APAKAH SOROTAN LITERATUR ATAUPUN ULASAN KARYA
TERPILIH?
Dr. Amini Amir Abdullah
1. Bab ini
sepatutnya menerangkan gap (jurang) yang boleh diisi oleh kajian. Apakah
signifikan dan kelebihan kajian-kajian terdahulu? Apakah kekurangan
kajian-kajian terdahulu? Ini perlu diulas. Contoh:
Tajuk Kajian: “KAJIAN PELAN INDUK TRANSFORMASI
PEMBANGUNAN HARTANAH WAKAF DI MALAYSIA”
Shamsiah Abdul
Karim (2008) membincangkan banyak perkara berkaitan pentadbiran, pengurusan
dan pembangunan wakaf di Singapura. Perbincangan beliau juga menyentuh aspek
sejarah dan undang-undang berkaitan wakaf di Singapura. Beliau juga
membahaskan mengenai instrumen kontemporari yang digunakan untuk
menstrukturkan wakaf seperti Waqf REITs dan wakaf tunai. Beliau juga
membincangkan aspek sosial dan keagamaan penggunaan pendapatan daripada
wakaf. Apa yang dilakukan di Singapura adalah contoh bagaimana wakaf dapat
memberikan pendapatan yang membantu orang-orang Islam dan manfaatnya juga
dapat dikecapi oleh orang bukan Islam.
Tanah-tanah wakaf
disumbangkan oleh orang-orang Islam sejak zaman lampau. Pada zaman dahulu
tiada sistem dan undang-undang khusus pendaftaran tanah wakaf. Kanun Tanah
Negara 1965 telah menetapkan agar setiap tanah dalam negara ini didaftarkan.
Namun demikian, adakah perkara ini juga melibatkan status tanah wakaf? Adakah
status tanah wakaf menjadi lebih
terjamin di bawah kanun ini? Sekarangpun tiada undang-undang atau akta khusus
mengenai pendaftaran tanah wakaf. Implikasinya status wakaf tanah berkenaan
menjadi kabur dan tidak terjamin. Ia mungkin diusik dan terabai. Di antara
isu-isu yang berkaitan dengan pengurusan tanah wakaf ialah ketiadaan
pangkalan data yang sahih mengenai tanah wakaf, tanah wakaf yang tidak besar
dan tidak tersusun, pengurusan tanah wakaf yang tidak bertatacara, pengurusan
tanah wakaf yang tidak standard antara satu negeri dengan negeri yang lain,
ketidaksahihan pewakafan tanah, waris tidak mengetahui tanah telah
diwakafkan, waris menuntut kembali tanah wakaf dan pencerobohan tanah wakaf
(JAWHAR 2006).
|
2. Dalam
penulisan kajian literatur, tujuannya adalah untuk menyampaikan kepada pembaca
pengetahuan dan idea yang telah dikembangkan berkaitan topik kajian dan apa
kelebihan dan kelemahannya kajian-kajian lain kepada anda. Contoh:
Tajuk Kajian: Pembangunan Instrumen Pengajaran Dan
Pembelajaran Kursus Hubungan Etnik Melalui Youtube Untuk Memperkasa Semangat
Patriotisme, Jati Diri Dan Perpaduan Dalam Kalangan Mahasiswa Universiti
Putra Malaysia.
Brennan (1995)
menegaskan bahawa pengajian tinggi memainkan peranan yang besar dalam konteks
sistem pengambilan pekerja dalam erti kata menyediakan ilmu dan kecekapan
berkaitan pekerjaan dan dalam proses pra-pemilihan pelajar untuk pengisian
pekerjaan pada masa hadapan, jawatan dan pangkat.
Jaffar (2012)
berpendapat keberkesanan video YouTube dalam kurikulum pembelajaran
berasaskan masalah menunjukkan hasil yang positif di mana YouTube dianggap
sebagai alat yang berkesan untuk meningkatkan pengajaran sekiranya video
diteliti, pelbagai, dan bertujuan ke arah objektif kursus. Burke et. al
(2009) juga turut menyatakan bahawa pusat pengajian yang menggunakan Youtube
dalam kursus-kursus mereka menganggapnya sebagai sumber pengajaran yang
berkesan.
Dalam konteks
sains anatomi, Raikos dan Waidyasekara (2014) menunjukkan bahawa video
didapati di YouTube menyampaikan pembelajaran dengan baik dalam bidang
anatomi. Eick dan King (2012) menyatakan bahawa video pembelajaran subjek
tersebut membantu mengekalkan perhatian pelajar, penjanaan minat dan
menjelaskan kefahaman di mana pelajar menyatakan bahawa terdapat manfaat
pembelajaran visual dalam membantu mereka memahami proses dan prinsip-prinsip
saintifik dan video daripada Youtube menyediakan pelajar dengan isyarat
memori yang turut membantu mereka mengingati idea-idea konseptual.
Dengan ertikata
lain, Youtube boleh menjadi wahana penting untuk meningkatkan keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran secara maya atau dalam dewan kuliah.
Brennan (1995)
menegaskan bahawa pengajian tinggi memainkan peranan yang besar dalam konteks
sistem pengambilan pekerja dalam erti kata menyediakan ilmu dan kecekapan
berkaitan pekerjaan dan dalam proses pra-pemilihan pelajar untuk pengisian
pekerjaan pada masa hadapan, jawatan dan pangkat.
Menyentuh aspek
kebolehpasaran pula, antara lain, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara
menjelaskan mengenai beberapa ciri yang patut ada pada para graduan seperti
pemilikan kemahiran yang mudah dilentur dan mudah diubahsuai serta mampu
meningkatkan pengetahuan dan menambah baik kemahiran melalui pembelajaran
sepanjang hayat untuk menjamin kerelevanan ilmu dan kemahiran serta
kebolehpasaran (KPTM, 2007: 14). KPTM juga telah melakukan usaha untuk
meminta IPT menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran untuk
meningkatkan ketrampilan graduan dan kebolehpasaran (KPTM, 2007: 31). KPT
juga sepatutnya memantapkan Skim Latihan Graduan untuk graduan dalam semua
bidang dan bukan sahaja program latihan bagi bidang teknologi maklumat dan
komunikasi, perisian komputer dan perakaunan untuk meningkatkan kebolehpasaran
graduan.
IPTS lebih
memberikan tumpuan kepada penawaran kursus atau program bersandarkan kepada
tiga aspek utama iaitu kehendak pasaran, permintaan dan rasional perniagaan
kerana ia lebih berbentuk pendidikan berasaskan keuntungan (PSPTN, 2007: 45).
Selain daripada
faktor-faktor kepemimpinan, kualiti pensyarah, kemudahan, dan kualiti
pelajar, pihak kerajaan juga memberikan tumpuan kepada kerelevenan kurikulum
dengan situasi semasa untuk bersaing di persada antarabangsa dan menghadapi
kemaraan globalisasi. Di samping itu, kerajaan juga memberikan tumpuan kepada
aspek kebolehpasaran bersesuaian dengan permintaan pihak industri, keupayaan
berjaya dalam aspek keusahawanan dan kebolehan menyumbang kepada komuniti dan
masyarakat (PSPTN, 2007: 58).
Sasaran 100,000
pemegang Ph.D dalam tempoh sembilan tahun akan datang adalah di antara
harapan yang diletakkan oleh kerajaan dalam PSPTN. Walau bagaimanapun jumlah
ini ditetapkan dengan lebih realistik dengan sasaran 60000 pemegang Ijazah
Doktor Falsafah menjelang 2015. Kerajaan juga merancang merancakkan lagi
penggunaan bahasa Inggeris dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di IPTA
(PSPTN, 2007: 58).
KPT telah
menjalankan kajian pengesanan graduan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada
tahun 2009. Antara lain, kajian tersebut mengesan graduan IPT yang bergraduat
pada tahun tersebut untuk membantu IPT merancang struktur kurikulum dan
pembelajaran yang lebih baik daripada sedia ada.
Mengikut statistik
Kajian Pengesanan Graduan IPT 2007, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia,
graduan IPTA yang bergraduat pada tahun 2007 terdiri daripada 43.7% dalam
bidang sastera dan sains sosial manakala bidang pendidikan 11.4%, teknikal
20.9%, sains 16.6% dan teknologi maklumat dan komunikasi sebanyak 7.4%.
|
3. Sebagai satu
hasil penulisan, tinjauan literatur perlu ditakrifkan oleh konsep membimbing
(contohnya, objektif penyelidikan anda, masalah atau isu yang anda sedang
bincang, atau tesis yang ditelingkah oleh anda). Ia bukan sahaja senarai
deskriptif bahan yang ada atau satu set ringkasan bahkan memperluaskan
pengetahuan anda tentang topik.
4. Penulisan
kajian literatur membolehkan seseorang pengkaji:
i. mendapat
dan menunjukkan kemahiran mencari maklumat,
ii. keupayaan
untuk mengimbas sebarang penulisan dengan cekap dengan menggunakan kaedah
manual atau berkomputer,
iii. mengenal
pasti satu set artikel yang berguna dan buku-buku dengan penilaian kritikal
iv. keupayaan
untuk mengaplikasikan prinsip-prinsip analisis yang tidak berat sebelah dan
sahih untuk mengenal pasti subject matter
kajian sebenar.
5. Satu
kajian literatur perlu melakukan perkara-perkara yang dianjurkan yang berkaitan
secara langsung dengan tesis atau soalan penyelidikan. Seterusnya membangunkan
dan mensintesis keputusan ke dalam ringkasan apa yang ada dan apa yang tidak
diketahui. Contoh:
Tajuk Kajian: Pembangunan Instrumen Pengajaran Dan
Pembelajaran Kursus Hubungan Etnik Melalui Youtube Untuk Memperkasa Semangat
Patriotisme, Jati Diri Dan Perpaduan Dalam Kalangan Mahasiswa Universiti
Putra Malaysia.
Menurut Stith
(2000), penggunaan video dan animasi dalam kuliah dan laman ssesawang adalah
satu daripada kelebihan utama komputer dalam pengajaran. Buzzetto-More (2014)
telah mengkaji persepsi pelajar terhadap implikasi penggunaan Youtube dalam
konteks pembelajaran. Beliau mendapati kaedah pengajaran ini boleh
mengembangkan pembabitan pelajar, meningkatkan pemahaman yang mendalam
terhadap pengajaran dan memberi kepuasan yang tinggi terhadap kursus-kursus
universiti. Di samping itu, penggunaan Youtube dalam proses pengajaran dan
pembelajaran boleh mencambahkan pengajaran dengan pelajar selalunya akan
melayari laman Youtube dengan menggunakan telefon bimbit. Durasi video
memberikan impak kepada pilihan pelajar sama ada ingin menonton video ataupun
tidak dan format penyampaian kursus juga menentukan pilihan pelajar. Menurut
Adam dan Mowers (2007), kita boleh menggunakan Youtube untuk memberi motivasi
yang baik kepada para mahasiswa.
Para pelajar tidak
sepatutnya duduk dan disuap dengan berbagai syarahan dalam kuliah. Mereka
seharusnya melakukan observasi, menonton dan belajar melalui berbagai cara.
Kaedah memasukkan video ke Youtube untuk tujuan pembelajaran adalah kaedah
terkini untuk meningkatkan pembelajaran dan pengajaran. Menurut Skiba (2007),
adalah penting untuk memikirkan bagaimana Youtube sebagai satu wahana dapat
mewujudkan satu komuniti pembelajaran berbentuk maya.
|
6. Di samping
itu, ia bertujuan untuk mengenal pasti bidang kontroversi dalam literatur dan
merumuskan soalan-soalan yang perlukan penelitian lanjut. Contoh:
Tajuk Kajian: Pembentukan Model Dan Alat Pengukuran
Tahap Kesesatan Dan Kemerbahayaan Ajaran Sesat Serta Potensinya Menjadi
Ekstrem Di Malaysia
Mengikut
perangkaan JAKIM [Berita Harian, 8 Disember 1997] yang dikeluarkan pada tahun
1995, sebanyak 57 ajaran sesat telah dikenal pasti di seluruh Malaysia serta
diwartakan dan matlamat utama penubuhannya dilaporkan bertujuan melemahkan
perpaduan umat Islam dan memusnahkan agama Islam. Ajaran sesat juga melakukan
penyelewengan terutamanya dalam akidah dan syariah melalui berbagai
pendekatan dan kaedah yang tersendiri. Pemimpin ajaran sesat juga sering
mendakwa dirinya sebagai terlalu hebat untuk mendapat kepentingan peribadi.
Kebiasaannya para pengikut juga akan menganggap pemimpin ajaran sesat itu
amat hebat setelah menunjukkan beberapa perkara pelik yang bertentangan
dengan kebiasaan dan adat. Pemimpin ajaran sesat juga akan mendakwa mereka
telah sampai ke satu martabat yang tinggi sehingga mengetahui perkara-perkara
ghaib, rahsia hakikat, makrifat dan rahsia-rahsia batin (Abdulfatah Haron
Ibrahim, 1993). Seringkali apa yang dilakukan pemimpin itu adalah
bertentangan dengan Al-Quran dan Al-Sunnah.
Ajaran sesat
diketahui membawa ajaran yang bertentangan dengan agama Islam kerana kepentingan
dan faedah peribadi pemimpin, pelopor atau perintisnya. Pemimpin ajaran sesat
boleh mempengaruhi ahlinya untuk melakukan sesuatu yang di luar batasan
undang-undang dan melangkaui akal manusia. Pertubuhan Al-Ma’unah misalnya
walaupun bukan sebuah ajaran sesat, tetapi kebolehan pemimpinnya mempengaruhi
ahli-ahli bawahannya untuk melakukan sesuatu di luar batasan undang-undang,
membuatkan kita boleh melakukan satu kesimpulan bahawa sesuatu ajaran guru
itu boleh bertukar menjadi ekstrem. Siapa sangka sebuah pertubuhan seni
mempertahankan diri bertukar menjadi sebuah pertubuhan pengganas atau
militan. Terdapat sesuatu yang meragukan dalam ajaran pertubuhan ini hingga
pengikut-pengikutnya bertindak ganas membunuh dan mencederakan. Kumpulan
al-Ma’unah telah menggunakan 3 kenderaan Pajero yang telah dicat semula
menjadi kenderaan tentera untuk mengaburi mata pihak berkuasa ketika memasuki
Post 2 Kuala Rui dan Kem 304 Gerik, mencuri senjata M16 (97 buah), GPMG (4),
grenade launcher (5), 9,095 peluru 5.56mm dan 60 butir peluru 40mm. Kumpulan
yang melibatkan Shahidi dan Khairul Anuar telah pergi kilang Carlsberg di
Shah Alam dan melepaskan tembakan grenade launcher. Shahidi pula berseorangan
apabila beliau melepaskan tembakan grenade launcher ke arah Guiness Anchor Berhad
di Jalan Kelang Lama dan Kuil Hindu Batu Caves (Star Online, 4 Disember
2005). Dalam insiden ini, pihak berkuasa gagal menghidu lebih awal kegiatan
keganasan yang bakal berlaku.
Contoh insiden
yang lain ialah kumpulan Mohamad Nasir Ismail. Kumpulan Mohamad Nasir Ismail
telah menyerang Balai Polis Batu Pahat pada 16 Oktober 1980 dalam usaha
awalan untuk menguasai Malaysia dan menjadikannya sebuah negara Islam.
Pemimpinnya Muhammad Nasir mengaku sebagai Imam Mahdi dan pengikutnya
dianggap sebagai tentera Allah di bumi. Seramai 8 ahli kumpulan ini mati dan
6 cedera setelah berbalas tembakan dengan pihak polis (Abdul Rahman Ismail,
2003). Tiada amaran awal diperolehi sebelum insiden ini berlaku. Ajaran
Mohamad Nasir Ismail ternyata sesat, tetapi tiada siapa yang dapat menduga
bahawa ia akhirnya menjadi begitu melampau hingga sanggup menyerang balai
polis. Sekali lagi, ajaran sesat ini gagal dikesan lebih awal bahawa ia akan
bertukar menjadi kumpulan pelampau.
Dalam kedua-dua
kes di atas, ternyata ajaran sesat boleh menjadi kumpulan pelampau dan
pengganas. Ia dapat dielakkan jika pihak berkuasa dapat mengesan lebih awal
potensi ia menjadi melampau. Maka apakah pengukuran dan instrumen yang boleh
mengukur potensi ajaran sesat menjadi pelampau? Apakah indeks tahap kesesatan
ajaran sesat, tahap kemerbahayaaan dan potensinya menjadi pengganas?
Bagaimanakah kita dapat mencegah dan anticipate sebelum terjadinya insiden
keganasan? Kajian yang akan bakal dijalankan ini, insyaallah akan menjawab
persoalan-persoalan dan kemusykilan ini. Setiap gerakan pengganas adalah
ajaran sesat dan begitu jugalah Jemaah Islamiah (JI).
Dalam kes-kes yang
telah disebutkan di atas, ternyata konsepsi jihad yang songsang, doktrin
pembentukan negara Islam yang salah, doktrin pelaksanaan undang-undang Islam
secara tidak tepat dan persepsi terhadap orang bukan Islam serta Barat
mempengaruhi tindakan-tindakan ekstrem dan melampau [Nasir Abas (2006),
Hellmich (2008), Ahmad Fauzi (2007), Johannen, Smith dan Gomez (2003), Bergen
(2002)]. Elemen-elemen ini jugalah yang diindoktrinasi kepada pengikut hingga
membawa kepada tindakan-tindakan yang membelakangkan undang-undang dan
membawa kepada keganasan.
Negara digemparkan
dengan penangkapan 10 orang individu dari institusi pengajian tinggi awam di
Gombak, Selangor pada 22 Januari 2010 kerana terlibat dengan aktiviti
terorisme. Keseluruhannya 50 orang sedang mengikuti ceramah agama dalam
sebuah rumah di daerah tersebut. Pada pertengahan Jun 2010, negara sekali
lagi digemparkan dengan penyebaran pengaruh Jemaah Islamiah di kalangan 30
pelajar universiti awam tempatan (New Straits Times, 21 Jun 2010). Perdana
Menteri Malaysia, YAB. Datuk Seri Mohd. Najib Razak (Ibid.) berkata bahawa
penyebaran fahaman militan Islam di universiti awam adalah satu ancaman
kepada keselamatan negara dan bukannya sengaja diada-adakan oleh kerajaan.
Najib memberikan komen ketika ditanya mengenai penangkapan sekumpulan pelajar
luar negara yang disyakki direkrut oleh Al-Qaeda dan Jemaah Islamiah. Beliau
melahirkan kekesalan mengenai tindakan pihak pembangkang yang mempolitikkan
isu tersebut dengan membohongi masyarakat bahawa tidak terdapat sebarang
ancaman. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang menyatakan bahawa tidak
ada sebarang ancaman daripada JI di Malaysia dan pihak kerajaan didakwa
sengaja mengalihkan isu daripada rakyat. Kata, YAB. Datuk Seri Mohd. Najib
pula, kalau rakyat tidak mahu mempercayai ancaman itu, mereka akan menyesal
kemudian apabila keganasan benar-benar berlaku. Mereka kemudiannya mereka
akan menyalahkan kerajaan kerana tidak mengambil sebarang tindakan untuk
mencegah ancaman tersebut. Apa yang dilakukan oleh kerajaan ialah mengambil
tindakan proaktif. Namun demikian, ajaran sesat dalam agama lain juga
berpotensi menjadi pengganas.
Oleh yang demikian,
kajian penerokaan (exploratory research) ini mempunyai signifikan untuk
meneroka fenomena ajaran sesat yang tidak pernah berkesudahan dalam negara
kita dan menghasilkan satu model instrumen yang boleh mengesan secara
hypothetical dan kualitatif potensi sesuatu ajaran sesat boleh menjadi
kumpulan pelampau dan pengganas. Ini akan membantu pihak berkuasa mengesan
lebih awal potensi ia menjadi melampau dan mengelakkan kerugian dari segi
nyawa, harta benda dan imej negara. Dengan ertikata lain, kajian ini akan
mengenalpasti tentang persoalan apa, kenapa, di mana dan bagaimana. Begitu
juga dalam konteks menyelamatkan akidah.
|
7. Apakah
kajian literatur anda mampu menentukan pokok perbincangan tertentu, tesis
tertentu, masalah atau soalan penyelidikan?
8. Apakah
jenis kajian literatur yang dijalankan? Apakah isu-isu, teori teori,
metodologi, dasar, penyelidikan kuantitatif (contohnya mengenai keberkesanan
prosedur baru), penyelidikan kualitatif
(contohnya kajian menggunakan teknik wawancara) diulas?
9. Apakah
skop kajian literatur anda? Apakah jenis penerbitan yang anda gunakan
(contohnya, jurnal, buku, dokumen-dokumen kerajaan atau media popular)? Apakah
disiplin yang diteliti (contohnya, psikologi kejururawatan, sosiologi,
perubatan dan seumpamanya)?
10. Adakah
telah dicari maklumat dengan cara yang terbaik? Adakah carian telah cukup luas
untuk memastikan semua dapatan dan bahan yang relevan diperolehi? Adakah ia
cukup rigid untuk mengecualikan bahan tidak relevan? Adakah bilangan sumber
literatur telah digunakan sesuai dengan signifikan dan kedalaman kajian?
11. Adakah
telah dilakukan secara kritikal sorotan literatur? Adakah telah diikuti ulasan
melalui satu set konsep dan soalan. Adakah dibandingkan di antara satu
literatur dengan yang lain? Adakah ianya hanya satu penyenaraian dan merumuskan
perkara-perkara penting? Adakah dinilai semua literatur dan dibincangkan
kekuatan dan kelemahan? Adakah dipetik dan dibincangkan kajian yang
bertentangan dengan perspektif pengkaji? Adakah literatur yang diulas sangat
berkaitan dengan kajian, sesuai dan berguna?
No comments:
Post a Comment