Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Thursday, January 7, 2010

Etika dan Krisis Ekonomi Global


Krisis Ekonomi Global: Signifikan Etika[1]

Kerajaan telah menambah sejumlah RM60 billion untuk merangsang ekonomi negara bagi menghadapi krisis kewangan global. Perkara ini amat-amatlah kita alu-alukan. Ramai orang berhujah bahawa krisis kewangan global berpunca daripada kelemahan sistem ekonomi kapitalis. Sistem ekonomi kapitalis yang mementingkan material semata-mata boleh membawa padah kepada umat manusia. Negara-negara di dunia terlalu bergantung kepada sistem ini hinggakan sebarang malapetaka cepat merebak dan terkesan kerana kesalingbergantungan yang telah terbina dalam sistem itu sendiri.
Profesor Joseph Stiglitz sendiri telah menyatakan bahawa sebarang respons kepada penyelesaian masalah dan krisis kewangan global mestilah berdasarkan keadilan sosial dan solidariti yang melangkaui sempadan nasional. Beliau juga menegaskan keperluan untuk meneliti semula peranan pasaran kewangan ekonomi yang sebenarnya merupakan satu wasilah untuk pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran untuk semua masyarakat dunia termasuklah masyarakat awam dan orang-orang miskin. Di sinilah juga terletaknya prinsip etika dalam ekonomi Islam yang telah diletakkan asasnya oleh Islam sejak 1430 tahun yang lalu![2]
Islam tidak sahaja memberi kebebasan dalam bidang-bidang ekonomi tetapi ia juga memberi perlindungan terhadap apa yang telah diperolehi. Nilai-nilai akhlak dan sifat-sifat terpuji menjadi asas pengisian prinsip kebebasan. Segala amalan ekonomi yang bertentangan syariah Islamiah dianggap menyalahgunakan pengertian kebebasan. Oleh itu, amalan ekonomi tidak boleh menyalahi peraturan syariah Islam. Cara dan kaedah memperolehi harta dan aktiviti dalam sistem ekonomi haruslah dengan jalan halal (bukan dengan melakukan amalan riba, perlanggaran integriti, penipuan, penindasan, rasuah, penyalahgunaan kuasa, eksploitasi dan cara-cara lain yang bertentangan dengan Islam).

Sama ada syarikat swasta ataupun persendirian, maka hendaklah dikeluarkan zakat atau cukainya untuk sumbangan ke jalan Allah s.w.t. (seperti sedekah, pembinaan sekolah dan sebagainya). Begitu juga dalam agihan milik swasta hendaklah dielakkan hal-hal yang boleh mengakibatkan perluasan jurang pendapatan dan membahayakan orang lain atau alam sekitar. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Nisa’ ayat 29: yang bermaksud: ”Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi, dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.”

Krisis ekonomi global adalah satu ujian bagi umat Islam daripada Allah s.w.t.. Umat Islam harus berusaha demi untuk kesejahteraan hidup keduniaan agar tidak ketinggalan dalam era mengejar kemajuan di dunia. Adakah kita pasrah kepada takdir ataupun berusaha untuk keluar daripada krisis ekonomi global ini? Dalam al-Quran dijelaskan, yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman” sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan). Demi sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuinya tentang orang-orang yang berdusta.” (Surah Al-Ankabut: ayat 2-3)
[1] Perbahasan ini telah diperjelaskan sejak bulan April 2009. Lihat Amini Amir Abdullah, “Krisis Ekonomi Global: Apa Peranan Kita?”, Suara Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia, 17 April 2009.
[2] Lihat Amini Amir Bin Abdullah, “Ekonomi Islam” dalam A. F. Morad dan A. T. Talib (eds.), Tamadun Islam, Serdang, Selangor: Universiti Putra Malaysia, pp. 64-86.

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak