TEORI
BAHARU KONFLIK ANTARA KAUM
TEORI
KETIDAKPUASAN HATI “A”
Mungkin terdapat alasan yang baik
mengapa kebanyakan orang perlu menganalisa semula konflik antara kaum dan
tragedi yang berlaku dalam peristiwa 13 Mei 1969. Kejadian ini berlaku selepas
pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum Persekutuan 1969. Perikatan mendapat 66
kerusi, DAP (Parti Tindakan Demokratik) 13 kerusi, (Parti Islam SeMalaysia) PAS
(12 kerusi), Gerakan Rakyat Malaysia (8 kerusi) dan Parti Progresif Rakyat (4
kerusi).
Konflik antara kaum merujuk kepada
sebarang rasa ketidakpuasan hati, persengketaan yang wujud antara dua kelompok etnik
atau lebih dalam mempertahankan kewujudan, kepercayaan dan pegangan hidup
tertentu.
Sesebuah negara pada dasarnya diterajui
oleh sekumpulan etnik yang secara majoritinya memonopoli pentadbirannya.
Kumpulan majoriti tersebut akan menentukan dasar dan perancangan mengikut
kehendak dan kepentingan kelompok mereka. Kumpulan minoriti pula yang berada di
bawah pimpinan mereka terpaksa akur dengan corak pemerintahan tersebut.
Kumpulan minoriti yang merasakan bahawa
mereka ditindas akan mula bangkit dan bergabung dengan kumpulan-kumpulan lain
bagi melakukan penentangan. Kebiasaannya, politik yang diamalkan oleh kumpulan
majoriti yang sedikit akan menjadi keras dan kotor menyebabkan berlakunya
pertentangan di dalam negara tersebut. Pertentangan tersebut akan meluas bukan
sahaja di dalam negara tersebut malah ke sempadan-sempadannya. Negara-negara
jiran juga akan menerima kesan daripada pergolakan tersebut. Contohnya, Thailand
yang pernah bergolak, kesannya akan dirasai oleh Malaysia dan Myanmar. Satu
lagi kesan yang utama ialah kemungkinan besar kelompok etnik yang ditindas
tersebut bukan sahaja berada di Thailand. Terdapat kebarangkalian wujudnya
persaudaraan dan perhubungan ras yang kuat di negara-negara jiran. Khususnya kelompok
rakyat Patani yang bekerja di Malaysia akan juga terasa jika kumpulan minoriti di
Thailand dianiaya. Kelompok minoriti di sesebuah negara adalah minoriti di negara
tersebut namun besar kemungkinannya kelompok tersebut ialah majoriti jika
dihimpunkan atau digabungkan antara negara-negara yang lain di dunia.
Contohnya, orang Islam di Singapura adalah sedikit bilangannya, namun jika
digabungkan di seluruh dunia, maka orang Islam adalah penduduk majoriti.
Pertentangan dan konflik etnik juga
wujud di sempadan negara. Negara-negara berjiran besar kemungkinannya akan
bersaing dan menjajah negara lawannya. Contohnya Korea Utara dan Korea Selatan.
Meskipun mempunyai ras yang sama, pertentangan wujud berdasarkan kepercayaan
dan keakuan yang menebal antara satu sama lain untuk memastikan kekuasaan
berada di tangan mereka.
Konflik etnik juga boleh berlaku antara
dua atau lebih negara yang tidak terletak secara bersempadan. Contohnya, serangan
ke atas Iraq oleh tentera Amerika yang dikatakan telah menyebabkan berlakunya
pertumpahan darah besar-besaran itu adalah kerana fahaman yang berbeza. Walau
bagaimanapun, terrorisme dijadikan sebagai alasan utama serangan tersebut. Konflik
etnik bukan sahaja wujud di dalam negara, ia boleh wujud antara negara-negara
jiran dan juga melibatkan konflik antarabangsa.
Polarisasi membawa maksud pembahagian, persempadanan
dan pemecahan kecil etnik atau kaum. Dalam konteks hubungan etnik, polarisasi
lebih menjurus kepada pemecahan etnik, kehakisan perpaduan dan keberasingan kelompok-kelompok
yang berdasarkan ras, keturunan dan latarbelakang yang sama. Polarisasi kaum
juga akhirnya boleh mewujudkan konflik etnik. Polarisasi juga berkait dengan perbezaan
yang dilihat berdasarkan warna kulit, kedudukan, pencapaian dan sebagainya
serta kecenderungan kepada sesuatu pihak dari segi pendapat dan tindakan.
Dua perkara perlu diberikan perhatian
iaitu ketika sesebuah negara mengalami konflik etnik, kawasan persekitaran dan
negara-negara jiran yang terpolarisasi etnik mungkin juga mengalami konflik
etnik ketika kumpulan yang terlibat dalam konflik etnik memiliki ikatan
persaudaraan dalam kawasan yang berjiran. Kumpulan terakhir ini mungkin
terinspirasi untuk mencabar kerajaan dan berakhir dalam konflik etnik. Dalam
konteks peristiwa di Tak Bai, Thailand yang berlaku pada 24 Oktober 2004, 78
orang penduduk Islam kehilangan nyawa semasa dalam tahanan tentera Thailand. 62
juta penduduk Thailand yang lain yang merupakan penganut agama Buddha. Lebih 1000
orang terbunuh termasuk penganut Islam dan Buddha akibat keganasan yang
sebahagian besarnya didakwa berpunca daripada perbuatan puak pemisah yang
bertumpu di Yala, Narathiwat dan Pattani. Penemuan ini menunjukkan bahawa
hubungan persaudaraan membuat penularan akibat konflik etnik menjadi lebih
mungkin, namun kesan ini tidak sampai ke tahap polarisasi etnik. Penemuan ini juga
menunjukkan pentingnya menggabungkan tatacara strategik dalam proses
menganalisis ketika menilai hubungan antara polarisasi etnik dan konflik awam.
Dalam salah satu analisis Huntington mengenai
konflik di Bosnia antara Muslim Bosnia dengan puak Kristian Serbia, beliau
menjelaskan bahawa terjadi konflik antara Muslim dengan non-Muslim yang memberikan
impak yang negatif terhadap Islam yang diklasifikasikan secara sederhana
sebagai peradaban yang menyukai peperangan. Dalam konflik ini, Muslim Bosnia
adalah puak minoriti dan Kristian Serbia adalah majoriti. Apa yang berlaku
ialah perasaan cemburu puak Kristian terhadap Muslim. Oleh yang demikian,
mereka melakukan pembersihan etnik terhadap Muslim Bosnia.
Dalam konteks isu pendudukan tanah
Palestin oleh Israel. Konflik Palestin-Israel merupakan konflik yang hingga
saat ini menjadi masalah dalam hubungan Islam dan Barat. Penjajahan Israel di
Palestin melanggar aturan universal tentang kewujudan sebuah negara bangsa. Mereka
merampas dan menduduki secara haram tanah milik orang-orang Palestin. Perjanjian
Balfour merupakan produk permainan politik Barat yang membawa Israel menduduki
tanah Palestin. Hingga kini, konflik Palestin-Yahudi tidak pernah berkesudahan
dan menjadi api dalam sekam dalam konteks hubungan Islam-Barat. Sebenarnya,
bangsa Yahudi merupakan bangsa yang terbuang di berbagai penjuru dunia.
Rusuhan di Ürümqi, Xinjiang, China pada 5
Julai 2009 membuktikan bahawa rasa tidak puas hati boleh mengakibatkan rusuhan.
Rusuhan berlaku di antara orang-orang Uighur dengan suku Han. Kematian mencecah
156 orang. Di wilayah ini, imigran dari daerah-daerah lain berhijrah ke sini
demi untuk mendapatkan pekerjaan. Kebanyakan kaum Han mendapat pekerjaan yang
lebih baik. Orang Uighur yang berdarah campuran Cina-Turki pula dikatakan
menguasai ekonomi di sini. Terdapat 8 juta etnik Uighur di Xinjiang manakala
majoriti penduduk di sini adalah terdiri daripada etnik Han. Sungguhpun
terdapat pendapat yang menyatakan bahawa etnik Uighur mahu memiliki negara
autonomi berpemerintahan sendiri, akan tetapi penduduk Han yang lebih ramai
dikatakan tidak berpuas hati dengan pengguasaan ekonomi oleh etnik Uighur. Hasil
daripada rasa tidak puas hati ini telah mencetuskan peristiwa berdarah ini.
Rusuhan Indonesia pada 13 Mei 1998
hingga 15 Mei 1998 tercetus khusus ditujukan kepada etnik Cina Indonesia dan berlaku
di ibu kota Jakarta serta merebak ke beberapa daerah lain seperti Medan dan
Surakarta. Walaupun dikatakan bahawa rusuhan ini tercetus kerana krisis kewangan
Asia dan dipicu oleh tragedi Trisakti di mana empat mahasiswa Universitas
Trisakti ditembak dan terbunuh dalam demonstrasi pada 12 Mei 1998, ia
sebenarnya adalah hasil daripada rasa tidak puas hati rakyat pribumi Indonesia
terhadap orang-orang Tionghua dari segi penguasaan ekonomi Indonesia. Ekonomi
dikuasai oleh orang-orang Tionghua manakala rakyat asal ketinggalan. Ratusan
wanita berketurunan Tionghua yang diperkosa dan mengalami gangguan seksual.
Insiden ini hampir sama dengan peristiwa “Kristallnacht” di Jerman pada 9
November 1938 yang menjadi titik awal penyingkiran orang-orang Yahudi dari seluruh
benua Eropa oleh pemerintahan Nazi Jerman.
Dalam peristiwa “Kristallnacht”, ia
adalah insiden rasa tidak puas hati rakyat asal Jerman terhadap penguasaan
ekonomi oleh orang-orang Yahudi di seluruh Jerman dan sebahagian Austria yang
terjadi pada 9 hingga 10 November 1938. Kira-kira 8000 kedai dan ribuan rumah
milik orang Yahudi dihancurkan di beberapa kota di Jerman, 1668 Sinagogue dan 267 di antaranya dibakar. Orang-orang
Yahudi dibunuh dan 30000 orang di antaranya dimasukkan ke kem konsentrasi. Selain
itu, Nazi dan rakyat asal Jerman juga menghancurkan kaca-kaca di bangunan milik
Yahudi sehingga pecahan kaca bertebaran di atas jalanraya. Rentetan daripada
itu, malam itu disebut sebagai "Malam Kaca Pecah" (Kristallnacht).
Peristiwa ini juga adalah hasil daripada rasa tidak puas hati rakyat asal
Jerman terhadap penguasaan ekonomi Jerman oleh orang-orang Yahudi.
Klimaks dari masalah perpaduan nasional
dan integrasi di Malaysia pula bermula dengan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Dalam Pilihanraya Umum 1969, PERIKATAN memenangi majoriti kerusi parlimen
Semenanjung tetapi gagal untuk pertama kalinya sejak tahun 1957 untuk memenangi
majoriti dua pertiga. Pihak pembangkang merancang untuk mengadakan perarakan
kemenangan dan berkumpul secara besar-besaran. GERAKAN (parti politik majoriti
etnik Cina) memperolehi izin polis untuk tujuan tersebut tetapi ketika DAP
(pembangkang ultra Cina) yang juga turut bersama mengambil keputusan menyertai
perarakan itu, jumlah peserta perarakan itu meningkat secara mendadak dan
situasi menjadi tidak terkawal. Sepanjang perarakan, para penyokong pembangkang
terutama bukan Melayu berteriak dengan bahasa kotor dan membawa sepanduk yang
menghina maruah Melayu seperti "Melayu Pergi Mati", "Kuala
Lumpur Kita Punya" dan "Melayu Balik Kampung". Tujuan sepanduk
atau poster ini dibawa adalah untuk tujuan penghinaan dan memperlekehkan
orang-orang Melayu serta merayakan kemenangan besar orang-orang Cina. Sepanduk
atau poster seperti “Melayu Pergi Mati” adalah kalimah penghinaan yang tidak
dapat diterima oleh orang-orang Melayu. Soal mati adalah persoalan penting bagi
orang Melayu. Laporan perisikan menyatakan alasan utama yang membuat orang
Melayu marah adalah ketika para demonstran Cina melemparkan potongan daging
babi kepada orang-orang Melayu. Itu adalah kesalahan paling serius terhadap
Melayu kerana babi adalah simbol yang paling penting dari sebuah penghinaan agama-budaya
untuk kaum Muslim Melayu. Orang-orang Melayu menanggapinya dengan mengadakan
suatu counter parade pada hari yang
sama. Situasi kembali menjadi benar-benar di luar kawalan dan kumpulan dari
UMNO dan GERAKAN serta DAP bertembung mengakibatkan
kematian beratus-ratus orang. Rusuhan terjadi kerana perubahan keseimbangan
kuasa antara Melayu dan Cina. Ramai yang maklum bahawa ada keseimbangan kuasa
yang jelas sebelumnya kerana etnik Melayu mempunyai kawalan ke atas kuasa
politik dan kuasa ekonomi berada di bawah kawalan orang Cina. Keseimbangan ini
juga bertindak sebagai 'check and balance' untuk setiap kemungkinan perilaku
politik. Kita tidak dapat menolak hakikat bahawa ketika ini, kuasa ekonomi
berada hampir sepenuhnya di tangan etnik Cina dan orang Melayu terlalu jauh
ketinggalan walaupun etnik Melayu adalah penduduk asal negara ini. Kehilangan
kuasa politik dan ekonomi secara serentak menyebabkan etnik Melayu berasa tidak
puas hati. Tambahan pula faktor pertembungan perarakan yang penuh dengan cacian,
provokasi dan makian menjadikan situasi ibarat api dituangkan minyak!
KESIMPULAN
Dalam kes-kes di atas, terbukti
keterbelakangan ekonomi dalam kalangan penduduk asal atau majoriti boleh menimbulkan
rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka. Penguasaan ekonomi dalam kalangan
etnik minoriti boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk
asal atau pribumi. Biar apapun, rakyat pelbagai kaum mestilah sama-sama
memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara dan
mengelakkan daripada menjadi pencetus kepada perselisihan faham ataupun konflik
etnik, menimbulkan provokasi ataupun isu-isu sensitif. Perkara-perkara ini
boleh mengundang pelbagai bala dan bencana.
No comments:
Post a Comment