Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Thursday, April 30, 2015

IS/ISIS (Islamic State) Sangat Merbahaya



  IS/ISIS (Islamic State) Sangat Merbahaya

IS/ISIS telah memulakan strategi kempen besar-besaran ke seluruh dunia untuk menarik perhatian massa untuk menyertai perjuangannya. Kesannya dalam tempoh satu tahun, ia berjaya meraih simpati umat Islam dari beberapa negara. Pada 21 September 2014, IS/ISIS telah meminta penyokongnya di seluruh dunia untuk membunuh setiap warganegara Barat terutamanya rakyat Perancis dan Amerika Syarikat sebagai tindak balas terhadap kempen memerangi IS/ISIS. Mereka meminta agar setiap Muslim bertindak mengikut kemampuan masing-masing. IS/ISIS telah mencadangkan beberapa kaedah untuk menyerang orang Amerika dan Perancis, antaranya:

i.                    Gunakan bom atau pistol
ii.                  Serang mereka dengan hentakan batu
iii.                Sembelih mereka dengan pisau
iv.                Langgar dengan kereta
v.                  Tolak mereka dari atas tebing yang tinggi
vi.                Cekik dan
vii.              Suntik dengan racun

Kata jurucakap IS/ISIS lagi, jika tidak mampu, bakar rumah mereka, kereta, perniagaan atau kebun mereka. Jika tidak mampu juga, ludah muka mereka. Jika seseorang tidak mampu melakukan perkara ini sedangkan saudara Muslim yang lain dibom dan dibunuh manakala nyawa dan harta benda mereka dimusnahkan di mana-mana, maka seseorang perlu memeriksa semula imannya. Inilah penyelewengan perjuangan oleh IS/ISIS. 

Bermula dari Februari 2013 hingga 6 April 2015, seramai 93 orang rakyat Malaysia telah ditangkap kerana cuba melibatkan diri dengan pergerakan haram Islamic State (IS/ISIS) yang menjadikan lokasi perjuangan mereka di Iraq dan Syria. Anak-anak muda dan belia mahu menjadi seperti mereka yang dikatakan kononnya berjuang menegakkan negara Islam. Apa yang membimbangkan, sudah ada rakyat Malaysia yang cuba menjadikan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai sasaran termasuk orang-orang kenamaan, kem askar dan balai-balai polis. Mereka mahu menyerang balai polis dan kem askar demi untuk mendapatkan senjata. Ada juga yang merancang untuk melakukan rompakan bank demi untuk membiayai perjuangan songsang mereka. Propaganda para pengganas IS/ISIS serupa dengan strategi pemasaran dan terlalu ramai belia di seluruh dunia yang tertarik dengan perjuangan berasaskan keganasan ini. Ini merupakan satu fenomena sosial yang tidak dijangkakan oleh banyak pihak.

Pelajar-pelajar Malaysia di luar negara juga terdedah kepada propaganda IS/ISIS. Tiada siapa yang memantau aktiviti pelajar Malaysia di Amerika Syarikat, United Kingdom, Eropah, Asia Barat, Australia, Rusia atau Indonesia. Tiada siapa boleh memastikan pelajar-pelajar kita tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat ini. Apatah lagi, ramai daripada rakyat Malaysia yang telah mengubah taktik untuk ke Syria dan Iraq bagi menyertai perjuangan IS/ISIS. Kalau dahulu mereka menggunakan transit melalui Brunei, Turki dan seumpamanya, kini ramai yang menggunakan laluan Bangkok untuk ke Syria atau Iraq.  

IS telah berjaya menarik simpati ramai remaja untuk menyertai perjuangan mereka. Menurut laporan media, lebih daripada 600 rakyat Britain kini di Syria, termasuk kanak-kanak lelaki dan perempuan yang telah menjadi pejuang IS atau menawarkan diri menjadi isteri kepada para pengganas ini. Bagi rakyat Malaysia yang telah pergi ke Syria dan Iraq, jumlah yang dapat dikesan ialah sekitar 90 hingga 100 orang. Sepuluh warganegara Malaysia telah terbunuh dalam pertempuran dan sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dalam misi pengeboman bunuh diri. Ahli psikatris forensik, Marc Sageman telah mengkaji data biografi 172 Muslim yang menyertai jihad songsang dan dinyatakan dalam bukunya Understanding Terror Networks. Beliau mendapati orang-orang muda yang menyertai jihad songsang adalah mereka yang mempunyai jaringan sosial dan ikatan kekeluargaan dan persahabatan yang kukuh antara satu sama lain. Beliau juga mendapati masalah emosi, tingkahlaku, kemiskinan, trauma dan kejahilan tidaklah merupakan faktor dominan dalam mempengaruhi golongan muda menyertai jihad.

Pada 5 April 2015 (Ahad), polis telah menahan 17 orang lagi kerana terlibat dengan IS. Menteri Dalam Negeri YB. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, suspek yang berusia antara 14 dan 44 tahun telah merancang untuk membuat bom dan mensasarkan balai polis dan kem-kem tentera untuk mendapatkan senjata api. Antara yang ditahan ialah dua anggota tentera, pengawal keselamatan dan dua orang pelajar.

YB. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid yang mendedahkan perkara ini ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Akta Pencegahan Keganasan di Dewan Rakyat pada hari Isnin (6 April 2015) berkata bekas anggota Kumpulan Mujahidin Malaysia, seorang bekas tahanan ISA dan lelaki yang telah menjalani latihan ketenteraan di Indonesia dan Afghanistan juga termasuk dalam kumpulan tersebut. Rang Undang-undang bagi Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 akhirnya diluluskan pada awal pagi Isnin, selepas perdebatan maraton lebih daripada 10 jam di Dewan Rakyat. Ia telah diluluskan dengan kiraan undi majoriti dengan 79 Ahli Parlimen Barisan Nasional menerima rang undang-undnag tersebut manakala 60 ahli pembangkang menolak.

Penolong Komisioner Kanan (SAC) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Timbalan Pengarah Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman menjelaskan bahawa terdapat mereka yang bersimpati dengan IS/ISIS di agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan di negara ini. Beliau menjelaskan bahawa pihak polis telah mengenal pasti agensi-agensi terbabit dan sedang memantau aktiviti mereka tetapi beliau enggan mendedahkan butiran lanjut. Pada bulan lepas, Ayob Khan mendedahkan bahawa bilangan keluarga dari Malaysia yang menyertai IS telah meningkat, dengan sekurang-kurangnya lapan orang sudah berada di Syria.

Beliau berkata pengaruh ideologi dan latihan yang disediakan adalah begitu kuat hinggakan beberapa rakyat Malaysia mengeluarkan ancaman bunuh kepada ahli-ahli keluarga mereka sendiri jika mereka menentang IS/ISIS. Salah seorang daripada mereka kini berada di Syria dan mengeluarkan amaran melalui Facebook bahawa dia akan membunuh ibu, bapa dan adik-beradiknya jika mereka menyokong Kerajaan dalam menentang IS/ISIS. Datuk Ayob Khan tidak menolak kemungkinan bahawa sesetengah pelajar Malaysia di negara-negara berdekatan dengan Syria dan Iraq telah menjalani latihan ketenteraan IS/ISIS ketika cuti semester. Ancaman terrorisme adalah benar dan kemungkinan pengganas IS/ISIS Malaysia apabila kembali ke tanahair untuk melancarkan serangan tetap ada. Salah satu daripada peranan utama kerajaan untuk melindungi rakyat Malaysia daripada sebarang bentuk keganasan ialah melalui undang-undang. Pengenalan POTA boleh merealisasikan hasrat murni ini. Akta ini boleh dilihat sebagai satu langkah pencegahan dan bukan menghukum semata-mata.

Kita harus melihat apakah punca menyebabkan berlakunya pembabitan rakyat Malaysia dalam aktiviti tidak berakhlak dalam konteks penyertaan mereka dalam jihad songsang IS/ISIS. Salah faham terhadap konsep jihad adalah di antara punca utama mereka menyertai jihad songsang IS/ISIS. Ada pihak yang menyalahkan sistem pendidikan Islam di sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan dan sekolah agama rakyat. Ada juga yang menuduh bahawa sistem pendidikan Islam telah diradikalkan dengan terlalu banyak indoktrinasi keagamaan. Mereka menuduh bahawa indoktrinasi keagamaan ini berlaku bermula dari Tadika hinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Adakah perkara ini benar? Tentunya perkara ini tidak benar sama sekali. Kita percaya bahawa aktiviti tidak berakhlak ini adalah berpunca daripada salah faham terhadap konsep jihad dan pengaruh media sosial terutamanya Facebook yang berjaya memperdaya rakyat Malaysia untuk menyertai IS/ISIS di Syria dan Iraq.

Ketika globalisasi begitu memuncak, ramai orang Islam yang berasa skeptikal terhadap pembangunan ekonomi Barat, politik, norma dan budaya Barat. Ramai juga yang menyalahkan Barat kerana kegagalan umat Islam menguasai dan menyelesaikan masalah-masalah sosio-ekonomi dan politik dalaman. Pada masa yang sama umat Islam menghadapi cabaran yang lebih besar iaitu kehakisan nilai-nilai keagamaan dan nilai-nilai sosial yang mengakibatkan berbagai masalah lain muncul dalam dunia Islam. Ini adalah akibat daripada penjajahan fizikal dan penjajahan pemikiran oleh pihak Barat. Pengabaian terhadap nilai fundamental dan prinsipal Islam mengundang padah kepada umat Islam sendiri yang membawa kepada kerapuhan akidah dan kelunturan sahsiah serta ketidakmampuan menguasai ekonomi. Seterusnya ini membawa kepada implikasi negatif dalam konteks politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan seumpamanya.

Sebagai penyelesaian kepada semua permasalahan ini, umat Islam perlu bangkit dan bertindak dengan kembali berpegang dengan kukuh kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Ramai yang memikirkan kaedah dan cara menyelesaikannya secara aman dan beradab. Agak ramai juga yang mengambil tindakan yang melampau yang kononnya didakwa tindakan mereka diredai oleh Allah SWT kerana mereka hanya mengambil satu tafsiran sahaja dalam mengabsahkan segala tindakan mereka yang melampau dan menjustifikasikannya atas nama agama dan jihad. Mereka gagal melihat pelbagai dimensi tafsiran yang betul mengenai jihad dan orang bukan Islam. Mereka bertuhankan pendapat-pendapat yang melampau dan mengabaikan prinsip wasatiyyah dalam melihat segala tindakan manusia di dunia ini. Terdapat juga gesaan agar umat Islam kembali kepada prinsip perpaduan ummah dan melihat formula kebangkitan Islam ketika zaman keemasan tamadun Islam dan kegemilangan pemerintahan Rasulallah SAW. dan para sahabat r.a. Terdapat juga gesaan agar dikembalikan pemerintahan negara kepada sistem Khilafah seperti zaman awal Empayar Islam. Mereka berpendapat negara Islam yang sebenar sepatutnya diterajui oleh Khalifah. Institusi kekhalifahan inilah yang diperjuangkan oleh Hizb Al-Tahrir pada pengakhir tahun 80an sehingga sekarang. Fahaman Hizb Al-Tahrir yang bermula di Jordan telah menular ke Amerika Syarikat, United Kingdom, Eropah dan Asia Tenggara.

Terdapat segolongan umat Islam yang percaya bahawa undang-undang Islam perlu menjadi teras perjalanan negara dan mencegah masyarakat daripada terjebak dengan berbagai masalah sosial dan jenayah. Islam sepatutnya dijadikan asas dalam setiap aspek bidang kehidupan. Terdapat juga umat Islam yang menolak perubahan dan kemodenan kerana dikatakan tidak Islamik dan tidak menepati tafsiran mereka mengenai maksud transformasi dan pemodenan. Namun demikian, ramai juga ulama yang melihat dunia yang serba moden dan canggih ini boleh disesuaikan dengan Islam sekiranya aplikasi ijtihad dan siyasah syar’iyyah dipraktikkan.

Sikap berwaspada terhadap Barat oleh umat Islam sebenarnya mempunyai asas yang kukuh berdasarkan pengalaman masa lalu. Hampir semua negara Islam telah mengalami pengalaman yang pahit terhadap penjajahan Barat dalam konteks budaya, politik dan ekonomi serta campurtangan mereka terhadap hal ehwal dalaman umat Islam. Sebagai contoh, Amerika Syarikat telah menyingkirkan Mohammad Mosaddegh pada tahun 1953 dalam satu insiden penggulingan kuasa (coup d'état) yang diketuai American Central Intelligence Agency (CIA) dan The British Secret Intelligence Service (MI5). Pada 8 Ogos 1990, Iraq telah dikenakan sekatan ekonomi dan embargo sehingga bulan Mei 2003 dan negara Saddam Hussein telah diserang dan dijajah selama berbelas tahun oleh Barat atas alasan membangunkan dan memiliki senjata pemusnah massa. Sehingga kini, dakwaan ini tidak dapat dibuktikan oleh Barat dan sekutunya. Dalam tempoh ini, lebih 1 juta rakyat Iraq telah mati dan hampir separuh daripadanya adalah kanak-kanak berusia di bawah 5 tahun.

Dasar Amerika Syarikat terhadap Israel amat tidak disukai oleh umat Islam. Amerika dan sekutu Baratnya dengan jelas dan tanpa berselindung telah menyokong penubuhan negara haram Israel. Amerika Syarikat memberikan sokongan kewangan berjumlah USD3 billion setiap tahun bermula 1985 kepada Israel. Amerika Syarikat juga membekalkan senjata-senjata canggih, sokongan material dan psikologi, latihan dan kepakaran kepada Israel untuk menentang rakyat Palestin. Amerika Syarikat juga telah menolong Israel untuk membangunkan senjata dan teknologi nuklear untuk Israel guna menakut-nakutkan negara dan umat Islam. Israel juga adalah rakan kongsi strategik utama Amerika Syarikat. Pada 2012 Israel telah memohon untuk menambah stok simpanan pertahanan berpangkalan di luar negara dan memindahkan lebihan bajet Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat ke Israel. Presiden Amerika Syarikat diberi kuasa yang lebih untuk menjalankan aktiviti kerjasama termasuk dalam bidang tenaga, air, keselamatan, tanah, keselamatan siber, pertanian, dan teknologi bahan api alternatif serta tenaga boleh diperbaharui. Israel juga telah menggesa agar Presiden Amerika memberikan bantuan untuk meningkatkan sistem pertahanan roket dari darat ke udara dan udara ke udara. Para pembaca boleh membaca lebih lanjut mengenai maklumat berkaitan penguasaan Israel ke atas White House dalam buku Mearsheimer dan Walt; The Israel Lobby, Jimmy Carter; Peace Not Apartheid dan James Petra; The Power of Israel in the United States.

Adapun gerakan IS atau ISIS adalah gerakan berasaskan ideologi ekstrem yang mempunyai tatacara idelaistik dan komited untuk menubuhkan negara Islam dengan apa cara sekalipun hatta walaupun dengan menggunakan kekerasan. Mereka bersedia untuk “berkorban” walaupun dengan mengorbankan diri untuk mencapai matlamat “suci” ini. Matlamat hidup mereka adalah untuk membantu menubuhkan negara Islam yang tidak diberikan definisi yang jelas oleh mereka. Bagi mereka, apa yang dikatakan “tidak Islamik” perlu disanggah dan dimusnahkan segera. Mereka menolak dakwah secara berhikmah. Apakah yang menjadi motivasi kepada para pelampau IS ini? Pertama, salah faham bahawa menyertai IS adalah kunci daripada kunci-kunci untuk ke syurga. Kononnya, perjuangan bersama IS dan mati kerana perjuangan itu dapat memasuki syurga secara langsung tanpa dihisab. Kedua, kepercayaan bahawa tiada keperitan dalam perjuangan “suci” dan berakhirnya segala penderitaan. Ketiga, mereka percaya bahawa pahala perjuangan mereka akan diperolehi oleh kaum keluarga kerana jika mereka mati, pahalanya akan turut diperolehi oleh keluarga. Jika  mereka mati “Syahid”, Allah akan memberikan rezeki kepada kaum keluarga mereka, dan keempat; mereka percaya bahawa perbuatan mereka itu bukanlah perbuatan bunuh diri kerana perbuatan bunuh diri adalah perbuatan orang yang mempunyai penyakit dan kelemahan mental. Mereka menamakan perbuatan mereka sebagai “Istishhad”.

Kerana keganasan IS/ISIS, ramai kanak-kanak di Iraq dan Syria tidak dapat meneruskan persekolahan. Mengikut laporan UNICEF (Mac 2014), kira-kira 2.8 juta kanak-kanak Syria tidak dapat menghadiri sesi persekolahan kerana masalah peperangan saudara di negara mereka.  Kebanyakan bilik darjah telah dibom, atau dijadikan tempat perlindungan atau dijadikan pos ketenteraan. Kira-kira 40% kanak-kanak yang sepatutnya bersekolah tidak dapat menghadiri sesi persekolahan di Syria dan 26,000 di Iraq. UNICEF juga menganggarkan kira-kira 2 juta kanak-kanak memerlukan bantuan psikologi atau kaunseling di kedua negara yang bergolak ini.

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak