Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Friday, December 19, 2014

Teori dan Falsafah Pengurusan Organisasi Dakwah



Teori dan Falsafah Pengurusan Organisasi Dakwah

Dr. Amini Amir Abdullah

Universiti Putra Malaysia



Islam adalah kod hidup tetapi malangnya ia dianggap mempunyai hanya beberapa ritual. Ia adalah salah faham kebanyakan orang khususnya dalam kalangan bukan Islam. Ia adalah Din, satu sistem yang mengawal kehidupan dan tingkah laku manusia. Islam membawa impak yang besar kepada sosio-ekonomi dan politik serta hubungan sesama manusia.[1]



Prinsip-prinsip pengurusan organisasi dakwah Islam dapat dikesan kembali semasa Nabi Muhammad (SAW) apabila baginda menetapkan asas-asas masyarakat Islam. Sememangnya struktur pengurusan organisasi dakwah Islam tidaklah seperti yang kita lihat sekarang. Foundasinya telah digariskan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW walaupun struktur dan cirinya tidaklah kompleks seperti sekarang.[2]



Prinsip-prinsip pengurusan organisasi dakwah Islam telah dijana oleh sekumpulan para sahabatnya melalui kaedah Shura (Perundingan dan muafakat). Ini adalah perkara paling asasi. Para sahabat sepatutnya menyokong dan mentaati baginda tanpa berbelah bagi. Akan tetapi, Nabi Muhammad (SAW) telah mewujudkan satu persekitaran yang kondusif melalui perundingan dan penyertaan para sahabat dalam mesyuarat, perjumpaan dan perbincangan.[3] Majlis Shura yang diketuai Nabi terdiri daripada mereka yang jujur, amanah, berintegriti dan soleh.



Apabila Islam berkembang pesat ke kawasan-kawasan lain dan negara lain dengan begitu meluas, sistem pengurusan organisasi dakwah beralih menjadi rumit dengan kerencaman rakyat daripada berbagai negara, latar belakang dan kepelbagaian budaya serta berbilang agama.



Adalah penting untuk diambil perhatian bahawa Al-Quran adalah petunjuk yang utama kepada prinsip pengurusan organisasi dakwah Islam, etika kerja dan pelaksanaan tugas serta tanggungjawab. Begitu juga dengan hadith Rasulullah (SAW). Al-Quran menyatakan dengan jelas mengenai kepentingan keadilan, kejujuran dan integriti dalam hubungan pekerja dengan majikan. Selain itu, ia menggalakkan dan memberi penekanan kepada pembelajaran kemahiran dan berjuang untuk kerja-kerja yang baik untuk memberi manfaat kepada agama, masyarakat dan juga negara.



Impak Akidah Dalam Organisasi dan Kehidupan



Islam adalah agama Tauhid sebab agama Islam mengajarkan menyembah Allah s.w.t. dan tidak menyembah kepada selain daripada Allah dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu apapun. Teras agama Islam adalah sistem akidah dan praktik ibadah dengan pengamalan yang total. Kesemua praktik akidah dan ibadah adalah untuk mendapatkan keredaan Allah. Sistem akidah adalah sistem kepercayaan umat Islam yang wajib dipelajari, difahami, diyakini dan diamalkan agar insan dapat mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.



Takrif Akidah



Akidah ialah ikatan sistem kepercayaan Islam yang berteraskan kepada persaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah yang Esa dan tiada sekutu bagiNya dan persaksian bahawa Muhammad itu hamba dan utusan Allah. Akidah juga adalah sistem kepercayaan yang berkait rapat dengan keimanan dan ketakwaan hinggakan Allah SWT menyeru agar manusia Muslim meninggal dunia dalam keadaan Islam. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam”. (Surah Ali ‘Imran: 102).



Ayat ini menjelaskan bahawa umat Islam mesti mati dalam keadaan Islam iaitu masih berpegang teguh dengan akidah yang berdasarkan Al-Quran dan Al-Sunnah.



Akidah yang sebenar ialah akidah yang bersandarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Tanpa sandaran Al-Quran dan Al-Sunnah, akidah akan terpesong daripada kehendak Allah SWT. Beriman dengan Al-Quran dan kandungannya adalah satu kewajipan. Al-Quran mesti dijadikan tunggak dalam segala bidang kehidupan. Al-Quran datangnya daripada Allah dan ia merupakan kitab suci yang merupakan wahyu Allah dan menjadi panduan serta pedoman kepada semua insan dan makhluk di bumi ini. Al-Quran adalah mukjizat dan rujukan untuk diikuti oleh semua hamba Allah. Tujuan Allah menyuruh manusia mengambil Al-Quran sebagai rujukan, pedoman dan panduan hidup ialah agar hidup manusia maju, bahagia dan mendapat keredaan Allah di dunia dan Akhirat. Al-Quranlah yang mampu membawa manusia kepada akidah Islam yang sebenar dan prinsip Tauhid yang sejati. Al-Quran juga dengan tegas menolak kesyirikan dan kesesatan yang berpunca daripada kelalaian manusia dan kejahatan syaitan.



Allah SWT telah mengutus Nabi Muhammad SAW. sebagai Rasul yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah SWT dan menyucikan manusia yang beriman dengan Allah SWT daripada  iktikad yang sesat serta mengajarkan insan Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah serta hukum-hakam yang terkandung di dalam al-Quran atau Hadis. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Jumu’ah ayat 2 yang bermaksud: “Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata”.



Mentauhidkan Allah mempunyai signifikan yang besar dalam kehidupan insan kerana tanpanya semua ibadah lain tidak akan mempunyai sebarang impak dalam konteks ibadah. Keredaan Allah hanya akan dapat dicapai dengan konsep Tauhid yang sebenar mengikut ketetapan Al-Quran dan Sunnah. Al-Sunnah pula mentafsirkan Al-Quran dan membawa pengertian semua kehendak Allah SWT. Rasulullah SAW. dibangkitkan untuk menyampaikan mesej Al-Quran dan membawa rahmat Allah kepada sekalian alam. Firman Allah SWT.: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”. (Surah Al-Taubah: 128)



Ayat ini dengan jelas menyatakan kerasulan Nabi Muhammad SAW. yang diutuskan kepada sekalian alam dan apa yang disampaikan oleh baginda adalah wahyu Allah sama ada berbentuk perkataan, perbuatan atau keakuran. Apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. juga adalah sumber hukum-hakam dan peraturan untuk kebaikan makhluk dan bukannya berdasarkan hawa nafsu baginda. Penolakan Al-Sunnah yang sahih bermakna menolak apa yang dititahkan oleh Allah SWT dan penegasan Al-Quran. Maka, orang yang menolak Sunnah bermakna ia juga menolak Al-Quran.



Islam percaya kepada keberkesanan asas-asas perundingan dan kerjasama berpasukan dalam kerja-kerja dakwah. Prinsip-prinsip utama pengurusan organisasi dakwah Islam ialah:



1.       Prinsip Tauhidik, kawalan dan panduan - Falsafah tauhidik menggariskan prinsip kawalan dan panduan (control and guiding principle) bagi sesuatu sistem pengurusan organisasi dakwah. Ia juga akan membentuk kerangka dasar pandangan hidup (world view) dan membina corak pendekatan sesuatu sistem[4]  dalam pengurusan organisasi dakwah. Ia juga akan mempengaruhi pembentukan nilai etika dan seterusnya melahirkan budaya pemimpin dan pekerja pengurusan organisasi dakwah beretika yang menyokong semangat dan falsafah ke arah mencapai sesuatu matlamat.[5]



2.       Kesatuan dan bersepadu - Dengan mendukung falsafah tauhid, Islam berpendapat bahawa sifat-sifat yang terdapat dalam diri manusia hendaklah berada dalam suatu kesatuan. Dengan itu kesempurnaan keperibadian seseorang manusia itu akan tercapai kerana semua sifat dalam diri manusia akan diberi tumpuan dengan sepenuhnya tanpa satu pengecualian pun. Kerana itu, keperluan kebendaaan dan kerohanian manusia hendaklah dipenuhi dalam bentuk yang bersepadu.[6] Pendekatan ini memberi tempat yang utama kepada kesepaduan nilai etika mulia dengan semua keperluan dan tindak-tanduk manusia termasuklah dalam konteks pengurusan organisasi dakwah. Falsafah tauhid juga menganjurkan kesatuan dalam ilmu pengetahuan untuk mendidik manusia. Kerana semua kejadian di dunia ini saling memerlukan dan mempunyai matlamat yang satu, iaitu mencapai kebahagiaan hidup sa’adah, maka semua bidang ilmu pengetahuan sepatutnya berfungsi dalam satu kesatuan dan mempunyai matlamat yang satu juga. Menurut Islam, manusia akan mendapat manfaat dari ilmu dan dengan tidak memisahkan tujuan bidang-bidang ilmu secara berasingan. Kerana itu, ilmu pengurusan organisasi dakwah turut sama berperanan pada akhirnya untuk mendukung martabat dan kemuliaan Islam.



3.       Multi-Dimensi – prinsip ini mengenengahkan pandangan hidup Islam bercirikan multi-dimensi dengan erti kata kepentingan membangunkan organisasi dakwah, masyarakat dan negara dari perspektif yang menyeluruh dan tuntas. Penumpuan pembangunan dan pengurusan organisasi dakwah mestilah secara bersepadu terfokus kepada semua dimensi keperluan makhluk tanpa mengabaikan mana-mana dimensi. Penekanan harus diberikan lebih kepada dimensi kerohanian di samping dimensi kebendaan (yang syarie) tidak disisihkan. Dengan itu, penghayatan nilai etika dan akhlak Islam hendaklah disertakan dalam semua urusan dan operasi pengurusan organisasi dakwah.[7]



4.       Kesatuan matlamat  - Aspek lain dalam pengurusan organisasi dakwah dalam konteks falsafah tauhid ialah kesatuan matlamat dalam semua kegiatan bidang kehidupan dan pengurusan pengurusan organisasi dakwah dan dakwah itu sendiri. Matlamat hidup yang mengarah kepada sesuatu yang hakiki akan mengurangkan dilema hidup yang tidak menentu dan tidak bertujuan. Tauhid juga mendidik manusia supaya sentiasa peka dalam perhubungan sesama manusia dan dengan Allah SWT. Penggunaan sumber-sumber dalam organisasi dan di luar organisasi dakwah mestilah secekap mungkin, tidak membazir, dan memperhitungkan akibat dari penggunaan sumber-sumber tersebut supaya kebajikan dapat dijaga.



5.       Matlamat yang jelas dan terarah - Natijah dari kefahaman konsep dan pelaksanaan tauhid dalam sesebuah pengurusan organisasi dakwah ialah lahirnya pemimpin, pekerja dan masyarakat dakwah yang mempunyai satu matlamat yang jelas dalam urusan dakwah, iaitu ke arah usaha mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dan bukan ke arah menyaingi orang lain untuk kepentingan diri. Jadi, konsep tauhid merupakan asas kerana tujuan hidup manusia dalam apa jua bidang kehidupan tertakluk kepada hubungan manusia sesama manusia, makhluk, alam sekitar dan perkaitan hubungan-hubungan ini dengan Allah s.w.t. Oleh yang demikian,  aktiviti dakwah dan yang berkaitan dengannya jangan sampai terkeluar daripada konteks dan ruang lingkup pengabdian diri kepada Allah s.w.t.



6.       Hisbah - Matlamat hisbah[8] menggalakkan perlakuan kebaikan dan pencegahan kemungkaran. Ia perlu diaplikasikan mengikut prinsip-prinsip yang tertentu. Antara prinsip hisbah adalah seperti berikut:



i.                     Dalam pentadbiran dan pengurusan organisasi dakwah, perlu ada hisbah atau penilaian hisbah untuk mengesan pelaksanaan dan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan yang diberikan.

ii.                    Mengenal pasti segala kelemahan dan kesulitan yang menyebabkan punca masalah atau kegagalan.

iii.                  Mengesan kesilapan serta membuat pembetulan.

iv.                  Menilai pencapaian prestasi dalam pengurusan dan pentadbiran.

v.                    Mendengar komen mad’u dan pelanggan serta pekerja dengan ikhlas dan mengambil tindakan sewajarnya.

vi.                  Mengambil tindakan yang perlu membendung amalan tidak sihat dan salah dalam organisasi dan masyarakat.



7.       Ihsan – Perkataan Ihsan boleh digunakan dalam pelbagai konteks. Ia bermaksud memaafkan, pembaikan, kesempurnaan iman dan sebagainya. Walau bagaimanapun, ia adalah satu cara untuk mencapai keredaan Allah dan kepuasan serta kemanisan iman. Ia adalah menyembah Allah sebagaimana kita melihatNya dan Allah sentiasa melihat kita walaupun kita tidak dapat melihat Allah. Ihsan adalah sebarang perlakuan yang berkaitan dengan iman dalam konteks ketakwaan kepada Allah.[9] Dalam konteks ini, ihsan perlu diterapkan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah dan pengurusan organisasi dakwah disertai oleh usaha menjana ummah melalui pemerkasaan dakwah, pendidikan, ekonomi, sosial, politik, kekayaan, pemilikan, kesaksamaan dan keadilan sosial.



8.       Takwa - Apabila seseorang itu dipenuhi dengan sifat takut Allah SWT. Ia dapat menahan diri daripada ketidakadilan dan akan melakukan perbuatan-perbuatan yang baik. Ia adalah ciri akauntabiliti dan integriti tertinggi dalam pengurusan organisasi dakwah yang membentuk tingkah laku individu, sama ada pengurus atau orang bawahan. Dengan cara yang sedemikian, seseorang dapat dengan jujur melakukan tanggung jawabnya dan menyelesaikan tugas yang diletakkan di atas batu gemalanya. Prinsip sebegini dapat mewujudkan keseimbangan antara hubungan pengurus-pekerja-Allah SWT kerana manusia bertanggung jawab kepada Allah SWT.



9.       Amanah – Amanah adalah nilai teras dalam pelaksanaan hubungan sosial dan dengan ini setiap pekerja bertanggungjawab terhadap tindakan mereka dalam pengurusan organisasi dakwah. Allah SWT. telah menjelaskan: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya) (Surah Al-Anfal: ayat 27). Dengan sifat amanah, muafakat dan penurunan serta perwakilan kuasa dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.[10]



10.    ‘Adl (Keadilan) – Setiap warga organisasi dakwah daripada atas hinggalah ke bawah mestilah memiliki kualiti keadilan yang tinggi sama ada lelaki maupun wanita. Allah SWT. telah tegaskan: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan” (Surah Al-Maidah: ayat 8). Islam mengajarkan bahawa keadilan perlu ditegakkan tanpa sebarang kepentingan diri atau pilih kasih. Keberkesanan organisasi dan imej pemimpin boleh ditingkatkan jika keadilan ditegakkan. Pengurusan tertinggi organisasi dakwah perlu membentuk persekitaran yang adil dengan menyediakan peluang kepada para pekerja untuk menyatakan pendapat, kritikan, komen, kenaikan pangkat dan sebagainya demi kebaikan organisasi dakwah.[11]



11.    Ikhlas – Keikhlasan dan menunaikan janji adalah prinsip penting dalam sesebuah pengurusan organisasi dakwah. Seseorang perlu menunaikan tanggung jawab moralnya dengan keikhlasan dan menunaikan segala janji.[12] Al-Quran menegaskan: “Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja Aku diperintahkan, dan Aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)" (Surah Al-An’am, 162-163). Dengan keikhlasan, budaya percaya-mempercayai dan kerjasama dapat diterapkan secara berkesan dalam kalangan pengurus dan pekerja.



12.    Benar – Benar ertinya melakukan sesuatu yang tepat dan menyatakan sesuatu yang tidak dusta. Pembohongan dan penipuan adalah satu dosa dalam Islam.[13] Para pekerja perlu melakukan sesuatu pekerjaan berasaskan kebenaran. Bercakap benarlah walaupun ianya pahit. Pelaksanaan setiap tugas perlu dilakukan dengan penuh kejujuran. Teras pengurusan organisasi dakwah ialah melakukan sesuatu yang benar secara jujur dan melakukan tugas secara bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan setiap sumber dan tenaga kerja.



13.    Wasatiyyah[14] – Ia bermaksud seimbang, pertengahan dan adil. Wasatiyyah (atau prinsip kesederhanaan dan keseimbangan) adalah aspek penting ajaran Islam yang sering diabaikan. Wasatiyyah penting dalam pembangunan tamadun dan organisasi. 'Kesederhanaan' sebagaimana yang ditakrifkan di sini adalah menurut moral yang berkaitan bukan sahaja dengan kelakuan peribadi tetapi juga kepada integriti dan imej diri masyarakat dan negara. Ia adalah satu aspek identiti diri dan pandangan semesta Islam. Kesederhanaan juga penting dalam pembangunan keharmonian sosial dan keseimbangan dalam hubungan sesama manusia. Ia sinonim dengan istilah Arab yang lain - tawassuṭ, i’tidal, iqtisad dan tawazun. Keadilan – memilih tindakan atau perbuatan yang bersesuaian dengan suasana, persekitaran atau sasaran. Lawan istilah wasatiyyah ialah taṭarruf (ekstrem, melampau, radikal dan berlebihan. Dalam bahasa Arab wasatiyyah bermaksud pilihan terbaik - seperti dalam hadis: "Nabi [saw] adalah yang terbaik dari keturunan Quraisy”.



Ia ditakrifkan sebagai sebarang tindakan atau perbuatan yang berdasarkan kebijaksanaan dan keseimbangan penggunaan akal, jasmani, rohani dan emosi dan dibezakan dengan kebencian terhadap tindakan yang melampau, ekstrem dan radikal. Dalam konteks organisasi, ekonomi dan muamalat, prinsip wasatiyyah berkait rapat dengan kesederhanaan dalam perbelanjaan (ekonomikal), berhemat, berjimat cermat dan menolak pembaziran, berlebih-lebihan dan kebakhilan. Wasatiyyah bermakna kesederhanaan dan keseimbangan dalam sistem kepercayaan, moral, karekter dan watak, dalam konteks melayani orang lain, sistem pemerintahan serta sosio-ekonomi dan tadbir urus (Wahbah al-Zuhaili).



Penjelasan Surah Al-Baqarah: 143 – Ummatan Wasatan (Umat Pertengahan). “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus). Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu”. Menurut Ibn Kathir, status umat Islam sebagai saksi adalah bersyarat iaitu komitmen mereka secara total dalam memupuk kesederhanaan dan kebenaran. Pelampau yang melampaui batas kesederhanaan tidak boleh diterima dan mesti ditolak. Umat ​​ini (ummatan wasatan) juga merupakan umat yang pemaaf dan masyarakat yang adil yang mempunyai kemampuan untuk menjadi pengantara antara manusia dan menunjukkan kewujudan rahmat dan keadilan Allah.



Ayat (Surah Al-Baqarah: 143) juga menetapkan cara bagaimana umat ini harus berhubungan dengan masyarakat dan bangsa-bangsa yang lain yang kebanyakannya mempunyai kitab-kitab mereka sendiri dan nabi-nabi yang membawa petunjuk Ilahi kepada umat mereka sendiri. Ulasan pada ayat ini menunjukkan bahawa “pertengahan atau Wasat, adalah pilihan terbaik kerana ia dilindungi daripada rasuah, salah laku dan keruntuhan moral masyarakat”. Dalam konteks ayat ini, Nabi Muhammad SAW. telah bersabda yang bermaksud: “Umat ini adalah umat yang menjadi saksi bangsa-bangsa silam berkaitan petunjuk yang mereka perolehi daripada nabi-nabi mereka dan Rasul Allah (Nabi Muhammad SAW. membuktikan kejujuran mereka". Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: "Bagaimanakah keadaan kaum yang mengatakan seperti ini dan seperti itu? Akan tetapi aku salat dan tidur, puasa dan berbuka dan aku berkahwin dan menikahi wanita. Maka sesiapa yang membenci sunnahku maka ia bukan dari golonganku."



Nabi sendiri telah menjelaskan maksud ayat al-Quran (Surah  Luqman: ayat 19) dengan cara berikut: "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai". Sama ada seseorang membaca ayat ini secara literal atau metafora (tetapi sebaik-baiknya yang kedua), ia boleh mengekalkan kedua-dua makna: Pertama: Bersederhana dalam berjalan kaki dan merendahkan 'suara' seseorang melambangkan kehalusan budi bahasa dan adab dalam berinteraksi dengan yang lain; Kedua, ia juga membayangkan kesederhanaan dan keseimbangan dalam konteks berkomunikasi, berinteraksi dan hubungan dengan masyarakat serta tamadun lain. Ini juga diterimapakai dalam konteks pengurusan organisasi.



Ayat ini juga merangkumi prinsip kepimpinan yang baik kerana ia dialamatkan kepada Nabi dalam peranan kepimpinan beliau dan mencerminkan tidak hanya pada peribadi dan tingkah lakunya, tetapi juga keperluan kepimpinan adil dan seimbang dalam agama dan hal ehwal masyarakat. Perkataan yang penting dalam ayat ini (iaitu waqṣid) adalah terbitan iqtiṣād yang sinonim dengan wasatiyyah. Hashim Kamali mengaitkan ayat ini dengan Hadis Nabi Muhammad SAW. yang bermaksud: “Orang yang mengamalkan kesederhanaan tidak akan ditimpa kemiskinan. Hadis Daripada Ibnu ‘Abbas (Marfu’). Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW.  telah berkata yang bermaksud: “Sebaik-baik urusan ialah yang pertengahan”. Dalam semua perkara, keseimbangan dan kesederhanaan adalah yang pilihan terbaik.



Prinsip wasatiyyah memanifestasikan kaedah tamadun Islam berinteraksi dengan tamadun-tamadun yang lain. Ia adalah hubungan yang dinamik yang melibatkan hubungan timbal balik yang tidak berat sebelah dan tidak didominasi oleh mana-mana pihak. Prinsip Tauhid (mengesakan Ilahi) menetapkan rangka kerja asas hubungan negara-negara atas dasar persaudaraan yang sama (atas prinsip kemanusiaan) yang memupuk pengiktirafan dan persahabatan. Apa yang penting, semua tindakan hendaklah berpaksikan kepada komitmen kepada kebenaran dan keadilan. Untuk menjadi seorang saksi, seseorang mestilah menegakkan kebenaran dan memupuk sikap yang kritikal terhadap diri sendiri (muhasabah) dan orang lain. Ayat ini juga menegaskan citra peradaban yang menonjolkan peranan Islam dalam kitaran sejarah peradaban.



Kesederhanaan adalah matlamat paling berharga dalam konteks hubungan insan dengan Allah, alam semesta-Nya, manusia sesama manusia dan alam sekitar. Dalam semua perkara perlukan kesederhanaan iaitu tidak melampau.  Tidak melakukan sesuatu secara ala kadar dan jangan tidak bergerak ataupun terlalu perlahan. Jangan suka terlalu banyak bercakap ataupun diam sama sekali.  Jangan malu-malu ataupun separuh hati. Jangan pesimis dan jangan mudah tertipu. Jangan terlalu yakin dan janganlah terlalu merendah diri. Setiap perbuatan berdiri di antara dua ekstrem; apabila kita bercakap tentang kemurahan hati, misalnya, ia terletak di tengah-tengah antara pemborosan dan kebakhilan Keberanian berdiri di tengah-tengah sifat terlalu berani dan sikap penakut. Cinta dan kebencian di tengahnya ialah sifat berkecuali. Oleh itu, sifat moderate adalah mulia dan keterlaluan cenderung membawa kepada keburukan dan kerosakan. Islam mengajarkan amalan baik akan menjadi buruk jika dilakukan terlalu ekstrem. Menjadi seseorang yang suka bersedekah adalah amalan kebaikan tetapi hingga mengabaikan keperluan kewangan keluarga boleh membawa kepada sesuatu yang boleh dipertikaikan oleh Syariat.



Wasatiyyah juga adalah amalan-amalan kebaikan dan diukur sama ada ia melibatkan kesederhanaan ataupun tidak. Permudahkan Dan Jangan Memayahkan. Allah ingin mempermudahkan dan tidak memayahkan (Al-Baqarah: 185). Akhlak Muslim dan organisasi sosial orang Islam akan mencapai kesempurnaan jika mengikut KPI dan kualiti yang ditetapkan oleh Allah. Memudahkan orang lain dan menggelakkan kepayahan dan kesukaran diletakkan pada tempat yang tinggi dalam hirarki nilai-nilai Islam. Prof. Dr. Yusof Al-Qardawi dalam (al-Khasais al-’Ammah li al-Islam: 1977) menjelaskan bahawa ‘pertengahan’ adalah satu sifat kriteria agama Islam dan juga dikenali sebagai ‘imbang’ atau ‘berimbang’ (al-tawazun), maksudnya ajaran memberi perhatian yang adil antara keperluan rohani dan jasmani, individu dan masyarakat tidak berat sebelah, tidak keterlaluan atau terlalu kurang (taqsir). Hasilnya orang Islam yang benar-benar patuh dan menurut tabii ajaran.



Pendekatan wasatiyyah adalah prinsip kesederhanaan dan keseimbangan serta moderate yang sangat penting dalam pengurusan organisasi dakwah Islam. Wasatiyyah penting dalam pembangunan tamadun insan dan negara. Kesederhanaan perlu dilihat daripada perspektif moral yang berkaitan bukan sahaja dengan kelakuan peribadi tetapi juga kepada integriti dan imej diri masyarakat dan negara. Ia adalah satu aspek identiti diri manusia Muslim dan pandangan semesta Islam. Kesederhanaan juga penting dalam konteks pembangunan keharmonian sosial dan keseimbangan dalam hubungan sesama manusia serta hubungan antarabangsa.



14.    Muhasabah – Penilaian dan penambahbaikan. Dalam pengurusan organisasi dakwah, aspek penilaian dan penambahbaikan berkaitan organisasi amatlah penting.[15] Allah SWT. telah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan (Surah Al-Hashr, ayat 18).



Kesimpulan



Keperluan melaksanakan idea dan falsafah serta pengurusan mapan bagi organisasi dakwah adalah sesuatu yang perlu dititikberatkan. Nilai-nilai dan budaya Islam perlu diterapkan dalam setiap aspek pengurusan organisasi dakwah. Kekuatan dan kemampuan akal manusia adalah terbatas. Dalam epistemologi Islam, tidak semua perkara dapat dicapai oleh akal dan panca indera manusia. Manusia memerlukan wahyu untuk mengetahui perkara-perkara ghaib yang sabit dengan nas, kesudahan dan pengakhiran kehidupan manusia serta memahami keadilan Allah. Di sinilah terletaknya peranan para Rasul yang mempunyai pengetahuan dan ilmu untuk menerangkan dan menjelaskan perkara ini dengan betul dan sahih. Konsep nubuwwah memanifestasikan keyakinan dan keimanan yang tidak berbelah bagi terhadap para Nabi dan Rasul yang merupakan manusia pilihan Allah SWT. Para Nabi dan Rasul mempunyai sifat maksum dan mereka membawa bukti kewujudan Allah dengan sejelas-jelasnya, menjelaskan tentang kepentingan manusia sebagai khalifah (Khalifah Allah) dan hamba Allah (‘Abd Allah), memelihara dan menjaga kepentingan umat manusia dan alam seluruhnya, memberi peringatan kepada manusia terutamanya implikasi balasan baik dengan nikmat syurga dan balasan buruk dengan azab neraka, dan sebagai utusan Allah yang memaklumkan kepada manusia tentang perkara-perkara ghaib (ghaibiyyat) melalui wahyu. Para nabi dan rasul juga membawa mesej yang jelas mengenai mensyirikkan Allah, murtad, kesyirikan melalui pendewaan terhadap makhluk, objek alam, perbuatan yang membatalkan akidah dan lain-lain lagi.







[1] Lihat Amini Amir Abdullah (2012), Islam Yang Dinamik, Serdang: Penerbit UPM khususnya Bab 1 hingga Bab 3.

[2] Lihat perbahasan Syed Hussein Al-Attas [1956], The Democracy of Islam, The Hague: W. Van Hoeve, Abu al-A'la Al-Maududi, [1978], Islamic Law and Constitution, (tr. and ed. By Khurshid Ahmad), Lahore: Islamic Publications, Abdur Rahman I. Doi, [1989], Woman in Shari'ah, London: Ta Ha Publishers dan Afzalur Rahman [1992], Muhammad As a Military Leader, New Delhi: Noor Publishing House. 

[3] Lihat kertas kerja Amini Amir Abdullah, Pembelaan Hak Minoriti dan Wanita dalam Seminar Kefahaman Islam Hadhari anjuran YADIM dengan kerjasama Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia, di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak, 19 Mac 2005, 11.00 – 12.30 pagi.

[4] Lihat Yusof Ismail dan Suhaimi Mhd Sarif (2011). The Role of Tawhidic Paradigm in the Transformation of Management System. Dalam Zulkepli Abd Ghani, Musa Abu Hassan, Mohd Rusdhan Mohd Jailani, and Khatijah Othman, Prosiding Seminar Transformasi Sistem Pengurusan Islam di Malaysia 2011 (Proceedings of the National Seminar on Islamic Management Systems Transformation (Trans) (pp.127-147), Islamic Science University Malaysia (USIM), PWTC, Kuala Lumpur, 1-2 Oktober.

[5] Lihat Nota Edaran Amini Amir Abdullah, Kepemimpinan Dari Perspektif Islam, Kursus Induksi Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Pendita Za’ba, 9 Ogos 2004, Jam 11.00-12.30 Tengahari, Eagle Ranch Sport Paradise Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.

[6] Lihat kertas kerja Amini Amir Abdullah, Etika dan Moral Dalam Ekonomi, dibentangkan dalam Seminar Of Ethics For Professional, 10 Oktober 2009, Dewan Kuliah Anggerik (DKA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dungun, Terengganu, 8.30 pagi – 10.30 pagi.

[7] Lihat kertas kerja Amini Amir Abdullah, Kepemimpinan Dan Masa Depan Orang Melayu dalam Bengkel Pemantapan Kendiri dan Kepemimpinan Sekretariat Rukunegara 2012, Dewan Delima, KK6, Universiti Putra Malaysia, 6 Julai 2012 (Jumaat), 8.30 pagi – 10.30 pagi.

[8] Sami Zubaida (2005), Law and Power in the Islamic World, 58-60 dan Michael Cook (2000), Commanding Right And Forbidding Wrong In Islamic Thought. Cambridge University Press. Cambridge.

[9] Lihat Nota Kuliah Amini Amir Abdullah, Islam dan Konsep-konsep Asas, Pengajian Islam, UNIKL.

[10] Lihat nota edaran Amini Amir Abdullah, Pembinaan Negara Bangsa, Bengkel Bakal Calon Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar 2012, 19 Februari 2012 (Ahad), Anjuran USIM, Impiana Rimba Resort, Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan, 11.00am-1.00pm.

[11] Lihat Nota Edaran Amini Amir Abdullah, Etika Dan Adab Pemimpin Dalam Islam, Institut Budaya Baru Melayu, Hulu Kelang, Selangor, 4 September 2007, anjuran YADIM.

[12]  H.R. Alavi (2007), Al-Ghazali on Moral Education, Journal of Moral Education, 36 (3), hal. 309-319.

[13] lihat Amini Amir Abdullah (1990), Konsep Akhlak Islamiah Menurut Imam Al-Ghazali, Tesis Bacelor Usuluddin, (Belum diterbitkan), Lembah Pantai: Fakulti Usuluddin Universiti Malaya. 

[14] Lihat Nota Ceramah Dr. Amini Amir Abdullah, Pendekatan Wasatiyyah, Kursus Pelapis Pemimpin Muda USIM, Kem Ulu Langat, Selangor, 24 Ogos 2014 (Ahad), 3pm.


[15] Lihat nota ceramah Amini Amir Abdullah, Kita Insan Budiman! Pengalaman Dan Ungkapan, Anjuran Pejabat Dekan, Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM, 20 April  2012 (Jumaat), di Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM, 3.00 – 4.30 petang


No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak