Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Friday, January 31, 2014

13.7.2005 UTUSAN MALAYSIA

Pusat Islam UPM - Integrasikan konsep ilmu, iman dan amal


AMINI AMIR ABDULLAH.



PUSAT Islam Universiti Putra Malaysia memikul tanggungjawab besar sebagai entiti kepada keseimbangan pendidikan akademik dan agama kepada warga kampusnya.
Peranan utamanya untuk menjalankan aktiviti berbentuk kerohanian dan keagamaan sama ada kepada mahasiswa, kakitangan dan masyarakat sekitar sebagai usaha bagi melahirkan persefahaman muhibah antara manusia.
``Pusat Islam juga berfungsi sebagai sebuah institusi yang memartabatkan agama Islam dengan mengintegrasikan konsep ilmu, iman dan amal,'' jelas Pengarahnya, Dr. Amini Amir Abdullah.
Idealisme
Beliau merupakan pengarah yang keenam sejak pusat Islam ditubuhkan pada 1 Oktober 1988 di kampus Universiti Putra Malaysia (dahulu dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia, UPM).
Pusat Islam UPM mempunyai hasrat untuk menjadi model pusat perkhidmatan yang unggul dengan menerapkan idealisme dan dinamik Islam serta berusaha melahirkan para graduan yang mempunyai kekuatan akidah, berketrampilan dan personaliti unggul.
Bagi mencapai matlamat tersebut, beliau menjelaskan, pusat Islam sentiasa merancang pelbagai aktiviti dan kegiatan yang boleh menyumbang ke arah pembentukan nilai-nilai insaniah yang tinggi.
``Kami sentiasa memastikan warga kampus dapat menghayati dan mempraktikkan agama Islam yang syumul dan kamil. Ini amat penting dalam diri seorang mahasiswa,'' jelas beliau yang juga merupakan Pensyarah Tamadun Islam dan Tamadun Asia di Fakulti Ekologi Manusia, UPM.
Perancangan yang dilakukan adalah selari dengan matlamat Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa UPM yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor HEP, Prof Madya Azali Mohamed.
Bagi mencapai proses tersebut, pusat Islam menyediakan khidmat profesional dan perundingan kepada warga kampus dan masyarakat setempat dengan menjalinkan kerjasama bersama beberapa agensi kerajaan.
Antaranya ialah Yayasan Islam Hadhari, Yayasan Dakwah Islamiah, Jabatan Agama Islam Selangor, Biro Tata Negara, Jabatan Hal Ehwal Khas serta Institut Pengajian Tinggi Awam dan swasta.
Pusat Islam juga berperanan dalam memberi kefahaman kepada orang bukan Islam tentang ajaran Islam yang sebenar sebagai usaha memupuk semangat perpaduan dan integrasi nasional di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Struktur pentadbiran Pusat Islam terdiri daripada Pengarah yang dibantu oleh Setiausaha dan di bawahnya ialah Pegawai Hal Ehwal Islam dan Pembantu Tadbir Kanan.
Sistem pengurusannya terbahagi kepada dua iaitu Unit Pentadbiran dan Kewangan serta Unit Pengurusan Masjid dan Aktiviti. Masjid UPM juga berada di bawah pemantauan Pusat Islam.
Aktiviti yang dijalankan terbahagi kepada empat bahagian iaitu menjayakan hari kebesaran Islam, pendidikan dan kerohanian, pengimarahan masjid serta perkhidmatan sosial dan kebajikan.
Program utama yang diberi tumpuan pada masa ini ialah Program Putra Perkasa-Gerak Iman bagi sesi pengajian 2005/2006 yang melibatkan 14 aktiviti keseluruhannya.
Kefahaman
Antaranya ialah Forum Silang Agama & Budaya dan Forum Nilai Murni, Etika dan Moral, Bengkel Pembangunan Insan, Pertandingan Nasyid dan Tilawah Al-Quran Peringkat Kolej Kediaman UPM dan Kursus Pengurusan Jenazah.
Pusat Islam turut menganjurkan beberapa aktiviti tahunan, antaranya Kuliah Tasawwur Islam yang diadakan di setiap kolej kediaman selepas solat Maghrib.
Ia bertujuan untuk memberi kefahaman sebenar mengenai ajaran-ajaran Islam yang tulen dan dirangka bagi membentuk rohani, tingkah laku sosial dan peribadi mahasiswa yang dahagakan ilmu-ilmu berbentuk fardu ain.
Kursus Tarannum al-Quran pula tertumpu kepada kemahiran membaca dan teknik-teknik berlagu dalam al-Quran. Di samping itu, ia juga menumpukan perhatian kepada cara dan teknik melaungkan azan dengan betul.
Pusat Islam turut menjalinkan hubungan yang erat dengan Yayasan Islam Hadhari, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Pejabat Daerah Agama yang banyak memberikan manfaat dan kelebihan untuk
melonjakkan nama Islam.
Selain itu, universiti perlu menggerakkan aktiviti Islam Hadhari bermula September 2004 melalui ceramah, kuliah dan seminar.
Bersesuaian dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memperkenalkan Islam Hadhari, pusat Islam mengambil kesempatan dengan menganjurkan Forum Islam Hadhari sebagai satu pendekatan baru dalam pembangunan negara.
Melalui program ini, pusat Islam berharap mahasiswa boleh bersama-sama dengan kerajaan dalam menjana dan merealisasikan konsep Islam Hadhari.
``Kesemua aktiviti dan program yang dijalankan mengambil kira keperluan dan kepentingan para pelajar serta masyarakat setempat. Hingga setakat ini, boleh dikatakan setiap aktiviti mendapat sambutan yang menggalakkan,'' ulas beliau mengenai penglibatan warga kampus UPM dalam aktiviti Pusat Islam.
Tambah Amini, masjid UPM merupakan masjid pertama di Malaysia dan di dunia yang memaparkan skrip khutbah Jumaat dalam bahasa Inggeris di atas paparan skrin LCD. Bagaimanapun, khutbah Jumaat disampaikan dalam bahasa Melayu.
``Setakat ini ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para jemaah setelah setahun diperkenalkan. Ini merupakan sesuatu yang unik dan telah diikuti oleh beberapa masjid yang lain,'' jelas beliau mengenai keistimewaan masjid UPM yang turut memenangi Anugerah Masjid Terbaik daerah Petaling peringkat negeri Selangor bagi tahun 2004.
Pusat Islam bukan sahaja memainkan peranan sebagai pusat perkhidmatan aktiviti kebajikan dan keagamaan, malah sebagai sebuah institusi penyelidikan bersesuaian dengan visi UPM menjadi sebuah universiti berteraskan kepada penyelidikan.
Ini terbukti dengan penglibatan Amini dalam beberapa siri penyelidikan, antaranya Kajian Keselamatan Jalan Raya di bawah Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya UPM.
Beliau turut terlibat mempengerusikan Kajian Nilai Integriti Kakitangan UPM yang dalam proses akhir menyiapkan laporan dan Penyelidikan Persepsi Melayu Bandar Terhadap Wawasan 2020.
``Berdasarkan kepada penglibatan saya, ini menandakan Pusat Islam turut bergiat secara aktif dalam bidang penyelidikan sebagai menyahut seruan universiti dan kerajaan,'' jelas beliau.
Bagi sebuah institusi pengajian tinggi, pelbagai masalah melibatkan mahasiswa dan warga kampusnya tidak boleh dipertikaikan lagi. Ini termasuk gejala maksiat yang melanda pelajar institusi pengajian tinggi.
Pusat Islam UPM mempunyai mekanisme tersendiri dalam menangani isu sedemikian.
Menurut Amini, Pusat Islam mengambil pendekatan berhikmah mengikut mentaliti dan kondisi mahasiswa kerana menghormati mereka sebagai golongan terpelajar. Sekiranya menggunakan kaedah yang ekstrem atau melampau, ia boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.
``Selain daripada kuliah-kuliah ilmu, Pusat Islam akan memberi nilai tambah sebagai pusat pemulihan dan keagamaan. Kami juga akan menjalankan unsur pencegahan, nasihat dan bimbingan ke arah mencapai kebaikan dan keredhaan Allah s.w.t,'' ujarnya.
Seharusnya, peranan yang dimainkan oleh Pusat Islam beserta aktiviti dan program keagamaan dapat menjalankan fungsi universiti dengan lebih baik dalam melahirkan graduan yang seimbang duniawi dan ukhrawi selain berdaya saing
dan terus maju melalui pembelajaran berterusan.

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak