Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Thursday, September 15, 2011

Ideologi Komunisme Amat Merbahaya (Suara Pusat islam UPM, 16 September 2011)



Dua pendokong utama ideologi komunisme ialah Karl Marx dan Frederick Engels. Idea Marx dan Engels banyak kedapatan dalam karya mereka “Manifesto of the Communist Party” yang ditulis pada asalnya dalam bahasa Jerman di antara bulan Disember 1847 dan bulan Januari 1848. Ia kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan dalam bentuk pamphlet di London pada bulan Februari 1848. “Manifesto of the Communist Party” asalnya adalah sebuah manifesto dan kemudiannya dibukukan dengan diberikan beberapa penambahbaikan.

“Manifesto of the Communist Party” telah diterjemahkan secara langsung daripada teks Jerman pada tahun 1888 dalam bentuk buku dan diedit oleh Frederick Engels. Buku terjemahan inilah yang menjadi analisa kita pada hari ini yang diterbitkan oleh Foreign Language Press di Peking, China pada tahun 1977. “Manifesto of the Communist Party” mempunyai edisi beberapa buah negara dan diterbitkan dalam tahun yang berbeza-beza. Sebagai contoh, terdapat edisi Jerman yang diterbitkan pada tahun 1872, edisi Rusia (1882), edisi Jerman lagi (1883), edisi Inggeris (1888), edisi Jerman (1890), edisi Poland (1892) dan edisi Itali (1893).

Edisi-edisi ini juga mempunyai prakata yang ditulis oleh Marx dan Engels. Tidak ada sebuah bukupun di dunia yang mempunyai edisi dan prakata sebanyak buku ini. Setiap prakata hampir mempunyai persamaan kecuali beberapa perubahan yang dilakukan oleh Marx dan Engels. Marx dan Engels menulis prakata secara bersama untuk edisi Jerman (1872), edisi Rusia (1882), dan edisi Jerman semula (1890). Kecuali edisi-edisi ini, bahagian prakata yang lain ditulis oleh Engels secara bersendirian.

Idea Marx dan Engels dalam buku ini cukup mudah untuk difahami. Mereka mengemukakan idea perjuangan kelas dan pertentangan kelas antara dua kelompok terbesar dalam sesebuah negara iaitu kelas Bourgeoisie dan kelas Proletariat. Menurut Marx, sepanjang sejarah tamadun manusia, ia diwarnai oleh sejarah perjuangan kelas, pertentangan antara kelompok pengeksploit dan yang dieksploit, serta kelompok pemerintah dengan kelompok yang dizalimi. Sejarah perjuangan dan pertentangan kelas ini telah membentuk evolusi yang telah mencapai satu tahap di mana kelompok Protelariat selaku kelompok yang dieksploitasi dan dizalimi tidak dapat mencapai pembebasan daripada cengkaman kelompok pengeksploitasi dan kelas pemerintah.

Apa yang diperjuangkan oleh Marx ialah emansipasi masyarakat keseluruhannya daripada segala eksploitasi, kezaliman, perbezaan kelas dan pertentangan kelas. Perlu dinyatakan di sini bahawa buku “Manifesto of the Communist Party” ini bermula dengan slogan “Workers of All Countries, Unite!” dan diakhiri dengan slogan “Working Men of All Countries, Unite!”. Slogan ini merupakan propaganda Marx untuk mengajak penduduk kelas Proletariat memberontak, melakukan keganasan dan melakukan tindakan agresif terhadap kelompok Bourgeoisie. Bukan sekadar itu sahaja, Marx juga berpendapat: “In short, the communists everywhere support every revolutionary movement against the existing social and political order of things.” (Ringkasnya, para anggota komunis di mana-mana sahaja menyokong gerakan revolusi terhadap pemerintahan politik dan sosial.)

Antara lain, Marx berhujah lagi: “The Communist disdain to conceal their views and aims. They openly declare that their ends can be attained only by the forcible overthrow of all existing social conditions. Let the ruling classes tremble at a Communistic revolution. The Proletarians have nothing to lose but their chains. They have a world to win”. (Pihak komunis tetap akan mempertahankan pandangan-pandangan dan matlamat mereka. Mereka secara terbuka mengishtiharkan bahawa matlamat mereka boleh dicapai hanya melalui paksaan dengan menyingkirkan semua keadaan sosial (yang berat sebelah). Biarlah kelas pemerintah (Bourgeoisie) tersungkur di kaki Revolusi Komunis. Kelas Proletariat tidak kehilangan apa-apa kerana mereka mempunyai dunia untuk dimenangi dan dikuasai.) Inilah juga merupakan indoktrinasi komunisme terhadap masyarakat sedunia khususnya di kalangan golongan pekerja, petani dan rakyat berbanding pemodal, pemilik tanah dan pemerintah. Apakah kita mahu Revolusi Komunis dalam negara kita? Tentunya tidak mengenangkan keganasan mereka terhadap tentera, polis dan rakyat negara ini. Banyak jiwa yang terkorban dan harta benda yang musnah dek kerana pengganas komunis. Sebab itu, komunisme amat merbahaya!!!

Pada 5 Jun 2009, saya telah menulis dalam ruangan ini satu artikel berjudul “Komunisme Bertentangan Dengan Islam”. Amat moleklah jika kita tinjau semula nukilan saya itu. Komunisme adalah satu fahaman, falsafah politik dan ideologi yang berpegang kepada satu aliran pemikiran bahawa pengeluaran sumber-sumber (alam) secara kolektif adalah milik bersama. Komunis bertitik tolak daripada fahaman Marxis, Lenin dan Maois sebagai ketua ideologi. Istilah komunisme juga merujuk kepada sebarang sistem sosial dan politik yang memperjuangkan falsafah politik komunis. Komunisme sebagai satu fahaman mengutamakan matlamat menghalalkan cara hatta dengan menggunakan kaedah keganasan ataupun peperangan. Kebiasaannya komunisme mempunyai perkaitan dengan sosialisme, Marxisme, Leninisme dan Maoisme. Fahaman komunisme muncul di Eropah pada pertengahan abad ke 19 kerana perasaan tidak puas hati terhadap polisi, dasar dan sistem pemerintahan Eropah dan kemudiannya menjadi begitu berpengaruh kerana mendapat sokongan rakyat jelata yang tertindas terutama di kalangan masyarakat bawahan.

Fahaman komunis berkait rapat dengan atheisme iaitu satu fahaman yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan atau kuasa agung. Golongan ini juga dikenali sebagai golongan mulhid. Bahkan boleh dikatakan benar juga bahawa atheisme berkait rapat dengan sekularisme. Ramai manusia sekarang ini mengaku mereka tidak bertuhan dan ada juga yang mengaku sebagai free thinker. Kemerbahayaan atheisme sudah mula menapak. 15% penduduk dunia dikatakan berfahaman atheis. Orang atheis tidak percayakan kewujudan Tuhan. Dalam konteks Malaysia, orang atheis tidak layak untuk menjadi warganegara negara ini kerana berlawanan dengan semangat dan falsafah Rukun Negara yang menyatakan kepercayaan kepada Tuhan sebagai tunggak utamanya.

Fahaman komunis juga percaya bahawa kehidupan tidak berkait dengan kerohanian dan keagamaan. Justeru, mereka berpegang kepada fahaman materialisme bahawa material itu menentukan segala-galanya dan agama tidak mempunyai signifikan dalam kehidupan. Komunisme juga menafikan hak milik individu dalam sesebua Negara berkaitan dengan aset, harta, tanah, bangunan dan seumpamanya. Mereka menyatakan bahawa dalam sesebuah negara, semua elemen ini adalah milik negara ataupun pemerintah.

Pihak komunis juga percaya bahawa semua hasil bumi dan sumber-sumber alam dalam sesebuah negara adalah hak milik negara dan bukannya individu. Komunisme juga mengagung-agungkan teori Lenin mengenai gaji bahawa seseorang boleh berusaha mencari duit mengikut kemampuannya tetapi mesti diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Mereka juga mengagung-agungkan prinsip Machiavelli iaitu ‘matlamat menghalalkan cara’.

Di Malaysia, Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan pada tahun 1930 bertitik tolak daripada fahaman Maoisme dan Marxisme yang memperjuangkan keganasan dan kemusnahan dalam ideologi mereka. Ramai yang tertarik dengan “gula-gula” komunis kononnya kerajaan menindas dan menzalimi serta mengambil hak mereka. Perang saraf yang didogmakan oleh komunis berjaya mendapatkan 10,000 ahli dalam tempoh empat tahun sesudah ia ditubuhkan. PKM telah melakukan tindakan-tindakan radikal dan melampau yang melibatkan banyak kerugian, kemusnahan harta benda dan kematian jiwa. Adakah kita patut bertolak ansur dengan mereka yang melakukan keganasan dan pembunuhan selama 59 tahun dalam negara kita Tanah Melayu ini?





Apakah Kita Telah Lulus Dalam “Universiti Ramadan”? (Suara Pusat Islam UPM, 26 Ogos 2011)

Apakah Kita Telah Lulus Dalam “Universiti Ramadan”? (Suara Pusat Islam UPM, 26 Ogos 2011)


Ramadan adalah bulan rahmat, keampunan dan bulan pembebasan dari api neraka. Namun demikian ramai dari kalangan kita yang tidak mengetahui apakah kesan yang terbaik yang kita dapati hasil dari pentarbiahan diri selama sebulan dalam “Universiti Ramadan”. Dengar ertikata lain, apakah impak dan end result Ramadan kepada kita? Adakah takwa dan iman kita semakin meningkat? Apakah kita menjadi semakin berdisplin dan berkualiti? Adakah keinsafan dan kesedaran kita meningkat untuk menolong para fakir dan miskin? Apakah kita sudah boleh mengatasi pemborosan dan pembaziran? Adakah kita boleh selalu ke masjid dan ke surau seperti yang kita lakukan di setiap malam dalam bulan Ramadan? Apakah kita boleh berjaga malam melakukan aktiviti solat tahajud dan qiamullail untuk meningkatkan keimanan kita? Apakah kita boleh mengekang hawa nafsu dan syahwat kita? Apakah gred yang kita perolehi dalam “Universiti Ramadan”; kelas pertama, kelas kedua, kelas ketiga, general degree atau gagal sepenuhnya?

Semua soalan ini adalah impak kepada amalan kita dalam bulan Ramadan. Peningkatan amal patut dilakukan pada bulan Ramadan kerana sangat besar keistimewaannya melakukan amal ibadah pada bulan ini. Di antara kesan yang akan dapat diperolehi bagi mukmin yang benar-benar menghayati erti Ramadan ialah menimbulkan perasaan belas kasihan dan kasih sayang kepada fakir miskin, anak yatim dan orang-orang yang kurang upaya, membentuk sifat esprit de corp dalam keluarga dengan solat berjemaah, makan dan beribadah bersama-sama bagi membina keluarga sakinah dan bahagia, membiasakan diri dengan amal kebajikan dan menahan diri daripada terjatuh ke lembah maksiat dan dosa, memelihara dan menjana sifat amanah dalam melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya serta memupuk semangat persaudaraan Islam dan membentuk perpaduan serta kekuatan ummah.

Berbuatlah ibadah sepanjang hayat kerana sebaik-baik bekalan yang akan kita bawa adalah ketakwaan kepada Ilahi. Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ `Ulumuddin mengkategorikan orang yang berpuasa itu kepada tiga golongan, iaitu: Puasa golongan awam, iaitu orang yang hanya menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh sahaja, kedua, puasa golongan Ahlul Khawas, iaitu orang yang menahan dirinya dari makan dan minum serta syahwatnya kerana Allah dengan mengharapkan keampunan dan syurga atau terhindar dari neraka dan ketiga, puasa golongan Khawasul Khawas (atau Ahlul Ma’rifat), iaitu orang yang menahan diri dari makan dan minum serta syahwat juga menahan hati dan segala pancaindera daripada segala yang tidak disukai Allah s.w.t. kerana semata-mata mengharapkan keredaan Allah s.w.t. sahaja.

Pantang larang orang yang berpuasa perlukan disiplin yang kuat untuk dihindari. Antaranya ialah menundukkan dan menahan mata daripada melihat perkara yang tercela dan dimurkai Allah di samping menjaganya daripada melihat perkara yang melalaikan hati daripada mengingati Allah. Sentiasalah menjaga lidah daripada menipu, mengumpat, mencela, mengutuk, memburukkan orang lain atau melaga-lagakan mereka serta menyanyi nyanyian yang melalaikan diri kita daripada mengingati Allah. Kita hendaklah senyap dan memperbanyakkan mengingati Allah dan banyak membaca al-Quran serta berzikir. Jangan lupa menahan pendengaran daripada mendengar perkara yang dilarang kerana setiap apa yang diharamkan mengeluarkannya daripada mulut maka ia turut diharamkan daripada mendengarnya. Sebab itulah Allah menyamakan mereka yang mendengar perkara maksiat dengan mereka yang memakan perkara haram. Orang yangt berpuasa sebenar-benarnya menahan segala anggota yang lain iaitu tangan dan kaki daripada maksiat dan dosa serta menahan perut daripada memakan perkara syubhat atau haram ketika berbuka. Janganlah kita terlalu banyak makan sekali pun halal sehingga tersumbat lubang pernafasannya kerana Allah begitu murka mereka yang terlalu banyak makan. Peliharalah hati kita sentiasa terikat kepada perasaan antara khauf (takut) dan raja' (terlalu mengharap) di mana hati kita sentiasa memainkan persoalan sama ada puasa kita diterima sebagai orang yang hampir kepada Allah atau pun ditolak kerana kita termasuk dalam golongan mereka yang cuai dalam beribadat. Kita sepatutnya tidak malas menjalankan ibadah-ibadah sunat di bulan Ramadan. Jadilah seorang yang pemurah dan suka bersedekah dan jangan bakhil pada harta benda. Rajin-rajinlah membaca al-Quran dan kikiskan sifat senang menjadi pemarah. Buangkan tabiat gemar berbicara perkara yang sia-sia dan dusta serta memutuskan tali silaturrahim. Jangan khianati amanah dan pertingkatkan solat berjemaah selalu. Kurangkan kebergantungan yang keterlaluan kepada makhluk dan sentiasalah membela dan menegakkan kebenaran. Mengadulah selalu kepada Allah. Pertingkatkan kekuatan bangsa dan jangan salah faham terhadap falsafah Ramadan. Janganlah menjadi terlalu sibuk mempersiapkan Aidilfitri hingga terabai ibadah Ramadan.

Aidilfitri Memperkasa Perpaduan (Suara Pusat Islam UPM, 2 September 2011)

Aidilfitri Memperkasa Perpaduan (Suara Pusat Islam UPM, 2 September 2011)


Ramadan dianggap bulan tarbiah di mana selama sebulan jiwa, ruh dan hati umat benar-benar telah terasah dengan amal-amal kebajikan untuk lebih dapat meningkatkan kualiti takwa yang sudah diperolehi sepanjang beribadah di bulan Ramadan. Setelah bersusah payah berpuasa di bulan Ramadan menahan lapar dan dahaga, kita menyambut pula Hari Raya Aidilfitri iaitu hari yang diharamkan berpuasa dan kita menunjukkan kesyukuran kita kepada Allah s.w.t. melalui bertakbir dan bertahmid sejak malam hari raya hingga menjelang solat sunat Aidilfitri, mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat sunat Aidilfitri, solat sunat Aidilfitri 2 rakaat dan mendengar khutbah. Selepas itu hendaklah bermaaf-maafan dan ziarah menziarahi antara satu dengan lain. Adalah sunat menjamu tetamu termasuk fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU) serta kunjung-mengunjungi dan ziarah-menziarahi untuk mengeratkan silaturrahim. Tidaklah dilarang untuk menjemput rakan-rakan bukan Islam untuk bertandang ke rumah bagi menjamah juadah hari raya. Ini adalah amalan yang baik untuk merealisasikan konsep 1Malaysia dan integrasi nasional. Amalan ini baik juga untuk pemantapan hubungan etnik dalam negara kita.

Semoga Syawal ini menginsafkan kita agar sentiasa mengingati nikmat dan rahmat Allah serta mempertingkatkan amal ibadah, memperbanyakkan bertaubat dan mengambil inisiatif mengeratkan perpaduan serta silaturrahim sesama kita. Saat ini umat Islam di mana sahaja masih dalam suasana gembira menyambut Aidilfitri dengan menganjurkan berbagai kegiatan seperti majlis rumah terbuka, tradisi kunjung-mengunjung dan bermaaf-maafan. Dalam kegembiraan dan kemeriahan kita berhari raya, janganlah kita lupa kepada saudara-saudara seagama kita yang menyambut Aidilfitri dalam kesedihan, tekanan dan linangan air mata akibat peperangan, kacau-bilau dan kemiskinan seperti yang berlaku di Semenanjung Gaza, Iraq, Palestin dan Afghanistan. Kita rakyat Malaysia memang amat bertuah kerana Allah s.w.t. mengurniakan kita dengan keamanan dan nikmat rezeki yang melimpah ruah. Maka, sudah sewajarnya kita menjadi manusia yang sentiasa bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada manusia.

Kalimah Aidilfitri memiliki maksud kembali kepada kesucian (fitrah) atau kembali kepada asal kejadian. Hari Raya merupakan “hadiah” daripada Allah s.w.t. kerana meraikan kejayaan kita mengharungi cabaran di bulan Ramadan. Semoga tradisi madrasah Ramadan yang dilalui akan terus mengajar umat Islam agar dapat mengawal hawa nafsu, berdisiplin, mengamalkan akhlak terpuji dan memberikan latihan berguna dalam usaha membentuk kecemerlangan sahsiah dan spirituil demi menggapai keredaan Allah s.w.t. Sepatutnya pada Syawal ini kita merayakan kemenangan dengan memuji kebesaran Allah s.a.w. melalui bertakbir dan bertahmid serta menyambutnya dengan sambutan yang bersesuaian serta tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam agar segala amalan yang kita kerjakan di bulan Ramadan yang lalu itu tidak akan sia-sia dan akan tetap dipelihara dan pahalanya akan berkekalan sehingga hari kemudian. Di samping kita bersyukur dan bergembira di hari lebaran ini, adalah elok kita merenung dan membuat penilaian terhadap segala amal perbuatan yang kita lakukan di bulan Ramadan yang baru lalu dengan menjadikannya sebagai titik tolak kepada kita untuk berazam mempergiatkan lagi amalan-amalan kita di setiap saat dan masa. Jika di sepanjang bulan Ramadan kita mampu menunaikan sembahyang berjemaah baik yang fardu mahupun yang sunat di masjid-masjid, maka kenapa di bulan-bulan lain kita tidak berdaya mengerjakannya? Begitu juga dengan ibadat-ibadat lain seperti zakat, sedekah, membaca Al-Quran dan seumpamanya. Begitulah juga halnya dengan berpuasa, jika di bulan Ramadan kita sanggup berpuasa sebulan maka adalah tidak munasabah dan mustahil kita tidak dapat mengerjakan puasa-puasa sunat yang lain.

Berpuasa enam adalah bukti kita mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada kita. Tetapi perlu diingat bahawa mengerjakan puasa sunat enam hari di bulan Syawal tidak akan mendatangkan apa-apa makna jika sekiranya puasa bulan Ramadan tidak disempurnakan. Puasa sunat enam di bulan Syawal ialah puasa yang disunatkan kepada kita melakukannya dalam bulan Syawal sahaja dan cara melaksanakannya ialah yang lebih afdal atau lebih utama dengan melakukan secara berturut-turut (enam hari) bermula dari 2 Syawal. Kita juga boleh melakukannya secara berselang hari dan boleh juga dibuat pada bila-bila masa asalkan dilakukan dalam bulan Syawal. Adapun di antara hikmah puasa enam di bulan Syawal ini ialah seperti yang terkandung dalam Hadis Rasullullah s.a.w. yang bermaksud: ”Dari Abi Ayub Al-Ansari, ia menceritakan bahawa sesungguhnya Rasullullah s.a.w.bersabda: Barangsiapa yang puasa bulan Ramadan kemudian mengiringinya dengan puasa enam pada bulan Syawal, maka seakan-akan ia berpuasa selama setahun.

Aidilfitri dinamakan juga hari kembali ke fitrah kerana pada hari itu dinyatakan kembalinya manusia kepada fitrah yang suci bersih daripada sebarang dosa dan noda selepas berpuasa dan menjalani pengalaman kerohanian dalam madrasah Ramadan. Bagaimanakah caranya umat Islam menyambut kegembiraan dan kejayaan ini? Sudah tentu tidak sama dengan orang-orang lain menyambut perayaan mereka. Kita tidak dibenarkan membazir di dalam menyambut hari raya. Pada 1 Syawal atau hari raya pertama, Allah melarang umat Islam berpuasa. Ini boleh diertikan Allah memberi peluang kita berhari raya, makan minum daripada rezeki yang dikurniakan kepada kita sebagai hadiah kemenangan, kerana berjaya menamatkan puasa selama sebulan. Islam menganjurkan kita sentiasa sederhana dalam kehidupan seharian. Islam melarang perbuatan berbelanja yang berlebih-lebihan hingga membazir.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana memberikan kekuatan, kesabaran dan ketekunan sehingga dapat melaksanakan ibadah puasa Ramadan selama sebulan yang baru lalu. Semoga puasa yang kita kerjakan dengan sungguh-sungguh dan penuh ikhlas itu akan diterima oleh Allah s.w.t. dan dikurniakan ganjaran yang baik di sisiNya. Satu Syawal merupakan hari kemenangan bagi mereka yang berpuasa dengan sungguh-sungguh dan berjaya ditarbiah dalam madrasah Ramadan selama sebulan. Mereka inilah sebenarnya yang layak merayakan Aidilfitri. Marilah kita raikan Aidilfitri dengan mematuhi syariat dan roh keislaman, kunjung-mengunjung, menghubungkan silaturrahim dan bermaaf-maafan di antara satu sama lain. Walaupun dalam keadaan bergembira merayakan Aidilfitri, hendaknya kita yang dianugerahkan Allah s.w.t. dengan kehidupan selesa tidak akan lupa kepada insan-insan yang hidup menderita dan tidak bernasib baik. Syawal yang kita sambut sebenarnya bukanlah hari bergembira kerana terlepas daripada makan minum seperti dalam bulan Ramadan, tetapi lebih merupakan hari untuk menyatakan kesyukuran kepada Allah s.w.t. kerana berjaya melepasi ujian dan latihan yang sangat bermakna sepanjang Ramadan. Rasulullah s.a.w. memperlihatkan kepada umatnya tentang perasaan sedih baginda kerana ditinggalkan Ramadan yang penuh dengan berkat, rahmat dan ganjaran pahala berlipat ganda, demikian juga perasaan para sahabat baginda dan tabi’- tabiin. Sebab itu, baginda bersabda yang bermaksud: “Kalaulah manusia tahu kebaikan dan keutamaan yang terkandung di dalam bulan Ramadan, pasti mereka meng-harap Ramadan itu berlaku sepanjang tahun”. Islam menggalakkan kita berpuasa enam hari dalam bulan Syawal supaya tidak terlalu sedih ditinggalkan Ramadan. Selain memperolehi pahala puasa setahun, berpuasa enam hari di bulan Syawal juga dapat memperbaiki kekurangan dalam ibadah puasa Ramadan.
Pada setiap hari raya kita berikrar dan berjanji dengan Allah yang bermaksud: "Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah. Dan kami tidak sembah melainkan dia dengan penuh ikhlas, bagi Allah sahaja agama, meskipun dibenci oleh orang-orang kafir. Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dengan keesaanNya. Benarlah janjiNya memberi pertolongan kepada hambaNya dan memberikan kemuliaan serta kemenangan kepada tenteraNya. membinasakan tentera Ahzab dengan keesaanNya." Ikrar ini diulang-ulangkan berkali-kali pada malam hariraya, hari raya dan seterusnya hari-hari berikutnya. Marilah kita renungi kembali latarbelakang kepada lafaz-lafaz ini dengan merujuk kepada sirah Rasulallah s.a.w. iaitu Peperangan al-Ahzab atau Peperangan Khandaq yang mempunyai pertalian yang rapat dengan lafaz yang kita ucapkan di setiap awal hari raya ini. Dalam peperangan al-Ahzab atau peperangan Khandaq yang berlaku pada tahun 5 Hijriyyah di kota Madinah, tentera Islam mengandungi kekuatan seramai 3000 orang manakala tentera bersekutu (yakni tentera Ahzab) mengandungi kekuatan seramai 10000 orang yang terdiri daripada kafir Quraish dibantu pula oleh puak-puak Yahudi dan Arab seperti Bani Nadir, Quraizah dan Bani Wail. Peperangan ini tercetus disebabkan kuatnya hasrat orang-orang kafir untuk menghapuskan Nabi Muhammad s.a.w. dan para pengikutnya yang sudah terpendam begitu lama. Orang-orang kafir merasa kuat dan sombong selepas kemenangan mereka dalam Peperangan Uhud. Tentera al-Ahzab mengepung bandar Madinah tetapi cubaan mereka untuk memasuki bandar Madinah gagal. Tentera-tentera Ahzab ini gagal untuk menguasai kota Madinah selepas hampir sebulan mengepungnya. Ini membuatkan mereka pulang dan berundur tanpa membawa apa-apa kemenangan. Sebenarnya, beberapa hari sebelum mereka berundur, Allah telah menurunkan para malaikat beserta dengan ribut pasir serta taufan untuk mengucar-ngacirkan kedudukan tentera-tentera Ahzab. Hal ini diceritakan oleh Allah di dalam Surah al-Ahzab yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, Kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan. Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.” (Ayat 9 hingga 11)
Dengan pertolongan Allah, orang-orang Mushrikin telah luntur moral dan semangat mereka untuk terus berperang, lalu mereka berundur. Di pihak Islam pula, mereka menghadapi berbagai kesukaran di dalam peperangan ini. Ini diceritakan oleh Allah s.w.t. dalam Al-Quran yang bermaksud: “Ketikamana mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu (yakni dari segenap penjuru) dan ketika tidak tetap lagi penglihatanmu dan hatimu naik sesak sampai ke lubang tenggorokmu dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam sangkaan buruk. Disitulah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan dengan goncangan yang bersangatan." Sebenarnya ayat ini menggambarkan bagaimana hebatnya perasaan takut dan gementar perasaan umat Islam ketika itu hinggakan ada di antaranya berperasaan syak yang bukan-bukan terhadap Allah s.w.t.. Ayat ini menegaskan inilah sebenarnya ujian daripada Allah s.w.t.. Dengan adanya Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya, umat Islam dipujuk supaya bersabar, tabah, yakin serta bertawakal kepada Allah dan akhirnya umat Islam mencapai kemenangan dengan bertempiaran larinya golongan Ahzab setelah datang pertolongan Allah.

Di Aidilfitri ini, kita patut merebut peluang bermaaf-maafan, ziarah menziarahi, memperkuatkan perpaduan dan memperkasa integrasi nasional tanpa mengira latar belakang politik atau fahaman. Program kunjung-mengunjungi dan ziarah-menziarahi dapat mengeratkan tali silaturrahim. Ini adalah amalan yang baik untuk merealisasikan solidariti yang utuh sama ada dalam hubungan inter-etnik atau intra-etnik. Berhati-hatilah memandu ketika berhari-raya semoga selamat pergi dan selamat kembali ke mana jua destinasi anda. Elakkanlah kemalangan. Ingat dan sayangilah orang yang tersayang!!

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak