Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Saturday, July 10, 2010

Berita Harian 2010/07/10 JAKIM teliti semula ESQ: Langkah awal perlu elak penyelewengan lebih buruk: Mashitah


JERLUN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan meneliti semula program motivasi anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ) yang diharamkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana dikatakan mendukung fahaman liberalisme. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata JAKIM akan meneliti dan mendalami modul ESQ terlebih dulu untuk melihat dengan lebih jelas apa yang disifatkan sebagai menyeleweng itu. “Kita akan semak semula modul itu kerana mereka (ESQ) ini peniaga, jadi kita tidak mahu menyekat rezeki orang, tetapi kita akan semak, jika benar ada penyelewengan yang berlaku, kita terpaksa ambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Jerlun di sini, semalam. Beliau mengulas tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul program berkenaan kerana ajarannya didapati menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam. Katanya, JAKIM juga ada rekod berhubung program dikendalikan ESQ. “Program itu masih diteruskan dan hari ini, kita tidak boleh mengatakan sama ada ia sah atau halal kerana selepas ini, kita tidak tahu apa yang mereka buat, jadi kita akan memantau dari semasa ke semasa,” katanya. Mashitah berkata beliau percaya keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul ESQ bagi membimbing atau mengelakkan pemesongan akidah. “Masyarakat kita memang mudah sangat terikut dengan sesuatu perkara, tambahan pula perkara yang membabitkan kesedaran akidah. Tetapi kita perlu menjaga supaya ia tidak terseleweng daripada akidah. Sementara itu, ESQ tetap meneruskan program motivasi di 13 negeri kecuali Wilayah Persekutuan sehingga Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan membuat keputusan berhubung status pelaksanaan ESQ itu tidak lama lagi.

Pengurus Besarnya, Marhaini Yusoff, berkata hanya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengharamkan modul ESQ, tetapi beberapa negeri termasuk Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Kedah memberi kebenaran. “Kita berharap Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan cepat membuat keputusan berhubung isu ini kerana ia menimbulkan keresahan 65,000 peserta yang pernah mengikuti modul program ini,” katanya pada sidang media, di sini, semalam. Mengulas adakah pendekatan undang-undang akan diambil terhadap Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang mengeluarkan fatwa mengharamkan ESQ yang dianggap satu fitnah, Marhaini berkata, pihaknya tidak bercadang berbuat demikian, sebaliknya meminta Wan Zahidi menarik balik fatwa dikeluarkan, manakala empat kursus dirancang diadakan di sini turut dipindahkan ke negeri lain.

BERITA HARIAN, Ramai tokoh agama mahu kaji dulu program 2010/07/10

KUALA LUMPUR: Walaupun menghormati keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang mengharamkan program motivasi anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ), tetapi sebahagian besar tokoh agama mahu mengkaji kandungan program itu sebelum membuat sebarang keputusan. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 16 Jun lalu, memutuskan modul program motivasi ESQ boleh diteruskan kerana ia pendekatan terbaik untuk menyedarkan orang mengenai aspek ketuhanan, Islam dan peradaban. Beliau yang juga ahli jawatankuasa itu, berkata keputusan itu diambil pada muzakarah terakhir daripada empat pertemuan sebelumnya bagi membincangkan kandungan program berkenaan sama ada bertentangan dengan akidah atau sebaliknya. Bagaimanapun, katanya, pada muzakarah terakhir itu, wakil Wilayah Persekutuan tetap dengan pendirian ESQ adalah haram. “Program itu tiada kaitan dengan pluralisme, liberalisme dan al-Hulul (kepercayaan boleh bersatu dengan Tuhan). Cuma keputusan jawatankuasa itu belum dikeluarkan kerana Pengerusinya, Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, berada di luar negara,” katanya ketika ditemui Berita Harian di pejabatnya di sini, semalam. Berita Harian semalam melaporkan MAIWP mengharamkan ESQ yang sudah disertai lebih 65,000 orang termasuk orang kenamaan, tokoh agama dan korporat serta pegawai kerajaan kerana ajarannya menyeleweng akidah dan syariat Islam.

Muftinya, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, menandatangani warta mengharamkan modul program motivasi diasaskan warga Indonesia, Ary Ginanjar Agustin itu pada 10 Jun lalu mengikut Subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1953, selepas berbincang dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak. Di ALOR SETAR, Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAINK) membenarkan program motivasi ESQ kerana tiada masalah berkaitan penyelewengan akidah dan syariat Islam dalam kandungan modulnya. Mufti Kedah, Datuk Muhamad Baderuddin Ahmed berkata, program itu tidak perlu diharamkan di Kedah tetapi menghormati keputusan dikeluarkan MAIWP. Tindakan sama dilakukan Jabatan Mufti Pulau Pinang yang meneruskan program ESQ dengan pemantauan Panel Syariah ESQ dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Datuk Mustafa Abdul Rahman.

Di KUANTAN, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman mengakui pernah menghadiri program ESQ di Pekan dan mendapati ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Di KUALA TERENGGANU, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT), Datuk Shaikh Harun Ismail berkata, pihaknya akan berbincang dengan Mufti Negeri, Alias Abdullah dan membawa perkara itu ke Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk tindakan lanjut. Di SEREMBAN, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Johani Hassan berkata, beberapa individu dipanggil baru-baru ini selepas pihaknya mendapat maklum balas orang ramai mengenai keraguan pada modul disampaikan, tetapi belum membuat keputusan sama ada mahu mengikut MAIWP mengharamkan ESQ. Di KOTA KINABALU, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Amri Suratman berkata, keputusan mengharamkan ESQ akan dibuat selepas pihaknya mengkaji kandungan program itu dan mengemukakan hasil siasatan kepada mufti negeri, Datuk Ahmad Alawi Adnan, untuk diperhalusi. Di UCHING, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Daud Abdul Rahman, berkata Majlis Islam Sarawak (MIS) akan memantau modul motivasi ESQ sebelum Lembaga Fatwa Negeri memutuskan tindakan lanjut yang boleh diambil terhadap ESQ.


Berita Harian, Erra, Ziela yakin modul tak terpesong (2010/07/10)

KUALA LUMPUR: "Saya terkejut dan keliru apabila mendapat tahu program motivasi anjuran ESQ Leadership Sdn Bhd (ESQ) haram, walaupun warta itu hanya diisytiharkan di Wilayah Persekutuan," kata pelakon popular, Erra Fazira. Erra yang pernah mengikuti program motivasi ESQ berpendapat modul yang diterapkan tidak lari daripada landasan atau bertentangan dengan agama Islam kerana ia dipantau panel syariah yang dianggotai bekas mufti. “Sebagai manusia biasa rasa keliru. Ada yang kata okay dan ada yang kata tidak. Bagi saya, tiada yang bertentang dengan agama, malah modul yang diketengahkan mengingatkan kita supaya tidak hanya bertumpu kepada matlamat dunia. “Saya yakin dengan ESQ kerana saya difahamkan, program itu dipantau oleh mereka yang berpengalaman luas dalam bidang agama,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, pelakon dan penerbit drama, Ziela Jalil, berkata program motivasi ESQ tidak terpesong daripada ajaran agama, malah beliau yang mulai menyertai ESQ sejak Februari lalu, turut membawa dua anak dan ibunya mengikuti program terbabit. Katanya, tiada sebarang penyelewengan dari sudut agama kerana sebagai penganut agama Islam secara umumnya dapat menilai sesuatu perkara bertentang atau tidak dengan syariat Islam. Selain Erra dan Ziela, ESQ mendakwa beberapa artis lain tidak ketinggalan mengikuti program anjurannya seperti Azizah Mahzan, Diana Rafar dan suaminya, Zamarul Hisham serta Siti Shahrizah (Eja).

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak