Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) , Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penubuhan pusat tersebut memberi persepsi baik kepada negara terutama dalam kalangan negara Islam kerana walaupun negara ini kerdil tetapi mampu menyumbang kepada pembangunan umat Islam secara keseluruhannya.
"Islam berpaksikan kepada al-Quran. Jika al-Quran dijadikan tun­jangnya, saya kira sudah tentu penubuhan pusat pencetakkan ini akan memberikan keberkatan besar kepada negara.
"Penubuhan pusat ini merupakan kesinambungan daripada pelbagai prog­ram kerajaan dalam agenda memartabatkan Islam di negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menjadi ahli panel dalam Wacana Wirawati Perkasa Srikandi Negara yang bertajuk Ancaman Liberalisasi Terhadap Generasi Muda di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pakar motivasi, Dr. Robiah Kulop Hamzah dan Pengerusi Biro Pendidikan Perkasa, Dr. Amini Amir Abdullah.
Menurut Asyraf Wajdi, negara ini dikenali dalam kalangan negara Islam kerana menjadi pelopor sistem pendidikan Islam, kewangan Islam dan sebagainya.
"Penubuhan pusat ini bakal meletakkan nama negara di persada antarabangsa sebagai negara Islam yang dinamik dan progresif selain membantu memartabatkan Islam di mata dunia," katanya.