Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Wednesday, November 11, 2015

Timbulkan Pelbagai Isu Untuk Raih Sokongan, Pertahan Kedudukan (BERNAMA, 9 November 2015)

Timbulkan Pelbagai Isu Untuk Raih Sokongan, Pertahan Kedudukan

  
KUALA LUMPUR – Beberapa minggu kebelakangan ini menyaksikan pemimpin-pemimpin DAP Selangor bersaing hebat di antara satu sama lain untuk meningkatkan profil masing-masing dalam usaha menarik perhatian anggota-anggota parti di peringkat akar umbi.
Menjelang konvensyen dan pemilihan parti peringkat negeri pada 1 Nov lepas – calon-calon dengan lantang membangkitkan isu-isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan melancarkan serangan terhadap bekas rakan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang, PAS, dengan harapan dapat meraih sokongan perwakilan bagi membantu memenangi pemilihan itu.
Bagi mereka, kemenangan meyakinkan sangat penting kerana ia bukan sahaja menjamin peluang untuk mendapatkan jawatan penting dalam kepimpinan parti negeri malah berpeluang memegang jawatan di agensi-agensi kerajaan negeri dan syarikat-syarikatnya. Lebih daripada itu, kemungkinan mendapat ‘tiket’ bertanding dalam pilihan raya umum akan datang pula boleh dianggap sebagai bonus tambahan.
Penganalisis politik Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain berpendapat, sudah menjadi kelaziman bagi calon-calon untuk mengambil kesempatan daripada isu-isu semasa dalam usaha mendapatkan momentum sokongan menjelang mana-mana pemilihan parti.
“Pemimpin parti atau calon akan lantang menjuarai isu dan polemik semasa bagi meraih perhatian dan sokongan ahli di peringkat akar umbi.
“Masing-masing mahu dilihat sebagai pemimpin yang tegas dan mengutamakan kepentingan parti. Mereka yang bertegas untuk memenuhi kehendak parti akan lebih mendapat perhatian perwakilan,” pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu memberitahu Bernama.
Beliau berkata kesemua mereka ingin dilihat sebagai orang kuat parti yang tegar, yang meletakkan kepentingan parti melebihi diri sendiri, justeru mereka yang memenuhi harapan parti akan lebih cenderung meraih undi perwakilan.
“Hakikatnya, kesemua parti politik memerlukan pemimpin yang boleh bekerja dan bukannya yang hanya pandai mengeluarkan kenyataan sekadar untuk menaikkan semangat umum,” katanya.
Seorang lagi penganalisis Dr Amini Amir Abdullah, yang merupakan pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia UPM, berkata adalah jelas bahawa tindakan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mencabar Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy untuk berdebat secara langsung mengenai kedudukan firma milik negara itu adalah semata-mata helah untuk kepentingan politik, sekali gus memperkukuh kedudukan beliau dalam kepimpinan DAP Selangor.
(Pua bagaimanapun menarik diri daripada perbahasan tersebut selepas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, tidak akan membenarkan perbahasan diteruskan memandangkan Pua adalah ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), yang pada masa ini sedang menyiasat 1MDB. Pada Khamis lepas, Pakatan Harapan mengumumkan bahawa Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli akan menggantikan Pua dalam perbahasan yang dicadangkan).
Pada pemilihan DAP Selangor Ahad lepas, Pua menerima 495 undi dan berada di tempat kelapan dalam perebutan 15 jawatan dalam jawatankuasa pusat. Anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo di tempat tertinggi dengan 736 undi.
Ironinya walaupun keputusan pemilihan Pua tidak memberangsangkan, Pua dilantik semula sebagai Pengerusi DAP Selangor manakala Gobind Singh kekal sebagai Timbalan Pengerusi.
Tempoh sebelum menjelang hari pemilihan DAP Selangor juga menyaksikan pemimpin parti negeri melancarkan serangan terhadap “musuh” mereka, iaitu PAS. Walaupun ramai mendesak agar wakil PAS disingkirkan dari barisan Exco negeri, terdapat pula pihak yang mencadangkan supaya DAP meletakkan calonnya sendiri bagi kelapan-lapan kerusi Dewan Undangan Negeri, kini dipegang oleh PAS di Selangor, pada pilihan raya akan datang.
Pada minggu lepas, Pua dilaporkan berkata bahawa parti itu telah bersedia untuk meletakkan calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.
Mengulas perkara itu, Amini Amir berkata semua isu yang dibangkitkan adalah sekadar untuk menjadikan seseorang pemimpin itu sebagai ‘juara’ sekali gus menjadikan kehadiran mereka dirasai dan diberi ganjaran jawatan penting dalam kepimpinan parti negeri.
Beliau berkata ada isu-isu lain yang DAP cuba nafikan seperti konflik antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS serta isu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang masih belum diperakukan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
“Isu-isu mengenai debat 1MDB, desakan supaya exco PAS dalam kerajaan negeri digugurkan dan cadangan bertanding di kawasan-kawasan PAS hanyalah untuk memperkukuhkan kedudukan pemimpin DAP sedia ada sahaja,” katanya kepada Bernama.
Amini Amir berkata oleh sebab itu, tidak menghairankan apabila pimpinan DAP secara bermati-matian menonjolkan diri demi mempertahankan kuasa mereka.
“Mereka sedar akan kelebihannya mempunyai kuasa di peringkat negeri, maka mereka terpaksa cari idea baharu menonjolkan diri dalam usaha memenangi pemilihan tersebut.
“Oleh yang demikian, isu yang mereka tonjolkan sebenarnya tidak ikhlas dan segala tujuan mereka hanya untuk keuntungan politik dan kedudukan individu tertentu,” katanya, jelas merujuk kepada tindakan Pua.
Kenapa DAP Selangor perlu membabitkan PAS dalam soal pemilihan barisan kepimpinan parti itu di negeri berkenaan?
Tidak menafikan bahawa PAS hanya dijadikan sebagai bahan kempen, Mohd Izani berkata DAP kini telah menjadi terlalu angkuh sehingga melupakan segala sumbangan PAS kepada parti itu.
“Mereka mahu menjadikan PAS tidak lagi relevan dalam politik Malaysia. Tetapi, DAP tidak boleh memadamkan sejarah bahawa mereka pernah bekerjasama dengan PAS dan PAS juga telah membuka banyak ruang kepada DAP sepanjang tempoh itu,” katanya.
Amini Amir pula berpendapat PAS dan DAP tidak akan berjaya bekerjasama memandangkan masing-masing mempunyai nilai-nilai prinsip dan asas yang berbeza. Beliau juga percaya bahawa DAP akan terus menjadikan PAS sebagai karung tinju dan bahan belasahan mereka.
“Saya rasa DAP menganggap penyokong-penyokong PAS sebagai ancaman, kerana pastinya mereka tidak akan mengundi DAP dalam pilihan raya umum akan datang. Oleh itu, DAP menjadikan PAS sebagai isu dalam pemilihan parti itu kerana PAS tidak mahu mengikut telunjuk DAP,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak