Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Sunday, July 4, 2010

Asal Usul dan Penubuhan Jemaah Islamiah (JI)
Dr. Amini Amir Abdullah
2 Mei 2010 

JI mempunyai hubungan dengan salah sebuah pertubuhan radikal di Indonesia iaitu Darul Islam. Darul Islam pernah melakukan pemberontakan pada tahun 1947 diketuai oleh S.M. Kartosuwirjo yang menolak apa yang dikatakan sebagai negara sekular Indonesia dan ideologi Pancasila dan kemudiannya mengenengahkan negara Islam Indonesia yang berdasarkan kepada undang-undang Syariah pada tahun 1949. Undang-undang Syariah Kartosuwirjo adalah tafsirannya belaka. Sejak daripada itu, Darul Islam telah melancarkan jihad sehingga ke selatan Sulawesi. Akhirnya beliau ditangkap dan dihukum. Selepas itu, Darul Islam berpecah kepada beberapa kelompok dan bergerak sebagai gerakan bawah tanah. Akan tetapi Darul Islam sudah menerapkan ideologi jihadnya dan mengindoktrinasinya kepada kader-kadernya termasuk yang terdekat Abu Bakar Bashir dan Abdullah Sungkar. Kedua-duanya kemudian menubuhkan Sekolah Agama Al-Mukmin di Ngruki, Solo, Jawa Tengah pada tahun 1973 dan dikatakan alumni sekolah ini pula menubuhkan Jemaah Islamiah.

Jemaah Islamiah ataupun jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bermaksud Perkumpulan Islam ditubuhkan di Malaysia pada akhir tahun 80an oleh ekstremis Indonesia yang lari daripada buruan pihak berkuasa Indonesia. (BBC News Online: 10 Mac 2010, Profile: Jemaah Islamiah) Setakat apa yang diketahui, Jemaah Islamiah tidak pernah didaftarkan dalam mana-mana pertubuhan dalam negara di Asia Tenggara. Namun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa kemungkinan JI mempenetrasi dan menyusup masuk ke dalam gerakan-gerakan Islam dan pertubuhan-pertubuhan NGO memang wujud.

Setelah pihak Soviet berundur dari Afghanistan, Osama telah menubuhkan kem latihan ketenteraan yang melatih para rekrut ber”jihad” dari seluruh dunia. Pakistan merupakan negara transit ke Afghanistan kerana kedudukan geografinya yang dekat dengan Afghanistan dan kos yang murah untuk meloloskan diri memasuki Afghanistan. Selepas berakhirnya Perang Teluk pada tahun 1990, pihak Amerika Syarikat telah berjaya mendirikan kem-kem askarnya di Arab Saudi. Pada tahun 1996, Osama telah mengeluarkan fatwa bahawa menghalau musuh kafir terbesar (Amerika) dari dua tanah suci (Al-haramain) sebagai satu kewajipan utama umat Islam. Pada tahun 1998, beliau juga menyeru umat Islam melancarkan jihad terhadap Yahudi dan sekutu Salibiyyah. Osama berjaya meneruskan kesinambungan perjuangannya dari Afghanistan merentasi sempadan ke Arab Saudi dan akhirnya seruannya sampai kepada umat Islam seluruh dunia.

Sebab utama penubuhan JI ialah untuk menentang mereka yang menzalimi orang-orang Islam. Jika ditelesuri penjajahan Soviet Union di Afghanistan, ramai umat Islam dari hampir seluruh dunia pergi ke Afghanistan untuk menentang apa yang dikatakan sebagai ”penjajahan kuffar”. Mereka dilatih oleh gerila-gerila Mujahidin dan Taliban dalam conventional warfare dengan begitu ekstensif termasuklah latihan senjata, kawad dan pembuatan bom. Penjajahan Soviet Union ke atas Afghanistan bermula pada tahun 1979 hingga 1989. Benarlah ketika ini perjuangan menentang penjajah adalah jihad. Kekuatan persenjataan Soviet ketika ini memang canggih dan juga mempunyai kekuatan ketenteraan yang amat besar manakala pihak Afghanistan pula adalah sebaliknya. Pihak Soviet mempunyai 100,000 tentera yang dihantar ke Afghanistan. Oleh kerana peperangan yang berpanjangan, pihak Mujahidin Afghanistan telah berjaya membina satu organisasi ketenteraan dan dibantu pula dengan bantuan kewangan dan dana daripada pihak Arab Saudi dan Amerika Syarikat. Oleh kerana bersimpati dnegan nasib umat Islam di Afghanistan, ramai yang pergi untuk berjihad di Afghanistan. Pengunduran Soviet dari Afghanistan pada tahun 1989 dan kejatuhan kerajaan Najibullah yang berkiblatkan komunisme pada tahun 1992 memberikan kemenagan kepada Mujahidin dan kemenangan moral dan psikologi kepada umat Islam seluruh dunia. Ini memberikan inspirasi kepada umat Islam yang kurang faham mengenai konsep jihad untuk melaksanakan kaedah dan teknik perjuangan yang terbukti berjaya di Afghanistan untuk menjatuhkan mana-mana kerajaan yang mereka anggap sebagai zalim atau kafir. Pengalaman berjihad di Afghanistan digunakan untuk menubuhkan kumpulan-kumpulan ekstremis dan melancarkan ”jihad” terhadap kerajaan yang didakwa mereka sebagai tidak Islamik atau menubuhkan negara Islam secara kekerasan. (Berry Desker 2003: 492)

Osama bin Laden adalah orang yang bersimpati dengan nasib umat Islam di bawah penaklukan Soviet Union dan menyalurkan dana kepada Mujahidin Afghanistan. Malangnya selepas penaklukan Soviet Union selesai pada tahun 1989, ilmu dan teknik peperangan yang diperolehi di Afghanistan telah disalahguna untuk menyerang sasaran Barat dan kepentingan-kepentingan Barat di seluruh dunia. Ketika inilah tertubuhnya Al-Qaeda. Selepas peristiwa 11 September 2001, kewujudan Al-Qaeda dan kemerbahayaannya menjadi begitu ketara.

Salah satu faktor penting kenapa keganasan terus berlaku ialah sikap dan tindakan Israel dan Zionisme. Semakin Israel dan Zionis bertindak ganas, selama itulah keganasan akan merebak ke seluruh dunia yang terfokus kepada kepentingan-kepentingan Barat dan negara-negara yang bersekutu dengan Israel dan Zionisme. Dalam satu kenyataan bersama antara Presiden Syria dan Venezuela, Basyar Assad dan Hugo Chavez, keduanya telah menyalahkan Israel kerana wujudkan ketidakstabilan politik di Timur Tengah. Kata mereka; apabila diplomasi gagal, penentangan adalah satu penyelesaian dan tugas kita ialah untuk menyokongnya. (”Special Reports: Chavez, Assad Blame Israel For Terrorism”, 28 Jun 2010, http://www.upi.com, dilayari pada tarikh yang sama.) Kita tidak dapat menafikan bahawa negara Asia Tenggara menyahut seruan Amerika untuk melancarkan ”peperangan” terhadap keganasan. Presiden Arroyo menerima bantuan Amerika Syarikat untuk memerangi MILF dan kumpulan Abu Sayyaf di Selatan Filipina. Kumpulan Militan Malaysia yang ditangkap dan dihukum ketika zaman Tun Dr. Mahathir telah membersihkan imej Malaysia di mata dunia sebagai salah satu daripada negara transit pengganas. Thailand pula lebih menumpukan kepada masalah dalaman negara walaupun mereka amat tidak senang hati dengan PULO. Singapura melakukan tindakan pencegahan yang begitu ketat dan berjaya menangkap beberapa individu yang mempunyai kaitan rapat dengan al-Qaeda termasuklah barisan pemimpin JI. Indonesia nampaknya sangat-sangat terkesan dengan keganasan JI kerana keluasan negaranya dan keadaan geografi yang menyukarkan usaha pemantauan dan tindakan pencegahan.

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak