Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Monday, March 2, 2009

Maulidur Rasul S.A.W.

Maulidur Rasul s.a.w.: “Wahdah Pemangkin Khairu Ummah”
Dr. Amini Amir Bin Abdullah
6 Mac 2009

Jumlah umat Islam seramai 1.7 billion orang di seluruh dunia dan menjadi agama kedua terbesar di dunia adalah kerana wujudnya usaha dan inisiatif dakwah yang dirintis oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat radhiayallahu ’anhum. Usaha dan inisiatif dakwah secara berkesan dan ekstensif kemudiannya diteruskan oleh para Tabi’ dan Tabi’in hingga Islam tersebar ke hampir seluruh pelusuk dunia. Tanpa usaha dan inisiatif dakwah, kita tidak akan dapat menyaksikan kejayaan sebesar ini. Sambutan Maulidur Rasul sepatutnya mengembalikan nostalgia indah kita kepada sikap dan semangat proaktif Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w., para Sahabat r.a. dan Tabi’ serta Tabi’in berdakwah, menyebarkan agama Islam dan mempertahankan maruah umat Islam. Justeru kita perlu mencontohi komitmen dan usaha mereka dalam dalam berdakwah, menyebarkan agama Islam dan mempertahankan maruah umat Islam. Saya menyeru kepada semua umat Islam mengambil contoh teladan daripada perjuangan dakwah dan sirah Rasulallah s.a.w. yang sememangnya relevan dengan kehidupan kita agar kita dapat mengembalikan kegemilangan Islam dan melonjakkan imej umat Islam. Penghayatan cara hidup Islam yang komprehensif akan memberikan impak yang postif kepada kehidupan individu, bekeluarga, bermasyarakat dan juga bernegara.

Kejayaan Rasulullah s.a.w menyebarkan dakwah adalah kerana agama Islam merupakan agama yang mudah dipraktikkan. Baginda mempermudahkan dan tidak memayahkan serta membawa khabar gembira tentang nikmat syurga dan peringatan tentang azab api neraka. Rasulullah s.a.w telah menonjolkan dirinya sebagai role model (Qudwah Hasanah) dari segi akhlak, akidah dan kepemimpinan. Baginda juga melakukan usaha-usaha dakwah yang berstrategi, bersistematik dan berfokus. Proses penyebaran Islam dilakukan secara berterusan dan berperingkat mengikut keutamaan mencakupi persoalan prinsipal dan dasar. Baginda juga mengambil kira faktor demografi orang yang didakwahkan, mentaliti, latarbelakang keluarga, sosial, budaya, sistem kepercayaan, kedudukan ekonomi dan seumpamanya.

Kesan daripada usaha dakwah cukup besar dalam sesebuah tamadun. Dakwah Islamiah membawa manusia kepada kebenaran (al-Haq) dan menolak sebarang kebatilan (al-Batil). Dakwah membawa manusia kepada hidayah Allah dengan izin Allah dan mengeluarkan manusia daripada kekufuran, kegelapan dan kejahilan. Islamlah yang menghapuskan fahaman ideologi berlatarbelakangkan ras, bangsa, warna kulit dan sistem kelas. Sebab itu, nilai universal Islam boleh diterima oleh semua bangsa di dunia ini yang menganut agama Islam. Justeru, tiada diskriminasi ras atau bangsa dalam Islam. Saya menyeru agar umat Islam dalam negara ini agar menggembeling tenaga dan kekuatan untuk melipatgandakan usaha dan inisiatif dakwah. Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) umat Islam juga perlu sentiasa proaktif dan inovatif dalam melaksanakan usaha dakwah agar berkesan dan memberi impak yang tinggi. Perancangan dan usaha dakwah yang bersistematik dan berstrategi akan membuahkan hasil yang memberangsangkan. Komunikasi dalaman sesama pertubuhan perlu ditingkatkan untuk menghasilkan program-program bersepadu yang memberikan impak yang meluas dan berpanjangan.

Kita perlu memantapkan perpaduan sesama kita dan sentiasa bekerjasama dalam semua usaha yang berada dalam kerangka definisi dakwah. Berdakwah secara hikmah dan bijaksana adalah rahsia utama untuk menghasilkan kejayaan dalam berdakwah sama ada dalam dakwah secara lisan atau dakwah secara perbuatan dan tingkah laku. Untuk menjadi khairu ummah (sebaik-baik umat), umat Islam memerlukan sikap yang progresif untuk maju dan terkehadapan serta menguasai ilmu pengetahuan. Umat Islam perlu berpegang teguh dengan Al-Quran dan Al-Sunnah sepanjang masa. Umat Islam perlu lebih aktif dan produktif dalam perniagaan, perdagangan, perusahaan dan keusahawanan serta mampu bersaing sama ada di peringkat lokal ataupun antarabangsa. Kita juga perlu menguasai sains, teknologi, informasi dan teknologi maklumat untuk memartabatkan inisiatif dakwah agar ia memberikan impak yang maksima. Janganlah kita mengecilkan skop dan fokus dakwah kepada dakwah dengan lisan semata-mata.

Dakwah dengan berkesan akan memberikan kelangsungan kepada kewujudan kita sebagai umat Islam di dunia ini. Kita mahukan kecemerlangan, kebahagiaan dan kejayaan sama ada di dunia ataupun akhirat. Kecemerlangan tidak dapat dicapai melalui jalan pintas. Ia memerlukan komitmen, perancangan yang teliti, usaha dan pelaksanaan yang berterusan, penilaian yang tuntas serta semangat juang yang tinggi. Tiada kejayaan tanpa sebarang pengorbanan dan tiada pengorbanan tanpa adanya keikhlasan dan ketulusan hati.

1 comment:

mangga said...

salam..
9 mac baru berlalu sambutan maulidur rasul dan sy juga berpeluang menyertai perarakan maulidur rasul..sejak zaman sekolah menengah lagi perarakan maulidur rasul akan diadakan di sekolah2 disertai dengan pertandingan selawat dan banner terbaik..saya berharap tradisi ini akan kekal diteruskan bagi menambah kesedaran ramai akan hari yang mulia ini...tetapi kita juga harus ingat..hendaklah meningati Nabi Muhammad saw seetiap hari..setiap masa...
146747 etnik 32

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak