Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Wednesday, January 12, 2011

MA’AL HIJRAH MENJANA KEMAJUAN DAN TRANSFORMASI PERUBAHAN, Suara Pusat Islam Universiti, 10 Disember 2010

MA’AL HIJRAH MENJANA KEMAJUAN DAN TRANSFORMASI PERUBAHAN
Suara Pusat Islam Universiti, 10 Disember 2010

Alhamdulillah, pada hari Selasa yang lalu (7 Disember 2010) kita telah melangkah masuk ke dalam tahun baru 1432 hijriah. Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmatnya kita diberi peluang nikmat umur yang panjang, kesihatan yang baik dan kita masih dapat merasakan kebahagiaan di dalam meniti hari kehidupan di dunia ini.  Marilah kita bersyukur ke hadrat Allah sempena kedatangan tahun baru Islam dan menghayati perjuangan Hijrah Rasulallah s.a.w. dan para sahabat r.a.. dengan sebenar-benarnya. Kita bersyukur kepada Allah atas segala nikmatnya dan anugerah kepemimpinan negara yang sentiasa memikirkan cara memajukan dan memakmurkan negara. 

Kita patut mencontohi perjuangan Rasulallah s.a.w. ketika hijrah yang penuh dengan pengorbanan, kesabaran, kecekalan dan kesabaran. Peristiwa Hijrah memberi iktibar kepada kita agar kita meningkatkan motivasi kendiri; hari ini lebih baik daripada kelmarin dan esok lebih baik daripada hari ini. Hijrah memanifestasikan keutuhan iman dan kemantapan jihad (yang tidak menyeleweng) serta kesinambungan risalah Allah di atas muka bumi ini. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah ayat 218 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah untuk menegakkan agama Islam, mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah.  Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Kita perlu mempunyai kualiti dalam mematuhi titah perintah Allah dan menjauhi larangannya. Kita perlu mempunyai ketulusan dan keikhlasan dalam segala perbuatan kita dalam penghayatan hijrah. Marilah kita jadikan tahun ini tahun peningkatan dan penambahbaikan iman, taqwa dan amalan. Firman Allah s.w.t. dalam surah At-Taubah ayat 20 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja dan mereka itu orang-orang yang berjaya.”

Kita sudah acap kali menghadiri ceramah mengenai Hijrah dan setiap kali kita pergi ke majlis ceramah mengenai Hijrah, perkara yang sama diulang-ulang oleh penceramah. Apakah kepentingan Hijrah sehinggakan perlu diperingatkan sentiasa? Sebenarnya peristiwa Hijrah Rasulallah s.a.w. dan para sahabat r.a. menjadi permulaan kalendar untuk orang Islam. Pada zaman Umar Al-Khatab, terlahirlah idea betapa perlunya kalendar untuk umat Islam dalam mengatur kegiatan seharian. Kebiasaannya orang Arab Jahiliyyah menggunakan kalendar tahunan mengikut peristiwa paling penting dalam tahun itu misalnya Tahun Gajah. Maka dipanggil sahabat utk berbincang. Ada yang mencadangkan agar digunakan kalendar Parsi atau Rom (Gregorian). Tetapi para Sahabat r.a. tidak menyenanginya sebab memang mereka sudah terlatih oleh Rasulullah supaya tidak mengikut gaya orang lain. Maka, mereka bersetuju untuk mewujudkan satu kalendar. Timbul pula persoalan lain; bilakah patut bermulanya kaledar Islam? Ada yang mencadangkan tahun Nabi dilantik menjadi Rasulullah sebagai permulaan kalendar Islam. Ada juga yang mencadangkan kalendar Islam bermula dengan tahun kelahiran Nabi. Cadangan ini ditolak kerana ia menyerupai kalendar orang Kristian yang memulakan kalendar mereka dengan kelahiran Nabi Isa. Ada yang mencadangkan kalendar Islam bermula dengan tarikh kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.. Cadangan ini juga ditolak kerana ia merupakan saat kesedihan umat Islam. Akhirnya, mereka bersepakat untuk memulakan kalendar Islam dengan tarikh Hijrah Nabi ke Madinah.

Di Madinah, Nabi membina masjid dan mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Kaum Muhajirin (yang berhijrah) tidak membawa kelengkapan atau barang. Rasulallah s.a.w. mempersaudarakan kedua kaum ini di antara satu sama satu. Persaudaraan ini begitu rapat, sehingga mereka berkongsi harta, pakaian dan sebagainya. Kemudian Piagam Madinah digubal. Piagam Madinah menyenaraikan tiga perkara iaitu hak dan tanggungjawab orang Islam, hak dan tanggung jawab orang bukan Islam dan tanggungjawab bersama. Namun demikian, sebagai umat Islam janganlah kita lalai dan leka dalam kehidupan di dunia semakin tahun berganti usia kita juga semakin bertambah dan semakin dekatlah kita kepada ajal. Dengan itu kita sudah seharusnya semakin matang dan bijak dalam mengisi dan memanfaatkan usia kita dalam kehidupan ini.  Apa pun yang kita lakukan haruslah bertambah lebih baik dari sebelumnya. Sesungguhnya hijrah dapat menguji sejauh mana tahap keimanan dan pengorbanan seseorang individu tersebut terhadap agamanya.  Ini kerana hijrah bukan dapat dilakukan dengan sewenang-wenangnya tetapi memerlukan sifat sabar, sanggup berjihad mengubah kehidupan dan menerima apa jua rintangan dan cubaan yang melanda serta sanggup berkorban apa sahaja, jiwa harta mahu pun keluarga. Inilah dia nilai-nilai keimanan dan pengorbanan yang tinggi yang dimiliki dan diperlihatkan oleh orang-orang Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. sebagai bukti akan kesungguhan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap agama Islam dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap perintah Allah s.w.t.. Sifat seperti inilah yang sepatutnya ada dan diikuti oleh generasi umat Islam hari ini.

Hijrah bukan sahaja terbatas kepada pengertian berpindahnya dari satu tempat atau negeri ke tempat yang lain tetapi juga boleh meliputi kepada makna berpindahnya dari sifat atau perbuatan yang kurang atau tidak baik kepada baik. Hijrah tidak akan terlaksana sepenuhnya tanpa gandingan atau disandarkan kepada iman dan jihad (yang tidak menyeleweng), tidak kira sama ada hijrah pada makna sebenar iaitu berpindah atau pun hijrah hati dan jiwa dari keburukan kepada kebaikan. Malahan dalam Al-Quran sendiri banyak menggandingkan antara kalimah hijrah dengan iman dan jihad yang sebenar.  Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah, ayat 218 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah untuk menegakkan agama Islam, mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah.  Dan ingatlah Allah maha pengampun lagi maha mengasihani.” Dari sini jelas kepada kita bahawa dalam setiap perjuangan terdapat tiga unsur yang saling kait mengait dan memerlukan antara satu sama lain iaitu iman, hijrah dan jihad yang tidak terpesong. Tanpa keimanan yang teguh dan kecintaan seseorang hamba kepada Allah s.w.t. serta semangat jihad sebenar (yang tidak menyeleweng) untuk berjuang dan berkorban apa sahaja, pasti tidak dapat melakukan hijrah sebagaimana yang dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w..

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak