IS/ISIS (Islamic State) Sangat
Merbahaya
IS/ISIS
telah memulakan strategi kempen besar-besaran ke seluruh dunia untuk menarik
perhatian massa untuk menyertai perjuangannya. Kesannya dalam tempoh satu
tahun, ia berjaya meraih simpati umat Islam dari beberapa negara. Pada 21 September
2014, IS/ISIS telah meminta penyokongnya di seluruh dunia untuk membunuh setiap
warganegara Barat terutamanya rakyat Perancis dan Amerika Syarikat sebagai
tindak balas terhadap kempen memerangi IS/ISIS. Mereka meminta agar setiap
Muslim bertindak mengikut kemampuan masing-masing. IS/ISIS telah mencadangkan
beberapa kaedah untuk menyerang orang Amerika dan Perancis, antaranya:
i.
Gunakan bom atau pistol
ii.
Serang mereka dengan hentakan batu
iii.
Sembelih mereka dengan pisau
iv.
Langgar dengan kereta
v.
Tolak mereka dari atas tebing yang tinggi
vi.
Cekik dan
vii.
Suntik dengan racun
Kata
jurucakap IS/ISIS lagi, jika tidak mampu, bakar rumah mereka, kereta,
perniagaan atau kebun mereka. Jika tidak mampu juga, ludah muka mereka. Jika
seseorang tidak mampu melakukan perkara ini sedangkan saudara Muslim yang lain
dibom dan dibunuh manakala nyawa dan harta benda mereka dimusnahkan di
mana-mana, maka seseorang perlu memeriksa semula imannya. Inilah penyelewengan
perjuangan oleh IS/ISIS.
Bermula
dari Februari 2013 hingga 6 April 2015, seramai 93 orang rakyat Malaysia telah
ditangkap kerana cuba melibatkan diri dengan pergerakan haram Islamic State (IS/ISIS)
yang menjadikan lokasi perjuangan mereka di Iraq dan Syria. Anak-anak muda dan
belia mahu menjadi seperti mereka yang dikatakan kononnya berjuang menegakkan
negara Islam. Apa yang membimbangkan, sudah ada rakyat Malaysia yang cuba
menjadikan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai sasaran termasuk orang-orang
kenamaan, kem askar dan balai-balai polis. Mereka mahu menyerang balai polis
dan kem askar demi untuk mendapatkan senjata. Ada juga yang merancang untuk
melakukan rompakan bank demi untuk membiayai perjuangan songsang mereka. Propaganda
para pengganas IS/ISIS serupa dengan strategi pemasaran dan terlalu ramai belia
di seluruh dunia yang tertarik dengan perjuangan berasaskan keganasan ini. Ini
merupakan satu fenomena sosial yang tidak dijangkakan oleh banyak pihak.
Pelajar-pelajar
Malaysia di luar negara juga terdedah kepada propaganda IS/ISIS. Tiada siapa
yang memantau aktiviti pelajar Malaysia di Amerika Syarikat, United Kingdom,
Eropah, Asia Barat, Australia, Rusia atau Indonesia. Tiada siapa boleh
memastikan pelajar-pelajar kita tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat ini.
Apatah lagi, ramai daripada rakyat Malaysia yang telah mengubah taktik untuk ke
Syria dan Iraq bagi menyertai perjuangan IS/ISIS. Kalau dahulu mereka
menggunakan transit melalui Brunei, Turki dan seumpamanya, kini ramai yang
menggunakan laluan Bangkok untuk ke Syria atau Iraq.
IS
telah berjaya menarik simpati ramai remaja untuk menyertai perjuangan mereka. Menurut
laporan media, lebih daripada 600 rakyat Britain kini di Syria, termasuk
kanak-kanak lelaki dan perempuan yang telah menjadi pejuang IS atau menawarkan
diri menjadi isteri kepada para pengganas ini. Bagi rakyat Malaysia yang telah
pergi ke Syria dan Iraq, jumlah yang dapat dikesan ialah sekitar 90 hingga 100
orang. Sepuluh warganegara Malaysia telah terbunuh dalam pertempuran dan
sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dalam misi pengeboman bunuh diri. Ahli
psikatris forensik, Marc Sageman telah mengkaji data biografi 172 Muslim yang
menyertai jihad songsang dan dinyatakan dalam bukunya Understanding Terror Networks. Beliau mendapati orang-orang muda
yang menyertai jihad songsang adalah mereka yang mempunyai jaringan sosial dan
ikatan kekeluargaan dan persahabatan yang kukuh antara satu sama lain. Beliau
juga mendapati masalah emosi, tingkahlaku, kemiskinan, trauma dan kejahilan
tidaklah merupakan faktor dominan dalam mempengaruhi golongan muda menyertai
jihad.
Pada
5 April 2015 (Ahad), polis telah menahan 17 orang lagi kerana terlibat dengan
IS. Menteri Dalam Negeri YB. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, suspek
yang berusia antara 14 dan 44 tahun telah merancang untuk membuat bom dan
mensasarkan balai polis dan kem-kem tentera untuk mendapatkan senjata api.
Antara yang ditahan ialah dua anggota tentera, pengawal keselamatan dan dua
orang pelajar.
YB.
Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid yang mendedahkan perkara ini ketika menggulung
perbahasan Rang Undang-undang Akta Pencegahan Keganasan di Dewan Rakyat pada
hari Isnin (6 April 2015) berkata bekas anggota Kumpulan Mujahidin Malaysia,
seorang bekas tahanan ISA dan lelaki yang telah menjalani latihan ketenteraan
di Indonesia dan Afghanistan juga termasuk dalam kumpulan tersebut. Rang
Undang-undang bagi Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 akhirnya diluluskan
pada awal pagi Isnin, selepas perdebatan maraton lebih daripada 10 jam di Dewan
Rakyat. Ia telah diluluskan dengan kiraan undi majoriti dengan 79 Ahli Parlimen
Barisan Nasional menerima rang undang-undnag tersebut manakala 60 ahli
pembangkang menolak.
Penolong
Komisioner Kanan (SAC) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Timbalan Pengarah
Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman
menjelaskan bahawa terdapat mereka yang bersimpati dengan IS/ISIS di
agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan di negara ini. Beliau
menjelaskan bahawa pihak polis telah mengenal pasti agensi-agensi terbabit dan
sedang memantau aktiviti mereka tetapi beliau enggan mendedahkan butiran
lanjut. Pada bulan lepas, Ayob Khan mendedahkan bahawa bilangan keluarga dari
Malaysia yang menyertai IS telah meningkat, dengan sekurang-kurangnya lapan orang
sudah berada di Syria.
Beliau
berkata pengaruh ideologi dan latihan yang disediakan adalah begitu kuat hinggakan
beberapa rakyat Malaysia mengeluarkan ancaman bunuh kepada ahli-ahli keluarga
mereka sendiri jika mereka menentang IS/ISIS. Salah seorang daripada mereka
kini berada di Syria dan mengeluarkan amaran melalui Facebook bahawa dia akan
membunuh ibu, bapa dan adik-beradiknya jika mereka menyokong Kerajaan dalam
menentang IS/ISIS. Datuk Ayob Khan tidak menolak kemungkinan bahawa sesetengah
pelajar Malaysia di negara-negara berdekatan dengan Syria dan Iraq telah
menjalani latihan ketenteraan IS/ISIS ketika cuti semester. Ancaman terrorisme
adalah benar dan kemungkinan pengganas IS/ISIS Malaysia apabila kembali ke
tanahair untuk melancarkan serangan tetap ada. Salah satu daripada peranan
utama kerajaan untuk melindungi rakyat Malaysia daripada sebarang bentuk
keganasan ialah melalui undang-undang. Pengenalan POTA boleh merealisasikan
hasrat murni ini. Akta ini boleh dilihat sebagai satu langkah pencegahan dan
bukan menghukum semata-mata.
Kita
harus melihat apakah punca menyebabkan berlakunya pembabitan rakyat Malaysia
dalam aktiviti tidak berakhlak dalam konteks penyertaan mereka dalam jihad
songsang IS/ISIS. Salah faham terhadap konsep jihad adalah di antara punca
utama mereka menyertai jihad songsang IS/ISIS. Ada pihak yang menyalahkan
sistem pendidikan Islam di sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan dan sekolah
agama rakyat. Ada juga yang menuduh bahawa sistem pendidikan Islam telah
diradikalkan dengan terlalu banyak indoktrinasi keagamaan. Mereka menuduh
bahawa indoktrinasi keagamaan ini berlaku bermula dari Tadika hinggalah ke
peringkat pengajian tinggi. Adakah perkara ini benar? Tentunya perkara ini
tidak benar sama sekali. Kita percaya bahawa aktiviti tidak berakhlak ini
adalah berpunca daripada salah faham terhadap konsep jihad dan pengaruh media
sosial terutamanya Facebook yang berjaya memperdaya rakyat Malaysia untuk
menyertai IS/ISIS di Syria dan Iraq.
Ketika
globalisasi begitu memuncak, ramai orang Islam yang berasa skeptikal terhadap
pembangunan ekonomi Barat, politik, norma dan budaya Barat. Ramai juga yang
menyalahkan Barat kerana kegagalan umat Islam menguasai dan menyelesaikan
masalah-masalah sosio-ekonomi dan politik dalaman. Pada masa yang sama umat
Islam menghadapi cabaran yang lebih besar iaitu kehakisan nilai-nilai keagamaan
dan nilai-nilai sosial yang mengakibatkan berbagai masalah lain muncul dalam
dunia Islam. Ini adalah akibat daripada penjajahan fizikal dan penjajahan
pemikiran oleh pihak Barat. Pengabaian terhadap nilai fundamental dan prinsipal
Islam mengundang padah kepada umat Islam sendiri yang membawa kepada kerapuhan
akidah dan kelunturan sahsiah serta ketidakmampuan menguasai ekonomi.
Seterusnya ini membawa kepada implikasi negatif dalam konteks politik, ekonomi,
sosial, pendidikan dan seumpamanya.
Sebagai
penyelesaian kepada semua permasalahan ini, umat Islam perlu bangkit dan
bertindak dengan kembali berpegang dengan kukuh kepada Al-Quran dan Al-Sunnah.
Ramai yang memikirkan kaedah dan cara menyelesaikannya secara aman dan beradab.
Agak ramai juga yang mengambil tindakan yang melampau yang kononnya didakwa
tindakan mereka diredai oleh Allah SWT kerana mereka hanya mengambil satu
tafsiran sahaja dalam mengabsahkan segala tindakan mereka yang melampau dan
menjustifikasikannya atas nama agama dan jihad. Mereka gagal melihat pelbagai
dimensi tafsiran yang betul mengenai jihad dan orang bukan Islam. Mereka
bertuhankan pendapat-pendapat yang melampau dan mengabaikan prinsip wasatiyyah dalam melihat segala tindakan
manusia di dunia ini. Terdapat juga gesaan agar umat Islam kembali kepada
prinsip perpaduan ummah dan melihat formula kebangkitan Islam ketika zaman
keemasan tamadun Islam dan kegemilangan pemerintahan Rasulallah SAW. dan para sahabat
r.a. Terdapat juga gesaan agar dikembalikan pemerintahan negara kepada sistem
Khilafah seperti zaman awal Empayar Islam. Mereka berpendapat negara Islam yang
sebenar sepatutnya diterajui oleh Khalifah. Institusi kekhalifahan inilah yang
diperjuangkan oleh Hizb Al-Tahrir pada pengakhir tahun 80an sehingga sekarang.
Fahaman Hizb Al-Tahrir yang bermula di Jordan telah menular ke Amerika
Syarikat, United Kingdom, Eropah dan Asia Tenggara.
Terdapat
segolongan umat Islam yang percaya bahawa undang-undang Islam perlu menjadi
teras perjalanan negara dan mencegah masyarakat daripada terjebak dengan
berbagai masalah sosial dan jenayah. Islam sepatutnya dijadikan asas dalam
setiap aspek bidang kehidupan. Terdapat juga umat Islam yang menolak perubahan
dan kemodenan kerana dikatakan tidak Islamik dan tidak menepati tafsiran mereka
mengenai maksud transformasi dan pemodenan. Namun demikian, ramai juga ulama
yang melihat dunia yang serba moden dan canggih ini boleh disesuaikan dengan
Islam sekiranya aplikasi ijtihad dan siyasah
syar’iyyah dipraktikkan.
Sikap
berwaspada terhadap Barat oleh umat Islam sebenarnya mempunyai asas yang kukuh
berdasarkan pengalaman masa lalu. Hampir semua negara Islam telah mengalami
pengalaman yang pahit terhadap penjajahan Barat dalam konteks budaya, politik
dan ekonomi serta campurtangan mereka terhadap hal ehwal dalaman umat Islam.
Sebagai contoh, Amerika Syarikat telah menyingkirkan Mohammad Mosaddegh pada
tahun 1953 dalam satu insiden penggulingan kuasa (coup d'état) yang diketuai
American Central Intelligence Agency (CIA) dan The British Secret Intelligence
Service (MI5). Pada 8 Ogos 1990, Iraq telah dikenakan sekatan ekonomi dan
embargo sehingga bulan Mei 2003 dan negara Saddam Hussein telah diserang dan dijajah
selama berbelas tahun oleh Barat atas alasan membangunkan dan memiliki senjata
pemusnah massa. Sehingga kini, dakwaan ini tidak dapat dibuktikan oleh Barat
dan sekutunya. Dalam tempoh ini, lebih 1 juta rakyat Iraq telah mati dan hampir
separuh daripadanya adalah kanak-kanak berusia di bawah 5 tahun.
Dasar
Amerika Syarikat terhadap Israel amat tidak disukai oleh umat Islam. Amerika
dan sekutu Baratnya dengan jelas dan tanpa berselindung telah menyokong
penubuhan negara haram Israel. Amerika Syarikat memberikan sokongan kewangan
berjumlah USD3 billion setiap tahun bermula 1985 kepada Israel. Amerika
Syarikat juga membekalkan senjata-senjata canggih, sokongan material dan
psikologi, latihan dan kepakaran kepada Israel untuk menentang rakyat Palestin.
Amerika Syarikat juga telah menolong Israel untuk membangunkan senjata dan
teknologi nuklear untuk Israel guna menakut-nakutkan negara dan umat Islam. Israel
juga adalah rakan kongsi strategik utama Amerika Syarikat. Pada 2012 Israel
telah memohon untuk menambah stok simpanan pertahanan berpangkalan di luar
negara dan memindahkan lebihan bajet Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat ke Israel.
Presiden Amerika Syarikat diberi kuasa yang lebih untuk menjalankan aktiviti
kerjasama termasuk dalam bidang tenaga, air, keselamatan, tanah, keselamatan
siber, pertanian, dan teknologi bahan api alternatif serta tenaga boleh
diperbaharui. Israel juga telah menggesa agar Presiden Amerika memberikan
bantuan untuk meningkatkan sistem pertahanan roket dari darat ke udara dan
udara ke udara. Para pembaca boleh membaca lebih lanjut mengenai maklumat
berkaitan penguasaan Israel ke atas White House dalam buku Mearsheimer dan
Walt; The Israel Lobby, Jimmy Carter;
Peace Not Apartheid dan James Petra; The Power of Israel in the United States.
Adapun
gerakan IS atau ISIS adalah gerakan berasaskan ideologi ekstrem yang mempunyai
tatacara idelaistik dan komited untuk menubuhkan negara Islam dengan apa cara
sekalipun hatta walaupun dengan menggunakan kekerasan. Mereka bersedia untuk
“berkorban” walaupun dengan mengorbankan diri untuk mencapai matlamat “suci”
ini. Matlamat hidup mereka adalah untuk membantu menubuhkan negara Islam yang
tidak diberikan definisi yang jelas oleh mereka. Bagi mereka, apa yang
dikatakan “tidak Islamik” perlu disanggah dan dimusnahkan segera. Mereka
menolak dakwah secara berhikmah. Apakah yang menjadi motivasi kepada para
pelampau IS ini? Pertama, salah faham bahawa menyertai IS adalah kunci daripada
kunci-kunci untuk ke syurga. Kononnya, perjuangan bersama IS dan mati kerana
perjuangan itu dapat memasuki syurga secara langsung tanpa dihisab. Kedua,
kepercayaan bahawa tiada keperitan dalam perjuangan “suci” dan berakhirnya
segala penderitaan. Ketiga, mereka percaya bahawa pahala perjuangan mereka akan
diperolehi oleh kaum keluarga kerana jika mereka mati, pahalanya akan turut
diperolehi oleh keluarga. Jika mereka
mati “Syahid”, Allah akan memberikan rezeki kepada kaum keluarga mereka, dan
keempat; mereka percaya bahawa perbuatan mereka itu bukanlah perbuatan bunuh
diri kerana perbuatan bunuh diri adalah perbuatan orang yang mempunyai penyakit
dan kelemahan mental. Mereka menamakan perbuatan mereka sebagai “Istishhad”.
Kerana
keganasan IS/ISIS, ramai kanak-kanak di Iraq dan Syria tidak dapat meneruskan
persekolahan. Mengikut laporan UNICEF (Mac 2014), kira-kira 2.8 juta
kanak-kanak Syria tidak dapat menghadiri sesi persekolahan kerana masalah
peperangan saudara di negara mereka.
Kebanyakan bilik darjah telah dibom, atau dijadikan tempat perlindungan
atau dijadikan pos ketenteraan. Kira-kira 40% kanak-kanak yang sepatutnya
bersekolah tidak dapat menghadiri sesi persekolahan di Syria dan 26,000 di Iraq.
UNICEF juga menganggarkan kira-kira 2 juta kanak-kanak memerlukan bantuan
psikologi atau kaunseling di kedua negara yang bergolak ini.