Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Thursday, January 7, 2010

Nilai Integriti dan Akauntabiliti


Nilai Integriti dan Akauntabiliti[1]
Dr. Amini Amir Bin Abdullah

Fakulti Ekologi Manusia

Universiti Putra Malaysia


Selain daripada akhlak, satu lagi konsep penting dalam Islam ialah amanah atau lebih dikenali sekarang ini sebagai integriti. Integriti berasal daripada kalimah “integer” yang bermaksud kesempurnaan dan keseluruhan. Dari segi istilah, integriti ialah nilai pegangan, maruah, etika baik dalam melaksanakan sesuatu yang sahih dan benar. Ia juga berkait rapat dengan kejujuran, kebolehpercayaan, keadilan, kawalan diri, nilai moral positif, kekuatan aqidah dan spirituil.
Akauntabiliti mempunyai kaitan dengan integriti. Ia adalah satu konsep dalam etika yang mempunyai beberapa maksud. Ia selalunya digunakan sinonim dengan konsep kebertanggungjawaban, tanggungjawab, kebolehpersalahan, lialibiliti, dan terma-terma lain. Ia boleh dikaitkan dengan ekspektasi seperti penyerahan tugas tertentu yang diamanahkan yang mesti ditunaikan. Ia juga berkait rapat dengan tanggungjawab individu atau organisasi dalam pelaksanaan fungsi-fungsi tertentu.
Pelan Integriti Nasional (PIN) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 23 April 2004. Ia bertujuan melahirkan masyarakat berintegriti tinggi, amanah dan beretika. Komitmen Islam kepada urus tadbir terbaik yang adil dan berakauntabiliti adalah bukti kepada contoh-contoh itu. Kita perlu mengambil berat dan komited kepada agenda memantapkan integriti dan memerangi rasuah pada semua peringkat. Kuasa politik boleh digunakan untuk memerangi peluang-peluang rasuah dan penerapan etika dan integriti dalam masyarakat. Penguatkuasaan undang-undang anti korupsi, menutup peluang-peluang rasuah dan membudayakan etika dan integriti dalam masyarakat mestilah dijalankan bersekali dengan etika perniagaan jika kita ingin melihat masyarakat dan negara yang bebas rasuah.
Kerajaan telah menekankan amalan etika yang baik dan integriti. Antaranya: Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam Dalam Pentadbiran (1983), Pendekatan Islam Hadhari (2002), Rancangan Malaysia Kesembilan RMK9 (2006-2010), Kempen Nilai-nilai Murni dan Budi Bahasa (2008), Pelan Integriti Nasional (PIN) (2008). Penubuhan Institut Integriti Malaysia, Ikrar Aku Janji, Ikrar Integriti Perkhidmatan Awam, Wawasan 2020, Ikrar Perkhidmatan Awam, Ikrar Kualiti, Piagam Pelanggan Perkhidmatan Awam dan lain-lain lagi
Dalam “Tekad 2008” kerajaan telah mensasarkan usaha-usaha berikut dalam peningkatan integriti kakitangan awam iaitu “mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara berkesan, meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi kerenah birokrasi, meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan, memantapkan institusi keluarga, meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat”.[2]
Rancangan Malaysia ke-9 yang diumumkan oleh kerajaan mempunyai berbagai matlamat dan sasaran. Di antara tumpuan yang diberikan juga ialah kepada pembangunan dan kemantapan modal insan. Kerajaan dijangka akan terus menumpukan perhatian kepada kemajuan modal insan dan keutamaan kepada rakyat dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10). Modal insan merupakan satu elemen penting dalam sesebuah tamadun dan pembangunan negara. Kekuatan pengetahuan, ekonomi dan kemahiran merupakan salah satu asas penting dalam kecemerlangan negara. Modal insan merupakan penggerak kepada kemajuan masyarakat dan agama.
Akauntabiliti
Ia adalah satu konsep dalam etika yang mempunyai beberapa maksud. Ia selalunya digunakan sinonim dengan konsep kebertanggungjawaban, tanggungjawab, kebolehpersalahan, lialibiliti, dan terma-terma lain. Ia boleh dikaitkan dengan ekspektasi seperti penyerahan tugas tertentu yang diamanahkan yang mesti ditunaikan. Ia juga berkait rapat dengan tanggungjawab individu atau organisasi dalam pelaksanaan fungsi-fungsi tertentu.
Pengukuhan akauntabiliti boleh dilakukan melalui usaha untuk mengawal hawa dan nafsu serakah materialistik dan eksplisit. meminggirkan budaya hedonisme, menyucikan hati agar menjadi bersih daripada sebarang noda dan daki, bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa yang sejati, mempunyai sifat ihsan dan jatidiri, serta memantapkan aqidah Ilahi dan akhlak terpuji, sayangkan negara, tinggi semangat patriotik dan menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara agar lebih cemerlang, gemilang lagi terbilang.
[1] Bahagian ini adalah sebahagian daripada ceramah penulis bertajuk “Integriti dan Akauntabiliti”, Kursus Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Valley Resort, Tanjung Keling, Melaka, 13 Februari 2008, 9.00 – 11.00 malam.

[2] Kerajaan Malaysia, “TEKAD 2008”.

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak