Dakwah secara
lughawi berasal dari bahasa Arab. Ia membawa maksud seruan, panggilan,
undangan. Secara istilah, kata dakwah bererti menyeru atau mengajak
manusia untuk melakukan kebaikan dan menuruti petunjuk, menyuruh berbuat
kebajikan dan melarang perbuatan mungkar yang dilarang oleh Allah dan
rasul-Nya agar manusia mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Sehubungan itu, kegiatan dakwah perlu sentiasa diberi nafas baru agar
kaedahnya sesuai dengan keadaan dan perkembangan teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT).
Allah berfirman yang maksud-Nya: Siapakah yang terlebih baik
perkataannya daripada orang yang menyeru ke jalan Allah dan beramal
soleh seraya berkata: �Sesungguhnya saya salah seorang muslim�.
(Fussilat: 33)
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Pengarah Pusat Islam
Universiti Putra Malaysia, Dr. Amini Amir Abdullah bagi mengupas
pendekatan dakwah masa kini.
AMINI: Ayat itu adalah firman Allah yang maksud-Nya: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. (an-Nahl: 125)
Ada tiga perkara asas dalam ayat ini. Pertama ialah hikmah, kedua: walmau'izah (pelajaran yang baik) dan berbantahlah dengan cara yang baik.
Ini menunjukkan dalam berdakwah kita mesti mengamalkan pendekatan berhikmah. Kita perlu ada pendekatan psikologi dan juga mengikut mad'u (suasana), tahap pemikiran dan keadaan golongan yang didakwahkan itu.
Cara kita berdakwah dengan orang dewasa sudah pasti berbeza dengan dakwah kita kepada anak-anak yatim.
Memberi pengajaran yang baik itu bermakna perlu amalkan dakwah bil hal. Kita perlu jadi contoh ikutan atau role model. Akhlak dan ketertiban kita perlu sentiasa dijaga. Pendek kata umat Islam perlu jadi orang yang cakap serupa bikin bukan cakap kosong.
Paling utama, kena menjadikan Rasulullah SAW itu contoh tauladan. Dari segi kepimpinan, sebagai suami, pendakwah, ketua ketumbukan tentera dan sebagainya.
Pada peringkat ketiga, hendaklah diwujudkan dialog peradaban atau antara kepercayaan dengan bukan Islam. Ini supaya ada platform berbahas dan berbincang dengan kaedah terbaik.
Kita maklum bahawa dakwah itu tugas semua Muslim. Apakah syarat membolehkan semua umat Islam itu boleh berdakwah?
AMINI: Rasulullah SAW ada bersabda yang maksudnya: "sampaikan dariku walau satu ayat".
Dalam al-Quran, Allah berfirman yang maksud-Nya: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada yang salah dan keji. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (ali-'Imran: 104)
Syarat utama yang perlu ada di kalangan para pendakwah ialah melengkapkan diri dengan ilmu. Ilmu ini bukan sahaja ilmu agama tetapi juga ilmu fardu kifayah meliputi bidang sains dan teknologi.
Mereka juga perlu mempelbagaikan kaedah berdakwah. Ini sebagai mana sabda Rasulullah SAW yang menyatakan tanggungjawab setiap umat mukmin yang perlu membuat teguran dan perubahan kepada sebarang bentuk kemungkaran yang berlaku di depan mata sama ada dengan tangan atau kuasa, lidah dan jika tidak mampu juga dengan bisikan hatinya dengan menyatakan kebencian dan kejelekan terhadap maksiat dan kemungkaran yang berlaku itu.
Maksud lidah itu merangkumi kaedah penulisan, blog, emel dan menggunakan medium Internet. Pendakwah kita juga perlu ada Pelan Dakwah Malaysia. Ia harus merangkumi segala strategi dan sasaran contohnya untuk tempoh 10 tahun. Selain itu, perlu ada sistem perkaderan Islam berteraskan wahdatul fiqr dan amal.
Pendek kata, pendakwah itu perlu sentiasa ada inovasi dan meningkatkan kredibiliti.
Apakah strategi untuk kita berdakwah kepada bukan Islam selain sesama Muslim?
AMINI: Ini adalah antara aspek penting dalam memastikan syiar Islam terus subur dan berkembang di muka bumi ini. Sebab itu, dakwah umat Islam perlu disusun strateginya dengan baik. Ia tidak boleh hanya bertumpu dengan berdakwah sesama Islam.
Adalah malang apabila kita mengislamkan sesuatu kumpulan tetapi kemudiannya mereka dibiarkan begitu sahaja tanpa dakwah susulan. Ini boleh mendorong mereka kembali kepada agama asal.
Dakwah susulan ini penting. Apabila sistem begini wujud kita bukan sahaja boleh membuat susulan yang berkesan tetapi juga sentiasa boleh membuat penambahbaikan kepada strategi dakwah itu tadi.
Dakwah kristian misalnya sangat fokus. Mereka mempunyai organisasi yang tersusun. Oleh sebab itu, walaupun mereka berpusat di Filipina atau India, mubaligh mereka tidak menghadapi masalah waima bab kewangan sekalipun.
Sebab itu, saya ingin mencadangkan supaya kita juga membentuk dana khas dakwah. Apabila dana ini wujud, insya-Allah tidak ada lagi masalah birokrasi sehingga menyukarkan peruntukan disalurkan kepada golongan sasar.
Dana ini juga akan menyelesaikan banyak perkara. Antaranya soal pembinaan rumah ibadat seperti surau di perkampungan orang asli yang jauh dari bandar, kebajikan mereka dan juga kebajikan para pendakwah kita.
Kita perlu prihatin kepada nasib pendakwah kita. Sebabnya, mereka ini pergi berdakwah meninggalkan keluarga untuk satu tempoh masa tertentu.
Jika kita dapat membantu dari segi penyediaan kewangan kepada keluarga pendakwah tadi, sudah tentu beliau boleh bertugas lebih dedikasi tanpa perlu memikirkan bab kewangan isteri dan anak-anak di rumah.
Memang itu idealnya. Namun, konsep dakwah kita masih mengamalkan pendekatan yang agak keras. Bagaimana membetulkan keadaan ini?
AMINI: Rasulullah telah menunjukkan contoh bagaimana kejayaan baginda hasil dakwah selama 23 tahun di Mekah dan Madinah.
Malah, baginda juga telah berpesan supaya kita mengamalkan pendekatan dakwah yang memudahkan. Sebab itu, baginda SAW ada bersabda yang antara lain maksudnya: "Hendaklah kamu memudahkan jangan meliarkan dan hendaklah kamu menggembirakan dan janganlah kamu menyukarkan".
Malah Allah juga mengingatkan kita melalui firman-Nya yang bermaksud: ...dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras, tentulah mereka akan lari dari kelilingmu.... (ali-'Imran: 159).
Islam adalah mudah dan sesuai sepanjang masa. Bagaimanapun, kadang-kadang penampilan kita menyebabkan orang rasa tidak yakin terhadap Islam.
Kita hendaklah memulakan dakwah dengan menceritakan nikmat dan rahmat Allah kepada umatnya. Jangan kita memaksa orang yang baru memeluk Islam itu terus bertudung menutup aurat. Begitu juga jangan paksa meletakkan bin atau binti Abdullah kepada mereka.
Apa yang penting ialah ucapan syahadah dan akidah terhadap Allah SWT. Kemudian barulah kita didik mereka daripada segi luaran.
Sebabnya kita tidak boleh mengharapkan mereka yang sudah berpuluh-puluh tahun dalam agama asal untuk 100 peratus bertukar kehidupan mereka sejurus memeluk Islam.
Rasulullah pun selama 13 tahun berdakwah di Mekah, jumlah pengikut baginda hanya kira-kira 78 orang sahaja. Tetapi kita jangan putus asa.
Kejayaan bukan penyebab usaha dakwah terbantut. Islam berkembang ketika itu bukan kerana paksaan tetapi dakwah secara lembut dan bijaksana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.
Pendakwah juga tidak boleh menipu sebaliknya perlu jujur dan adil.
Cara dan pendekatan dakwah dikatakan lebih penting daripada mesej yang nak disampaikan. Benarkah?
AMINI: Memang betul. Pada zaman jahiliah, Rasulullah semasa berdakwah di rumah al-Arqam Abi Arqam mengadakan jamuan makan sebanyak tiga kali.
Kali pertama dan kedua, baginda hanya menjamu makan dan selepas itu semua tetamu pulang. Kali ketiga, barulah baginda menyeru tentang Islam selepas makan.
Kaedah atau manhaj menyampaikan mesej itu penting. Analoginya, bagaimana kita hendak menjual durian sedangkan gerai-gerai berdekatan pun semuanya menjual buah yang sama.
Jadi, kaedah promosi, memujuk serta presentation atau cara menyusun buah itu akhirnya menarik pelanggan membeli di gerai kita.
Pada masa yang sama, pendakwah juga perlu tahu latar belakang budaya, cara hidup dan adat resam golongan sasaran. Ini akan membantu kita memudahkan kerja dakwah. Contohnya, apabila berdakwah dengan orang asli kita perlu berjumpa Tok Batin mereka serta membawa makanan seperti beras, gula dan lain-lain.
Sejarah telah membuktikan bahawa dakwah baginda SAW adalah lebih berkesan dan berjaya.
No comments:
Post a Comment