Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Wednesday, May 11, 2011

Pasca Kematian Osama Bin Laden: Insiden, ANCAMAN dan Peralihan Kuasa

Pasca Kematian Osama Bin Laden: Insiden, ANCAMAN dan peralihan kuasa
13 Mei 2011, Suara Pusat Islam Universiti Putra Malaysia

Berita kematian Osama Bin Laden tersebar dengan sangat cepat menerusi 3 agensi berita berpusat di Amerika iaitu ABC, NBC dan CNN. Kemudiannya Barrack Obama membuat pernyataan bahawa tentera Amerika telah membunuh Osama di dalam sebuah rumah di pinggir bandar Islamabad, Attoabad.

Serangan itu dilakukan pada ketika pekerja-pekerja di dunia sedang merayakan Hari Pekerja. Jadi, kematian Osama dan kemenangan besar Amerika akan mudah diingati kerana ia berlaku pada 1hb. Mei dan ia adalah Hari Pekerja. Pada masa yang sama, serangan tersebut berlaku pada satu masa yang hampir dengan sambutan ulang tahun serangan Al-Qaeda pada 11 September 2001 yang telah membunuh hampir 3000 mangsa di Amerika Syarikat. Saya sering membayangkan bahawa operasi tersebut akan dilancarkan pada 11.11.2011.

Pasukan yang menyerang kediaman Osama terdiri daripada satu pasukan yang amat terlatih, mempunyai kekuatan fizikal yang melebihi tahap kelayakan, sangat-sangat cerdik, luwes, agresif dan kebanyakannya telah berkeluarga yang membuktikan tahap kematangan tertinggi. Mereka berumur di antara 20an hingga awal 30an dan dilatih di Afghanistan. Dari segi latihan, mereka sangat bertenaga dan berfokus, tidak mudah mengaku kalah atau berputus asa, sangat mahir dalam sebarang jenis senjata, taktik dan aspek perubatan. Mereka juga telah terlibat dalam sekurang-kurangnya puluhan operasi, mempunyai kebolehan menyimpan kerahsiaan dan biasanya menjadi perisik selepas tamat perkhidmatan tentera.

Secara tiba-tiba pasukan Navy SEALs dinobatkan sebagai best of the best. Imej pasukan khas dan elit komando itu tiba-tiba berada di puncak kegemilangan kerana menumpaskan Osama. Mereka lupa peruntukan yang telah dibelanjakan untuk menumpaskan Osama dan Al-Qaeda bermula sejak bulan September 2001 ialah sebanyak USD1.283 trillion.

Namun demikian, Delta Force, Green Beret dan Alpha Team adalah pasukan khas elit komando  yang lebih cekap daripada Navy Seals. Pasukan Marin Amerika juga lebih terlatih. Saya juga agak ragu-ragu dengan maklumat yang menyatakan pasukan Navy SEALs yang melakukan kerja-kerja tersebut kerana beberapa faktor lain.

Maklumat perisikan diberikan oleh CIA yang diperolehi daripada agensi perisikan Pakistan (ISI). Pengarah CIA mengetuai sendiri operasi ini. Maklumat diklasifikasikan sebagai Highly Reliable Class A Information selepas pemantauan dilakukan sejak bulan Ogos 2010. Pasukan khas elit komando Amerika bertolak dari Kem Tentera di Afghanistan kira-kira 40 minit perjalanan dari tempat operasi dengan menaiki 2 helikopter Hawk yang telah diubahsuai. Ketika serangan, terdapat 17 orang dalam kawasan rumah yang besar itu. Maklumat kedudukan Osama dan biliknya dipercayai diberikan oleh mereka yang berada dalam rumah tersebut.

John Brennan, Timbalan Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Al-Qaeda ibarat harimau yang sedang luka, amat merbahaya dan akan menyerang balas pada bila-bila masa sahaja. Beberapa cabang Al-Qaeda dan kelompok yang bersimpati dijangka akan menyerang balas sama ada di Amerika Syarikat atau kepentingan-kepentingan Amerika, Eropah dan di serata dunia.

Siapakah pengganti Obama? Mustahil Osama bin Laden sebagai seorang graduan dalam pentadbiran awam dan ekonomi (King Abdul Aziz University, Jeddah) tidak mempunyai idea mengenai leadership succession plan (Pelan Penggantian Pemimpin). Osama adalah perancang utama Al-Qaeda yang menguatkan keutuhan organisasi tersebut dan menyapadukan ahli yang mempunyai berbagai ideologi dan agenda. Ada yang berpendapat bahawa beliau tiada pengganti kerana tiada ahli yang mempunyai karisma dan kebolehan seperti beliau. Aiman Al-Zawahiri, Abu Yahya Al-Libi, Maulana Ilyas Kashmiri dan Anwar Al-Awlaki sungguhpun disebut-sebut boleh menggantikan Osama, akan tetapi mereka tiada kualiti kepemimpinan seperti Osama.

Al-Zawahiri tidak mempunyai fikrah penyatuan gerakan dan cabangan. Akan tetapi beliau adalah pemimpin terkanan Al-Qaeda. Dari segi hirarki, ternyata beliau akan menggantikan Osama. Al-Libi pula tidak mempunyai kualiti yang menyamai standard Osama dan banyak memberikan tumpuan kepada Libya. Maulana Ilyas dipercayai mempunyai pertalian yang sangat rapat dengan Osama termasuk menjadi perancang utama beberapa keganasan antarabangsa. Beliau adalah di antara mereka yang disokong oleh sayap kiri dan boleh bertindak ganas pada bila-bila masa. Anwar Al-Awlaki kurang dikenali kerana pergerakannya yang terhad tetapi mempunyai potensi untuk melakukan sesuatu yang mengejutkan.

Dalam tempoh masa terdekat, akan wujud inisiatif untuk merekrut lebih ramai ideolog Al-Qaeda kerana Osama akan dianggap sebagai mati “syahid”. Propaganda “mati syahid” dan Obama akan diterapkan dalam pemikiran para rekrut. Pada masa yang sama, para pendokong Al-Qaeda akan merasa sangat-sangat kehilangan Osama yang telah dijadikan sebagai idola dalam perjuangan mereka terutamanya dalam aspek penyatuan fikrah ahli yang terdiri daripada berbagai latarbelakang dan identiti serta bangsa.

Idea jihad yang dibawa oleh Al-Qaeda sebenarnya tidak diterima oleh dunia Arab kerana mereka juga membunuh orang Islam termasuklah orang awam. Ideologi Al-Qaeda membunuh orang bukan Islam juga adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan pandangan ulama-ulama seperti Wahbah Al-Zuhaili, Yusuf Al-Qaradawi dan Abdul Karim Zaidan. Ini juga sebenarnya mengurangkan pengaruh Al-Qaeda dalam kalangan sarjana-sarjana Islam yang moderate.

Al-Qaeda tanpa Osama ibarat anak ayam yang kehilangan ibu. Banyak ketidaktentuan akan berlaku dalam percaturan organisasi dan ahli. Ramai orang juga mempersoalkan sama ada ideologi jihad masa lampau yang mempengaruhi beliau atau Osama sendiri yang mencipta ideologi.

Ketika mengulas beberapa tahun dahulu mengenai status Osama dan Mullah Umar (pemimpin Taliban), Ayman Al-Zawahiri menegaskan: “Jihad di jalan Allah adalah lebih agung daripada sebarang organisasi dan individu. Ia adalah perjuangan di antara kebenaran dan kepalsuan sehinggalah Allah mewariskan bumi dan mereka yang tinggal di atasnya. Mullah Muhammad Umar dan Sheikh Osama bin Laden (semoga Allah melindungi mereka) adalah dua tentera Islam di medan jihad manakala perjuangan di antara kebenaran (Islam) dan kepalsuan (bukan Islami) masih berterusan dan melangkaui masa”.

Jihad terhadap penjajahan, pencerobohan dan serangan musuh-musuh dan jihad mempertahankan diri memanglah diwajibkan oleh Islam. Sungguhpun demikian, segala bentuk diplomasi, perundingan dan sikap proaktif perdamaian perlu diusahakan terlebih dahulu sebelum peperangan bermula. Kalau boleh dielakkan mestilah ia dielakkan. Islam tidak membenarkan menyerang kecuali nyata diserang kerana Islam bukanlah agama pertumpahan darah atau Islam sukakan peperangan seperti yang digambarkan oleh para orientalis. Pertumpahan darah yang semborono dan mengikut sesuka hati tidak dibenarkan oleh Islam walaupun terhadap orang bukan Islam. Ada etika-etika dalam peperangan yang perlu dipatuhi (ethics in war). Begitu juga etika sebelum peperangan (ethics of war).

Jihad yang dimaksudkan dengan mempertahankan negara, berperang, menentang pencerobohan musuh dan mempertahankan diri dan mengusir musuh adalah istilah “Qital”. Perkara ini telah disepakati oleh para ulama berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Haj ayat 39-40:

Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Jihad yang diterangkan dalam ayat tadi ialah jihad mempertahankan maruah diri dan kedaulatan negara. Manakala jihad pada waktu aman adalah seperti memperkuatkan perpaduan, ekonomi, sosial dan pendidikan umat dan negara bukannya mencari ruang untuk bersengketa atau mencari musuh untuk diajak bertarung dan beradu tenaga.


No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak