Sambutan 1 Oktober Sesuram Hidup Warga Tua |
Date: 25-10-2001 (Berita Harian) |
Author: Nor Affizar Ibrahim |
BENARKAH warga tua ibarat permata yang tidak bernilai lagi? Mereka membebankan dan menimbulkan pelbagai masalah ataupun sebagai bahan terbuang yang sudah tidak berguna langsung? Walaupun mulut pantas menyangkal kenyataan itu, hakikatnya sikap serta tanggapan masyarakat lebih menjurus mengiyakan kata-kata itu. Semuanya bahana terhakis nilai kemanusiaan dan kerapuhan nilai kekeluargaan serta kemasyarakatan. Nilai murni dan keagamaan dalam kehidupan masa kini, berdepan dengan budaya mementingkan diri sendiri, materialistik, lupa diri dan jasa warga tua kepada pembangunan negara, komuniti dan keluarga. Ada segelintir masyarakat terutama golongan muda menganggap, warga tua membebankan dan banyak kerenah. Jurang pemikiran berbeza antara orang tua dan muda mengukuhkan lagi tembok pemisah antara mereka. Hal itu juga menyebabkan wujud rasa kurang hormat dan kepekaan terhadap rintihan dan kebajikan warga tua. Justeru, tidak hairan jika sambutan Hari Warga Tua pada setiap 1 Oktober di negara ini, tidak begitu dihiraukan dan bukan sesuatu yang begitu bermakna untuk generasi muda. Mereka lupa suatu hari nanti, mereka juga menjadi sebahagian daripada warga tua yang inginkan perhatian, dihormati selalu dan tidak dipinggirkan. Itu antara beberapa persoalan ditimbulkan pada seminar: "Ke Arah Hari Tua Yang Gemilang" yang diadakan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Seminar dua hari anjuran IKIM dengan kerjasama Yayasan Albukhary dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), terbahagi kepada lima sesi perbincangan kertas kerja. Pada sesi ketiga, perbincangan lebih menumpukan tanggungjawab keluarga dan masyarakat terhadap warga tua. Yang menarik dan perlu diberi perhatian pada sesi perbincangan itu, kebanyakan peserta seminar melahirkan kebimbangan terhadap perubahan ketara sikap belia dan remaja terhadap warga tua. Mereka dikatakan tidak prihatin serta kurang tanggungjawab terhadap warga tua. Senario itu jauh berbeza dengan keadaan sebelum ini. Pembentang kertas kerja, Dr Amini Amir Abdullah dari Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata masyarakat perlu menganggap warga tua sebahagian daripada masyarakat. Kesedaran perlu ada pada masyarakat bahawa suatu hari nanti mereka juga menjadi sebahagian daripada komponen warga tua. Jika masyarakat inginkan perhatian dan bantuan pada masa akan datang, perhatian sama perlu diberikan kepada komuniti warga tua sekarang. "Ini bukan bermakna kita inginkan balasan bagi setiap apa yang kita lakukan. Ia adalah contoh yang nyata untuk kita sebagai komuniti menilai fungsi dan sumbangan kita kepada golongan warga tua," katanya. Beliau berkata, warga tua adalah aset berharga dalam masyarakat malah, mereka sebahagian daripada masyarakat. Warga tua juga manusia istimewa yang memerlukan perhatian kerana menjadi tanggungjawab masyarakat khususnya generasi muda membela nasib golongan itu. "Kepemimpinan belia kini perlu diperluaskan supaya menyedarkan golongan muda mereka mesti menghormati, melindungi dan menjaga kebajikan warga tua terutama kepada ibu bapa sendiri. Tugas itu bukan hanya menjaga hati orang tua semata-mata tetapi juga memenuhi tuntutan agama dan tanggungjawab sosial masyarakat," katanya yang turut menyarankan sambutan Hari Warga Tua diperkembangkan di peringkat negeri dan daerah supaya golongan muda dapat menghayatinya dengan lebih positif. Dr Amini berkata, kesedaran dan keinsafan ahli keluarga amat diperlukan supaya budaya menghormati, menyayangi dan menyanjungi orang tua diteruskan. Untuk mencapainya, institusi keluarga perlu dikukuhkan supaya timbul kesedaran mengenai keperluan fizikal dan mental aspek perubahan tingkah laku warga tua. Sementara, dalam kertas kerja beliau bertajuk, "Tanggungjawab Masyarakat Terhadap Warga Tua" yang ditulis bersama, Dr Tengku Aizan Hamid dan Dr Asnarulkhadi Abu Samah menegaskan, terlalu banyak sumbangan dan bantuan diberikan oleh kerajaan untuk pembangunan dan kebajikan warga tua. Namun, pembabitan masyarakat masih pada peringkat minimum. Katanya, hasil kajian dibuat di Johor pula mendapati, amalan budaya dan sosialisasi gender berkait rapat dengan jaringan sumber penjaga bagi warga tua. Didapati lebih ramai warga tua wanita ada sumber penjaga berbanding lelaki. Sungguhpun boleh dikatakan warga tua lelaki lebih memerlukan sumber panjaga, tanggungjawab dan perhatian masyarakat diperlukan oleh kedua-dua jantina warga tua. Dr Amini berkata, sikap prihatin jiran tetangga juga aspek penting berkaitan keperluan warga tua. Semangat kejiranan dan tolong menolong perlu ada dalam masyarakat. Anak kadangkala tidak bersama warga tua ketika berlaku kecemasan. Beliau berpendapat, kemurungan warga tua dapat dikurangkan dengan pembabitan mereka dalam aktiviti sosial teratur. Pusat aktiviti sosial setempat perlu disediakan supaya boleh dijadikan tempat untuk warga tua berkumpul dalam satu kelompok, berbincang, berinteraksi dan mengenali antara satu sama lain. Tempat begini juga membantu mengurangkan perasaan keseorangan dan tekanan. "Tuntutan menunaikan semua tanggungjawab dalam masa sama memanglah sukar. Ditambah pula dengan proses modenisasi dan pembudayaan masyarakat mengikut acuan Barat yang semakin mengikis nilai ketimuran dan sikap individualistik menyebabkan sikap prihatin terhadap ibu bapa semakin menipis," katanya. (END) Source : Berita Harian |
No comments:
Post a Comment