Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Monday, February 14, 2011

Interlok dan Hubungan Etnik

Interlok dan Hubungan Etnik
Suara Pusat Islam Universiti, UPM
4 Februari 2011
Semuanya bermula apabila Kementerian Pelajaran Malaysia menyatakan hasrat untuk menjadikan novel Interlok sebagai teks wajib untuk pelajar Tingkatan Lima pada pengakhir tahun 2010. Karya ini dikritik hebat apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah menimbulkannya kerana dikatakan Interlok adalah novel rasis kerana memuatkan pernyataan “paria” yang merujuk kepada kelompok pendatang India dari kasta bawahan. MIC dikatakan berpendapat bahawa penggunaan kalimah tersebut adalah ofensif bagi masyarakat India Malaysia. Sekumpulan orang India membantah dengan mengatakan bahawa novel tersebut tidak menggambarkan hal sebenar masyarakat India. Datuk Abdullah Hussein, Sasterawan Negara dan penulis novel Interlok memberikan respons yang amat menggembirakan kita. Katanya, istilah “paria” merujuk kepada sistem kasta yang dipraktikkan di India pada waktu itu (awal tahun 1900) dan beliau tidak pernah terniat untuk menyentuh sensitiviti mana-mana kaum atau menyinggung perasaan masyarakat India Malaysia.
Saya telah merujuk Kamus Dewan (Edisi Ketiga: 980) akan makna paria. Ia bermaksud “Orang atau golongan (kasta) yang paling rendah atau hina (dalam agama Hindu)”. Maksud ini juga adalah tidak tepat. Dalam Hinduisme, tiada sistem kekastaan yang diajarkan dan saya difahamkan Mahatma Ghandi juga menolak ajaran ini. Tidaklah diketahui dari mana asal-usul sistem kasta ini. Perkataan “paria” juga biasanya dikaitkan dengan kemunduran dan kemiskinan serta kemelaratan.
Sebagai tanda protes, masyarakat India telah memaparkan aksi yang agak melampau dengan membakar beberapa salinan novel tersebut dan gambar penulisnya dalam satu demonstrasi di Klang, Selangor pada 11 Januari 2011.  Profesor Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia menasihatkan agar masyarakat India melihat pemaparan Interlok dalam konteks istilah tersebut sebagai relevan pada ketika itu dan perlu dihargai oleh masyarakat India pada hari ini. Apa yang penting pada kita sebagai masyarakat berbilang kaum ialah menonjolkan adab dan tidak mengikut emosi dan perasaan. Datuk Abdullah Hussein yang berusia 91 tahun sewajarnya dihormati sebagai Sasterawan Negara. Novel yang ditulis lebih 40 tahun yang lalu semestinya ditanggapi dengan pemikiran yang positif dan dilihat tidak dalam konteks isu perkauman. Jika dilihat dari konteks perkauman, maka perkaumanlah jadinya. Profesor Dr. Ambigapathy Pandian juga melihat dari aspek yang positif. Katanya, isu Interlok telah dimanipulasi sedangkan ia ditulis dengan baik dan tidak menimbulkan sebarang masalah. Untuk makluman semua, Interlok juga mengkritik orang-orang Melayu dan Cina. Kenapa orang Melayu dan Cina tidak melenting?
Orang yang menulis buku Interlok lebih mengetahui maksud ia memaparkan istilah paria. Masakan Datuk Abdullah Hussein ingin bermain dengan isu agama? Orang yang tidak kena-mengena dengan Interlok sewajarnya maklum dengan penjelasan penulis novel tersebut. Akhirnya apabila kerajaan memaklumkan bahawa istilah paria akan diedit daripada novel tersebut, semua orang berasa lega. Ini menunjukkan sikap prihatin kerajaan terhadap isu tersebut yang diselesaikan melalui perbincangan dengan pemimpin masyarakat India. Walau bagaimanapun, jika novel itu masih belum dicetak, ia tidak merugikan mana-mana pihak. Jika ia telah siap dicetak, pasti ada pihak yang kerugian.
Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengambil tindakan yang proaktif dengan membuang kata kiasan “keling karam” dalam Kamus Dewan (Edisi Keempat). Namun demikian, Kamus Dewan (Edisi Pertama, Kedua dan Ketiga) masih mengekalkan kata kiasan “keling karam” yang bermaksud “Orang yang suka membuat bising (ketika bercakap dan bekerja) (hal. 615) dan kata kiasan “keling mabuk todi” yang bermaksud orang yang suka merepet (bercakap yang bukan-bukan) (hal. 615).
Dalam Islam, memberikan gelaran yang buruk atau tidak disukai oleh orang lain adalah haram. Apatah lagi dalam konteks hubungan sesama Muslim dan hubungan dengan bukan Islam. Dalam Al-Quran, surah Al-Hujurat ayat 11, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
Dalam konteks persaudaraan Islam pula, Rasulallah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada menimpa dirinya pada hari Akhirat kelak.

2 comments:

Nia said...

salam dr amini terima kasih atas sharing the knowledge! sangat menghargai!;))

Dr. Amini Amir Abdullah said...

Salam Nia,

Thank you...

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak