Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Monday, July 12, 2010

Benarkah Sahifah Madinah Merupakan Perlembagaan Bertulis Yang Pertama Di Dunia? Satu Analisis Melalui Rujukan Kepada Buku “Sahifah Madinah: The First Written Constitution In The World” Karya Profesor Hamidullah

Amini Amir Abdullah (Ph.D)
Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan
Fakulti Ekologi Manusia
Universiti Putra Malaysia


Pendahuluan

Kertas ini membincangkan tentang satu persoalan dasar dalam karya Profesor Hamidullah,”Sahifah Madinah: The First Written Constitution In The World”, iaitu mengenai kebenaran hujahnya bahawa Sahifah Madinah adalah merupakan perlembagaan bertulis yang pertama di dunia. Beliau mendakwa, bahawa beliau tidak dapat menemui sebarang contoh perlembagaan negara yang berbeza daripada undang-undang biasa dalam bentuk tulisan sebelum zaman Rasulallah s.a.w.. Beliau berhujah bahawa tidak ada satupun daripada klasik masa lampau dalam tamadun-tamadun agung manusia menyamai tahap sebagai perlembagaan negara yang bersifat otoritatif yang digubal oleh pihak pemerintah yang berdaulat. Satu ciri asas bagi perlembagaan yang berotoritatif ialah ia digunapakai dalam sebuah negara berdaulat dan digubal oleh pemerintah yang berdaulat. Kertas ini akan membincangkan perkara ini dengan menelurusi sirah Rasulallah s.a.w. dan melihat semula fakta-fakta sejarah yang berkaitan dengannya.

Sahifah Madinah Sebagai Satu Dokumen Dan Perlembagaan Bertulis

Bangsa-bangsa bertamadun mempunyai undang-undang dan peraturan. Ia dianggap sebagai undang-undang negara atau bangsa itu untuk kerajaan dan rakyat bagi menegakkan keadilan. Undang-undang itu kebiasaannya dipanggil perlembagaan.

Rasulallah s.a.w. telah menyediakan satu dokumen (dengan bantuan para sahabatnya) membincangkan hak-hak dan kewajipan pemerintah, rakyat yang dipimpin oleh baginda dan keperluan-keperluan penting yang lain (termasuklah jaminan sosial orang-orang yang memerlukan) pada tahun 1 Hijriyyah, iaitu tahun pertama hijrah Rasulallah s.a.w. ke Madinah.

Dokumen tersebut sampai kepada kita kerana jasa dan sumbangan Ibn Ishaq dan Abu ‘Ubaid yang telah menulis semula keseluruhan dokumen ini, perkataan demi perkataan dalam karya masing-masing yang akhirnya telah dianalisa dan diteliti oleh Profesor Hamidullah.

Dokumen ini mengandungi 52 bahagian (seperti yang dijelaskan oleh Hamidullah) dan ia merupakan satu contoh bahasa perundangan dan cara penulisan dokumen perlembagaan zaman itu yang sungguh tidak ternilai. Orang-orang Kristian Eropah lebih memberi perhatian kepada kepentingan dokumen ini berbanding para sejarawan Muslim seperti Wellhausen, Mueller, Grimme, Sprenger, Wensinck, Caetani dan Buhl.

Dalam Perjanjian 'Aqabah, baginda Rasulallah s.a.w. telah melantik 12 Muslim untuk mewakili baginda dalam 12 qabilah. Baginda telah mengwujudkan seorang ketua dalam setiap qabilah (yang dipanggil Naqib) dan satu Naqib daripada kalangan Naqib-naqib. Ini adalah satu kepintaran baginda untuk mengwujudkan pemusatan kuasa.

Setiap qabilah mempunyai kedaulatan masing-masing yang bebas dan menentukan sendiri hal-ehwal masing-masing di dalam jabatan (saqifah) mereka sendiri, dan tiada pusat organisasi majlis daerah (central municipal organisation) di dalam bandar itu. Dengan usaha para pendakwah terlatih, sejumlah bilangan orang di dalam bandar itu telah memeluk Islam dalam jangkamasa tiga tahun. Tetapi agama masih lagi berbentuk urusan domestik dan tidak mencapai sebarang status politik. Orang-orang yang berlainan agama masih tinggal dalam rumah yang sama.

Semasa Rasulallah berhijrah ke Madinah baginda menghadapi masalah-masalah seperti penentuan hak-hak dan kewajipan-kewajipannya sendiri dan penduduk-penduduk tempatan Madinah, penyediaan tempat perlindungan untuk orang-orang Muhajirin, mengwujudkan persefahaman antara orang Islam dengan orang bukan Islam di Madinah khususnya orang-orang Yahudi yang merupakan majoriti, mengwujudkan organisasi politik dan pertahanan ketenteraan di Madinah oleh kerana kewujudan pola baru demografi berbanding dengan sebelumnya dan bayaran pampasan bagi pelarian-pelarian yang mengalami kehilangan jiwa dan hartabenda akibat kekejaman Quraish Mekah.

Berdasarkan matlamat-matlamat ini baginda Rasulallah s.a.w. telah mengwujudkan satu perjanjian yang dirujuk sebagai satu kitab atau sahifah di dalam perjanjian itu sendiri beberapa bulan selepas baginda sampai di Madinah. Perjanjian tersebut nyata telah ditulis selepas baginda berunding dengan mereka yang terbabit dengan perjanjian itu.
Harus diingat bahawa undang-undang umum bagi negara Madinah iaitu surah-surah di dalam al-Quran telah dipindahkan ke dalam bentuk penulisan mengikut ia diperundangkan (diturunkan). Maknanya Al-Quran yang masih dalam proses penurunan juga adalah elemen perundangan bagi negara Islam Madinah terutamanya yang berkaitan dengan hukum hakam dan juga akhlak.

Akan tetapi seandainya ia berdasarkan perkataan dan arahan baginda sendiri, baginda mengambil sikap yang cukup berhati-hati dengan mengeluarkan arahan umum menegah ia daripada ditulis (sekurang-kurangnya di peringkat permulaan). Ini yang dikatakan sebagai Al-Sunnah. Al-Sunnah juga adalah sumber hukum dan perundangan ketika ini walaupun tidak dibukukan.

Arahan Rasulallah ini cukup penting bagi perbincangan tentang penulisan dokumen ini kerana ia adalah sebuah dokumen yang dirujuk sebagai kitab dan sahifah yang membawa maksud kod tindakan atau carta tugas-tugas. Bahkan ia adalah satu deklarasi bagi bandar Madinah sebagai negara-kota buat julung-julung kalinya dan satu langkah awal ke arah satu kod peraturan bagi bandar tersebut. Jadi, Sahifah Madinah adalah satu kod peraturan dan etika yang spesifik yang tidak bertentangan dengan Al-Quran dan Al-Sunnah yang mengikat rakyatnya dalam aspek kenegaraan dan kewarganegaraan.

“Perlembagaan-perlembagaan” Dalam Tamadun Manusia

Perlembagaan ialah satu sistem perundangan asas dan prinsip sesebuah kerajaan ataupun masyarakat atau satu dokumen yang menyatakan tentang perkara ini.

Ur-Nammu (2113-2096 S.M) ketua Negara Ur zaman kuno (dalam tamadun Mesopotamia) telah menggubal kod undang-undang (code of laws) yang pertama di dunia. Zaman Ur-Nammu mencakupi zaman perkembangan tamadun awal manusia iaitu selepas zaman Paleolitik, Neolitik dan zaman Logam.

Hammurabi (1792-1750 S.M.) telah menggubal satu set undang-undang yang lebih lengkap daripada Ur-Nammu kerana ia mencakupi aspek undang-undang jenayah dan sivil. Undang-undang Hammurabi bukanlah satu dokumen bertulis, akan tetapi prinsip undang-undang tersebut yang mencakupi prinsip-prinsip pengaduan, penghukuman, penghakiman dan pembalasan diukir pada satu binaan seperti tiang untuk diuar-uarkan kepada masyarakat awam tentang hak dan kewajipan mereka. Seperkara lagi, konsep hukuman balas sudah kedapatan dalam undang-undang ini. Tulisan undang-undang ini adalah dalam bentuk piktografik iaitu dalam bentuk simbol.

Dinasti Thinite diasaskan oleh Raja Menes (3100 S.M.) dalam tamadun Mesir Kuno. Walaupun tamadun Mesir maju dalam bidang sains dan teknologi dan mempunyai sistem pentadbiran yang baik, tiada satu perlembagaan negara yang komprehensif boleh ditemui. Karya Ptahhotep, salah seorang menteri utama Firaun yang berjudul “The Maxims of Phtahhotep” (terjemahan) bukanlah sebuah perlembagaan tetapi lebih merupakan karya sastera yang berbentuk nasihat.

Dalam tamadun Lembah Sungai Indus (bermula tahun 2500 S.M.), pemerintahnya mempunyai struktur pemerintahan berpusat yang sistematik. Seharusnya mereka mempunyai undang-undang untuk mengawal struktur kelas masyarakat yang kompleks. Apatah lagi mereka mempunyai kecenderungan dalam aspek pemerintahan teokrasi.

Dalam tamadun China, semasa pemerintahan Dinasti Chou (1027 - 256 S.M.), sudah kewujudan undang-undang yang diamalkan dalam sistem feudalnya. Bahkan terdapat berbagai jabatan yang mengawasi pelbagai bidang dalam pentadbiran negara.

Sistem demokrasi dalam tamadun Yunani memungkinkan kewujudan sebuah perlembagaan. Perbincangan yang mendalam tentang soal hak-hak rakyat , kewajipan pemimpin dan warganegara menunjukkan bahawa negara dalam tamadun Yunani semasa pemerintahan Solon (dilantik sebagai Ketua Kehakiman pada tahun 594 S.M.) kemungkinan telah menggubal undang-undang dan perlembagaan yang unik.

Dalam tamadun Rom terdapat satu badan khas yang menilai rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Centuriate Assembly Hall. Undang-undang pertama Rom dikenali sebagai The Twelve Tables (450 S.M.) yang dipaparkan kepada rakyat. Ia terpahat di atas 12 kepingan kayu. Kanun Justinian pula adalah satu himpunan semua undang-undang Rom yang telah dikumpulkan antara tahun 528 – 534 Masehi. Walaupun demikian, undang-undang Rom adalah merupakan rujukan utama sistem perundangan moden yang menampilkan satu prinsip utama iaitu seseorang tidaklah dianggap bersalah kecuali dibuktikan di mahkamah sebagai bersalah.

Penolakan Hamidullah Terhadap Teks-teks Terdahulu Sebagai Perlembagaan Bertulis

Profesor Hamidullah berhujah bahawa apabila sesuatu peraturan negara atau masyarakat itu dihimpunkan dalam bentuk tulisan maka ia dipanggil buku-buku (books). Menurut beliau lagi:

“Perkataan Bible dan Scripture bererti buku. Buku Yasa karya Chingiz Khan boleh juga bererti "buku" (dan dalam zaman Turki Moden, kata infinit yazmak bermakna menulis). Kitab suci al-Quran kita dipanggil "Kitab Allah". Buku Shu-king yang ditulis oleh Confucius juga bermakna buku.”

Profesor Hamidullah mendakwa bahawa beliau tidak menjumpai sebarang contoh perlembagaan negara yang berbeza daripada undang-undang biasa dalam bentuk tulisan sebelum zaman Rasulallah s.a.w.. Maksud Hamidullah di sini ialah:

i. Tiada satu perlembagaan negara bertulis yang beliau jumpai sebelum daripada zaman Rasulallah s.a.w..

ii. Kalaupun ada perlembagaan bertulis sebelum zaman Rasulallah s.a.w., ia adalah undang-undang biasa bagi sesuatu masyarakat ataupun negara.

Beliau menolak beberapa teks dan karya masa lampau sebelum zaman Rasulallah s.a.w. sebagai perlembagaan bertulis; antaranya:

1. Teks Manu Smirti (500 B.C.). Dianggap oleh Hamidullah sebagai teks yang membicarakan tugas-tugas seorang raja,

2. Teks Artha Sastra (ilmu politik) ditulis oleh Kautilya (300 B.C.). Teks ini tidak diulas oleh Hamidullah tetapi dipercayai adalah salah satu karya sains politik.

3. Buku-buku Aristotle yang ditulis kira-kira pada masa yang sama mengandungi triti-triti yang lengkap. Aristotle telah menceritakan perlembagaan-perlembagaan 158 di dalam karyanya yang kontemporari City-States di dalam banyak negara termasuklah India. Menurut Hamidullah, Daripada monograf-monograf Aristotle ini, hanya perlembagaan Athens yang dapat sampai kepada kita. Ia ditemui di atas papyrus di Mesir beberapa tahun yang lalu dan telah diterbitkan pada tahun 1891. Ia juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain.

Dalam penolakan Hamidullah terhadap karya di atas sebagai satu perlembagaan bertulis, beliau berhujah bahawa karya-karya di atas sama ada berbentuk buku teks atau buku nasihat kepada putera-putera raja atau berbentuk catatan-catatan sejarah mengenai perlembagaan-perlembagaan bagi tempat-tempat tertentu. Tiada satupun daripada karya-karya ini menyamai tahap sebagai perlembagaan negara yang bersifat otoritatif yang digubal oleh pihak pemerintah yang berdaulat.

Tiga perkara yang ditekankan oleh Hamidullah dalam penolakan beliau itu, iaitu:


1. Karya yang ditolak oleh beliau sebagai perlembagaan bertulis bukanlah perlembagaan sebenar.

2. Karya tersebut tidak bersifat otoritatif sepertimana yang sepatutnya terdapat dalam perlembagaan sebenar sepertimana yang termaktub dalam definisi perlembagaan.

3. Karya tersebut tidak digubal atau diperakukan oleh pemerintah yang berdaulat yang dipilih oleh rakyat secara sah.

Walau bagaimanapun, Hamidullah tidak membincangkan beberapa undang-undang bertulis ataupun perlembagaan yang diterimapakai bagi tamadun-tamadun terdahulu seperti kod Undang-undang Ur-Nammu, Undang-undang Hammurabi, Undang-undang Dinasti Chou, Perlembagaan Solon dan Undang-undang The Twelve Tables dalam tamadun Rom.
Walaupun perkara ini tidak dibincangkan oleh Hamidullah, saya percaya ianya bukanlah perlembagaan bertulis yang komprehensif seperti Sahifah Madinah. Ada di antaranya kod peraturan dan kemungkinan juga perlembagaan yang tidak bertulis tetapi satu dokumen lengkap yang menentukan perjalanan negara.

Maka, Sahifah Madinah sebagai satu perlembagaan bertulis yang komprehensif yang pertama di dunia tidaklah dapat kita nafikan seperti yang telah diungkapkan oleh Profesor Hamidullah.

Kesimpulan

Ternyata dakwaan Profesor Hamidullah mengandungi kebenarannya bahawa teks atau dokumen bertulis yang ada pada beliau (Sahifah Madinah) adalah teks/perlembagaan bertulis yang pertama di dunia. Ini berdasarkan kepada beberapa alasan konkrit.

Pertama, Sahifah Madinah bukanlah set undang-undang sivil atau jenayah per se, tetapi satu set perlembagaan lengkap. Harus diingat, undang-undang jenayah dan sivil Islam dirujuk oleh Nabi kepada Al-Quran dan budibicara kenabiannya seperti yang terkandung dalam Al-Sunnah. Kedua, golongan majoriti iaitu orang-orang Yahudi yang jumlahnya antara 5000-10000 orang dalam negara kota Madinah mengiktiraf perlembagaan tersebut. Orang-orang Islam pula sebulat suara menerimapakainya. Ketiga, Perlembagaan Madinah sudah tertulis dalam bentuk yang lengkap kerana pengalaman dan kebolehan para sahabat Nabi menulis di samping wujudnya larangan penulisan hadis. Larangan penulisan Hadis tidaklah menjejaskan Sahifah ditulis. Keempat, natijah daripada penggubalan Sahifah Madinah telah membawa kepada terpeliharanya kedaulatan negara kota Madinah, keamanan daripada pencerobohan musuh dan tertegaknya kepemimpinan Nabi Muhammad s.a.w.. sebagai ketua negara dan negarawan ulung. Kelima, Sahifah Madinah diterimapakai oleh semua masyarakat dan warganegara yang berbilang bangsa dan agama dalam kedaulatan negara Madinah.

Untuk kajian-kajian mendatang, eloklah juga diperluaskan perbandingan Sahifah Madinah dengan perlembagaan-perlembagaan awal manusia yang terlebih dahului digubal seperti Kod Undang-undang Ur-Nammu, Undang-undang Hammurabi, Undang-undang Dinasti Chou, Perlembagaan Solon dan Undang-undang The Twelve Tables dalam tamadun Rom.













No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak