Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Monday, January 6, 2014

3 Januari 2014 (BERNAMA). Himpunan Haram: Golongan Oportunis Ambil Kesempatan Guna Rakyat Atas Nama Demokrasi Fokus Berita

Himpunan Haram: Golongan Oportunis Ambil Kesempatan Guna Rakyat Atas Nama Demokrasi

Fokus Berita Oleh Mohd Yusof Saari

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Berakhirnya perhimpunan haram pada malam ambang tahun baharu 2014 menyaksikan erti kebebasan sekali lagi dinodai atas nama demokrasi, demikian kata seorang ahli akademik.

Menyimpulkan tindakan itu tercetus hasil dorongan pihak tertentu yang berselindung di belakang gerakan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Dr Amini Amir Abdullah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berpendapat himpunan terancang itu tidak lebih daripada sekadar luahan hasrat golongan oportunis demi kepentingan dan kelangsungan politik masing-masing.

"Perhimpunan itu sebenarnya satu gerakan terancang golongan oportunis, atas nama demokrasi ambil peluang untuk menumpang kehadiran orang ramai ke Dataran Merdeka bagi meraikan kehadiran tahun baharu kononnya bagi perjuang hak orang ramai untuk turunkan harga barang.

"Tanpa sedar, golongan muda atau mereka yang mendakwa sebagai mahasiswa yang merupakan sebahagian besar para demonstran sebenarnya telah dipergunakan golongan oportunis dalam NGO berkenaan atau mereka yang menumpang nama NGO itu untuk survival diri dan tujuan masing-masing," katanya mengulas tentang perhimpunan pada Selasa malam itu.

Perhimpunan haram itu bertukar ganas dan merencatkan konsert Ambang Merdeka anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terpaksa dihentikan setengah jam sebelum detik jam 12 malam.

Polis sebelum ini menamakan empat NGO sebagai terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram berkenaan iaitu Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jingga 13 dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi, Amini Amir bekata majoriti 'orang muda' yang membanjiri perhimpunan menunjukkan golongan itu mudah dipergunakan sedangkan mereka boleh diletakkan sebagai kumpulan yang tidak begitu terkesan dengan isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan kerana masih berada di bawah tanggungjawab keluarga.

"Pendirian orang muda biasanya agak goyah....kalau nak kata mereka itu mahasiswa, mungkin ada, tapi bukan semua kerana mahasiswa biasanya tidak sebebas itu untuk menyertai perhimpunan haram.

"Pada saya, mereka ini sebenarnya kelompok bekas mahasiswa, apabila mereka dalam kedaaan tersepit seperti tiada pekerjaan dan sebagai respons kepada keadaan itu mereka akan menyalahkan kerajaan, di mana situasi itu telah digunakan dengan jayanya oleh golongan oportunis untuk menjayakan agenda sendiri," katanya.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia itu juga yakin perhimpunan itu sebenarnya lebih kepada usaha menambah laba politik pihak tertentu daripada memperjuangkan apa yang didakwa sebagai 'keluhan rakyat' kerana jelas peserta yang hadir tidak begitu jelas dengan agenda yang diperjuangkan.

Amini Amir juga mempersoalkan kesepakatan antara NGO itu kerana selain membawa para demonstran membanjiri Dataran Merdeka, tiada aktiviti atau agenda jelas yang dihidangkan kepada pengikut mereka sedangkan kumpulan itu telah menguasai kawasan perhimpunan selepas konsert Ambang Merdeka dihentikan.

"Mereka sebenarnya tidak pasti apa yang nak disuarakan pada malam tahun baharu itu, kalau mereka ada satu perancangan teliti, tentu akan ada tindakan atau ucapan serta aktiviti lebih tersusun atau sistematik bagi menjustifikasikan tindakan yang dibuat.

"Apa hasilnya himpunan itu, ia tak lebih sekadar kejayaan buat golongan oportunis yang menggunakan hak orang ramai bagi menyatakan sesuatu yang pada hakikatnya memberi keuntungan politik kepada mereka yang berkenaan," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan perlu memberi respons kepada perhimpunan itu, beliau mencadangkan supaya skim kawalan harga barang perlu diperluaskan kepada lebih banyak barang dan tidak hanya terhad kepada barang sedia ada atau ketika musim perayaan sahaja.

"Tak perlu layan, kerajaan dah bertindak dengan betul melalui pengumuman 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, walaupun mereka akan dakwa itu hasil tekanan yang diberikan, biarkan saja, asalkan kerajaan terus buat penambahbaikan demi keselesaan rakyat, itu lebih berbaloi," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak