“BEKERJA MAJUKAN NEGARA SUATU IBADAH”
Berita Harian, 20 Ogos 2007
AMINI AMIR ABDULLAH (Ph.D)
Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.
Makna nilai ialah sesuatu yang mempunyai harga, kepentingan atau keburukan. Nilai kebiasaannya diletakkan ukuran sama ada positif, negatif ataupun neutral. Makna nilai juga ialah pengukuran sesuatu yang dihajati dan dihargai. Kebiasaannya mencakupi aspek taraf, darjat, kualiti dan mutu. Sesuatu yang mempunyai harga, kepentingan atau keburukan. Nilai akhlak Islam misalnya berasaskan kepada prinsip ajaran kebaikan Islam yang mengandungi nilai-nilai murni, positif dan akhlak.
Kenegaraan dan patriotisme pula berkait rapat dengan semangat tinggi dan sikap prihatin serta pemahaman terhadap sejarah dan hal ehwal perjuangan meninggikan martabat dan mempertahankan kedaulatan dan maruah negara. Ilmu kenegaraan pula lebih menjurus kepada pengajian mengenai Malaysia termasuklah sistem demokrasi berparlimen, kemerdekaan, sejarah awal hingga kontemporari, perbincangan mengenai kepelbagaian masyarakat majmuk, sistem raja berperlembagaan, dasar-dasar dan pentadbiran awam serta rancangan-rancangan pembangunan fizikal, sosial, pendidikan, ekonomi, keagamaan, peranan Malaysia dalam hal ehwal antarabangsa dan seumpamanya. Ilmu kenegaraan penting bagi melahirkan warganegara yang menyedari dan menjalankan tanggungjawab kenegaraan.
Setiap warganegara Malaysia perlu mempunyai nilai patriotisme dan sayangkan negara. Kita perlu mencontohi mereka yang terlibat dalam perjuangan menentang penjajahan dan menuntut kemerdekaan. Islam dijadikan sebagai sandaran menentang penjajahan dan perlindungan diri daripada cabaran-caran luaran dan ancaman-ancaman dominasi dan penjajahan pihak Barat. Dasar-dasar pendidikan penjajah yang melahirkan ketidakseimbangan ekonomi di kalangan masyarakat berbilang kaum dan yang lebih khusus memundurkan bangsa Melayu telah dicanai semula bagi mewujudkan kesedaran tentang kepentingan duniawi dan prinsip keseimbangan kehidupan bahkan pembangunan fizikal yang lebih seimbang antara bandar-desa, wilayah dan juga negeri. Justeru, kemajuan ekonomi tidak hanya dinikmati oleh satu kaum sahaja atau bersifat kewilayahan semata-mata.
Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen dengan raja berpelembagaan. Kemerdekaan negara kita telah dicapai melalui semangat taat setia dan perasaan cintakan tanah air (negara) yang tinggi dengan kaedah perundingan yang bijaksana. Malaysia telah dijajah lebih daripada 400 tahun oleh Portugis (1511-1641), Belanda (1641-1821) dan Inggeris (1824) serta Jepun (1942-1945) dan Siam. Sepanjang tempoh itu, rakyat negara ini bangkit menentang penjajahan melalui berbagai cara untuk mempertahankan maruah negara dan harga diri. Kemerdekaan pula dicapai melalui perundingan yang penuh bijaksana. Inilah nilai-nilai yang sepatutnya menjadi warisan kita.
Apabila pihak Inggeris kembali ke Tanah Melayu pada bulan September 1945, mereka telah memperkenalkan Pentadbiran Tentera British (BMA) dan seterusnya Kesatuan Malaya (Malayan Union). Penentangan terhadap Malayan Union dilakukan kerana dasarnya yang merugikan orang Melayu. Orang-orang Melayu telah bangkit menentang sistem pentadbiran Kesatuan Malaya (Malayan Union) kerana beberapa sebab, iaitu:
1. Ia menggugat kedaulatan raja-raja Melayu.
2. Menggugat hak keistimewaan orang Melayu sebagai pribumi utama.
3. British telah membenarkan pemberian hak kewarganegaraan yang tiada batasan kepada etnik bukan Melayu.
4. Di samping sikap dan kaedah yang digunakan oleh Harold MacMichael yang berunsur pemerasan dan ugutan dalam usaha mendominasikan kuasa pihak British.
Nilai patriotisme juga mencakupi rakyat yang mempunyai etika kerja yang tinggi demi negara, agama dan bangsa. Etika kerja ialah cara, kaedah, peraturan, petunjuk dan panduan perlakuan, adab dan sikap yang menjadi ikutan dan panduan setiap wargakerja berlandaskan nilai-nilai murni, moral, etika dan akhlak yang mulia. Apa yang penting sebagai warganegara Malaysia ialah sumbangan kita secara berterusan demi pembangunan diri, keluarga, komuniti, masyarakat, agama dan negara.
Sebagai pekerja, kita perlu membetulkan niat, tekad dan harapan. Tujuan bekerja dengan niat yang murni dan kerana Allah boleh menjadi ibadah. Sebagai contoh meniatkan bahawa kerja adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. dan mencari nafkah hidup bagi menyara diri, ibubapa, keluarga dan sebagainya adalah merupakan ibadah. Bekerja adalah tuntutan agama kerana Islam menuntut mencari rezeki. Bekerja adalah amanah Allah dan pekerja perlu memikul tanggungjawab yang diberikan oleh majikan selagi mana tidak bertentangan dengan wahyu. Setiap profesion yang halal akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah s.w.t. sepertimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: ”Barangsiapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah.” (Riwayat Al-Bukhari) Islam tidak membebankan umatnya dengan bekerja di luar keupayaan menanggung bebanan kerja atau di luar kemampuan seseorang. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya”. (Al-Baqarah : 286) Allah menyukai apabila orang yang melakukan sesuatu kerja, ia melakukannya dengan tekun dan bersungguh-sungguh serta berkualiti (itqan). Kerja biarlah bermakna kepada semua. Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : ‘Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaat bagi sesama manusia’. (Riwayat Al-Quda’) Bekerja adalah amanah dan penunaian amanah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya”. (An-Nisa’: 58)
Pelaksanaan Ikrar Aku Janji, Ikrar Integriti Perkhidmatan Awam, Ikrar Perkhidmatan Awam dan Ikrar Kualiti adalah janji kepada majikan juga. Sebagai pekerja, kita perlu mempunyai tingkahlaku, sikap, cara bekerja dan perangai yang baik, kesempurnaan tugas (yang terbaik), sentiasa memperbaiki kelemahan dan kepincangan, menepati spesifikasi kerja, memenuhi kepuasan pelanggan dan masa, meninggikan imej organisasi, mengutamakan kualiti, mementingkan hasil dan produktiviti mengikut matlamat organisasi, memelihara penampilan diri, menjaga ketrampilan diri, tingkahlaku, layanan dan pertuturan terbaik serta menggerakkan segala potensi yang ada ke arah terbaik.
Pekerja yang baik juga ialah mereka yang mempunyai kreativiti, bersikap positif dan dinamik, cemerlang, pendorong dan menjadi sumber inspirasi kepada yang lain, bermotivasi, berdaya saing, ketelitian, kecermatan, berhemah, berjimat, meminimumkan kesilapan, ketepatan, menunaikan tanggungjawab, janji dan amanah, berdisiplin, bersopan santun dan beradab. Bukankah semua ini menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara? Inilah juga ciri dan sifat yang mesti dimiliki dan diamalkan oleh rakyat yang berjiwa patriotik.
Pekerja yang baik ialah mereka yang mengamalkan nilai-nilai positif pekerjaan seperti amanah, bertanggungjawab, tidak cuai, tidak menyalahgunakan kuasa, berintegriti, telus, jujur, setia, bersedia, berdisiplin, pengurusan dan penggunaan masa yang berkesan, menambahkan keyakinan orang lain, melaporkan kesalahan dan pelanggaran undang-undang, benar, murni niat, menepati janji, rendah diri, suka menolong, berkhidmat dalam sebarang keadaan, menerima arahan/tugas/kerja dengan hati terbuka dan ceria, belajar, belajar daripada kesilapan, belajar daripada yang pakar, berkongsi pengalaman, tolong menolong, bertoleransi, mengamalkan kerjasama berpasukan, menggunakan akal dan kebijaksanaan bukannya emosi, tidak mengambil jalan mudah, profesional, berfikir dan menimbang-nimbang, mementingkan mutu, mendalami ilmu dan kepakaran, mensyukuri Allah dan berterimakasih kepada manusia, memuji yang baik dan menegur kesalahan, menghargai orang lain, kesabaran, ketenangan, keyakinan, tidak berputus asa, menerima hakikat, rajin dan positif (tidak bosan), berkorban, berdedikasi, berakhlak, ceria, riang (mengelakkan rungutan), cergas, kepantasan, suci hati, ikhlas, menghormati, baik layanan, bersedia mengkritik diri dan menerima teguran, menyayangi, bertimbang rasa, menerima tugas sukar, mesra tugas dan mesra pelanggan dan akhirnya bermuhasabah.
(987 patah perkataan)
Rujukan
Amini Amir Abdullah (1990), Konsep Akhlak Islamiah Menurut Imam Al-Ghazali, Tesis B. Usuluddin, Fakulti Usuluddin, Akademi Islam, Universiti Malaya (belum terbit).
Amini Amir Abdullah (1994), Pemikiran Islam: Peranan Tokoh-tokoh Islah dan Cabaran Aliran-aliran Pemikiran Semasa, Tesis M.A., Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (belum terbit).