Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Thursday, September 15, 2011

Aidilfitri Memperkasa Perpaduan (Suara Pusat Islam UPM, 2 September 2011)

Aidilfitri Memperkasa Perpaduan (Suara Pusat Islam UPM, 2 September 2011)


Ramadan dianggap bulan tarbiah di mana selama sebulan jiwa, ruh dan hati umat benar-benar telah terasah dengan amal-amal kebajikan untuk lebih dapat meningkatkan kualiti takwa yang sudah diperolehi sepanjang beribadah di bulan Ramadan. Setelah bersusah payah berpuasa di bulan Ramadan menahan lapar dan dahaga, kita menyambut pula Hari Raya Aidilfitri iaitu hari yang diharamkan berpuasa dan kita menunjukkan kesyukuran kita kepada Allah s.w.t. melalui bertakbir dan bertahmid sejak malam hari raya hingga menjelang solat sunat Aidilfitri, mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat sunat Aidilfitri, solat sunat Aidilfitri 2 rakaat dan mendengar khutbah. Selepas itu hendaklah bermaaf-maafan dan ziarah menziarahi antara satu dengan lain. Adalah sunat menjamu tetamu termasuk fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) serta kunjung-mengunjungi dan ziarah-menziarahi untuk mengeratkan silaturrahim. Tidaklah dilarang untuk menjemput rakan-rakan bukan Islam untuk bertandang ke rumah bagi menjamah juadah hari raya. Ini adalah amalan yang baik untuk merealisasikan konsep 1Malaysia dan integrasi nasional. Amalan ini baik juga untuk pemantapan hubungan etnik dalam negara kita.

Semoga Syawal ini menginsafkan kita agar sentiasa mengingati nikmat dan rahmat Allah serta mempertingkatkan amal ibadah, memperbanyakkan bertaubat dan mengambil inisiatif mengeratkan perpaduan serta silaturrahim sesama kita. Saat ini umat Islam di mana sahaja masih dalam suasana gembira menyambut Aidilfitri dengan menganjurkan berbagai kegiatan seperti majlis rumah terbuka, tradisi kunjung-mengunjung dan bermaaf-maafan. Dalam kegembiraan dan kemeriahan kita berhari raya, janganlah kita lupa kepada saudara-saudara seagama kita yang menyambut Aidilfitri dalam kesedihan, tekanan dan linangan air mata akibat peperangan, kacau-bilau dan kemiskinan seperti yang berlaku di Semenanjung Gaza, Iraq, Palestin dan Afghanistan. Kita rakyat Malaysia memang amat bertuah kerana Allah s.w.t. mengurniakan kita dengan keamanan dan nikmat rezeki yang melimpah ruah. Maka, sudah sewajarnya kita menjadi manusia yang sentiasa bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada manusia.

Kalimah Aidilfitri memiliki maksud kembali kepada kesucian (fitrah) atau kembali kepada asal kejadian. Hari Raya merupakan “hadiah” daripada Allah s.w.t. kerana meraikan kejayaan kita mengharungi cabaran di bulan Ramadan. Semoga tradisi madrasah Ramadan yang dilalui akan terus mengajar umat Islam agar dapat mengawal hawa nafsu, berdisiplin, mengamalkan akhlak terpuji dan memberikan latihan berguna dalam usaha membentuk kecemerlangan sahsiah dan spirituil demi menggapai keredaan Allah s.w.t. Sepatutnya pada Syawal ini kita merayakan kemenangan dengan memuji kebesaran Allah s.a.w. melalui bertakbir dan bertahmid serta menyambutnya dengan sambutan yang bersesuaian serta tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam agar segala amalan yang kita kerjakan di bulan Ramadan yang lalu itu tidak akan sia-sia dan akan tetap dipelihara dan pahalanya akan berkekalan sehingga hari kemudian. Di samping kita bersyukur dan bergembira di hari lebaran ini, adalah elok kita merenung dan membuat penilaian terhadap segala amal perbuatan yang kita lakukan di bulan Ramadan yang baru lalu dengan menjadikannya sebagai titik tolak kepada kita untuk berazam mempergiatkan lagi amalan-amalan kita di setiap saat dan masa. Jika di sepanjang bulan Ramadan kita mampu menunaikan sembahyang berjemaah baik yang fardu mahupun yang sunat di masjid-masjid, maka kenapa di bulan-bulan lain kita tidak berdaya mengerjakannya? Begitu juga dengan ibadat-ibadat lain seperti zakat, sedekah, membaca Al-Quran dan seumpamanya. Begitulah juga halnya dengan berpuasa, jika di bulan Ramadan kita sanggup berpuasa sebulan maka adalah tidak munasabah dan mustahil kita tidak dapat mengerjakan puasa-puasa sunat yang lain.

Berpuasa enam adalah bukti kita mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada kita. Tetapi perlu diingat bahawa mengerjakan puasa sunat enam hari di bulan Syawal tidak akan mendatangkan apa-apa makna jika sekiranya puasa bulan Ramadan tidak disempurnakan. Puasa sunat enam di bulan Syawal ialah puasa yang disunatkan kepada kita melakukannya dalam bulan Syawal sahaja dan cara melaksanakannya ialah yang lebih afdal atau lebih utama dengan melakukan secara berturut-turut (enam hari) bermula dari 2 Syawal. Kita juga boleh melakukannya secara berselang hari dan boleh juga dibuat pada bila-bila masa asalkan dilakukan dalam bulan Syawal. Adapun di antara hikmah puasa enam di bulan Syawal ini ialah seperti yang terkandung dalam Hadis Rasullullah s.a.w. yang bermaksud: ”Dari Abi Ayub Al-Ansari, ia menceritakan bahawa sesungguhnya Rasullullah s.a.w.bersabda: Barangsiapa yang puasa bulan Ramadan kemudian mengiringinya dengan puasa enam pada bulan Syawal, maka seakan-akan ia berpuasa selama setahun.

Aidilfitri dinamakan juga hari kembali ke fitrah kerana pada hari itu dinyatakan kembalinya manusia kepada fitrah yang suci bersih daripada sebarang dosa dan noda selepas berpuasa dan menjalani pengalaman kerohanian dalam madrasah Ramadan. Bagaimanakah caranya umat Islam menyambut kegembiraan dan kejayaan ini? Sudah tentu tidak sama dengan orang-orang lain menyambut perayaan mereka. Kita tidak dibenarkan membazir di dalam menyambut hari raya. Pada 1 Syawal atau hari raya pertama, Allah melarang umat Islam berpuasa. Ini boleh diertikan Allah memberi peluang kita berhari raya, makan minum daripada rezeki yang dikurniakan kepada kita sebagai hadiah kemenangan, kerana berjaya menamatkan puasa selama sebulan. Islam menganjurkan kita sentiasa sederhana dalam kehidupan seharian. Islam melarang perbuatan berbelanja yang berlebih-lebihan hingga membazir.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana memberikan kekuatan, kesabaran dan ketekunan sehingga dapat melaksanakan ibadah puasa Ramadan selama sebulan yang baru lalu. Semoga puasa yang kita kerjakan dengan sungguh-sungguh dan penuh ikhlas itu akan diterima oleh Allah s.w.t. dan dikurniakan ganjaran yang baik di sisiNya. Satu Syawal merupakan hari kemenangan bagi mereka yang berpuasa dengan sungguh-sungguh dan berjaya ditarbiah dalam madrasah Ramadan selama sebulan. Mereka inilah sebenarnya yang layak merayakan Aidilfitri. Marilah kita raikan Aidilfitri dengan mematuhi syariat dan roh keislaman, kunjung-mengunjung, menghubungkan silaturrahim dan bermaaf-maafan di antara satu sama lain. Walaupun dalam keadaan bergembira merayakan Aidilfitri, hendaknya kita yang dianugerahkan Allah s.w.t. dengan kehidupan selesa tidak akan lupa kepada insan-insan yang hidup menderita dan tidak bernasib baik. Syawal yang kita sambut sebenarnya bukanlah hari bergembira kerana terlepas daripada makan minum seperti dalam bulan Ramadan, tetapi lebih merupakan hari untuk menyatakan kesyukuran kepada Allah s.w.t. kerana berjaya melepasi ujian dan latihan yang sangat bermakna sepanjang Ramadan. Rasulullah s.a.w. memperlihatkan kepada umatnya tentang perasaan sedih baginda kerana ditinggalkan Ramadan yang penuh dengan berkat, rahmat dan ganjaran pahala berlipat ganda, demikian juga perasaan para sahabat baginda dan tabi’- tabiin. Sebab itu, baginda bersabda yang bermaksud: “Kalaulah manusia tahu kebaikan dan keutamaan yang terkandung di dalam bulan Ramadan, pasti mereka meng-harap Ramadan itu berlaku sepanjang tahun”. Islam menggalakkan kita berpuasa enam hari dalam bulan Syawal supaya tidak terlalu sedih ditinggalkan Ramadan. Selain memperolehi pahala puasa setahun, berpuasa enam hari di bulan Syawal juga dapat memperbaiki kekurangan dalam ibadah puasa Ramadan.
Pada setiap hari raya kita berikrar dan berjanji dengan Allah yang bermaksud: "Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah. Dan kami tidak sembah melainkan dia dengan penuh ikhlas, bagi Allah sahaja agama, meskipun dibenci oleh orang-orang kafir. Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dengan keesaanNya. Benarlah janjiNya memberi pertolongan kepada hambaNya dan memberikan kemuliaan serta kemenangan kepada tenteraNya. membinasakan tentera Ahzab dengan keesaanNya." Ikrar ini diulang-ulangkan berkali-kali pada malam hariraya, hari raya dan seterusnya hari-hari berikutnya. Marilah kita renungi kembali latarbelakang kepada lafaz-lafaz ini dengan merujuk kepada sirah Rasulallah s.a.w. iaitu Peperangan al-Ahzab atau Peperangan Khandaq yang mempunyai pertalian yang rapat dengan lafaz yang kita ucapkan di setiap awal hari raya ini. Dalam peperangan al-Ahzab atau peperangan Khandaq yang berlaku pada tahun 5 Hijriyyah di kota Madinah, tentera Islam mengandungi kekuatan seramai 3000 orang manakala tentera bersekutu (yakni tentera Ahzab) mengandungi kekuatan seramai 10000 orang yang terdiri daripada kafir Quraish dibantu pula oleh puak-puak Yahudi dan Arab seperti Bani Nadir, Quraizah dan Bani Wail. Peperangan ini tercetus disebabkan kuatnya hasrat orang-orang kafir untuk menghapuskan Nabi Muhammad s.a.w. dan para pengikutnya yang sudah terpendam begitu lama. Orang-orang kafir merasa kuat dan sombong selepas kemenangan mereka dalam Peperangan Uhud. Tentera al-Ahzab mengepung bandar Madinah tetapi cubaan mereka untuk memasuki bandar Madinah gagal. Tentera-tentera Ahzab ini gagal untuk menguasai kota Madinah selepas hampir sebulan mengepungnya. Ini membuatkan mereka pulang dan berundur tanpa membawa apa-apa kemenangan. Sebenarnya, beberapa hari sebelum mereka berundur, Allah telah menurunkan para malaikat beserta dengan ribut pasir serta taufan untuk mengucar-ngacirkan kedudukan tentera-tentera Ahzab. Hal ini diceritakan oleh Allah di dalam Surah al-Ahzab yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, Kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan. Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.” (Ayat 9 hingga 11)
Dengan pertolongan Allah, orang-orang Mushrikin telah luntur moral dan semangat mereka untuk terus berperang, lalu mereka berundur. Di pihak Islam pula, mereka menghadapi berbagai kesukaran di dalam peperangan ini. Ini diceritakan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quran yang bermaksud: “Ketikamana mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu (yakni dari segenap penjuru) dan ketika tidak tetap lagi penglihatanmu dan hatimu naik sesak sampai ke lubang tenggorokmu dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam sangkaan buruk. Disitulah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan dengan goncangan yang bersangatan." Sebenarnya ayat ini menggambarkan bagaimana hebatnya perasaan takut dan gementar perasaan umat Islam ketika itu hinggakan ada di antaranya berperasaan syak yang bukan-bukan terhadap Allah s.w.t.. Ayat ini menegaskan inilah sebenarnya ujian daripada Allah s.w.t.. Dengan adanya Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya, umat Islam dipujuk supaya bersabar, tabah, yakin serta bertawakal kepada Allah dan akhirnya umat Islam mencapai kemenangan dengan bertempiaran larinya golongan Ahzab setelah datang pertolongan Allah.

Di Aidilfitri ini, kita patut merebut peluang bermaaf-maafan, ziarah menziarahi, memperkuatkan perpaduan dan memperkasa integrasi nasional tanpa mengira latar belakang politik atau fahaman. Program kunjung-mengunjungi dan ziarah-menziarahi dapat mengeratkan tali silaturrahim. Ini adalah amalan yang baik untuk merealisasikan solidariti yang utuh sama ada dalam hubungan inter-etnik atau intra-etnik. Berhati-hatilah memandu ketika berhari-raya semoga selamat pergi dan selamat kembali ke mana jua destinasi anda. Elakkanlah kemalangan. Ingat dan sayangilah orang yang tersayang!!

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak