BENARKAH OSAMA BIN LADEN EJEN CIA?
Suara Pusat Islam Universiti Putra Malaysia
20 MEI 2011
Satu-satunya dakwaan pertama yang menyatakan bahawa Osama adalah ejen CIA ialah artikel yang diterbitkan pada 24 Ogos 1998 oleh akhbar The Times (AS). Artikel tersebut menyatakan bahawa Osama adalah ejen CIA yang diberikan latihan terbaik, senjata, kemudahan dan wang yang banyak untuk beberapa tahun. Namun demikian, secara tiba-tiba akhbar The Times menukar tema penceritaannya mengenai Osama dengan memburuk-burukkan Osama kononnya beliau adalah musuh AS. Ini menyebabkan para penganalisis menjadi bingung. Pokok persoalannya ialah kenapa pada 24 Ogos 1998, Osama dinyatakan sebagai ejen CIA dan kemudiannya pula dituduh sebagai musuh AS? Harus diingat, ketika itu Peristiwa 9 September 2001 (9/11) masih belum berlaku! Kedua, pelabelan bahawa Osama adalah ejen CIA pada asalnya datang dari sumber AS sendiri. Penafiannya juga kemudiannya datang dari sumber AS.
Masyarakat Barat khususnya rakyat Amerika mula mengenali dan mengutuk Osama bin Laden apabila ia dituduh oleh kerajaan Amerika sebagai dalang Peristiwa 9 September 2001 (9/11) yang mengorbankan hampir 3000 jiwa dan memusnahkan World Trade Center di New York dan sebahagian kecil bangunan Pentagon di Washington D.C. Media massa Barat memainkan peranan penting dalam mengindoktrinasi massa agar mengutuk Osama dan mengecam tindakan ganas yang didakwa dilakukan oleh Osama dan sekutunya.
Milt Bearden, Ketua Central Intelligence Agency (CIA), agensi perisikan AS di Pakistan (bermula 1986 hingga 1989) dalam bukunya The Main Enemy: The Inside Story of the CIA’s Final Showdown with the KGB (Ditulis bersama James Risen) menyatakan bahawa CIA tidak pernah merekrut, melatih atau melakukan aktiviti-aktiviti lain dengan menggunakan sukarelawan Muslim dari Arab Saudi. Pernyataan ini memanglah benar. Tetapi kita tidak dapat menolak andaian bahawa CIA memang pernah melatih dan sedang melatih kadernya dari negara-negara lain. Cumanya, kita tidak mempunyai jumlah yang tepat mereka yang dilatih oleh CIA dari negara-negara Islam yang lain. Bearden sebenarnya telah membawa AS memenangi peperangan dalam peperangan rahsia dengan Soviet Union dan membocorkan rahsia mengenai peranannya, siapa di belakang AS dan kenapa disokong AS.
Kerajaan Pakistan pernah meminta bukti mengenai Peristiwa 9/11. Presiden Amerika ketika itu, George Bush menjawab: “Kami akan tunjukkan kebenaran segera”. Hingga sekarang tiada satu bukti konkritpun yang ditunjukkan oleh AS mengenai keterlibatan Osama kecuali laporan setebal lebih 500 muka surat yang disediakan oleh Suruhanjaya Penyiasatan 9/11.
Media Barat berulang kali menunjukkan wajah-wajah Osama hingga rakyat Amerika dan penduduk seluruh dunia percaya bahawa beliau adalah dalang di sebalik Peristiwa 9/11. Ada juga teori yang menyatakan bahawa Osama adalah kader Amerika yang dilatih di kem-kem rahsia CIA tetapi kemudiannya beliau belot bersama dengan beberapa aset CIA. Menurut Ahmed Rashid dalam bukunya Taliban: Militant Islam, Oil and Fundamentalism in Central Asia, ramai lagi orang seperti Osama yang belot dan membawa lari aset-aset CIA. Ahmed juga mendakwa bahawa Afghanistan adalah pusat pengganas antarabangsa dengan beberapa hujah yang amat konkrit.
Kemunculan Osama sebenarnya boleh dikaitkan dengan penjajahan Soviet Union ke atas Afghanistan. Di antara tahun 1982 hingga 1992, terdapat 35,000 sukarelawan Muslim dari 43 negara Islam termasuk Malaysia yang dilatih dan berjuang bersama pejuang Mujahidin di Afghanistan menentang Soviet. CIA, MI5 dan ISI bekerjasama membentuk pasukan pejuang ini bagi menentang Soviet Union.
Pada tahun 2009, Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Baz pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Osama dan Al-Qaeda adalah kuasa yang mempromosi ideologi keganasan yang berbahaya. Beliau juga menyatakan bahawa “peperangan” perlu dilakukan oleh para akademia, media, ulama dan bahkan ibu bapa terhadap pemikiran-pemikiran sesat yang membawa kepada kelahiran Muslim yang melampau yang memperjuangkan ekstremisme dan keganasan.
Amerika juga risau dengan pengaruh Binladin Group yang merupakan syarikat pembinaan multinasional yang beroperasi di Arab Saudi dan lebih 30 negara lain. Abang kepada Osama ialah Bakr bin Laden yang merupakan pengerusi kepada Binladin Group di Arab Saudi. Syarikat ini mempunyai pengaruh yang amat besar dan dikatakan pernah banyak kali menewaskan banyak syarikat-syarikat Barat dalam bidaan projek-projek mega di negara-negara Islam dan di Eropah. Apakah AS takut dengan pengaruh Binladin Group dan menjadikan Osama sebagai “kambing hitam”? Apakah Osama dilatih untuk mengambil rahsia kejayaan dan pergerakan Binladin Group? Apakah Osama digembar-gemburkan sebagai pengganas untuk memburukkan imej syarikat Binladin Group agar hilang taringnya di peringkat antarabangsa?
CIA juga terlibat secara langsung dengan peperangan di Afghanistan. Bukti bahawa CIA terlibat dengan peperangan di Afghanistan ialah keizinan yang diberikan oleh Kongres AS pada tahun 1986 seperti yang didedahkan oleh Bearden. Di samping itu, CIA juga telah membekalkan Stinger, pelancar roket canggih dan sophisticated kepada pejuang-pejuang Mujahidin di Afghanistan untuk menembak jatuh pesawat pejuang Soviet Union. Stinger merupakan pelancar roket darat-ke-udara dengan jarak berkesan beradius 8 kilometer. Sekiranya jatuh kepada pihak musuh, ia merupakan senjata yang amat merbahaya kerana boleh memusnahkan sebarang penerbangan komersial. Sejak ia diperkenalkan pada tahun 1981 hingga hari ini, Stinger telah menjatuhkan sebanyak 270 pesawat yang telah disahkan benar. Tetapi kita tidak pasti berapakah pesawat komersial yang telah dijatuhkan oleh Stinger.
Komandan CIA ketika itu, William Casey telah memberikan jaminan kepada agensi perisikan Pakistan (ISI) untuk merekrut orang-orang Islam yang radikal yang datang ke Pakistan untuk bergabung dan berjuang dengan tentera Mujahidin di Afghanistan. Ketika itu, tiada seorangpun yang sedar bahawa tawaran dan latihan ketenteraan tersebut telah melahirkan ramai pengganas yang berkemahiran tinggi dan terlatih yang kemudiannya mengganas di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia. Osama dikatakan merupakan salah seorang yang direkrut di Afghanistan. Daripada seorang yang tidak mengetahui apa-apa mengenai peperangan dan persenjataan, Osama menjadi seorang pemimpin gerakan pengganas yang sangat mahir dalam perancangan, strategi dan penyatuan pemikiran.
Kehadiran Osama di Afghanistan bukanlah tempat bermulanya jejak-jejak keganasan. Sebenarnya sebelum itu, iaitu pada tahun 1980, beliau tiba di Peshawar, Pakistan dan bertemu dengan para pemimpin Mujahidin. Kerajaan Pakistan pula memberikan laluan kepada Mujahidin Afghanistan untuk berada di Pakistan bagi mengatur strategi peperangan menentang pendudukan Soviet Union di Afghanistan. Ketika itu, Osama sangat bersimpati dengan perjuangan Mujahidin yang memerlukan sokongan moral dan material. Osama menghulurkan bantuan segera dengan jumlah jutaan dolar Amerika kepada pejuang Mujahidin untuk kelengkapan logistik, senjata dan keperluan asas harian. Osama juga dikatakan membawa semua kelengkapan pembinaan daripada syarikatnya di Arab Saudi untuk membina jalanraya, stor simpanan bekalan keperluan dan senjata.
Osama kemudiannya menetap di Peshawar. Pada tahun 1986, Osama menggunakan kepakaran syarikatnya dalam pembinaan dengan membina terowong besar di perbatasan Afghanistan dan Pakistan, iaitu di Khost. Di situlah juga terketaknya kem terbesar latihan rekrut pemuda dari Arab Saudi. CIA pula dikatakan menyumbangkan dana bagi pembinaan depot pembuatan senjata, kemudahan latihan dan pusat perubatan untuk pejuang Mujahidin.
Setelah Soviet tumpas dalam peperangan di Afghanistan, Osama berhijrah ke Sudan untuk membantu gerakan revolusi Islam. Pada 1996, Osama kembali ke Afghanistan dan membawa puluhan Mujahidin termasuk 3 orang isteri dan 13 anaknya. Pada bulan September 1996, Taliban menguasai semula Afghanistan. Sebelum itu, pada bulan Ogos 1996, buat pertama kalinya Osama mengisytiharkan jihad melawan AS. Pada tahun 1997, beliau berpindah ke Kandahar setelah mendapat sahabat baru iaitu Mullah Umar, pemimpin tertinggi Taliban.
Jabatan Luar Negeri AS pada bulan Ogos 1996 antara lain telah menyatakan bahawa Osama adalah salah seorang tokoh penting dalam memberikan dana untuk aktiviti keganasan dan radikal di seluruh dunia. Ketika ini jugalah CIA dan AS seperti menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri. Apa tidaknya, “teroris ciptaan Amerika” menimbulkan masalah kepada AS sendiri dan Amerika menghadapi masalah ini selama satu dekad hinggalah “watak Osama” ditamatkan pada 1 Mei 2011.
1 comment:
betul ke Dr?
Post a Comment