Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Thursday, January 7, 2010

Campurtangan Kerajaan Dalam Krisis Ekonomi


Campur tangan Kerajaan Dalam Krisis Ekonomi[1]
Dr. Amini Amir Abdullah
Fakulti Ekologi Manusia
Universiti Putra Malaysia

Pemerintah berhak menetapkan harga barang-barang dan menghalang kenaikan harga yang melampau. Kita perlu memikirkan bagaimana untuk menyelamatkan diri daripada krisis ekonomi global. Impak krisis ekonomi global pada penghujung tahun 2008 melibatkan penyingkiran pekerja-pekerja dari tempat kerja. Kerajaan berjaya menanganinya dengan baik. Alhamdulillah kenaikan harga minyak ditangani dengan baik oleh kerajaan walaupun ramai yang tidak berterima kasih dengan 7 kali penurunan harga minyak ke paras minima. Penumpuan mesti diberikan kepada pelaburan tabungan bernilai tinggi dan tabungan ekuiti berjangka masa panjang. Penjanaan pendapatan daripada eksport dan pelancongan boleh memberikan impak positif kepada ekonomi negara. Perbelanjaan berhemah dalam semua sektor dan di kalangan rakyat akan dapat membantu kerajaan memperkukuhkan ekonomi negara. Pelaburan segera ke atas projek-projek berpotensi membawa pulangan yang tinggi akan membantu membawa pulangan yang tinggi. Kawalan terhadap inflasi mestilah selalu dipantau. Krisis ekonomi yang berpusatkan Amerika Syarikat diharap tidak menjejaskan perancangan-perancangan pembangunan yang memberi manfaat besar kepada rakyat dan kemakmuran negara. Tahun 2009 memerlukan kita melipatgandakan usaha-usaha penggalakan pelaburan yang lebih ekstensif dan berkesan di kalangan negara-negara maju sebab perdagangan dunia dijangka naik tidak melebihi hanya enam peratus. Isu-isu berkaitan perdagangan dan pelaburan perlu dinilai semula untuk lebih memberikan impak yang tinggi kepada ekonomi negara. Kita juga mesti memastikan bahawa pendekatan per kapita dan gross domestic product (GDP) sentiasa meningkat. Kerajaan juga telah melakukan banyak usaha menstimulasikan ekonomi negara.

Syariah Islamiah mengharuskan konsep campur tangan pihak pemerintah dalam kegiatan-kegiatan ekonomi, sama ada bentuk pengurusan, penyusunan, agihan dan perancangan. Apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang adalah campur tangan kerajaan dalam ekonomi negara untuk melindungi rakyat dan menjamin kestabilan dan keadilan sosial. Pihak kerajaan yang diberi kepercayaan oleh rakyat bertanggungjawab memantapkan ekonomi negara dan rakyat pula memberi kerjasama. Kita mengalu-alukan pengumuman “Kabinet Rakyat” yang diumumkan oleh YAB. Tun Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia ke 6 baru-baru ini. Kita percaya prinsip keadilan sosial merupakan antara agenda kerajaan untuk merealisasikan konsep “Satu Malaysia”. Kita percaya kepada kebijaksanaan kerajaan untuk meletakkan asas yang dinamik dalam menyelesaikan masalah-masalah sosio ekonomi, mengatur strategi menghadapi krisis ekonomi global dan melaksanakan urusan ekonomi yang cemerlang dalam sesebuah masyarakat. Kecemerlangan sistem ekonomi memerlukan sistem penyusunan kegiatan ekonomi yang berteraskan semangat keadilan dan kesaksamaan. Semangat ini memberi ruang kepada semua individu untuk berfungsi secara positif dan optimis. Pengendalian ekonomi dan mekanisme kegiatan ekonomi mestilah merealisasikan prinsip keadilan ekonomi Islam yang berfalsafahkan tauhid dan bukannya material ataupun manusiawi. Semua jentera kerajaan seperti EPU, MAMPU dan institusi berkaitan ekonomi diharap bergerak pantas menyelesaikan semua masalah yang timbul.

Kita perlu sentiasa bersyukur kepada Allah agar Allah akan menambahkan rezeki dan keberkatan kepada kita semua. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambahkan kepada kamu dan jika kamu mengingkari nikmatKu, maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.”(Surah Ibrahim: ayat 7) Apa yang pasti, ialah janganlah pula kita abaikan firman Allah yang lain yang menandaskan bahawa Allah akan melimpahkan rezeki dan keberkatan sekiranya kita beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-A’raf ayat 96: “Jikalau sekiranya penduduk-penduduk negeri beriman dan bertaqwa, pasti kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi tetapi mereka mendustakan ayat-ayat kami itu, maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.”

Kita perlu mengambil pengajaran dan kisah teladan yang diceritakan oleh Allah dalam Surah Yusuf (43-50). Raja Mesir telah melihat dalam mimpinya tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Ketua-ketua kaum diminta menerangkan tentang mimpi raja itu tetapi mereka tidak mengetahuinya. Nabi Yusuf a.s mengetahui tentang tafsiran mimpi itu dengan izin Allah seraya berkata: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah ia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)".

Pengajaran daripada kisah ini ialah keperluan berjimat cermat dan berhemah bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan bersedia sepenuhnya menghadapi keadaan gawat dan yang tidak dijangkakan. Kekuatan asas ekonomi dan pertanian negara kita adalah hasil daya kepemimpinan yang baik dan sokongan rakyat jelata. Bersatulah menghadapi sebarang kemungkinan yang tidak diduga. Berjimat cermat adalah etika dan amalan ekonomi yang penting bagi pengguna dan kerajaan menghadapi cabaran masa hadapan.


Kesimpulan

Penghayatan akhlak dalam sistem ekonomi berorientasi Islam amatlah penting dan mestilah disertakan dengan sikap ‘Adl (keadilan) dan Al-Ihsan serta kebajikan sosial dan rakyat. Apa yang penting ialah sistem ekonomi Islam itu dilihat sebagai ibadah dan wahana kemajuan negara. Apa yang kita lakukan dalam aktiviti ekonomi akan dibalas oleh Allah s.w.t.. Justeru, pastikan semua aktiviti ekonomi kita mendapat keberkatan dan keredhaan Allah s.w.t..

[1]Isu ini telah diulas penulis dalam Amini Amir Bin Abdullah, “Menghadapi Krisis Ekonomi Global”, Suara Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia, 6 Februari 2009.

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak