Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Friday, February 25, 2011

SIGNIFIKAN IBADAH DALAM ISLAM


SIGNIFIKAN IBADAH DALAM ISLAM
Suara Pusat Islam Universiti Putra Malaysia
10 Disember 2010

Ibadah mempunyai pengertian yang amat luas. Keluasan makna ibadah menunjukkan keunikan Islam sebagai al-Din dan keterangkuman makna al-Din secara komprehensif. Pengertian ibadah ini juga membezakan Islam dengan agama-agama lain kerana perjalanan kehidupan keseluruhannya adalah untuk memperolehi keredhaan Allah. Ibadah juga termasuk dalam maksud tanggungjawab menunaikan hak peribadi, keluarga, masyarakat, negara, sesama insan, makhluk dan alam sekitar. Kesemua aspek ini juga terangkum dalam maksud ibadah.

Ibadah yang ikhlas memberi kesan yang sangat baik kepada diri individu, masyarakat dan negara. Ibadah yang selalu dilakukan dapat mencorakkan kehidupan seseorang Muslim mengikut apa yang dikehendaki Allah s.w.t.. Apabila seseorang Muslim mentaati titah perintah Allah dalam sebarang gerak-gerinya, maka ia akan memperbanyakkan amal soleh yang seterusnya akan menguntungkan diri, agama, masyarakat dan negara. Ibadah dapat menyuburkan dan meningkatkan keimanan seseorang Muslim. Ibadah yang ikhlas dapat membentuk akhlak dan orang yang beribadat itu sentiasa melatih dirinya untuk taat setia kepada perintah Allah di samping mencari keredhaan dalam semua bidang kehidupan. Ibadah khusus berupa amalan yang menghubungkan secara langsung antara hamba dengan Penciptanya, seperti solat, puasa, mengeluarkan zakat, haji dan lain-lain, manakala ibadat umum berupa amalan yang memberi kebaikan antara sesama manusia seperti berniaga, bertani, berkahwin, bekerja dan lain-lain lagi. Ibadah khusus (khassah ataupun khususiyyah) ditentukan jenis, cara, rukun dan syarat oleh Allah s.w.t.. Ia tidak boleh dipinda-pinda selama-lamanya. Ibadah khusus ini juga bertujuan menampakkan secara nyata konsep ta’abbudiyyah. Ibadah ‘ammah (‘umumiyyah) pula mencakupi segala aspek kehidupan duniawi manusia dengan syarat orang itu Muslim dan Mukmin, apa yang dilakukan tidak bercanggah dengan Islam, mesti diniatkan kerana keredhaan Allah dan untuk memenuhi tuntutan agama dan akhir sekali apabila amalan itu dilakukan, ia mestilah tidak melalaikan tugas ibadah khusus.

Ibadah juga mempunyai klasifikasi yang lain iaitu ibadah badaniyyah (contohnya puasa dan sembahyang), ibadah maliyyah (contohnya zakat, sedekah dan wakaf) dan ibadah badaniyyah-maliyyah (contohnya menunaikan haji). Ada juga ibadah ijabiyyah (iaitu melakukan amalan yang diperintahkan atau amalan terbaik) dan ibadah salbiyyah (iaitu melakukan ibadah dalam bentuk meninggalkan yang dilarang).

Sebenarnya Allah s.w.t. menciptakan manusia di muka bumi ini bertujuan supaya mereka itu beribadah kepadaNya, iaitu tunduk mengabdikan diri (beribadat) kepada Allah semata-mata, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Zariat, ayat 56 yang bermaksud: “Dan tidak aku ciptakan Jin dan manusia melainkan supaya mereka tunduk mengabdikan diri (beribadat) kepada Aku”.

Dalam Islam, akhlak adalah bertitik tolak daripada ibadah seseorang kepada Allah s.w.t. dengan mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w.. Baginda adalah contoh teladan seorang manusia yang mempunyai keperibadian yang terbaik sebagaimana firman Allah dalam surah al-Qalam ayat 4: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang paling mulia”. Saidatina Aisyah r.a., apabila ditanya tentang akhlak Rasulullah s.a.w., beliau berkata: “Adalah akhlak baginda Rasulullah s.a.w. itu ialah al-Quran”.

Oleh itu, pengukur untuk menilai akhlak seseorang sama ada baik atau buruk, perlu dilihat kepada penghayatan seseorang Muslim terhadap kandungan al-Quran secara keseluruhannya. Persoalan akhlak dalam Islam merangkumi akhlak sesama manusia dan makhluk lain. Akhlak sesama manusia termasuk kepada diri sendiri, keluarga, jiran tetangga dan masyarakat. Antara nilai-nilai akhlak yang mesti ada pada seseorang Muslim ialah adil, jujur, semangat ukhuwah, wasatiyyah, musyawarah, tolong-menolong, faham-memahami dan sebagainya. Sementara akhlak terhadap bukan manusia seperti menjauhi perbuatan hasad dengki (yang merosakkan), sentiasa berprasangka baik, bermesra dan adil dalam segala perlakuan seharian.

Ibadah akan membentuk akhlak individu, manakala akhlak adalah asas pembentukan peribadi Muslim. Jika akhlaknya baik, maka peribadi, tingkah laku dan personalitinya akan menjadi menarik dan begitulah sebaliknya. Ibadat solat dapat membentuk peribadi yang syumul. Apabila masuk waktu solat, azan akan berkumandang dan menandakan telah tiba kewajipan umat Islam mengabdikan diri kepada Allah. Di sisi Islam, mengajar umatnya supaya mendisiplinkan diri dengan waktu, waktu mesti dihargai dan ditepati. Sebelum mengerjakan solat pula, umat Islam dibimbing supaya sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan diri. Sebab itulah disyaratkan kepada kita berwuduk (mengambil air sembahyang), dengan membersihkan muka, tangan dan tapak kaki daripada segala najis dan kekotoran. Ibadah solat juga dapat memelihara diri manusia daripada melakukan kemungkaran dan diri akan terkawal daripada kemaksiatan sebagaimana jaminan Allah dengan firmanNya dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud: “Dan dirikanlah sembahyang (dengan tetap), sesungguhnya ia memelihara daripada perbuatan keji dan munkar”. Solat juga dapat mententeramkan jiwa dan fikiran seseorang. Walaupun kita sering berhadapan dengan bermacam-macam pancaroba dan masalah kehidupan saban hari, namun selagi kita menunaikan solat, Allah akan tetap memberikan petunjuk dan hidayahnya sebagaimana firman Allah dalam surah al-Ma’arij ayat 19 hingga 23 yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah, apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut, kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang iaitu orang yang tetap mengerjakan sembahyang”.

Ibadah puasa juga mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Puasa memanifestasikan  kesyukuran di atas semua nikmat dan kurniaan Allah kepada kita. Ibadah puasa melatih jiwa kita supaya bersih daripada sifat-sifat yang mazmumah seperti hasad dengki, tamak haloba, sombong dan takbur. Dengan berpuasa, manusia bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga, tetapi dapat melatih diri melakukan sifat-sifat terpuji seperti tolong-menolong, bersedekah, merendah diri di samping mengerjakan ibadat-ibadat sunat seperti solat tarawih, tahajud dan bertadarus al-Quran.

Zakat pula, selain membersihkan diri daripada sifat bakhil dan kedekut, ia juga dapat membentuk individu yang bersifat pemurah, rajin berusaha dan suka menolong orang yang susah. Firman Allah dalam surah Al-Taubah ayat 105 bermaksud: “Pungutlah zakat dariapda harta mereka supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan diri mereka (daripada akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doa itu menjadi ketenteraman bagi mereka”.

Sebaliknya apabila manusia cuai atau sengaja tidak mahu beribadah kepada Allah s.w.t., sudah tentu ibadah yang disyariatkan itu tidak dapat menjalankan fungsinya untuk menyempurnakan akhlak manusia. Akhirnya manusia sanggup melakukan apa sahaja hingga melampaui batas-batas kemanusiaan dan keagamaan.

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak