angan dilalaikan oleh masa
|
|
ALLAH berfirman yang bermaksud: Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. (al-Asr: 1-3)
Ayat Allah ini menekankan kepentingan menjaga dan mengatur masa dalam kehidupan seharian. Menurut Saidina Umar Al-Khattab r.a.: Masa itu ibarat pedang jika kita tidak memotongnya ia akan memotong kita.
Pejam celik, kita sudah menghampiri akhir tahun 2007 dan beberapa hari lagi akan menyambut tahun baru 2008.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto HAYAT SUEET menemubual Pengarah Pusat Islam Universiti Putra Malaysia, Serdang, Dr. Amini Amir Abdullah bagi mengupas persoalan ini.
MEGA: Setiap kali menjelang tahun baru Masihi, ia disambut dengan pelbagai acara. Apakah batas-batas yang dibenarkan kepada umat Islam dalam sambutan Tahun Baru ini?
DR. AMINI: Terdapat beberapa batasan yang ditetapkan oleh Islam dalam menyambut sebarang perayaan. Yang utama ialah tidak melanggar perintah Allah dan Rasulullah s.a.w.
Perlu juga dielakkan daripada melibatkan unsur-unsur hiburan yang melampau serta pergaulan bebas dan tanpa sempadan lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
Pengisian sambutan itu juga mestilah tidak dibuat secara keterlaluan sehingga mengetepikan nilai murni budaya masyarakat Timur. Untuk itu, kita perlukan kaedah menyambut tahun baru mengikut acuan kita sendiri. Bukannya semata-mata mencontohi masyarakat Barat.
Sebabnya, sambutan di Barat sering membawa kepada masalah sosial serta pesta minuman keras dan anak-anak atau remaja pulang ke rumah pukul 2 atau 3 pagi.
Masyarakat bukan Islam Barat memang mahu kita mencontohi cara mereka. Dan ini telah ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu melainkan kamu mengikuti agama mereka. (al-Baqarah: 120)
Walaupun kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum, saya percaya kita mampu menjadikan sambutan tahun baru itu dipenuhi dengan agenda negara seperti menjelaskan misi kerajaan kepada rakyat terutama dalam bab membangunkan modal insan, misi nasional dan pemupukan minda kelas pertama.
Islam bukan menghalang hiburan secara total tetapi Islam menetapkan batas tertentu dalam kita berhibur. Oleh itu, ada baiknya pihak berkuasa agama mengeluarkan garis panduan hiburan alternatif dalam hal ini agar masyarakat tidak keliru dengan perbezaan hiburan yang dibenarkan syarak berbanding hiburan yang tidak dibenarkan.
Kita juga perlu menilai adakah cara berhibur itu melambangkan personaliti unggul (towering personality) atau mentaliti kelas pertama (first class mentality).
Masa yang berlalu dengan pantas ini, sama ada disedari atau tidak bermakna umur kita makin pendek. Maka, apakah persediaan yang sepatutnya dibuat oleh umat Islam?
DR. AMINI: Sebagai umat Islam kita mesti selalu bermuhasabah iaitu menilai amalan-amalan kita. Adakah yang kita lakukan hari ini lebih baik dari semalam atau sebaliknya. Ini memerlukan kepada istiqamah dan itqan (berkualiti dan berterusan).
Kita perlukan peningkatan berterusan dalam semua perkara makruf dan pengisian agenda ummah dan negara. Kita perlukan jihad dalam ekonomi, perniagaan dan industri. Kita perlu menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan sains. Kita perlu mengatasi kebergantungan kepada orang lain.
Dalam pengisian hidup, biarlah ia dipenuhi dengan program yang berkualiti dan berfaedah kepada agama, bangsa dan negara.
Apabila umur kita makin pendek, kita perlu melihat bukan sahaja kepada amalan khusus tetapi juga fardu kifayah sebagaimana yang dituntut dalam pendekatan Islam Hadhari.
Kita harus memikirkan apakah peranan kita dalam mengangkasakan umat dan bangsa. Selain itu, kita harus melengkapkan diri dengan persiapan spiritual, pemerkasaan ilmu, perancangan kewangan keluarga dan ekonomi bagi menghadapi pengakhiran hidup.
Selain itu, kita perlu menilai semula apakah pengorbanan kita kepada diri, agama dan bangsa.
Saya teringat kata-kata Allahyarham Aminuddin Baki iaitu, Jangan sampai ayam mati kelaparan di kepuk dan itik mati kehausan di air.
Maksudnya, jangan kita gagal dalam negara kita sendiri yang dikurniakan Allah penuh dengan khazanah sumber alam, kesuburan tanah dan keamanan serta kemakmuran. Kegagalan bukanlah satu pilihan.
Malangnya ada yang memberi alasan, Aku masih muda, tunggulah umur 40 baru nak berubah dan ada juga yang berkata, Masa muda hanya sekali apa salahnya kita bebas sedikit. Adakah tepat pandangan begini?
DR. AMINI: Pandangan sebegini kurang tepat. Kalau kita telusuri sejarah, imam-imam mazhab yang empat semuanya menghafal al-Quran pada usia belasan tahun.
Malah, sahabat-sahabat nabi terdiri daripada golongan muda dan remaja sewaktu membantu Baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah. Begitu juga golongan muda yang membantu Baginda semasa menerima tekanan hebat daripada kaum kafir Quraisy Mekah.
Ini patut dijadikan contoh teladan kepada kita, bukannya memilih orang yang terumbang-ambing atau yang tidak mempunyai hala tuju hidup sebagai idola.
Sedarlah, masa tidak akan menunggu kita. Jika kita tidak mendahului masa kita seolah-olah meletakkan diri dalam keadaan yang menyebabkan kita terpinggir dan ketinggalan. Akhirnya, kita akan pasrah kepada takdir atau menyalahkan orang lain atas kegagalan kita.
Pada masa yang sama, kita perlu menghayati sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: Rebutlah lima perkara sebelum datang lima. Muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, waktu lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati. (riwayat al-Hakim)
Kita tidak tahu bilakah masanya ajal kita akan tiba. Jika sudah sampai ajal ia tidak akan ditangguh atau dicepatkan walaupun sesaat. Oleh sebab itu, jangan kita beranggapan orang muda itu ajalnya lebih lewat berbanding orang tua.
Usia muda bukan masa untuk kita mengikut hawa nafsu dan syahwat. Sebaliknya, ia perlu diisi dengan pencarian ilmu dan amal ibadat, menyumbang kepada masyarakat serta menjadi daie menasihati rakan-rakan yang tersesat jalan.
Merujuk kepada surah al-Asr tadi, apakah pengajaran yang perlu diambil oleh umat Islam terutama bagi membersihkan salah tanggapan bukan Islam kepada agama suci ini?
DR. AMINI: Allah telah bersumpah dengan masa untuk menunjukkan kepentingan pengurusan masa dalam hidup. Allah menyebut orang yang tidak berpesan dengan kebenaran dan kesabaran itu dalam kerugian ialah kerana mereka tidak menggunakan kebijaksanaan apabila berhadapan dengan sesuatu isu.
Contohnya, orang yang terlibat dalam demonstrasi jalanan yang menyalahi undang-undang bukannya tergolong dalam mereka yang menerima nasihat. Sedangkan pemimpin negara sudah menasihati mereka supaya jangan terlibat dalam perbuatan itu.
Demonstrasi jalanan, tunjuk perasaan dan aktiviti yang bersifat hasutan adalah melanggar undang-undang negara. Justeru, ia perlu dijauhi dan dihindari oleh kita kerana ia menggugat keselamatan negara dan mengganggu ketenteraman awam.
Dasar dan polisi kerajaan adalah untuk memajukan umat. Oleh itu, kita mesti menerima kebaikan untuk kemakmuran kehidupan di dunia ini.
Dalam aspek dakwah pula, kita perlu bersabar dan bertoleransi dalam menyebarkan agama. Sebabnya, masyarakat kita terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Kita perlukan hikmah dan dialog secara terbaik bagi menghilangkan kekeliruan terhadap Islam dan umat Islam. Langkah ini akan mewujudkan masyarakat yang saling memahami, saling menghormati dan bersatu-padu seterusnya membentuk solidariti dan integrasi nasional.
Sahabat Baginda Rasulallah s.a.w. ada berkata, Malanglah orang yang hari ininya sama dengan semalam dan esoknya sama dengan hari ini. Apakah simbolik daripada pernyataan ini dalam memotivasi umat Islam memperbaiki diri?
DR. AMINI: Kita perlu sentiasa meningkatkan kapasiti serta kemampuan dalam aspek ekonomi, pendidikan, pengajian tinggi, keusahawanan, perniagaan, hartanah dan sebagainya. Seperti yang telah saya nyatakan, kita perlukan jihad dalam keutamaan kehidupan.
Pada masa yang sama, aspek integriti jangan diabaikan. Nilai etika dan moral amat penting dalam kehidupan. Kita tidak mahu melihat masyarakat yang maju tetapi korup dan tidak beramanah.
Melihat kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan juga peranan Malaysia dalam ASEAN, umat Islam sudah mempunyai kekuatan.
Kita perlu merealisasikan dan meningkatkan kekuatan agar wawasan dan misi negara tercapai. Persoalannya, bagaimana memperkasakan kekuatan yang ada?
Dari segi motivasi, para pemimpin negara sudah acap kali melaungkannya. Soalnya, tidak ramai di kalangan kita yang merebut peluang dan ramai yang kurang semangat bersaing sama ada di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Untuk itu, umat Islam perlu mengubah sikap dan menganjak paradigma. Kita tidak boleh hanya berpada dengan apa yang ada. Kita mahu generasi yang mempunyai jati diri, mampu menghadapi cabaran dan saingan, inovatif, kreatif dan berfikiran futuristik serta bersedia menghadapi Malaysia sebagai negara maju sebagaimana termaktub dalam Wawasan 2020.
No comments:
Post a Comment