Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Wednesday, May 18, 2011

BENARKAH OSAMA BIN LADEN EJEN CIA?
Suara Pusat Islam Universiti Putra Malaysia
20 MEI 2011
Satu-satunya dakwaan pertama yang menyatakan bahawa Osama adalah ejen CIA ialah artikel yang diterbitkan pada 24 Ogos 1998 oleh akhbar The Times (AS). Artikel tersebut menyatakan bahawa Osama adalah ejen CIA yang diberikan latihan terbaik, senjata, kemudahan dan wang yang banyak untuk beberapa tahun. Namun demikian, secara tiba-tiba akhbar The Times menukar tema penceritaannya mengenai Osama dengan memburuk-burukkan Osama kononnya beliau adalah musuh AS. Ini menyebabkan para penganalisis menjadi bingung. Pokok persoalannya ialah kenapa pada 24 Ogos 1998, Osama dinyatakan sebagai ejen CIA dan kemudiannya pula dituduh sebagai musuh AS? Harus diingat, ketika itu Peristiwa 9 September 2001 (9/11) masih belum berlaku! Kedua, pelabelan bahawa Osama adalah ejen CIA pada asalnya datang dari sumber AS sendiri. Penafiannya juga kemudiannya datang dari sumber AS.

Masyarakat Barat khususnya rakyat Amerika mula mengenali dan mengutuk Osama bin Laden apabila ia dituduh oleh kerajaan Amerika sebagai dalang Peristiwa 9 September 2001 (9/11) yang mengorbankan hampir 3000 jiwa  dan memusnahkan World Trade Center di New York dan sebahagian kecil bangunan Pentagon di Washington D.C. Media massa Barat memainkan peranan penting dalam mengindoktrinasi massa agar mengutuk Osama dan mengecam tindakan ganas yang didakwa dilakukan oleh Osama dan sekutunya.

Milt Bearden, Ketua Central Intelligence Agency (CIA), agensi perisikan AS di Pakistan (bermula 1986 hingga 1989) dalam bukunya The Main Enemy: The Inside Story of the CIA’s Final Showdown with the KGB (Ditulis bersama James Risen) menyatakan bahawa CIA tidak pernah merekrut, melatih atau melakukan aktiviti-aktiviti lain dengan menggunakan sukarelawan Muslim dari Arab Saudi. Pernyataan ini memanglah benar. Tetapi kita tidak dapat menolak andaian bahawa CIA memang pernah melatih dan sedang melatih kadernya dari negara-negara lain. Cumanya, kita tidak mempunyai jumlah yang tepat mereka yang dilatih oleh CIA dari negara-negara Islam yang lain. Bearden sebenarnya telah membawa AS memenangi peperangan dalam peperangan rahsia dengan Soviet Union dan membocorkan rahsia mengenai peranannya, siapa di belakang AS dan kenapa disokong AS. 

Kerajaan Pakistan pernah meminta bukti mengenai Peristiwa 9/11. Presiden Amerika ketika itu, George Bush menjawab: “Kami akan tunjukkan kebenaran segera”. Hingga sekarang tiada satu bukti konkritpun yang ditunjukkan oleh AS mengenai keterlibatan Osama kecuali laporan setebal lebih 500 muka surat yang disediakan oleh Suruhanjaya Penyiasatan 9/11.

Media Barat berulang kali menunjukkan wajah-wajah Osama hingga rakyat Amerika dan penduduk seluruh dunia percaya bahawa beliau adalah dalang di sebalik Peristiwa 9/11. Ada juga teori yang menyatakan bahawa Osama adalah kader Amerika yang dilatih di kem-kem rahsia CIA tetapi kemudiannya beliau belot bersama dengan beberapa aset CIA. Menurut Ahmed Rashid dalam bukunya Taliban: Militant Islam, Oil and Fundamentalism in Central Asia, ramai lagi orang seperti Osama yang belot dan membawa lari aset-aset CIA. Ahmed juga mendakwa bahawa Afghanistan adalah pusat pengganas antarabangsa dengan beberapa hujah yang amat konkrit. 

Kemunculan Osama sebenarnya boleh dikaitkan dengan penjajahan Soviet Union ke atas Afghanistan. Di antara tahun 1982 hingga 1992, terdapat 35,000 sukarelawan Muslim dari 43 negara Islam termasuk Malaysia yang dilatih dan berjuang bersama pejuang Mujahidin di Afghanistan menentang Soviet. CIA, MI5 dan ISI bekerjasama membentuk pasukan pejuang ini bagi menentang Soviet Union.

Pada tahun 2009, Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Baz pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Osama dan Al-Qaeda adalah kuasa yang mempromosi ideologi keganasan yang berbahaya. Beliau juga menyatakan bahawa “peperangan” perlu dilakukan oleh para akademia, media, ulama dan bahkan ibu bapa terhadap pemikiran-pemikiran sesat yang membawa kepada kelahiran Muslim yang melampau yang memperjuangkan ekstremisme dan keganasan.

Amerika juga risau dengan pengaruh Binladin Group yang merupakan syarikat pembinaan multinasional yang beroperasi di Arab Saudi dan lebih 30 negara lain. Abang kepada Osama ialah Bakr bin Laden yang merupakan pengerusi kepada Binladin Group di Arab Saudi. Syarikat ini mempunyai pengaruh yang amat besar dan dikatakan pernah banyak kali menewaskan banyak syarikat-syarikat Barat dalam bidaan projek-projek mega di negara-negara Islam dan di Eropah. Apakah AS takut dengan pengaruh Binladin Group dan menjadikan Osama sebagai “kambing hitam”? Apakah Osama dilatih untuk mengambil rahsia kejayaan dan pergerakan Binladin Group? Apakah Osama digembar-gemburkan sebagai pengganas untuk memburukkan imej syarikat Binladin Group agar hilang taringnya di peringkat antarabangsa? 

CIA juga terlibat secara langsung dengan peperangan di Afghanistan. Bukti bahawa CIA terlibat dengan peperangan di Afghanistan ialah keizinan yang diberikan oleh Kongres AS pada tahun 1986 seperti yang didedahkan oleh Bearden. Di samping itu, CIA juga telah membekalkan Stinger, pelancar roket canggih dan sophisticated kepada pejuang-pejuang Mujahidin di Afghanistan untuk menembak jatuh pesawat pejuang Soviet Union. Stinger merupakan pelancar roket darat-ke-udara dengan jarak berkesan beradius 8 kilometer. Sekiranya jatuh kepada pihak musuh, ia merupakan senjata yang amat merbahaya kerana boleh memusnahkan sebarang penerbangan komersial. Sejak ia diperkenalkan pada tahun 1981 hingga hari ini, Stinger telah menjatuhkan sebanyak 270 pesawat yang telah disahkan benar. Tetapi kita tidak pasti berapakah pesawat komersial yang telah dijatuhkan oleh Stinger.

Komandan CIA ketika itu, William Casey telah memberikan jaminan kepada agensi perisikan Pakistan (ISI) untuk merekrut orang-orang Islam yang radikal yang datang ke Pakistan untuk bergabung dan berjuang dengan tentera Mujahidin di Afghanistan. Ketika itu, tiada seorangpun yang sedar bahawa tawaran dan latihan ketenteraan tersebut telah melahirkan ramai pengganas yang berkemahiran tinggi dan terlatih yang kemudiannya mengganas di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia. Osama dikatakan merupakan salah seorang yang direkrut di Afghanistan. Daripada seorang yang tidak mengetahui apa-apa mengenai peperangan dan persenjataan, Osama menjadi seorang pemimpin gerakan pengganas yang sangat mahir dalam perancangan, strategi dan penyatuan pemikiran.

Kehadiran Osama di Afghanistan bukanlah tempat bermulanya jejak-jejak keganasan. Sebenarnya sebelum itu, iaitu pada tahun 1980, beliau tiba di Peshawar, Pakistan dan bertemu dengan para pemimpin Mujahidin. Kerajaan Pakistan pula memberikan laluan kepada Mujahidin Afghanistan untuk berada di Pakistan bagi mengatur strategi peperangan menentang pendudukan Soviet Union di Afghanistan. Ketika itu, Osama sangat bersimpati dengan perjuangan Mujahidin yang memerlukan sokongan moral dan material. Osama menghulurkan bantuan segera dengan jumlah jutaan dolar Amerika kepada pejuang Mujahidin untuk kelengkapan logistik, senjata dan keperluan asas harian. Osama juga dikatakan membawa semua kelengkapan pembinaan daripada syarikatnya di Arab Saudi untuk membina jalanraya, stor simpanan bekalan keperluan dan senjata. 

Osama kemudiannya menetap di Peshawar. Pada tahun 1986, Osama menggunakan kepakaran syarikatnya dalam pembinaan dengan membina terowong besar di perbatasan Afghanistan dan Pakistan, iaitu di Khost. Di situlah juga terketaknya kem terbesar latihan rekrut pemuda dari Arab Saudi. CIA pula dikatakan menyumbangkan dana bagi pembinaan depot pembuatan senjata, kemudahan latihan dan pusat perubatan untuk pejuang Mujahidin. 

Setelah Soviet tumpas dalam peperangan di Afghanistan, Osama berhijrah ke Sudan untuk membantu gerakan revolusi Islam. Pada 1996, Osama kembali ke Afghanistan dan membawa puluhan Mujahidin termasuk 3 orang isteri dan 13 anaknya. Pada bulan September 1996, Taliban menguasai semula Afghanistan. Sebelum itu, pada bulan Ogos 1996, buat pertama kalinya Osama mengisytiharkan jihad melawan AS. Pada tahun 1997, beliau berpindah ke Kandahar setelah mendapat sahabat baru iaitu Mullah Umar, pemimpin tertinggi Taliban. 

Jabatan Luar Negeri AS pada bulan Ogos 1996 antara lain telah menyatakan bahawa Osama adalah salah seorang tokoh penting dalam memberikan dana untuk aktiviti keganasan dan radikal di seluruh dunia. Ketika ini jugalah CIA dan AS seperti menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri. Apa tidaknya, “teroris ciptaan Amerika” menimbulkan masalah kepada AS sendiri dan Amerika menghadapi masalah ini selama satu dekad hinggalah “watak Osama” ditamatkan pada 1 Mei 2011. 



Wednesday, May 11, 2011

Pasca Kematian Osama Bin Laden: Insiden, ANCAMAN dan Peralihan Kuasa

Pasca Kematian Osama Bin Laden: Insiden, ANCAMAN dan peralihan kuasa
13 Mei 2011, Suara Pusat Islam Universiti Putra Malaysia

Berita kematian Osama Bin Laden tersebar dengan sangat cepat menerusi 3 agensi berita berpusat di Amerika iaitu ABC, NBC dan CNN. Kemudiannya Barrack Obama membuat pernyataan bahawa tentera Amerika telah membunuh Osama di dalam sebuah rumah di pinggir bandar Islamabad, Attoabad.

Serangan itu dilakukan pada ketika pekerja-pekerja di dunia sedang merayakan Hari Pekerja. Jadi, kematian Osama dan kemenangan besar Amerika akan mudah diingati kerana ia berlaku pada 1hb. Mei dan ia adalah Hari Pekerja. Pada masa yang sama, serangan tersebut berlaku pada satu masa yang hampir dengan sambutan ulang tahun serangan Al-Qaeda pada 11 September 2001 yang telah membunuh hampir 3000 mangsa di Amerika Syarikat. Saya sering membayangkan bahawa operasi tersebut akan dilancarkan pada 11.11.2011.

Pasukan yang menyerang kediaman Osama terdiri daripada satu pasukan yang amat terlatih, mempunyai kekuatan fizikal yang melebihi tahap kelayakan, sangat-sangat cerdik, luwes, agresif dan kebanyakannya telah berkeluarga yang membuktikan tahap kematangan tertinggi. Mereka berumur di antara 20an hingga awal 30an dan dilatih di Afghanistan. Dari segi latihan, mereka sangat bertenaga dan berfokus, tidak mudah mengaku kalah atau berputus asa, sangat mahir dalam sebarang jenis senjata, taktik dan aspek perubatan. Mereka juga telah terlibat dalam sekurang-kurangnya puluhan operasi, mempunyai kebolehan menyimpan kerahsiaan dan biasanya menjadi perisik selepas tamat perkhidmatan tentera.

Secara tiba-tiba pasukan Navy SEALs dinobatkan sebagai best of the best. Imej pasukan khas dan elit komando itu tiba-tiba berada di puncak kegemilangan kerana menumpaskan Osama. Mereka lupa peruntukan yang telah dibelanjakan untuk menumpaskan Osama dan Al-Qaeda bermula sejak bulan September 2001 ialah sebanyak USD1.283 trillion.

Namun demikian, Delta Force, Green Beret dan Alpha Team adalah pasukan khas elit komando  yang lebih cekap daripada Navy Seals. Pasukan Marin Amerika juga lebih terlatih. Saya juga agak ragu-ragu dengan maklumat yang menyatakan pasukan Navy SEALs yang melakukan kerja-kerja tersebut kerana beberapa faktor lain.

Maklumat perisikan diberikan oleh CIA yang diperolehi daripada agensi perisikan Pakistan (ISI). Pengarah CIA mengetuai sendiri operasi ini. Maklumat diklasifikasikan sebagai Highly Reliable Class A Information selepas pemantauan dilakukan sejak bulan Ogos 2010. Pasukan khas elit komando Amerika bertolak dari Kem Tentera di Afghanistan kira-kira 40 minit perjalanan dari tempat operasi dengan menaiki 2 helikopter Hawk yang telah diubahsuai. Ketika serangan, terdapat 17 orang dalam kawasan rumah yang besar itu. Maklumat kedudukan Osama dan biliknya dipercayai diberikan oleh mereka yang berada dalam rumah tersebut.

John Brennan, Timbalan Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Al-Qaeda ibarat harimau yang sedang luka, amat merbahaya dan akan menyerang balas pada bila-bila masa sahaja. Beberapa cabang Al-Qaeda dan kelompok yang bersimpati dijangka akan menyerang balas sama ada di Amerika Syarikat atau kepentingan-kepentingan Amerika, Eropah dan di serata dunia.

Siapakah pengganti Obama? Mustahil Osama bin Laden sebagai seorang graduan dalam pentadbiran awam dan ekonomi (King Abdul Aziz University, Jeddah) tidak mempunyai idea mengenai leadership succession plan (Pelan Penggantian Pemimpin). Osama adalah perancang utama Al-Qaeda yang menguatkan keutuhan organisasi tersebut dan menyapadukan ahli yang mempunyai berbagai ideologi dan agenda. Ada yang berpendapat bahawa beliau tiada pengganti kerana tiada ahli yang mempunyai karisma dan kebolehan seperti beliau. Aiman Al-Zawahiri, Abu Yahya Al-Libi, Maulana Ilyas Kashmiri dan Anwar Al-Awlaki sungguhpun disebut-sebut boleh menggantikan Osama, akan tetapi mereka tiada kualiti kepemimpinan seperti Osama.

Al-Zawahiri tidak mempunyai fikrah penyatuan gerakan dan cabangan. Akan tetapi beliau adalah pemimpin terkanan Al-Qaeda. Dari segi hirarki, ternyata beliau akan menggantikan Osama. Al-Libi pula tidak mempunyai kualiti yang menyamai standard Osama dan banyak memberikan tumpuan kepada Libya. Maulana Ilyas dipercayai mempunyai pertalian yang sangat rapat dengan Osama termasuk menjadi perancang utama beberapa keganasan antarabangsa. Beliau adalah di antara mereka yang disokong oleh sayap kiri dan boleh bertindak ganas pada bila-bila masa. Anwar Al-Awlaki kurang dikenali kerana pergerakannya yang terhad tetapi mempunyai potensi untuk melakukan sesuatu yang mengejutkan.

Dalam tempoh masa terdekat, akan wujud inisiatif untuk merekrut lebih ramai ideolog Al-Qaeda kerana Osama akan dianggap sebagai mati “syahid”. Propaganda “mati syahid” dan Obama akan diterapkan dalam pemikiran para rekrut. Pada masa yang sama, para pendokong Al-Qaeda akan merasa sangat-sangat kehilangan Osama yang telah dijadikan sebagai idola dalam perjuangan mereka terutamanya dalam aspek penyatuan fikrah ahli yang terdiri daripada berbagai latarbelakang dan identiti serta bangsa.

Idea jihad yang dibawa oleh Al-Qaeda sebenarnya tidak diterima oleh dunia Arab kerana mereka juga membunuh orang Islam termasuklah orang awam. Ideologi Al-Qaeda membunuh orang bukan Islam juga adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan pandangan ulama-ulama seperti Wahbah Al-Zuhaili, Yusuf Al-Qaradawi dan Abdul Karim Zaidan. Ini juga sebenarnya mengurangkan pengaruh Al-Qaeda dalam kalangan sarjana-sarjana Islam yang moderate.

Al-Qaeda tanpa Osama ibarat anak ayam yang kehilangan ibu. Banyak ketidaktentuan akan berlaku dalam percaturan organisasi dan ahli. Ramai orang juga mempersoalkan sama ada ideologi jihad masa lampau yang mempengaruhi beliau atau Osama sendiri yang mencipta ideologi.

Ketika mengulas beberapa tahun dahulu mengenai status Osama dan Mullah Umar (pemimpin Taliban), Ayman Al-Zawahiri menegaskan: “Jihad di jalan Allah adalah lebih agung daripada sebarang organisasi dan individu. Ia adalah perjuangan di antara kebenaran dan kepalsuan sehinggalah Allah mewariskan bumi dan mereka yang tinggal di atasnya. Mullah Muhammad Umar dan Sheikh Osama bin Laden (semoga Allah melindungi mereka) adalah dua tentera Islam di medan jihad manakala perjuangan di antara kebenaran (Islam) dan kepalsuan (bukan Islami) masih berterusan dan melangkaui masa”.

Jihad terhadap penjajahan, pencerobohan dan serangan musuh-musuh dan jihad mempertahankan diri memanglah diwajibkan oleh Islam. Sungguhpun demikian, segala bentuk diplomasi, perundingan dan sikap proaktif perdamaian perlu diusahakan terlebih dahulu sebelum peperangan bermula. Kalau boleh dielakkan mestilah ia dielakkan. Islam tidak membenarkan menyerang kecuali nyata diserang kerana Islam bukanlah agama pertumpahan darah atau Islam sukakan peperangan seperti yang digambarkan oleh para orientalis. Pertumpahan darah yang semborono dan mengikut sesuka hati tidak dibenarkan oleh Islam walaupun terhadap orang bukan Islam. Ada etika-etika dalam peperangan yang perlu dipatuhi (ethics in war). Begitu juga etika sebelum peperangan (ethics of war).

Jihad yang dimaksudkan dengan mempertahankan negara, berperang, menentang pencerobohan musuh dan mempertahankan diri dan mengusir musuh adalah istilah “Qital”. Perkara ini telah disepakati oleh para ulama berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Haj ayat 39-40:

Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Jihad yang diterangkan dalam ayat tadi ialah jihad mempertahankan maruah diri dan kedaulatan negara. Manakala jihad pada waktu aman adalah seperti memperkuatkan perpaduan, ekonomi, sosial dan pendidikan umat dan negara bukannya mencari ruang untuk bersengketa atau mencari musuh untuk diajak bertarung dan beradu tenaga.


Kitab Jawi: Warisan Intelektual Melayu Yang Pupus

Kitab Jawi: Warisan Intelektual Melayu Yang Pupus
Suara Pusat Islam Universiti: 29 April 2011

Terdapat berbagai buku dalam tulisan Jawi sama ada diterbitkan di Malaysia, Indonesia, Mekah, Singapura, Brunei dan Fatani. Maklumat ini dapat diperolehi dalam karya Siradjuddin Abbas (2006) yang berjudul Sejarah dan Keagungan Madzhab Syafi’i. Walaupun tajuk karyanya kelihatan seperti menceritakan mengenai mazhab Shafie, pengarang telah menyelitkan juga penerbitan-penerbitan tulisan Jawi yang menceritakan tentang aspek ilmu fikah yang terdapat di Asia Tenggara. Beliau adalah di antara sarjana Nusantara terawal yang mengumpulkan karya-karya Melayu bertulisan Jawi di Alam Melayu. Namun demikian, usahanya lebih tertumpu kepada wilayah Indonesia.

Irwan Masduqi (2008) telah menghasilkan penerbitan pengesanan kitab Jawi dalam karyanya “Jejak Kitab Indonesia dan Jawa Pegon di Cairo”. Usaha beliau lebih tertumpu di Mesir dan beliau berjaya mengesan berpuluh-puluh kitab Jawi di Mesir sahaja. Sebenarnya, ramai orang Indonesia yang menulis sama ada dalam bahasa Melayu atau Indonesia sewaktu mereka belajar di Kaherah dan Mesir.

Tuan Haji Muhammad Saghir Abdullah (1999) telah mengusahakan mencari dan menyenaraikan karya-karya ulama Nusantara sama ada dalam tulisan Jawi atau bahasa Arab dalam penyelidikannya yang telah diterbitkan oleh Khazanah Fataniyyah. Beliau juga telah melakukan usaha promosi dan penjualan kitab-kitab Melayu lama yang telah beliau kumpulkan dalam laman web dan syarikat beliau sendiri iaitu Khazanah Fathaniyah. Beliau mendakwa bahawa beliau telah berjaya mengumpulkan lebih 100 tajuk kitab Jawi yang mencakupi pelbagai disiplin ilmu. Namun demikian, usahanya ini tidak melibatkan manuskrip Jawi yang terdapat di Eropah Barat.

Di peringkat Asia dan Ocenia terdapat juga Orientalis yang telah melakukan usaha seperti yang ingin dilakukan oleh pengkaji sendiri. Antaranya usaha yang dilakukan oleh Frits G. P. Jaquet (1983) di mana beliau telah mengumpulkan bahan-bahan sejarah daripada berbagai sumber mengenai Asia dan Oceania yang terdapat di Belanda iaitu bermula tahun 1796 hingga 1949. Penyelidikannya ini kemudiannya telah diterbitkan.

Marius P. H. Roessingh (1982) telah melakukan usaha mengumpulkan manuskrip dan karya yang lebih awal daripada 1796 mengenai Asia dan Oceania yang terdapat di Belanda berbanding dengan Jaquet. Karyanya juga telah diterbitkan dengan tajuk “Sources of the History of Asia and Oceania in the Netherlands, Part I: Sources up to 1796”. Karyanya diterbitkan di Munich. Karyanya mempunyai limitasi tarikh iaitu pengumpulan karya-karya sehingga tahun 1796 sahaja. Maknanya, tiada karya yang dimasukkan dalam bukunya selepas tahun 1796.
Begitu juga usaha yang dilakukan oleh M. C. Ricklefs dan P. Voorhoeve (1977) dan mereka telah berjaya menerbitkan buku berjudul “Indonesian Manuscripts in Great Britain. A Catalogue of Manuscripts in Indonesian Languages in British Public Libraries. Usaha mereka tertumpu kepada manuskrip daripada Indonesia yang terdapat di perpustakaan-perpustakaan di Britain. Walaupun maksud “Indonesian Manuscripts” ialah karya-karya berbahasa Melayu oleh intelektual berbangsa Indonesia, penulis tidak memasukkan karya intelektual Melayu-Malaysia atau Semenanjung Tanah Melayu.

Ian Proudfoot (1993) pula telah berusaha mencari karya-karya intelektual Melayu dalam tulisan Jawi dan berbagai bahasa lain dalam karyanya yang berjudul “Early Malay Printed Books” yang telahpun diterbitkan oleh Akademi Pengajian Melayu dan Perpustakaan Universiti Malaya pada tahun 1993. Usahanya ini juga tidak melibatkan pengesanan dan pencarian manuskrip Jawi yang terdapat di Eropah Barat. Walau bagaimanapun, usahanya yang menghasilkan kajian dan penerbitan setebal 858 muka surat amat besar ertinya bagi penyelidikan ini. Sebab itu kajian ini akan lebih tertumpu kepada Eropah Barat yang sedikitpun masih belum diselidiki oleh mana-mana penyelidik. Penulisan Proudfoot (1986) yang lain membahaskan fasa-fasa penting penerbitan buku-buku berbahasa Melayu di Alam Melayu khususnya. Skop dan lokasi kajiannya lebih banyak tertumpu di Asia Tenggara. Manuskrip yang dikaji oleh Proudfoot lebih berfokus kepada yang bercetak, bukannya dalam bentuk manuskrip bertulisan tangan atau seumpamanya.  

Kajian ini mempunyai signifikan dari segi pengesanan dan pencarian manuskrip Jawi yang terdapat di Eropah Barat yang selama ini “tersorok” daripada khalayak rakyat Malaysia. Ini adalah sesuatu yang malang dan amat merugikan bangsa Melayu kerana manuskrip tulisan Jawi mempunyai warisan intelektual Melayu yang tidak ternilai harganya. Kajian ini signifikan yang amat besar dalam menyediakan rujukan kepada para penyelidik masa hadapan mengenai senarai bahan-bahan rujukan dalam berbagai bentuk dalam tulisan Jawi yang selama ini tersembunyi dan tidak diketahui ramai. Nama-nama pengarang akan disusun mengikut alphabet dan hasil kerja mereka. Maklumat lanjut mengenai pengarang dan hasil karyanya akan diusahakan juga. Kajian ini mempunyai persamaan dengan apa yang dilakukan oleh Profesor Proudfoot. Cumanya, pengesanan dan pencarian karya bertulisan Jawi akan dilakukan di lokasi yang berbeza iaitu di Eropah Barat.

Vladimir Braginsky (2004) pula telah menyenaraikan banyak karya-karya Melayu bertulisan Jawi dalam karyanya yang berjudul “The Heritage of Traditional Malay Literature: A Historical Survey of Genres, Writings and Literary Views” yang diterbitkan di Leiden. Penumpuan kajiannya lebih diberikan kepada karya di Indonesia dan sebab itu kerjanya banyak dilakukan di Indonesia. Seperti Muhammad Saghir dan Proudfoot, usaha Braginsky juga tidak mengambil kira sepenuhnya manuskrip Melayu-Jawi yang terdapat di Eropah Barat. Walau bagaimanapun, karya beliau akan banyak membantu menjejaki manuskrip Melayu-Jawi yang terdapat di Eropah Barat. Apa yang penting dalam kajian kami ialah, membawa balik manuskrip-manuskrip itu ke Malaysia dan bukannya sekadar mengesan dan mencari karya-karya itu.

Hasil karya klasik intelektual Melayu dalam tulisan Jawi telah dikumpulkan oleh Syarikat Jaffar Rawas yang beribu pejabat di Kota Bahru, Kelantan. Syarikat ini telah menerbitkan berbagai “Kitab Kuning” silam dengan menggunakan pendekatan moden. Rupa-rupanya terdapat juga ramai ulama Melayu silam yang telah menterjemahkan karya-karya ulama besar dari Timur tengah ke dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi. Antaranya ulama yang bernama Syeikh Ali bin Abdul Rahman Al-Kalantani yang telah menterjemahkan karya Jalaluddin Abdul Rahman Al-Suyuti berjudul Kitab Lubab Al-Hadis dan diberi nama baharu iaitu Kitab Al-Jauhar Al-Mauhub wa Munabbihat Al-Qulub. Walau bagaimanapun, syarikat ini juga tidak mengumpulkan manuskrip Melayu bertulisan Jawi yang terdapat di Eropah Barat.

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak