Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Friday, October 9, 2015

Peranan Proaktif Malaysia Turut Sumbang Kejayaan Palestin (BERNAMA, Oct 5, 2015)

Peranan Proaktif Malaysia Turut Sumbang Kejayaan Palestin (BERNAMA


KUALA LUMPUR – Sebut sahaja Palestin, pastinya yang akan tergambar di fikiran adalah pelbagai kemusnahan harta benda, peperangan dan kesengsaraan serta kematian rakyatnya akibat kekejaman regim Zionis.
Negara yang ‘semakin mengecil’ dan terletak di tengah-tengah Israel, Palestin yang tidak sunyi daripada bedilan senjata tanpa rasa belas kasihan sehinggakan banyak nyawa terkorban, sentiasa mendapat perhatian dunia, sekaligus meruntun hati seluruh umat Islam.
Alhamdulillah, Palestin hari ini sudah mampu tersenyum apabila berjaya memperoleh kejayaan awal yang memberikan harapan bukan sahaja kepada rakyatnya bahkan umat Islam sejagat dengan berkibarnya bendera Palestin di bangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), di New York.
 CLICK TO SEE MORE 
palestina-bendera-di-PBB
Buat julung kalinya dalam sejarah, pada 1 Okt lepas Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menaikkan bendera Palestin di Rose Garden, ibu pejabat PBB, berkibar sebaris dengan negara-negara anggota badan dunia. Menyaksikan peristiwa bersejarah itu ialah Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon. Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman turut menghadiri majlis itu.
Palestin sebelum ini diiktiraf sebagai negara pemerhati bukan anggota PBB pada 2012. Pada Perhimpunan Agung PBB 10 Sept lepas, draf resolusi yang dibentangkan mengenai pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara mendapat sokongan 119 negara, lapan menentang manakala 45 berkecuali. Sekali gus, ia membolehkan Palestin mengibarkan bendera kebangsaannya di ibu pejabat dan pejabat-pejabat di PBB. Lapan negara yang menentang ialah Israel, Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Marshall Islands, Persekutuan Micronesia, Palau serta Tuvalu.
MALAYSIA MAIN PERANAN DENGAN BAIK
Apakah kejayaan yang dimiliki Palestin hari ini hasil daripada usaha keras negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk Malaysia?
Mengulas persoalan itu, Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Dr. Amini Amir Abdullah berkata usaha berterusan Malaysia dan negara-negara OIC yang menyokong dan melobi Palestin tanpa jemu telah membuahkan hasil.
“Malaysia memainkan peranan dengan baik dan proaktif dalam menyuarakan kebimbangannya terhadap masa depan Palestin, yang sering ditindas oleh Israel dengan jelas melakukan kezaliman terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa.
“Hari ini, kita sebagai umat Islam berasa bangga dengan pencapaian Palestin yang pastinya telah disokong kuat oleh Malaysia dan negara anggota OIC yang lain. Ini adalah sinar harapan buat semua umat Islam untuk melihat Palestin sebagai sebuah negara yang bebas,” katanya kepada Bernama di sini.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Ilmuan (iLMU) Malaysia, Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya berkata kejayaan yang dikecapi negara Islam itu hanya secebis dan berharap negara itu akan terus melakar kejayaan lebih besar.
“Kita gembira dengan perkembangan ini dan berharap Palestin terus bangkit dan memahat kejayaan yang lebih besar,” katanya kepada Bernama dari Jeddah, Arab Saudi.
Pun begitu, beliau amat mengharapkan agar kejayaan awal yang dimiliki Palestin hari ini mampu mencapai ke arah titik pendamaian antara Tel Aviv dan Ramallah.
“Saya masih kurang pasti apakah dengan kejayaan itu, ia dapat membantu Palestin bebas daripada cengkaman Israel. Kita doakan yang terbaik…,” katanya.
Ahmad Fazrin berkata Malaysia yang sentiasa konsisten dengan pendirian mengutuk sebarang bentuk keganasan dan komited dalam memperjuangkan hak yang dicabuli Israel, adalah sebahagian faktor kejayaan Palestin.
al aqsa
Pada 21 Sept lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan kecaman keras Kerajaan Malaysia terhadap pencabulan Israel ke atas Masjid Al-Aqsa serta cubaan memisahkan tempat ibadah umat Islam itu.
Konflik Palestin-Israel telah berlarutan kira-kira enam dekad susulan pencerobohan dan kependudukan Israel di negara itu.
Lebih 70 resolusi diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB dalam usaha menyelesaikan konflik itu sejak 1948 selepas badan dunia itu ditubuhkan pada 1945, namun masih tidak berjaya menamatkan konflik itu.
MALAYSIA JADI MODEL NEGARA ISLAM
Mengulas lanjut, Amini Amir, yang juga Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata kejayaan Palestin selain daripada sokongan negara Islam, turut didorong oleh konsep kesederhanaan yang dipromosikan Najib kepada dunia pada 2011 dan mengulanginya pada 2013.
“Ya… Global Moderation Movement (GMM) yang diketengahkan Perdana Menteri ternyata telah sedikit sebanyak membuahkan hasil dan sebenarnya masyarakat dunia telah lama memerhatikan Malaysia.
“Namun Malaysia membuktikan bahawa negara ini mengamalkan pendekatan yang sederhana, tidak ekstrem dan boleh diterima masyarakat dunia. Malaysia dilihat sebagai model negara Islam dan disebabkan itu, keputusan membolehkan Palestin mengibarkan bendera kebangsaannya turut didorong oleh elemen Malaysia,” katanya.
najib-pbb-2
Pada 27 Sept 2010, Najib dalam ucapan sulungnya di perhimpunan agung PBB menggesa masyarakat dunia untuk mengamalkan kesederhanaan sebagai cara terbaik untuk bertindak dan maju ke hadapan.
Perdana Menteri mengetengahkan idea GMM, yang antara lain bertujuan membendung ekstremisme dan keganasan yang menjadi ancaman dan cabaran kepada dunia, selain menghapuskan prasangka dan prejudis terhadap Islam.
Najib berkata kesederhanaan bukan konsep yang asing kepada manusia dan bukan bersifat teori semata-mata. Sebaliknya, ia boleh membantu mencipta masa depan lebih baik seperti yang dibuktikan oleh pemimpin-pemimpin pada tamadun-tamadun terdahulu.
Inisiatif GMM seterusnya menarik perhatian dan sokongan ramai pemimpin dunia yang menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth pada Oktober 2011, yang kemudian meperkukuhkannya apabila dijadikan sebagai sebahagian daripada Pernyataan Bersama 17 Perkara CHOGM.
Najib, yang menerima Anugerah Keamanan Global pada Disember 2013 daripada Yayasan Keamanan Global hasil peranannya dalam penyelesaian konflik Bangsamoro antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro, berikrar untuk terus menyebarkan kebaikan dan kesederhanaan dengan harapan untuk menyatukan semua demi keamanan sepanjang masa. – BERNAMA

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak