Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Wednesday, January 12, 2011

MA’AL HIJRAH MENJANA KEMAJUAN DAN TRANSFORMASI PERUBAHAN, Suara Pusat Islam Universiti, 10 Disember 2010

MA’AL HIJRAH MENJANA KEMAJUAN DAN TRANSFORMASI PERUBAHAN
Suara Pusat Islam Universiti, 10 Disember 2010

Alhamdulillah, pada hari Selasa yang lalu (7 Disember 2010) kita telah melangkah masuk ke dalam tahun baru 1432 hijriah. Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah rahmatnya kita diberi peluang nikmat umur yang panjang, kesihatan yang baik dan kita masih dapat merasakan kebahagiaan di dalam meniti hari kehidupan di dunia ini.  Marilah kita bersyukur ke hadrat Allah sempena kedatangan tahun baru Islam dan menghayati perjuangan Hijrah Rasulallah s.a.w. dan para sahabat r.a.. dengan sebenar-benarnya. Kita bersyukur kepada Allah atas segala nikmatnya dan anugerah kepemimpinan negara yang sentiasa memikirkan cara memajukan dan memakmurkan negara. 

Kita patut mencontohi perjuangan Rasulallah s.a.w. ketika hijrah yang penuh dengan pengorbanan, kesabaran, kecekalan dan kesabaran. Peristiwa Hijrah memberi iktibar kepada kita agar kita meningkatkan motivasi kendiri; hari ini lebih baik daripada kelmarin dan esok lebih baik daripada hari ini. Hijrah memanifestasikan keutuhan iman dan kemantapan jihad (yang tidak menyeleweng) serta kesinambungan risalah Allah di atas muka bumi ini. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah ayat 218 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah untuk menegakkan agama Islam, mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah.  Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Kita perlu mempunyai kualiti dalam mematuhi titah perintah Allah dan menjauhi larangannya. Kita perlu mempunyai ketulusan dan keikhlasan dalam segala perbuatan kita dalam penghayatan hijrah. Marilah kita jadikan tahun ini tahun peningkatan dan penambahbaikan iman, taqwa dan amalan. Firman Allah s.w.t. dalam surah At-Taubah ayat 20 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja dan mereka itu orang-orang yang berjaya.”

Kita sudah acap kali menghadiri ceramah mengenai Hijrah dan setiap kali kita pergi ke majlis ceramah mengenai Hijrah, perkara yang sama diulang-ulang oleh penceramah. Apakah kepentingan Hijrah sehinggakan perlu diperingatkan sentiasa? Sebenarnya peristiwa Hijrah Rasulallah s.a.w. dan para sahabat r.a. menjadi permulaan kalendar untuk orang Islam. Pada zaman Umar Al-Khatab, terlahirlah idea betapa perlunya kalendar untuk umat Islam dalam mengatur kegiatan seharian. Kebiasaannya orang Arab Jahiliyyah menggunakan kalendar tahunan mengikut peristiwa paling penting dalam tahun itu misalnya Tahun Gajah. Maka dipanggil sahabat utk berbincang. Ada yang mencadangkan agar digunakan kalendar Parsi atau Rom (Gregorian). Tetapi para Sahabat r.a. tidak menyenanginya sebab memang mereka sudah terlatih oleh Rasulullah supaya tidak mengikut gaya orang lain. Maka, mereka bersetuju untuk mewujudkan satu kalendar. Timbul pula persoalan lain; bilakah patut bermulanya kaledar Islam? Ada yang mencadangkan tahun Nabi dilantik menjadi Rasulullah sebagai permulaan kalendar Islam. Ada juga yang mencadangkan kalendar Islam bermula dengan tahun kelahiran Nabi. Cadangan ini ditolak kerana ia menyerupai kalendar orang Kristian yang memulakan kalendar mereka dengan kelahiran Nabi Isa. Ada yang mencadangkan kalendar Islam bermula dengan tarikh kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.. Cadangan ini juga ditolak kerana ia merupakan saat kesedihan umat Islam. Akhirnya, mereka bersepakat untuk memulakan kalendar Islam dengan tarikh Hijrah Nabi ke Madinah.

Di Madinah, Nabi membina masjid dan mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Kaum Muhajirin (yang berhijrah) tidak membawa kelengkapan atau barang. Rasulallah s.a.w. mempersaudarakan kedua kaum ini di antara satu sama satu. Persaudaraan ini begitu rapat, sehingga mereka berkongsi harta, pakaian dan sebagainya. Kemudian Piagam Madinah digubal. Piagam Madinah menyenaraikan tiga perkara iaitu hak dan tanggungjawab orang Islam, hak dan tanggung jawab orang bukan Islam dan tanggungjawab bersama. Namun demikian, sebagai umat Islam janganlah kita lalai dan leka dalam kehidupan di dunia semakin tahun berganti usia kita juga semakin bertambah dan semakin dekatlah kita kepada ajal. Dengan itu kita sudah seharusnya semakin matang dan bijak dalam mengisi dan memanfaatkan usia kita dalam kehidupan ini.  Apa pun yang kita lakukan haruslah bertambah lebih baik dari sebelumnya. Sesungguhnya hijrah dapat menguji sejauh mana tahap keimanan dan pengorbanan seseorang individu tersebut terhadap agamanya.  Ini kerana hijrah bukan dapat dilakukan dengan sewenang-wenangnya tetapi memerlukan sifat sabar, sanggup berjihad mengubah kehidupan dan menerima apa jua rintangan dan cubaan yang melanda serta sanggup berkorban apa sahaja, jiwa harta mahu pun keluarga. Inilah dia nilai-nilai keimanan dan pengorbanan yang tinggi yang dimiliki dan diperlihatkan oleh orang-orang Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. sebagai bukti akan kesungguhan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap agama Islam dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap perintah Allah s.w.t.. Sifat seperti inilah yang sepatutnya ada dan diikuti oleh generasi umat Islam hari ini.

Hijrah bukan sahaja terbatas kepada pengertian berpindahnya dari satu tempat atau negeri ke tempat yang lain tetapi juga boleh meliputi kepada makna berpindahnya dari sifat atau perbuatan yang kurang atau tidak baik kepada baik. Hijrah tidak akan terlaksana sepenuhnya tanpa gandingan atau disandarkan kepada iman dan jihad (yang tidak menyeleweng), tidak kira sama ada hijrah pada makna sebenar iaitu berpindah atau pun hijrah hati dan jiwa dari keburukan kepada kebaikan. Malahan dalam Al-Quran sendiri banyak menggandingkan antara kalimah hijrah dengan iman dan jihad yang sebenar.  Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah, ayat 218 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah untuk menegakkan agama Islam, mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah.  Dan ingatlah Allah maha pengampun lagi maha mengasihani.” Dari sini jelas kepada kita bahawa dalam setiap perjuangan terdapat tiga unsur yang saling kait mengait dan memerlukan antara satu sama lain iaitu iman, hijrah dan jihad yang tidak terpesong. Tanpa keimanan yang teguh dan kecintaan seseorang hamba kepada Allah s.w.t. serta semangat jihad sebenar (yang tidak menyeleweng) untuk berjuang dan berkorban apa sahaja, pasti tidak dapat melakukan hijrah sebagaimana yang dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w..

MENGENALI TOKOH BESAR: SAYYID JAMALUDDIN AL-AFGHANI Suara Pusat Islam Universiti, 17 Disember 2010 - 13 Januari 2011

MENGENALI TOKOH BESAR: SAYYID JAMALUDDIN AL-AFGHANI
Suara Pusat Islam Universiti, 17 Disember 2010.



Sayyid Jamaluddin al-Afghani bin Sayyid Shafdar adalah seorang anak yang dilahirkan di dalam satu keluarga yang mempunyai keturunan yang amat dihormati di Afghanistan.  Salasiah keturunannya bertemu di tengahnya dengan seorang perawi Hadis yang mashyur iaitu Sayyid Ali al-Turmuzi yang berada di peringkat atas hinggalah sampai kepada Husin bin Ali Talib r.a.

Telah menjadi tradisi dalam dunia Islam, keturunan Hasan dan Husin hasil daripada keturunan Fatimah binti Muhammad s.a.w diberi gelaran sayyid kerana Rasulallah s.a.w. pernah bersabda sambil memegang cucunya itu dengan menyatakan bahawa baginda akan menjadi sayyid ( ketua ) kepada penghuni syurga.  Oleh kerana Nabi Muhammad s.a.w. tidak meninggalkan keturunan itu ( di Hadramaut biasanya dipanggil Balawi ), mereka sangat bersunguh-sunguh di dalam memelihara dan mencatat salasilah keturunan mereka.

Tempat kelahiran Sayyid Jamaluddin al-Afghani menjadi kontroversi di kalangan para sarjana yang menulis tentang biografi beliau.  Nikki R. Keddie misalnya mendakwa Jamaluddin al-Afghani dilahirkan di Asadabad, sebuah kampung berhampiran Hamadan, Iran. Menurut catatan Al-Afghani sendiri, beliau dilahirkan di As’abad, dekat Konar, utara bandar Kabul, Afghanistan. Para penulis Shiah mendakwa beliau dilahirkan di Iran. Mereka mengatakan bahawa Al-Afghani menggunakan kewarganegaraan Afghanistan dalam usahanya untuk melepaskan diri daripada pemerintahan zalim pihak Parsi ( Iran ) dan memudahkan beliau bergiat dan berkecimpung di dalam arena politik Afghanistan pada tahun  1857  hingga  tahun  1868.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa Jamaluddin al-Afghani mendakwa beliau berasal daripada Afghanistan adalah untuk mengelakkan diri dan identitinya dikenali sebagai golongan minoriti Islam Shiah.  Ini berdasarkan kepada alasan bahawa gelaran “ Al-Afghani ”  hanya digunakan oleh Jamaluddin selepas tahun 1869, iaitu selepas beliau disingkirkan dairpada Afghanistan.

Kontroversi mengenai tempat kelahiran Jamaluddin al-Afghani ini mungkin timbul kerana faktor geografi dan faktor perbezaan pendapat yang menjurus ke arah sentimen kenegerian.  Maklumlah, Jamaluddin al-Afhgani adalah di antara orang ternama yang mempelopori era kebangkitan Islam dan dasar Pan Islamisme di dunia Arab dan beliau amat disanjungi kerana jasa-jasanya itu.  Jadi, tidak hairanlah jika orang-orang luar dan orang-orang Afghanistan saling mendakwa bahawa Al-Afghani berasal dari negara mereka. Seperkara lagi, mungkin juga Al-Afghani menyembunyikan kewarganegaraannnya sebagai satu taktik dan strategi untuk mengaburi pihak penjajah ataupun pemerintah Islam yang zalim di dalam usahanya memperjuangkan dasar Pan Islamisme dan dasar-dasar politiknya. Sumber-sumber utama bersetuju bahawa Sayyid Jamaluddin al-Afghani dilahirkan pada tahun 1838 atau 1839M bersamaan 1254H.  Saudara sepupunya Sayyid Lutfallah Asadabadi mengatakan bahawa Jamaluddin al-Afghani dilahirkan pada bulan Shaban 1254h bersamaan Oktober atau November 1838m.

Jamaluddin al-Afghani telah menunjukkan kecerdasan dan kepintarannya sejak zaman kanak-kanaknya lagi.  Semasa umurnya 5 hingga 10 tahun, beliau belajar di sebuah sekolah tempatan.  Ketika umurnya 8 tahun,  beliau sudah boleh membaca dan menulis bahasa Parsi dan tahu sedikit bahasa Turki.  Ayahnya turut mengajar beliau sendiri ketika ini di samping mengundang beberapa orang guru untuk mengajar Al-Afghani mengenai Ilmu Hadis, Tafsir, Fiqh, Nahu dan Saraf. Beliau menguasai ilmu-ilmu tersebut dengan cepat dan beliau sudah boleh memberikan tafsiran al-Quran kepada rakan-rakan sepermainannya. Semasa umurnya hampir 10 tahun, beliau melarikan diri daripada bapanya ke Hamadan, Isfahan, Mashad dan kemudian ke Afghanistan. Di sini beliau belajar sedikit mengenai bahasa Inggeris. Semasa usianya 10 tahun, beliau telah menguasai hampir semua ilmu-ilmu Islam termasuklah ilmu tatabahasa Arab, filologi, retorik, sejarah, usul al-Din, tasauf, ilmu logik, falsafah, fizik, metafizik, matematik, ilmu falak, perubatan, anatomi dan lain-lain lagi. Apabila umurnya menjangkau 16 tahun, beliau sudah mula mengambil berat tentang ilmu falsafah dan ilmu pasti (exact science). Beliau melawat India ketika berumur 18 tahun dan tinggal di sana selama setahun lebih. Di India, beliau berpeluang mempelajari ilmu sains Eropah dan beberapa cabang metodologinya.

Keintelektualan dan kecerdikannya mengagumkan. Beliau menunjukkan keperibadian yang baik dan personalitinya banyak menarik perhatian para pendengar dan pengikutnya.  Pengetahuannya amat luas terutamanya dalam falsafah-falsafah lama, falsafah sejarah, sejarah dan tamadun Islam serta ilmu-ilmu Islam.  Beliau juga adalah seorang ahli linguistik yang baik.  Bahasa Perancis dipelajarinya tanpa berguru dan beliau mampu membaca dan menterjemahkan bahasa itu dengan berkesan.  Beliau menguasai tujuh bahasa dengan baik, iaitu bahasa Arab, Turki, Parsi, dan Afghanistan. Beliau juga menguasai dialek Turki empayar Uthmaniyyah dan dialek Turki Parsi daerah Hamadan di samping mempunyai sedikit pengetahuan di dalam Bahasa Inggeris dan Russia. 

Daripada penggembaraannya yang dilengkapi dengan pembacaan yang luas, ia banyak belajar dan memperolehi maklumat yang dapat membantu beliau mengembangkan idea dan dasar perjuangannya. Matlamat-matlamat ini dipergunakannya dengan penuh efektif melalui aktiviti-aktiviti politiknya yang beragam. Jamaluddin al-Afghani tidak sempat mendirikan rumahtangga kerana terlalu sibuk dengan perjuangan dan aspirasi politiknya untuk membangkitkan kesedaran Pan-Islamisme dan menyedarkan umat Islam tentang bahaya penjajahan.  Mungkin juga kerana masa hidupnya yang banyak dihabiskan untuk mengembara menyebabkan beliau tidak sempat mencari pasangan hidupnya yang sesuai. Terdapat juga pihak orientalis yang melemparkan tuduhan bahawa al-Afghani tidak mahu berumahtangga kerana tidak mempunyai tenaga batin bahkan ada yang melemparkan tuduhan bahawa ia adalah seorang pengamal homoseks. Tuduhan-tuduhan ini tidak berasas sama sekali dan tidak dapat dibuktikan.  Tuduhan ini adalah andaian semata kerana memandang secara fizikal sahaja. Kenyataan Browne misalnya, mungkin sudah cukup menjawab tuduhan-tuduhan ini , katanya: “ …in this endeavour he spent all his energies and for this end he abandoned all worldly ambitious, taking to himself no wife and adopting no profession…”

Transformasi Peranan Akademia (Tribun Putra, Disember 2010)

Transformasi Peranan Akademia
Tribun Putra, Januari 2011

Universiti adalah institusi pengajian tinggi dan penyelidikan yang memainkan peranan penting dalam kemajuan sesebuah negara. Keupayaan bersaing adalah salah satu ciri utama universiti yang ulung dan berwibawa. Kelangsungan sesebuah universiti bergantung kepada kecemerlangan warganya. Sumbangan universiti yang utama ialah nilai ilmu yang dijana dan produk ilmu yang mencakupi warganya, para mahasiswa, produk yang bermanfaat dan penemuan-penemuan yang bermakna.

Di universiti, kaedah berfikir secara benar, kreatif dan inovatif diajar. Tranformasi universiti sudah beralih daripada kedudukan lama kepada penilaian berasaskan prestasi utama (KPI-oriented). Seorang intelektual bidang sains boleh menghasilkan berbagai produk dan paten yang visible dan boleh dikomersialkan. Intelektual sains sosial pula me”lahir”kan” modal insan berpersonaliti unggul dan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Penemuan dan penciptaan dalam sains dan teknologi (termasuk ICT) menghasilkan produk yang akhirnya obsolete dan ketinggalan zaman. Namun demikian, dalam bidang sains, semangat kreativiti dan inovatif mampu meneruskan kesinambungan dan meningkatkan keberkesanan produk sains dan teknologi serta ICT. Manakala produk sains sosial pula ialah menghasilkan insan berpersonaliti unggul dan akan sentiasa evergreen kerana modal insan itu akan menjadi contoh kepada insan yang lain atau ia melahirkan pula ratusan kalau tidakpun ribuan modal insan yang lain. Intelektual sains sosial juga mungkin menghasilkan penerbitan dan pengayaan ilmu daripada penyelidikan-penyelidikan mereka.

Apakah benar bidang sains sosial melahirkan insan berpersonaliti unggul? Langkah kerajaan mewajibkan kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS), Hubungan Etnik dan Kenegaraan Malaysia adalah keunikan dan keistimewaan yang ada dalam bidang pengajian tinggi di negara kita. Mahasiswa dalam apa jua bidang disuntik dengan nilai tambah untuk menjadi insan berpersonaliti unggul dan mempunyai semangat patriotic serta berperasaan muhibah. Apakah usaha itu berkesan dan mencukupi? Komuniti akademia mempunyai jawapan ini.

Roh nilai keagamaan dan kerohanian perlu disuntik dalam setiap bidang pengajaran. Komuniti akademia perlu mempunyai kesedaran bahawa tanggungjawab mereka bukan sahaja mengajar kursus X dan kursus Y, mereka juga perlu menerapkan aspek universalisme nilai-nilai kerohanian agar mahasiswa bukan sahaja menjadi saintis, arkitek, jurutera, doktor perubatan, ahli matematik dan sarjana semata-mata. Kita mahu mereka menjadi intelektual XYZ yang soleh yang sedar tanggungjawab diri dan sosial mereka dan pada masa yang sama sedar akan tanggungjawab kewarganegaraan, keagamaan dan kerohanian. Ini akan menjadikan para intelektual mempunyai nilai integriti yang tinggi dan menjulang. Apa yang kita lakukan dalam pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, penerbitan dan perkhidmatan profesional serta konsultasi adalah amalan-amalan soleh sebenarnya jika bertepatan dengan kehendak Allah s.w.t.. Ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t. dalam surah Fussilat, ayat 33 yang bermaksud: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"

Pemakmuran universiti kita akan menyumbang kepada kemajuan negara kita. Manakala pemakmuran bumi ini adalah merupakan perintah Allah yang mesti kita patuhi dan taati. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Hud ayat 61 yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadanya Dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya".

Orang yang paling berkesan memakmurkan bumi ini ialah kelompok Ulul Albab iaitu kelompok Raushan Fikr, intelektual, cendekiawan, ilmuan dan ulama. Meningkatkan kredibiliti dan integriti UPM sebagai universiti penyelidikan akan memartabatkan imej dan maruah UPM, Kementerian Pengajian Tinggi dan juga negara.

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak