Pluralisme Agama Amat Merbahaya!
18 Mac 2011
Konsep pluralisme agama dibawa oleh pengaruh pemikir-pemikir Indonesia ke Asia Tenggara sebagai manifestasi apa yang diperjuangkan oleh gerakan Islam Liberal. Mereka ini kebanyakannya belajar daripada orientalis dan mendokong ajaran Pancasila. Mereka juga banyak terpengaruh dengan rasionalisme iaitu fahaman yang meletakkan kekuatan akal melebihi segala-galanya hatta wahyu sekalipun. Dengan ertikata lain, proses taakulan dianggap sebagai perkara yang mutlak dalam agama. Sedangkan Al-Quran dan Al-Sunnah itu adalah sebenarnya yang mutlak dalam agama. Prinsip utama para orientalis apabila memperkatakan mengenai al-Quran ialah bahawa Al-Quran itu adalah percampuran unsur-unsur Perjanjian Lama, Perjanjian Baru dan berbagai sumber-sumber lain termasuklah pengaruh agama Yahudi. Al-Quran juga biasanya didakwa sebagai bukan wahyu Allah bahkan ia hanyalah semata-mata karangan Nabi Muhammad s.a.w.. Ini adalah dakwaan klasik yang telah terdengar sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. lagi. Dengan memberikan andaian yang merobah keaslian Al-Quran sebagai Kalamullah, para orientalis bukan sahaja telah cuba merobohkan tunjang sumber peradaban Islam bahkan boleh menggugat keaslian kesemua ajaran Islam itu sendiri. Begitu juga apabila dikatakan agama Islam serupa dengan agama-agama lain (walaupun agama Samawi), maka agama Islam tidak mempunyai sebarang nilai lagi berbanding dengan agama-agama lain.
Kita juga janganlah mudah salah faham terhadap konsep pluralisme dalam pengajian hubungan etnik. Dalam hubungan etnik, pluralisme bermaksud berbilang masyarakat, bangsa atau kaum. Ia juga membawa maksud perihal kemajmukan, kepelbagaian agama, berbilang bangsa dan keturunan. Pluralisme dalam pengajian hubungan etnik dan fahaman pluralisme agama adalah dua perkara yang berbeza. Konsep pluralisme agama bertentangan dengan ajaran Islam manakala pluralisme dalam pengajian hubungan etnik adalah satu disiplin ilmu yang boleh dipelajari dan berkembang seiring dengan ilmu hubungan etnik.
Konsep pluralisme agama amatlah merbahaya kerana ia merosakkan akidah umat Islam. Apa yang paling fundamental dalam gerakan pluralisme agama ialah pernyataan bahawa semua agama adalah sama. Pada tanggapan pendokong pluralisme agama, agama-agama di dunia ini mempunyai nilai sepunya yang sama walaupun nama agamanya adalah berbeza seperti Islam, Kristian, Hindu, Buddha dan seumpamanya. Kedua, kebaikan yang dianjurkan oleh setiap agama juga dikatakan sama. Ketiga, Tuhan semua agama adalah sama iaitu Tuhan yang satu walaupun agama masing-masing berbeza antara satu sama lain. Keempat, kebenaran hakiki semua agama juga dikatakan sama kerana semua agama menuju kepada keredaan Tuhan yang satu seperti dalam ungkapan “Unity in Diversity” atau “One God Different Ways”. Kelima, konsep kesamarataan agama. Dikatakan bahawa semua agama adalah sama rata.
Fahaman pluralisme agama mempunyai banyak implikasi. Sekiranya dikatakan semua agama adalah sama, apa ertinya seseorang itu beragama Islam. Akan banyak berlaku kemurtadan kerana manusia Muslim akan keluar daripada agama Islam dan menganut agama lain jika ia berfahaman dan mengganggap memeluk semua agama adalah sama sebab semua agama adalah serupa belaka. Ini adalah fahaman yang sangat menyesatkan. Fahaman pluralisme agama juga mempunyai banyak kelemahan. Jika nilai semua agama dikatakan mempunyai persamaan kenapa wujud Tuhan yang berbeza-beza. Allah adalah Tuhan orang Islam. Adakah Allah juga Tuhan agama-agama lain? Jawapannya tidak! Tentu sama sekali orang-orang Islam tidak akan bersetuju bahawa nilai ibadat dalam Islam sama dengan nilai ibadat dalam agama-agama lain. Semestinya juga orang Islam tidak akan bersetuju bahawa nilai dalam Islam itu sama tahapnya dengan nilai dalam agama-agama yang lain. Sebenarnya, cara hidup, agama dan Al-Din di sisi Allah hanyalah Islam. Firman Allah s.w.t.. dalam Surah Al-An’am ayat 153 yang bermaksud: Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
Asal usul fahaman pluralisme moden bermula pada abad ke 20. Kemungkinan ia berkait rapat dengan perkembangan Kristianiti yang diperkembangkan oleh Hick. John Harwood Hick dilahirkan pada tahun 1922 dan mempunyai ijazah dalam bidang perundangan sivil. Ia berpendapat bahawa Tuhan mengizinkan kejahatan dan penderitaan di dunia ini untuk membangunkan potensi manusia menjadi makhluk berpekerti luhur yang mampu mematuhi semua perintahNya. Pandangannya yang terpesong dalam pluralisme agama bermula pada akhir tahun 60an. Hick telah mengalami pengalaman dan pendedahan bertemu dengan penganut dan mengamati ritual agama-agama lain di Birmingham ketika bekerja dan memperjuangkan isu dan hak sivil pada masa itu. Bermula ketika itu ia mempercayai bahawa penganut-penganut agama lain mengalami suatu pengalaman sama seperti yang dialami oleh penganut agama Kristian sungguhpun terdapat perbezaan kerana faktor budaya, sejarah dan doktrin. Maksud Hick, semua agama adalah sama menjangkau limitasi pengalaman atau yang disebut dalam ilmu falsafah sebagai transcendent (bersifat melebihi pengetahuan segalanya). Dengan erti kata lain, agama adalah sesuatu yang tidak berdasarkan pengalaman ataupun bukti dan melampaui batas pengetahuan manusia. Sebenarnya pendapat ini diambil daripada sistem dan kerangka falsafah Kant yang menyatakan bahawa agama adalah sesuatu yang tidak boleh diketahui kecuali secara hipotetikal.
Pengalaman ini membawanya untuk mengembangkan hipotesis pluralistik seperti yang dibawa dalam teori Kant mengenai phenomenal/noumenal distinction yang menyatakan bahawa penganut-penganut agama utama di dunia mengalami pengalaman yang tidak tergambar oleh kata-kata melalui lensa budaya masing-masing. Pandangan pluralisme agama menurut pandangan Hick ini membawa kepada pindaan teologikal oleh beliau sendiri dan menjurus kepada intepretasi baru doktrin Kristianiti seperti penjelmaan semula (incarnation), konsep pembalasan dan trinity. Beliau menganggap tiga perkara ini sebagai metafora atau metos dan bukannya metafizik. Pandangan yang songsang bahawa semua agama adalah sama terdapat dalam karyanya seperti Philosophy of Religion, The New Frontier of Religion and Science, A Christian Theology of Religions, An Interpretation of Religion, Arguments for the Existence of God dan God Has Many Names.
No comments:
Post a Comment