Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Friday, November 27, 2015

Bajet Pembangkang Tidak Realistik, Gula-Gulakan Rakyat - Penganalisis

Bajet Pembangkang Tidak Realistik, Gula-Gulakan Rakyat - Penganalisis


Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar

KUALA LUMPUR, Nov 18 (Bernama) -- Ketika kerajaan giat berusaha mengurangkan kenaikan kos sara hidup rakyat dengan memberi dan meneruskan pelbagai insentif meliputi segenap aspek menerusi Bajet 2016, pakatan pembangkang pula menawarkan alternatif bajet yang meliputi 10 perkara utama.

Menerusi 'Belanjawan Pakatan Harapan 2016', pakatan pembangkang yang dianggotai DAP - Parti Keadilan Rakyat (PKR) - Parti Amanah Negara (Amanah), mereka membentangkan dokumen 'Belanjawan Alternatif' yang lebih menjurus kepada soal tadbir urus kewangan negara termasuk langkah-langkah penjimatan.

Meskipun pembangkang berhasrat menolak Bajet 2016 bertema 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat' yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Okt lepas, namun undian menyokong daripada anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) melebihi undi pembangkang.

Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 di peringkat dasar dengan 128 Anggota Parlimen menyokong rang undang-undang itu, berbanding 74 yang menolak.

SEPULUH PERKARA UTAMA CADANGAN BAJET PEMBANGKANG

Sepuluh perkara utama yang disenaraikan pembangkang ialah meletakkan syarikat pelaburan strategik kerajaan iaitu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam pentadbiran; memisahkan portfolio Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan menyokong lanjutan tempoh perkhidmatan Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz untuk dua tahun lagi.

Selain itu, turut dicadangkan dalam bajet alternatif pembangkang ialah memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan mengumpulkan semua pembekalan bawah senarai kadar sifar bagi mengurangkan inflasi; menubuhkan tabung pembiayaan petroleum untuk penduduk Sabah dan Sarawak; peruntukan kepada perbelanjaan pembinaan kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura diagihkan semula kepada pembinaan landasan kereta api di Sabah dan Sarawak.

Turut tersenarai ialah penjimatan RM30 bilion daripada langkah-langkah pencegahan rasuah; mengurangkan dividen Petronas kepada RM20 bilion; penyusunan semula pembyaran bantuan kewangan secara bersyarat berdasarkan pekerjaan dan kehadiran sekolah serta menyusun semua subsidi padi dan meningkatkan hasil pengeluaran pertanian.

Mengulas kesemua cadangan yang terkandung dalam bajet pembangkang, pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Amini Amir Abdullah menyifatkan bajet berkenaan sebagai tidak realistik.

"Ia sekadar 'reflective budget' yang digunakan untuk menyaingi bajet Kerajaan Persekutuan. Pembangkang umpama bermimpi di siang hari dan cuba menggula-gulakan rakyat," katanya kepada Bernama.

Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan UPM berkata bajet pembangkang lebih bersifat responsif kepada isu semasa seperti 1MDB dan GST.

Sesuatu bajet, katanya perlu melihat secara lebih menyeluruh agar semua aspek pembangunan dapat dijayakan.

"Belanjawan ini bersifat populis kerana hanya dapat menarik perhatian rakyat tetapi asas bajet tidak begitu jelas," katanya.

KURANG PENGALAMAN PENGURUSAN

Pembangkang, kata Amini Amir dilihat masih kekurangan pengalaman dalam soal pengurusan dan pentadbiran kerajaan kerana cabaran yang dihadapi dalam pengurusan negeri adalah satu penanda aras kepada keupayaan mereka mentadbir.

Di Selangor, misalnya kerajaan negeri yang diterajui PKR berdepan dengan isu kekurangan air terawat, isu penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) dan juga kerjasama antara parti yang membentuk kerajaan iaitu PAS, PKR, DAP.

Anggota PAS, yang menjadi Exco negeri dan menyertai Amanah, menambah lagi kecelaruan. Cabaran seumpamanya turut berlaku di Pulau Pinang sebelum Pakatan Harapan terbentuk.

Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad daripada Amanah pada 9 Nov lepas dilapor sebagai mencadangkan supaya kerajaan negeri mengumumkan status kerajaan negeri sepertimana yang dilakukan kerajaan DAP Pulau Pinang yang mengisytiharkan diri sebagai kerajaan Pakatan Harapan.

Selain itu, katanya pembangkang juga kurang pengalaman dalam konteks pengurusan bajet berbanding BN.

"Mereka sebenarnya mempunyai strategi picisan untuk memancing undi rakyat. Jika dibandingkan, bajet pembangkang (dengan Bajet 2016) ini umpama langit dan bumi. Soalnya sejauh mana bajet yang ditawarkan pembangkang ini mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat?

"Satu contoh mudah ialah dalam soal penyediaan kemudahan air bersih. Di Selangor, adakah wajar kerajaan negeri meningkatkan tarif air sedangkan bekalan air selalu terputus dan airnya berkeladak?," katanya.

Mohd Izani berkata pembangkang mulai sedar bahawa dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, perkhidmatan kepada rakyat tidak boleh lagi diberikan secara percuma.

"Isu bekalan air di Selangor secara percuma kini mula disemak semula oleh kerajaan negeri... isu misalnya pendidikan percuma kini sudah tidak lagi kedengaran kerana mereka mulai sedar ia akan memberi implikasi kewangan dan beban kepada kerajaan negeri," katanya.

BAJET MELEPASKAN 'BATOK DITANGGA'

Adakah bajet pembangkang ini memenuhi aspirasi segenap rakyat atau sekadar hanya mahu menyaingi Kerajaan Persekutuan atau sekadar ikutan kepada amalan parti pembangkang di luar negara yang mengeluarkan bajet alternatif mereka?

Mengulas persoalan itu, Amini Amir menyifatkan bajet pembangkang hanyalah sekadar 'melepaskan batuk ditangga', yang bermaksud melakukan sesuatu kerja dengan tidak bersungguh-sungguh.

Beliau berkata bajet yang ditawarkan pembangkang bukan sahaja tidak komprehensif malah tidak menyeluruh yang tidak mencakupi keperluan semua lapisan rakyat.

"Mengkritik orang memanglah mudah tetapi untuk melakukan seperti Kerajaan Persekutuan bukanlah semudah itu. Pembangkang perlu lebih teliti dan prihatin apabila menyediakan draf bajet mereka.

"Banyak lagi perkara yang perlu diberikan perhatian oleh mereka demi kesejahteraan dan kebahagiaan segenap lapisan masyarakat serta lebih realistik sifatnya dan bukannya bersifat kosmetik dan populis," katanya.

Mohd Izani berkata tawaran bajet alternatif adalah amalan biasa dan ia turut dilakukan oleh negara luar seperti Singapura.

"Ya. Ia berlaku dan menjadi amalan contohnya Singapura. Parti pembangkang Singapore Democratic Party (SDP) turut membentangkan bajet bayangan atau shadow budget," katanya.

Bajet 2016 memperuntukkan RM267.2 bilion, berbanding RM260.7 bilion peruntukan dipinda 2015.

Daripada jumlah itu, sejumlah RM215.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM52 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

-- BERNAMA

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak