Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Wednesday, August 25, 2010

KEBERKATAN RAMADAN DAN KEAMPUNAN ALLAH S.W.T.

KEBERKATAN RAMADAN DAN KEAMPUNAN ALLAH S.W.T.
Dr. Amini Amir Abdullah
27 Ogos 2010

Hari ini, 27 Ogos 2010, sudah masuk 17 hari kita berpuasa iaitu kita berada dalam Fasa Kedua dalam pemeringkatan mereka yang mendapat rahmat, barakah dan inayah Allah s.w.t.. Kita di Fasa Kedua bulan Ramadan Al-Mubarak. Fasa Pertama ialah mendapat rahmat Allah, Fasa Kedua mendapat keampunan Allah s.w.t. dan Fasa Ketiga mendapat pembebasan daripada api neraka. Saya dapati puasa amatlah menyeronokkan kerana beberapa sebab. Pertama, bulan Ramadan adalah bulan bonus pahala semua ibadah. Kedua, kegembiraan ketika berbuka dan menyambut hariraya. Ketiga, kegembiraan ketika “bertemu” Allah s..t.. Keempat, Ramadan adalah bulan terbaik antara bulan-bulan yang lain. Kelima, keistimewaan Ramadan akan lebih ketara lagi jika ia dibandingkan dengan sebelas bulan yang lain. Walaupun semua bulan mempunyai kelebihan,, namun kelebihan Ramadan tetap tidak dapat ditandingi. Hal ini ditegaskan oleh Nabi Muhammad S.A.W dengan sabdanya yang bererti "Bulan Ramadan adalah penghulu bulan-bulan yang lain". Keenam, dalam bulan Ramadan terdapat lailatul Qadr. Malam Al-Qadar ialah sebuah malam mulia yang berlaku dalam Bulan Ramadan sahaja dan padanyalah diturunkan Al-Quran dan ianya merupakan sebuah malam yang agung dan waktu yang penuh keberkatan dan penuh rahmah. Malam tersebut merupakan malam mulia yang lebih mulia dari seribu bulan dan juga padanya berkah, keselamatan, kebaikan serta turunnya para malaikat dengan izin Allah untuk menunaikan doa-doa mereka yang memohon dan beribadah kepada Allah swt dengan ikhlas dan mengampuni dosa dan menjalankan perintah Allah s.w.t.

Puasa itu merupakan ibadah untuk bertaqarrub kepada Allah dengan meninggalkan kesenangan-kesenangan dunia. Seorang yang kaya akan mengetahui nilai nikmat Allah dengan kekayaannya itu di mana Allah telah memudahkan baginya untuk mendapatkan apa yang diinginkannya, seperti makan dan minum serta apa saja yang dibolehkan oleh Allah. Maka dengan itu, ia akan bersyukur kepada Rabbnya di atas kurnia nikmat ini dan mengingati saudaranya yang fakir. Begitu juga, ia akan berderma kepada mereka. Puasa melatih seseorang untuk menguasai jiwa, akal, emosi dan nafsu syahwatnya dan berdisiplin sentiasa sehingga ia akan mampu memimpin jiwanya demi kebahagiaan dan kebaikannya di dunia dan di akhirat serta menjauhi sifat kebinatangan.

Puasa Ramadan juga melatih kita supaya bersifat sabar. Memanglah bagi sebahagian umat Islam, berpuasa sebulan Ramadan itu menjadi satu kepayahan dan penderitaan kerana terpaksa menahan diri daripada memenuhi tabiat makan, minum dan hubungan seksual antara suami isteri di siang hari. Jasmani seseorang menjadi lemah disebabkan lapar dan dahaga, lalu dengan demikian keghairahan bekerja menjadi berkurang. Sementara itu, rohaninya menderita lantaran terpaksa menahan gelora nafsu atau syahwat yang datang secara tiba-tiba bila terpandang atau berhadapan dengan isteri. Segala kepayahan dan penderitaan ketika berpuasa diterima dengan penuh kesabaran dan kerelaan, tidak resah dan gelisah, mengingati besarnya ganjaran orang yang berpuasa dengan ikhlas kerana Allah dan besar pula balasan bagi orang yang sabar. Ini bermakna, ada tiga jenis kesabaran yang terkandung dalam ibadah puasa iaitu sabar kerana patuh mengerjakan suruhan Allah, sabar kerana mengekang hawa nafsu dan sabar kerana menderita kepayahan lapar dan dahaga. Demikianlah halnya puasa Ramadan yang antara tujuan terpentingnya melatih seseorang bersifat sabar, suatu sifat utama yang perlu dimiliki sebagai bekalan untuk menghadapi dugaan hidup yang semakin hari semakin mencabar. Sesungguhnya Ramadan menyerupai janakuasa tenaga nuklear yang dapat menjana kuasa elektrik yang menguatkan jiwa dan raga bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Allah telah menjanjikan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami akan memberikan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”. (Surah al-Nahl: ayat 96)

Disebut dalam pelbagai riwayat bahawa waktu Lailatul Qadr secara berbilang-bilang dan tidak tetap dan berbeza-beza dari tahun ke tahun. Namun apa yang sahih daripada Rasulullah s.a.w., maka waktunya ialah pada malam ke 21, malam ke 23, malam ke 25, malam ke 27 dan malam ke 29 dalam bulan Ramadan. Pastinya waktu Lailatul Qadr ini ialah pada sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadan seperti yang disebut oleh pelbagai riwayat dan juga dalam hal ini telah terdapat satu risalah khas yang ditulis oleh Imam Hafidz al-Iraqi berkenaan malam ini. Terletaknya Lailatul Qadr pada sepuluh malam yang terakhir ialah berdasarkan riwayat dari Ummul Mukminah Asiyah ra yang berkata: “Sesungguhnya Rasulullah apabila berdekatan dengan sepuluh malam yang terakhir dalam bulan Ramadan berpesan: “Bersungguhlah (dalam ibadah) atau berwaspadalah kerana Lailatul Qadr itu pada sepuluh malam yang terakhir dari Ramadan” (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim no. 1169). Sekiranya seseorang itu dilemahkan oleh sesuatu atau tidak mampu maka hendaklah menumpukan usaha ibadahnya pada malam 23 dan ke atas ini disebabkan dari riwayat Ibn Umar ra bahawa baginda Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hendaklah kamu bersungguh mendapatkannya Lailatul Qadr pada sepuluh malam terakhir dan sekiranya kamu dilemahkan atau menjadi letih maka janganlah kamu ditewaskan pada tujuh hari yang baki” (Bukhari dan Muslim no. 1165).

Ramadan: Bulan Penuh Kerahmatan dan Keampunan

Ramadan: Bulan Penuh Kerahmatan dan Keampunan
20 Ogos 2010

etiap kali Ramadan menjelma, cuaca akan sentiasa lebih redup, hujan di waktu malam dan angin yang sepoi-sepoi bahasa bertiup ketika waktu bertarawih. Barangkali inilah yang dikatakan keberkatan Ramadan yang Allah anugerahkan kepada insan di dunia. Ramadan digelar sebagai bulan rahmat, keampunan dan bulan pembebasan dari api neraka. Namun demikian, ramai daripada kalangan kita yang tidak mengetahui apakah kesan yang terbaik yang kita dapati hasil dari pentarbiahan diri selama sebulan dalam bulan Ramadan. Dalam sebuah riwayat, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kelebihan hari Jumaat pada bulan Ramadan atas segala hari yang lain seperti kelebihan Ramadan atas segala bulan Ramadan atas segala hari yang lain seperti kelebihan Ramadan atas segala bulan”. Peningkatan amal patut dilakukan pada bulan Ramadan kerana sangat besar keistimewaannya melakukan amal ibadah pada bulan ini. Di antara kesan yang akan dapat diperolehi bagi mukmin yang benar-benar menghayati erti Ramadan ialah menimbulkan perasaan belas kasihan dan kasih sayang kepada fakir miskin, anak yatim dan orang-orang yang kurang upaya, membentuk sifat esprit de corp dalam keluarga dengan solat, makan dan beribadah bersama-sama bagi membina keluarga sakinah dan bahagia, membiasakan diri dengan amal kebajikan dan menahan diri daripada terjatuh ke lembah maksiat dan dosa, memelihara dan menjana sifat amanah dalam melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya serta memupuk semangat persaudaraan Islam dan membentuk perpaduan serta kekuatan ummah.
Natijah terbaik berpuasa ialah melahirkan sifat takwa yang berkekalan iaitu satu tahap di mana seorang mukmin mempunyai perasaan dan tekad melakukan semua perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya pada setiap masa. Berbuatlah ibadah sepanjang hayat kerana sebaik-baik bekalan yang akan kita bawa adalah ketakwaan kepada Ilahi. Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ `Ulumuddin mengkategorikan orang yang berpuasa itu kepada tiga golongan, iaitu: Puasa golongan awam, iaitu orang yang hanya menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh sahaja, kedua, puasa golongan Ahlul Khawas, iaitu orang yang menahan dirinya dari makan dan minum serta syahwatnya kerana Allah dengan mengharapkan keampunan dan syurga atau terhindar dari neraka dan ketiga, puasa golongan Khawasul Khawas (atau Ahlul Ma’rifat), iaitu orang yang menahan diri dari makan dan minum serta syahwat juga menahan hati dan segala pancaindera daripada segala yang tidak disukai Allah s.w.t. kerana semata-mata mengharapkan keredaan Allah s.w.t. sahaja.
Pantang larang orang yang berpuasa perlukan disiplin yang kuat untuk dihindari. Antaranya ialah menundukkan dan menahan mata daripada melihat perkara yang tercela dan dimurkai Allah di samping menjaganya daripada melihat perkara yang melalaikan hati daripada mengingati Allah. Sentiasalah menjaga lidah daripada menipu, mengumpat, mencela, mengutuk, memburukkan orang lain atau melaga-lagakan mereka serta menyanyi nyanyian yang melalaikan diri kita daripada mengingati Allah. Kita hendaklah senyap dan memperbanyakkan mengingati Allah dan banyak membaca al-Quran serta berzikir. Jangan lupa menahan pendengaran daripada mendengar perkara yang dilarang kerana setiap apa yang diharamkan mengeluarkannya daripada mulut maka ia turut diharamkan daripada mendengarnya. Sebab itulah Allah menyamakan mereka yang mendengar perkara maksiat dengan mereka yang memakan perkara haram. Orang yangt berpuasa sebenar-benarnya menahan segala anggota yang lain iaitu tangan dan kaki daripada maksiat dan dosa serta menahan perut daripada memakan perkara syubhah atau haram ketika berbuka. Janganlah kita terlalu banyak makan sekali pun halal sehingga tersumbat lubang pernafasannya kerana Allah begitu murka mereka yang terlalu banyak makan. Peliharalah hati kita agar sentiasa terikat kepada perasaan antara khauf (takut) dan raja' (terlalu mengharap) di mana kita sentiasa bertanya sama ada puasa kita diterima sebagai orang yang hampir kepada Allah atau pun ditolak kerana kita termasuk dalam golongan mereka yang cuai dalam beribadat. Orang yang berpuasa Ramadan melakukan persiapan rapi di bulan Sya’ban serta tidak melambat-lambatkan solat fardu. Kita sepatutnya tidak malas menjalankan ibadah-ibadah sunat di bulan Ramadan. Jadilah seorang yang pemurah dan suka bersedekah dan jangan bakhil pada harta benda. Rajin-rajinlah membaca al-Quran dan kikiskan sifat senang menjadi pemarah. Buangkan tabiat gemar berbicara perkara yang sia-sia dan dusta serta memutuskan tali silaturrahim. Jangan khianati amanah dan pertingkatkan solat berjemaah selalu. Kurangkan kebergantungan yang keterlaluan kepada makhluk dan sentiasalah membela dan menegakkan kebenaran. Pertingkatkan kekuatan bangsa dan jangan salah faham terhadap falsafah Ramadan.Jangan menjadi terlalu sibuk mempersiapkan Idulfitri hingga terabai ibadah Ramadan.

Ramadan Al-Mubarak


Ramadan Al-Mubarak, Ramadan Al-Mubarak
13     Ogos 2010

Alhamdulillah, Ramadan menjelma kembali sebagai bulan latihan insaniah untuk memantapkan insan dengan kualiti diri, iman dan takwa? Penumpuan ibadah Ramadan tertumpu pada tiga teras utama iaitu teras akidah, akal dan mental, teras jiwa dan teras fizikal.  Kualiti dalam ibadah Ramadan dapat menggilap dan mengasah kembali fitrah manusia kembali suci dan putih-bersih dan peningkatan takwa.

Daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anhu: “Adalah Rasulullah SAW memberi khabar gembira kepada para sahabatnya dengan bersabda, "Telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kepadamu puasa di dalamnya; pada bulan ini pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat; juga terdapat pada bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barang siapa tidak memperolehi kebaikannya maka dia tidak memperoleh apa-apa'." (Ahmad dan An-Nasa'i) Dalam hadis yang lain daripada Ubadah bin Al-Samit bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan keberkatan, AIlah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik daripada dirimu kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah di bulan ini." (Al-Tabrani)

Akal dan mental dapat diperkasakan dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran dalam bulan Ramadan. Bacalah Al-Quran secara berkualiti. Orang yang membaca al-Qur’an dengan difahami maksud yang dibacanya akan dapat menambahkan dan membuka rahsia kehidupan daripada isi al-Qur’an. Bersungguh-sungguhlah membaca al-Qur'an (tilawah) untuk mendapat sebesar-besar ganjaran daripada Allah s.w.t..

Jiwa kita sentiasa lemah jika tidak dibaja dan dipupuk dengan ibadah, iman dan takwa. Justeru, jiwa mesti dibangunkan dengan menguatkan dan memperkasa iman.  Perbanyakkan ibadah-ibadah sunat dengan memperbagaikan jenis dan bentuknya.  Walaupun jumlahnya sedikit tetapi dilakukan secara istiqamah.  Antaranya solat tarawih, solat tahajjud, solat witir, solat dhuha, solat tasbih, solat taubat dan lain-lain lagi. Lakukanlah qiamullail/solat tarawih dengan berkualiti, bukan kuantitinya. Peliharalah adab-adab solat seperti tama’ninah, bacaan yang teratur dan rukun-rukun solat yang lain. Kerjakanlah puasa sepanjang bulan Ramadhan dengan penuh tekun dan jangan lakukannya sambil lewa. Banyak pahala dapat diraih di bulan Ramadhan. Tentunya sekali pahala yang melimpah ruah ini tidaklah diperolehi hanya dengan menahan diri dengan berlapar dan dahaga sahaja, tetapi hendaklah kita berpuasa juga pendengaran, penglihatan dan tutur kata. Janganlah sia-siakan pahala puasa kita. Seperkara lagi, kita perlukan Mujahadah Al-Nafsi dengan menahan diri iaitu bersabar daripada terjebak dengan dosa dan maksiat.

Di siang hari di bulan Ramadhan, berlapar melalui puasa adalah cara yang terbaik untuk melatih fizikal.  Dalam keadaan keletihan dan kelaparan seseorang itu tetap menjalankan tugas-tugas seharian seperti berniaga, bertani, kerja pejabat, mengajar, kerja buruh dan sebagainya.  Walaupun kekuatan tenaga kurang dari biasa tetapi mereka tetap kuatkan tenaga untuk melaksanakan tugas-tugas tersebut demi kerana Allah dan kemajuan Islam.  Dengan demikian tertolaklah sesetengah pendapat yang menyatakan puasa boleh menurunkan tingkat daya pengeluaran. Sementelahan lagi, orang-orang Islam sering berjaya dalam peperangan yang berlaku dalam bulan Ramadhan.

Kekuatan fizikal yang diperkasakan di bulan Ramadan itu boleh diteruskan di bulan selepas Ramadhan itu untuk terus aktif dan cergas apabila membuat kerja-kerja kebajikan seperti gotong-royong, ziarah, mengajar dan lain-lain khidmat masyarakat. Maka hendaklah semakin banyak menempuh Ramadhan semakin bertambah baik amalan kebajikan dari sebelumnya.  Bila semakin dekat dengan akhirat, maka makin banyak bekalan-bekalan akhirat yang akan dibawa seperti firman Allah yang bermaksud: “Hendaklah kamu menambah bekal. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah sifat taqwa”.

Jangan kita lupa juga untuk bersegera menunaikan sedekah menurut kadar yang termampu kerana bersedekah pada bulan Ramadan itu mempunyai kelebihan dan keistimewaannya. Lakukanlah juga i'tikaf kerana ia merupakan ibadat yang mencakupi kebanyakan amalan taat seperti solat, tilawah, berzikir, berdoa dan lain-lain. Iktikaf itu adalah sangat dituntut pada sepuluh hari yang terakhir. Kalau dapat dan mempunyai kelapangan kerjakanlah umrah pada bulan Ramadan kerana banyak manfaatnya. Jangan lupa mencari malam Lailatulqadar di mana telah diturunkan al-Qur'an. Malam Lailatul Qadar itu adalah pada sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadan, iaitu pada malam yang ganjil bilangannya. Selalulah memperbanyakkan zikir, doa dan istighfar pada waktu-waktu yang mustajab. Jangan pandang enteng kepada amalan-amalan khusus di bulan Ramadan. Amalkan sikap prihatin kepada amalan-amalan khusus di dalam puasa harian seperti waktu berbuka dan bersahur. Jangan lupa melaksanakan kewajiban mengeluarkan zakat. Ramai juga yang mengabaikan hubungan silaturrahim di bulan Ramadan. Ramadanlah merupakan bulan mengeratkan silaturrahim.

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak