Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Sunday, July 4, 2010


Mendamba Masa Depan Islam
Dr. Amini Amir Abdullah
TRIBUN PUTRA (Akhbar Rasmi Universiti Putra Malaysia), JUN 2010



Saya berpeluang menghadiri Putrajaya Premier Lecture Series oleh Profesor Dr. Ali Al’Amin Mazrui yang bertajuk ”A Muslim Century: Myth or Reality? In Search of Modern Pillars of Wisdom” pada 18 Mei 2010 di Putrajaya International Convention Center. Barangkali beliau dipanggil berceramah kerana beliau adalah benar-benar profesor bereputasi antarabangsa. Beliau adalah Profesor-Albert Schweitzer dalam Kemanusiaan, Binghamton University, State University of New York, Binghamton, New York, Amerika Syarikat. YAB. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak turut meluangkan masa menghadiri syarahan perdana tersebut. Saya tidak ingin mengulas panjang syarahan Profesor Mazrui yang berfokuskan kepada tujuh tunggak kebijaksanaan seperti yang pernah diutarakan oleh T.E. Lawrence dalam bukunya; ”The Seven Pillars of Wisdom” yang pertama kali diterbitkan dalam tahun 1926. Ini adalah kerana nota edaran telah diberikan kepada semua hadirin sejurus beliau selesai memberikan ceramahnya. Apa yang ingin saya ketengahkan di sini ialah soalan-soalan dalam sesi soal-jawab yang tidak tercatat dalam mana-mana edaran.

Antara beberapa persoalan yang diketengahkan oleh khalayak pendengar ialah mengenai sumbangan Muslim kepada tamadun dunia, pertembungan peradaban dan kebangkitan China, dialog antara agama, imej teroris umat Islam, kolonialisme, kelebihan Barrack Obama, sikap tidak toleran Eropah, jangkamasa penguasaan umat Islam terhadap dunia dan satu soalan berbentuk peribadi iaitu; kalau anda mempunyai umur panjang sampai ke penghujung abad ini, apakah yang akan anda lakukan? Menurut Profesor Mazrui, lima bidang utama yang boleh disumbangkan oleh umat Islam ialah pendayaupayaan wanita, dialog dan kerjasama antara agama, keadilan sosial, kesejahteraan ekonomi dan pemahaman tentang aspek aksiologi yang sebenar.

Pada dasarnya kita bersetuju dengan pandangan Profesor Mazrui ini. Namun demikian, nilai dalam Islam seringkali bertembung dengan nilai-nilai Barat yang tidak konsisten dan kadangkala double standard. Sekadar beberapa contoh, apabila Barat memperkatakan soal kesaksamaan hak asasi manusia, merekalah yang paling tidak berhati perut dan merendahkan maruah manusia. Lihat sahaja justifikasi penyerangan Amerika Syarikat terhadap Iraq dan apa yang berlaku di Kem Tahanan Teluk Guantanamo. Menurut Profesor Mazrui, negara Islam telah memberikan tempat yang sewajarnya untuk wanita menjadi perdana menteri seperti di Pakistan, India dan Indonesia. Maka, wanita diletakkan pada martabat yang tinggi dalam Islam. Walau bagaimanapun beliau mengkritik para suami dalam dunia Islam yang kurang menghormati isteri berbanding suami di Barat. Namun demikian, para anak di dunia Islam lebih menghormati ibu bapa berbanding dengan Barat.

Beliau turut memberikan contoh-contoh orang Islam yang memerlukan dialog dan kerjasama antara agama; di Kashmir orang Islam berperang dengan orang Hindu, di selatan Nigeria orang Islam berperang dengan orang Kristian dan di Palestin, orang Islam berperang dengan orang Yahudi. Di Malaysia katanya, orang Islam mempertahankan doktrin teologi yang paling penting iaitu kalimah ”Allah”. Saya akui dialog keamanan dan kerjasama agama penting, namun demikian, berilah juga perhatian kepada apa yang berlaku kepada orang Islam di Palestin dan Semenanjung Gaza. Walaupun insiden 11 September 2001 telah hampir sedekad berlalu, ia masih lagi dibicarakan oleh sarjana-sarjana Islam. Isu ini juga tidak ketinggalan diperkatakan oleh Profesor Mazrui. Beliau sendiri menjadi mangsa Islamophobia di mana beliau ditahan oleh polis preman bersenjata selama beberapa jam di lapangan terbang sebelum ke New York dan beliau ditanya beberapa soalan seperti pengertian-pengertian jihad dan soalan sama ada beliau bermazhab Sunni ataupun Syiah. Selepas mereka mengetahui siapa sebenarnya Profesor Mazrui, mereka melayaninya dengan baik dan melepaskannya serta akhirnya beliau diberikan tiket kapal terbang baharu dan duit sebanyak USD25 (sahaja) sebagai pampasan. Beliau menjawab satu persoalan besar iaitu kenapa orang menjadi pengganas. Katanya, ini adalah kerana kebencian dan “panas hati” terhadap kebongkakan Israel dan polisi dasar luar Amerika Syarikat. Perkara ini juga telah saya nyatakan dalam kuliah-kuliah saya sejak penghujung tahun 2001. Beliau menceritakan juga satu kejadian ketika majlis pengebumian anggota polis berkulit putih yang dihadiri oleh ramai anggota polis yang lain. Majlis di tanah perkuburan itu telah dibom oleh pengganas kulit putih yang mengorbankan banyak nyawa. Tetapi tidak pula media Barat menggambarkan orang kulit putih sebagai pengganas!

Mengenai keadilan sosial pula, beliau berpendapat bahawa sudah sampai masanya untuk mengurangkan ketidakadilan ekonomi. Namun demikian, beliau tidak secara langsung mengkritik sistem ekonomi kapitalis yang bobrok walaupun beliau menghentam hebat amalan riba dan pengeksploitasian ekonomi. Beliau sangat menyanjungi Barrack Obama. Katanya, Obama adalah orang kulit hitam yang paling berkuasa dalam tamadun manusia dan ini adalah satu ”pampasan” kepada orang kulit hitam kerana orang Barat telah berkurun lamanya menjadikan orang-orang Afrika sebagai hamba abdi. Ini barangkali boleh dikaitkan dengan idea keadilan sosial yang diketengahkan oleh beliau yang ingin melihat kesamarataan layanan terhadap manusia. Profesor Mazrui juga tersilap menggunakan frasa ”Tuntutlah ilmu walau sampai ke negara China” sebagai hadis Nabi sedangkan ianya bukan Hadis. Apa yang ingin diperkatakan oleh Profesor Mazrui ialah interaksi dan integrasi antara Islam dengan tamadun Cina dalam pertembungan tamadun. Apa yang menarik ialah beliau seperti meramalkan bahawa abad ini adalah milik orang-orang Islam dengan syarat ia diperkukuhkan dengan budaya kesarjanaan. Bahkan penguasaan itu boleh dipercepatkan dengan wujudnya budaya kesarjanaan yang tinggi dan pembudayaan ilmu. Beliau tidak menyebut Malaysia secara langsung, tetapi beliau memperkatakan mengenai orang-orang Yahudi (disebut olehnya sebagai Zionist scholars) yang diambil oleh White House untuk berkhidmat. Bagi mereka yang berkhidmat secara tenureship di Amerika, berhati-hatilah kerana khidmat anda akan ditamatkan sekiranya anda mengkritik Israel dan orang Yahudi secara terbuka. Beliau juga mengatakan bahawa Iran berada di dalam senarai teratas jika Amerika ingin menyerang mana-mana negara kerana kritikannya yang pedas terhadap Israel dan sekutu-sekutunya. Eropah pula dikatakan sering mengikut telunjuk Amerika dalam politik antarabangsa. Pihak Eropah juga dikatakan kurang toleran berbanding dengan Amerika dalam isu kontemporari seperti isu burqa (kerudung) dan pengharaman pembinaan menara masjid seperti yang berlaku di Switzerland.

Begitu juga beliau memberikan contoh bagaimana ahli akademik boleh menjadi politikus yang berkesan. Saya percaya harapan beliau ini terletak kepada kaedah bagaimana politikus menyelesaikan masalah-masalah sosio-ekonomi rakyat jelata dan membawa kesejahteraan kepada negara berasaskan kepada teori dan praktikal ilmu yang diajarkan di universiti masing-masing. Saya sebenarnya menantikan komen beliau mengenai potensi peperangan nuklear, isu-isu dalam Dunia Ketiga, hegemoni Barat, cabaran globalisasi, hubungan skeptik Muslim-bukan-Muslim, penularan wabak HIV-AIDS dan kaitannya dengan politik, isu-isu hak asasi manusia, isu alam sekitar yang lebih tuntas penyelesaiannya dan isu political-economy kerana beliau mempunyai latarbelakang bidang sains politik. Kita nantikan di masa hadapan jika umurnya panjang lagi, insyaallah. (943 patah perkataan)

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak