Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Friday, January 31, 2014

Utusan Malaysia 13.2.2004

Islam wajarkan toleransi

Diskusi pertama mengenai Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan hak serta kebebasan beragama rakyat bukan Islam telah tertera dalam draf cadangan perlembagaan oleh Suruhanjaya Reid yang terdiri daripada Lord Reid (Lord of appeal in Ordinary; ketua), Sir Ivor Jennings (Master of Trinity Hall, Cambridge) Hakim Abdul Hamid (Hakim Mahkamah Tinggi Pakistan Barat), Sir William Mckell (bekas Gabenor Jeneral Australia) dan Hakim B. Malik, bekas Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Allahabad.
Dalam laporan Suruhanjaya Reid (Colonial Office [1957], Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission 1957), tertera pernyataan berikut:
"Kami telah mengambil kira persoalan sama ada patutkah diwujudkan sebarang kenyataan yang membolehkan Islam menjadi agama rasmi Malaysia. Terdapat satu persetujuan universal bahawa sekiranya provisi yang seumpama itu dimasukkan dalam draf perlembagaan, maka ia perlukan satu pernyataan yang jelas bahawa hak-hak sivil bukan Islam tidak akan terjejas.
Dalam memorandum yang telah diserahkan oleh pihak Bersekutu, telah dinyatakan bahawa 'Agama rasmi Malaya ialah Islam. Pengamalan prinsip ini tidaklah boleh menghalang rakyat bukan Islam daripada menganut dan mengamalkan agama mereka sendiri."
Di Malaysia, orang Islam dilindungi daripada terjerumus dalam doktrin agama lain. Perlindungan ini bukanlah suatu perkara yang pelik.
Di Afghanistan, Brunei, Maldives dan Pakistan pendakwahan agama-agama lain terhadap orang Islam adalah menyalahi undang-undang sungguhpun penganut-penganut agama lain berhak untuk menganut dan mengamalkan agama mereka. Di Bangladesh, sungguhpun agama negara adalah Islam, pendakwahan sebarang agama dibenarkan oleh undang-undang.
Di Indonesia, hanya lima agama dibenarkan iaitu Islam, Katolik, Protestan, Buddha dan Hindu. Terdapat negara yang tidak membenarkan rakyatnya melakukan pendakwahan. Bhutan tidak membenarkan sebarang bentuk pendakwahan sungguhpun rakyatnya dibenarkan mengamalkan sebarang agama.
Begitu juga tiada sebarang orang yang dibenarkan melakukan perubahan agama. Agama rasmi Burma ialah Buddha dan penganutnya mendapat berbagai bentuk perlindungan perlembagaan. Negara Laos memberikan kebebasan rakyatnya untuk menganut sebarang agama ataupun tidak, akan tetapi digalakkan beragama Buddha dan ditegah sebarang bentuk pendakwahan oleh orang luar.
Di Nepal, agama rasminya ialah Hindu dan rakyatnya dibenarkan untuk menganut sebarang agama asal sahaja mereka tidak melakukan pendakwahan.
Dalam Perlembagaan Malaysia, kebebasan beragama diberikan sepenuhnya kepada setiap warganegara. Setiap warganegara bebas untuk menganut dan mengamalkan agamanya dan menyebarkannya.
Walau bagaimanapun, pendakyahan sebarang kepercayaan dan doktrin agama kepada individu Islam adalah tidak dibenarkan. Tiada orang boleh disuruh untuk membayar apa jua bentuk cukai untuk tujuan agamanya melainkan untuk agama orang itu sendiri.
Setiap kelompok agama mempunyai hak untuk mengurus hal ehwal agamanya dan mewujudkan institusi untuk tujuan keagamaan dan tujuan-tujuan kebajikan, memperoleh dan memiliki dan menguruskannya mengikut undang-undang.
Tiada diskriminasi yang dibenarkan terhadap mana-mana warganegara atas dasar agama, bangsa, keturunan dan tempat kelahiran. Setiap kelompok agama mempunyai hak untuk menubuhkan institusi untuk tujuan pendidikan di dalam agamanya sendiri. [Artikel 11 (1), (2), (3) (a,b,c), (4) dan Artikel 12 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan]
Semua artikel di atas menunjukkan pengiktirafan perlembagaan negara kita kepada kebebasan beragama. Pengingkaran terhadap Perlembagaan dianggap sebagai pencabulan terhadap kedaulatan undang-undang negara Malaysia.
Di Malaysia, realiti masyarakat berbilang kaum dicirikan oleh agama, bahasa, dan kepelbagaian fungsi-fungsi dalam ekonomi atau peranan-peranan spesifik proses ekonomi. Keunikan masyarakat berbilang agama telah agak lama mendapat perhatian orang Barat.
J.S. Furnivall dalam bukunya Colonial Policy and Practice yang diterbitkan dalam tahun 1948 menyifatkan masyarakat Malaya sebagai satu contoh ekstrem masyarakat plural. Rupert Emerson dalam bukunya The New Malayan Nation (1957) mengakui dasar 'pecah dan perintah' yang dilaksanakan oleh pihak British memudahkan mereka untuk memerintah rakyat Malaysia yang berbilang kaum itu.
Menurut Emerson, masyarakat plural Malaysia dipisahkan hampir dalam semua aspek, cumanya mereka tinggal dalam satu negara.
Sama ada secara sedar ataupun tidak, hubungan Islam-bukan Islam di Malaysia banyak ditentukan melalui pertimbangan agama. Kerana Islamlah, orang Melayu mempunyai sikap banyak bersabar dan bertoleransi terutamanya dalam soal integrasi nasional dan kebebasan beragama.
Di Malaysia, label stereotaip sesuatu bangsa banyak dilihat dalam konteks agama. Tahap toleransi di kalangan hubungan antara kaum agak tinggi. Sudah wujud kesedaran antara kaum mengenai sensitiviti makanan, pantang larang dan adat resam.
Di dalam majlis perkahwinan golongan bukan Islam misalnya, sudah ada yang menempah syarikat pengendali makanan orang Islam untuk menyediakan juadah buat jemputan yang beragama Islam. Orang-orang Islam pula sudah menyediakan juadah alternatif (yang bukan bersumberkan daging lembu) untuk jemputan yang beragama Hindu.
Kebebasan beragama yang diamalkan oleh orang Islam di Malaysia merupakan kewajipan dan ajaran yang telah ditentukan oleh agama Islam itu sendiri. Keharmonian dan kehidupan hidup bermasyarakat dan bernegara tidak akan tercapai sekiranya tidak wujud kebebasan beragama, toleransi, saling memahami dan perpaduan.
Islam mengakui bentuk-bentuk kepelbagaian budaya dan agama serta kepercayaan dengan memberikan garis panduan tentang pengiktirafan Allah s.w.t. terhadap budaya, agama dan sistem kepercayaan yang diredhai-Nya. Bahkan hak-hak orang bukan Islam tetap dipertahankan dalam konteks sejarah pemerintahan dan pentadbiran Rasulullah.s.a.w., para sahabat dan pemerintah yang adil.
Kekuatan yang ada pada negara kita ialah kebolehan kerajaan dan rakyat mendepani berbagai kompleksiti ekoran kewujudan pelbagai agama, bangsa dan kumpulan etnik dengan berbagai pendekatan dan formula yang sudah terbukti kejayaannya.
Amalan, upacara dan perayaan sama ada yang berbentuk seremonial ataupun spirituil tidak pernah dihalang malah disambut secara besar-besaran oleh setiap agama dan penganut agama berkenaan di negara kita.
- DR. AMINI AMIR ABDULLAH ialah pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM).

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak