah kepayahan bagi Allah menghidupkan manusia kembali pada hari Akhirat. Firman Allah s.w.t.: “Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa angin mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering-kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikian pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya)”. (Surah Al-A’raf : Ayat 57)
Persediaan Mati: Beramal Solehlah!
Setiap Muslim mesti beramal soleh demi untuk menghadapi kematian. Firman Alah s.w.t. yang bermaksud: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan”. (Surah Al-Kahfi: Ayat 46)
Manusia diciptakan demi untuk beribadah kepada Allah s.w.t. dan manusia akan dikembalikan kepada Allah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja degan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah Al-Mu’minun: Ayat 115)
Adalah menjadi ketetapan bahawa setiap yang hidup pasti akan menemui kematian untuk menerima balasan baik ataupun buruk daripada Allah s.w.t.. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Sesungguhnya bumiKu adalah luas (untuk kamu bebas beribadat); oleh itu, (di mana sahaja kamu dapat berbuat demikian) maka hendaklah kamu ikhlaskan ibadat kamu kepadaKu. Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan)”. (Surah Al-‘Ankabut : Ayat 56-57)
Tidaklah sukar bagi Allah untuk menyempurnakan semula kejadian manusia setelah mengalami kereputan jasad dan tulang belakang ketika dibangkitkan semula manusia. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya : “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”. Katakanlah : “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya).” (Surah Yasin : Ayat 78-79)
Sesudah kematian, mata, telinga dan kulit badan manusia akan menjadi saksi akan semua perbuatan yang dilakukan manusia sewaktu di dunia. Firman Allah s.w.t.: “Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yeng telah mereka kerjakan.” (Surah Fussilat : Ayat 20)
Saat akhir penamatan riwayat hidup manusia dinamakan sakaratul maut. Diumpamakan Allah akan sakaratul maut sebagai saat perpisahan manusia dengan segala kehidupan duniawi dan kedahsyatan saat-saat akhir kematian. Firman Allah s.w.t.: “Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpa malapetaka (azab seksa) yang membinasakan. Sedarlah janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya akan sampai ke pangkal kerongkongan. Dan orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: “Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatinya)?”. Dan dia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan; serta kedahsyatan mati pun bertindih-tindih; (Maka) kepada Tuhanmulah pada waktu itu engkau dibawa (untuk menerima balasan). (Oleh sebab orang yang kufur ingkar tidak percayakan hari akhirat) maka ia tidak mengakui kebenaran (yang mewajibkan meyakinkannya) dan ia tidak mengerjakan sembahyang (yang difardhukan mengerjakannya). Akan tetapi ia mendustakan, dan berpaling ingkar! Kemudian ia pergi kepada keluarganya dengan berlagak sombong megah. (Wahai orang yang kufur ingkar) sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu, sudahlah dekat. Kemudian api nerakalah lebih layak bagimu, lebih layak”. (Surah Al-Qiamah : Ayat 26-35
Soal Kubur
Soal kubur akan berlaku sebaik sahaja mayat dikebumikan dalam sebarang keadaan. Adakah jasad masih bersama roh semasa disoal oleh malaikat? Ya! Roh akan kembali kepada jasad semasa ia disoal. Doa orang yang hidup akan sampai kepada simati dari segi kebaikan dan rahmat. Soal kubur sungguhpun diketahui oleh semua umat Islam, tidaklah ada sebarang kepastian bahawa soalan kubur akan dapat dijawab dengan baik sebaik sahaja ditanya oleh malaikat. Kalaupun seseorang itu menghafal beribu-ribu kali soalan kubur, tidak pasti juga sama ada ia akan dapat menjawab dengan baik apabila berada di dalam kubur. Kebolehan menjawab soalan kubur bergantung kepada amalan soleh seseorang di dunia. Kalau orang itu orang yang ‘Asi, fasiq, munafik dan kafir, mana mungkin orang itu dapat menjawab soala kubur. Antara soalan yang ditanya oleh dua orang malaikat ialah:
1. Siapakah Tuhan kamu?
2. Siapakah Nabi kamu?
3. Apakah keyakinan (iktikad) dan kepercayaan Nabi kamu?
4. Apakah ikutan dan panduan kamu?
5. Apakah qiblat kamu?
6. Sembahyangkah kewajipan kamu?
7. Siapakah saudara kamu?
8. Siapakah bapa agama kamu?
9. Apakah arah tuju hidup dan mati kamu?
Mengiringi Jenazah Ke Kubur, Ziarah Kubur Dan Signifikan Talqin: Satu Hakikat Mengingati Dan Bersedia Menghadapi Kematian
Mengiringi dan menziarahi kubur adalah untuk mengingati mati dan Hari Pembalasan, sebab itu ia dituntut. Sabda Rasulallah s.a.w.: “Aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur. Akan tetapi sekarang ziarahilah kubur (kerana ada kebaikannya)”. (Riwayat Muslim)
Meraung-raung dan menangis keterlaluan kerana kematian tidak dibenarkan malah haram termasuklah menampar pipi dan mengoyak baju. Walau bagaimanapun, menangis dan bersedih tidaklah dilarang oleh syarak kerana ia adalah sifat semulajadi manusia. Rasulallah s.a.w. sendiri pernah menangisi pemergian anaknya Ibrahim.
Mengikut Mazhab Shafie, bertalqin itu merupakan perkara sunat atau mustahab (elok dilakukan) kerana tujuan talqin adalah untuk peringatan untuk yang akan mati dan yang masih hidup. Telah menjadi perkara “thabit” pada hukum syarak bahawa orang mati mendengar suara orang yang hidup.
Adalah perkara sunat bagi mereka yang mengiringi jenazah ke kubur duduk sebentar dan berdoa kepada si mati agar dapat menjawab semua soalan malaikat Munkar dan Nakir dan mendapat keampunan serta rahmat Allah s.w.t. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Dari Uthman bin Affan r.a. katanya : bahawa Rasululah s.a.w. apabila selesai mengebumikan jenazah, baginda berdiri di tepi kubur jenazah itu lalu bersabda : “Mohonlah keampunan bagi saudara kamu (semoga keampunan Allah baginya) dan mohonlah kepada Allah semoga dijadikan iktikadnya tetap utuh berdasarkan kalimah Tauhid (LailahaillaAllah) kerana dia sekarang sedang disoal”. (Riwayat Muslim)
Disunatkan memberi salam seterusnya berdoa pada ahli kubur dan menjaga adab-adab menziarahi kubur. Menziarahi kubur ibubapa, berdoa keampunan mereka, pada setiap hari dan dibacakan Yasin kepada mereka adalah sunat. Manakala menziarahi kubur mereka adalah sunat muakkad. Orang-orang yang mati sentiasa mengharapkan doa orang yang hidup. Berdoalah untuk mereka dan ingatlah bahawa kita akan menyertai mereka. Roh orang yang mati setiap malam akan berada di langit dunia mengharapkan doa untuk mereka. Roh mereka akan kembali dengan gembira sekiranya ada yang mendoakan mereka dan kehampaan bagi mereka sekiranya tiada doa untuk mereka. Di antara adab menziarahi kubur adalah seperti berikut:
1. Bersih diri dan berwuduk.
2. Memberi salam kepada ahli kubur.
3. Berdiri di tepi kubur dengan menghadap wajah kepada si mati dan berkata “Assalamualaikum tuan hamba, atau Assalamualaikum ayahku/ibuku”.
4. Sunat membaca Al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati.
5. Berdoa keampunan kepada si mati dengan menghadap kiblat dan rahmat kepada snya.
6. Tidak melangkahi kubur dengan sewenang-wenangnya seolah-olah tidak menghormati mayat.
7. Tidak membuang najis di tanah perkuburan.
8. Tidak berbual kosong di tanah perkuburan dan melepak.
Signifikan Talqin
Talqin mempunyai dua bahagian iaitu bahagian peringatan dan bahagian doa.
Bahagian peringatan antara lain menyentuh soal:
1. Kehidupan dan kematian merupakan ujian kepada manusia untuk menentukan siapa di kalangan manusia yang melakukan amalan soleh.
2. Amalan kebajikan dan segala perbuatan manusia sama ada yang baik atau yang buruk akan diperlihatkan kepada manusia secara detail di hari pembalasan.
3. Semua makhluk akan kembali kepada Allah s.w.t. dan peringatan bahawa ajal maut sudah menjadi kemestian kepada manusia. Justeru, manusia mesti memperlengkapkan diri dengan persediaan dan bekalan yang secukupnya ketika menghadap Allah s.w.t.
4. Nikmat syurga dan azab neraka kebahagiaan bagi mereka yang tergolong dalam kelompok ahli syurga dan padah serta kecelakaan bagi mereka yang tergolong dalam kelompok ahli neraka.
5. Asal usul manusia daripada tanah, ke dalam tanah semula manusia akan dikembalikan dan dibangkitkan, dan daripada dalam tanah juga manusia akan dibangkitkan.
6. Kewajipan, amanah dan tanggungjawab manusia di atas dunia
7. Alam kubur di mana tubuh manusia akan hancur serta reput dimamah cacing dan ulat.
8. Kebangkitan manusia apabila ditiup sangkakala oleh Malaikat Israfil untuk diadili di hadapan Allah s.w.t., dinilai amal kebajikan dan diberikan ganjaran yang sewajarnya dengan amalan manusia.
9. Mesej dakwah dan janji para Rasul sebagai utusan Allah s.w.t. adalah benar belaka.
10. Alam kubur merupakan alam transisi sebelum ke alam Akhirat dan kematian merupakan pengakhiran nikmat dunia.
Bahagian doa pula mengandungi perkara-perkara berikut :
1. Rahmat Allah s.w.t. ke atas si mati
2. Doa agar lebih mudah si mati menjawab tentang kalimah bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Nabi Muhammad Pesuruh Allah.
3. Ketidakgentaran menghadapi soalan kubur dan peringatan menjawab soalan kubur.
4. Perlindungan, keampunan dan penerimaan segala amalan soleh manusia semasa hidup di dunia.
5. Keterlepasan daripada azab kubur, dan segala yang berkaitan dengannya dengan syafaat dan keberkatan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Kaitan Amalan Orang Yang Hidup Dengan Orang Yang Telah Mati
Segala amalan soleh orang yang hidup akan sampai kepada orang yang telah mati. Sabda Nabi Muhammad s.a.w.: “Sesungguhnya amal-amal kamu dibentangkan kepada keluarga dan kaum kerabat kamu yang telah mati, maka kalau amal perbuatan kamu baik, mereka gembira mengetahuinya. Dan kalau sebaliknya, mereka akan berdoa: Ya Alah! Ya Tuhan kami, Berilah kaum kerabat kami yang hidup itu hidayah sebagaimana engkau telah memberi hidayah kepada kami (sehingga kami mati dalam iman) [Riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi]
Suami yang mati dalam keadaan iman akan “mengenang dan bertanya khabar” tentang isterinya sama ada isterinya telah berkahwin lain ataupun tidak walaupun ketika dalam alam Barzakh itu ia sudah ditemani oleh bidadari yang cantik berseri-seri. Ia akan berharap isterinya tidak berkahwin lain dan mati dalam keadaan iman dan amal soleh dan dikumpulkan bersama pada hari Ahirat dan kekal bersama dalam syurga selama-lamanya. Namun demikian, sekiranya siisteri berkahwin lain, dan suaminya yang kedua mati dalam iman, maka ia akan dikumpulkan bersama suaminya yang terakhir.
Kematian dan Kesabaran: Dua Pertentangan
Dalam amalan Arab Jahiliyyah, kematian tidaklah disusuli oleh kesabaran tetapi penuh dengan perkara melampau yang keterlaluan. Memang kematian terutamanya orang yang dikasihi sukar diterima hakikatnya oleh kita, namun Islam mengajarkan kita bersabar dan bertenang dan bertawakal kepada Allah s.w.t. dengan menyebut kalimah Al-Quran: yang bermaksud: “Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami dikembalikan “. (Al-Baqarah: 155-157)
Mestilah diserahkan bulat-bulat segala hal yang berkaitan dengan kematian kepada Allah s.w.t. dan disunatkan berdoa yang bermaksud:
“Ya Allah Ya Tuhanku! Berilah aku sabar serta balasan yang baik untuk menghadapi kesusahan dan ujian berat yang menimpakan ini, dan gantikanlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya”.
Adalah sunnah Nabi dengan menenangkan keluarga orang yang sedang menghadapi kematian dengan ucapan seperti berikut yang bermaksud:
“Sesungguhnya bagi Allah juga apa yang telah diambilnya dan apa yang telah diberinya. Dan tiap-tiap sesuatu di sisinya adalah terhad hingga ke suatu ajal yang telah ditentukan. Oleh itu hendaklah bersabar serta hendaklah ia menjadikan kesabarannya itu semata-mata kerana Allah dan untuk mengharapkan balasan yang baik.”
Kita tentu pernah mendengar ibu bapa yang kematian anak-anak yang belum baligh. Terdapat mafhum satu hadith yang menjelaskan bahawa ibu bapa yang kematian tiga orang anak yang belum baligh, nescaya akan dimasukkan kedua ibubapanya ke dalam syurga. Walau bagaimanapun, orang yang kematian anak yang belum baligh tetap akan dimasukkan ke dalam syurga juga.
Signifikan Ucapan Takziah dan Perkaitannya Dengan Kematian.
Adalah sunat diucapkan takziah pada waris orang yang meninggal dunia, diajak bersabar dan mendoakan kerahmatan dan keampunan terhadap si mati. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
“Mana-mana orang mukmin yang mengucapkan takziah kepada saudaranya sesama Islam yang sedang menanggung musibah melainkan ia akan diberikan balasan terbaik oleh Allah iaitu dimuliakan dan dipakaikan dengan persalinan yang serba indah dari pakaian-pakaian kemuliaan pada hari Akhirat kelak.”
Tempoh bertakziah ialah selama tiga hari selepas pengebumian. Walau bagaimanapun, dibolehkan tanpa sebarang tempoh sekiranya ketidaklapangan berlaku. Maksud lafaz takziah ialah seperti berikut:
“Semuga Allah memberikan pahala yang berganda-ganda kepada saudara dan menjadikan saudara dapat bersabar dengan sebaik-baiknya serta diampunkan jenazahmu yang meninggal.”
Kewajipan Waris Yang Hidup Terhadap Yang Meninggal
1. Membayar hutang piutang dengan seberapa segera atau memohon pelepasan dengan seikhlasnya.
2. Menyegerakan kehendak si mati dalam wasiat yang tidak bertentangan dengan kehendak syara’.
3. Waris hendaklah tidak merebut harta, tetapi cuba untuk menggunakan harta itu demi kebaikan si mati dalam kubur seperti menggunakan harta si mati untuk berwaqaf dan sebagainya demi kebaikan mereka terutamanya ibubapa.
Kesimpulan
Perlulah kita sentiasa mengingati mati agar kita tergolong dalam mereka yang soleh dan melakukan persediaan secukupnya sebelum menemui Allah Rabbul Jalil.
Wa Billahi Al-Taufiq wa Al-Hidayah
Wallahu A’lam
Bibliografi
Al-Quran Al-Karim
Sheikh Abdullah bin Muhammad Basmeih, Tafsir Pimpinan Al-Rahman.
Al’alamah Al-Ramli, Nihayah Al-Muhtaj.
Al-Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi, Tanwir Al-Qulub.
Al-Sayyid Abu Bakr Syata, I’anah Al-Talibin.
2 comments:
mantab tulisannya gan
Semoga tuan mendapat ganjaran baik dari Allah swt
Post a Comment