Asal usul Jemaah Islamiah Menurut Nasir Abas, Mantan Pimpinan Ketiga Tertinggi Jemaah Islamiah di Asia Tenggara
Dr. Amini Amir Abdullah
Suara Pusat Islam Universiti Putra Malaysia
6 Ogos 2010
Menurut Nasir Abas, Mantan Pimpinan Ketiga Jemaah Islamiah di Asia Tenggara, satu pertubuhan dikenali sebagai Al-Jamaah Al-Islamiyah telah ditubuhkan sekitar bulan Januari 2003. Ia dipercayai ditubuhkan di Indonesia. Walaupun nama gerakan ini ialah Al-Jamaah Al-Islamiyah, ia tidaklah berbeza dengan sejarah Jemaah Islamiah (JI) di Malaysia sebab JI mempunyai perkaitan yang amat rapat antara satu negara dengan negara yang lain dalam konteks Asia Tenggara.
Ahli-ahli JI (Asia Tenggara) pada peringkat awalnya dilatih secara formal di Kem Towrkham, Afghanistan. Setelah memperolehi pengalaman di Afghanistan, mereka kembali ke Asia Tenggara dan melatih kader-kader JI yang lain pula sama ada di Filipina, Indonesia ataupun Malaysia. Pembabitan JI di selatan Thailand tidaklah diketahui kerana umat Islam di selatan Thailand mempunyai perjuangan yang agak kompleks.
Pembabitan JI di Malaysia bermula pada tahun 1993. Ini berikutan dakwaan Nasir Abas bahawa beliau ditugaskan untuk memberi tausiyyah (penasihatan) kepada anggota JI di Johor Bahru (Madrasah Luqmanul Hakim) pada pengakhiran tahun 1993 atau awalan tahun 1994. Nasir Abas dan empat anggota JI yang lain kemudiannya ditugaskan ke Mindanao Filipina oleh Ustaz Zulkarnain melalui Mustaqim. Tidaklah diketahui apakah tugasan utamanya di Mindanao. Dipercayai beliau ke Mindanao untuk melatih anggota-anggota pejuang bangsa Moro di kem Hudaibiah, Mindanao, selatan Filipina. Kem Hudaibiyah, ditubuhkan pada bulan Disember 1994 sesudah Nasir Abas berjaya melatih ramai pejuang.
Pada ketika ini aktiviti JI di Malaysia amat malap kerana ketiadaan kepimpinan yang mantap dan kerana idea revolusiner serta ekstremisme gagal mempengaruhi masyarakat tempatan. Nasir Abas kemudiannya kembali ke Johor Bahru pada awal tahun 1997 dan bertugas sebagai guru bahasa Arab di Madrasah Luqmanul Hakim. Beliau mengaku bahawa ketika itu beliau adalah salah seorang ahli (anggota staf) di Wakalah Usman bin Affan atau Wakalah Johor. Pemimpin wakalah ini adalah Mukhlas dan dikenali juga sebagai Ali Ghufron. Mukhlas @ Ali Ghufron adalah warganegara Indonesia yang datang secara haram ke Malaysia.
Dari segi struktur organisasi, Wakalah Usman bin Affan atau Wakalah Johor adalah salah satu daripada Wakalah dalam Mantiqi I. Mantiqi I pula mencakupi Semenanjung Malaysia dan Singapura yang dipimpin oleh Hambali. Nasir Abas kemudiannya dilantik oleh Mukhlas sebagai Ketua Kirdas (Platun) yang terdiri daripada beberapa orang. Pada tahun 1997 juga, Nasir Abas berjumpa dengan Nordin Mat Top dan Dr. Azahari. Nordin Mat Top adalah ketua Fiah (kumpulan yang lebih kecil dan dari segi strukturnya berada di bawah Kirdas).
Madrasah Luqmanul Hakim menjadi tumpuan para pendokong ideologi JI kerana mereka dapat berselindung di sebalik aktiviti pendidikan dan proses pembelajaran untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Taktik ini ternyata berkesan. Antaranya seperti Tohir (penjenayah yang terlibat dalam pengeboman J.W. Marriot dan juga Ismail Datam (Bukan nama sebenar). Nasir Abas mengakui mengenali kedua-dua “tokoh” di madrasah ini pada tahun 1997.
Menurut Nasir Abas, pada tahun itu juga Mustapha mengaku bahawa beliau dilantik menjadi Ketua Mantiqi III iaitu jawatan yang berkuasa dalam wilayah Sabah, Mindanao, Tarakan, Nunukan (Indonesia), Palu (Indonesia) dan Sulawesi Tengah. Nasir Abas telah dipilih untuk ditempatkan di Sabah kerana isterinya orang Sandakan dan beliau dengan mudah dapat menyusup masuk melalui Pulau Tawi-Tawi (daerah dalam Filipina Selatan) sebelum ke Mindanao.
Pada tahun 1998, Nasir Abas telah dilantik sebagai Ketua Wakalah Badar (kawasan Sabah) untuk menguruskan kader-kader JI berlatih dan “berjihad” bersama pejuang-pejuang Moro di selatan Filipina. Latihan ketenteraan diberikan terlebih dahulu sebelum mereka dibenarkan pergi ke medan peperangan iaitu peperangan gerila atau counter-insurgency warfare. Ketika ini hinggalah ke akhir tahun 2002, Mustapha merupakan pemberi arahan kepada pengurusan kader-kader JI ke Mindanao. Ketika ini, Ustaz Abdul Halim merupakan mastermind JI kerana beliau adalah ketua tertinggi (AMIR) JI. Beliau dibantu oleh Ustaz Abu Bakar Baasyir (Nama samaran, Ustaz Abdus Somad). Selepas Ustaz Abdul Halim meninggal dunia pada akhir tahun 1999, Abu Bakar Basyir mengambilalih tempatnya.
Adalah suatu perkara yang menyedihkan kerana pimpinan JI menjadikan sekolah-sekolah agama sebagai tempat persembunyian dan menjalankan modus operandi mereka secara diam-diam dan penuh kerahsiaan. Pada bulan April 2001, Abu Bakar Basyir bersembunyi di sebuah sekolah agama iaitu Maahad ‘Ali di Gading, Solo. Di sinilah diadakan pertemuan enam mata antara Abu Bakar Basyir, Mustapha dan Nasir Abas. Dalam pertemuan itu juga Nasir Abas telah dilantik oleh Abu Bakar sebagai Ketua Mantiqi III bagi menggantikan Mustapha. Mustapha pula dinaikkan pangkat dalam “Bidang Diklat” pada tahap Markaziyyah.
Sebenarnya, Nasir Abas telah didedahkan oleh fahaman Wahabiyyah (kata Nasir Abas: “berpaham Muhammadiyah”) di Maahad Ittiba’ Al-Sunnah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan ketika beliau masuk ke Maahad itu pada tahun 1984. Menurut Nasir Abas, ramai mahasiswa IPTA pergi ke Maahad itu untuk mempelajari dan mendalami ilmu menterjemah Al-Quran. Maahad ini ketika itu dipimpin oleh Ustaz Hashim Abdul Ghani. Setelah setahun belajar di Maahad ini, Nasir Abas menjadi pengajar pula iaitu pada awal tahun 1986 hingga akhir tahun 1987 di samping terus berguru dengan Ustaz Hashim.
Pada awal tahun 1985, 50 orang rakyat Indonesia telah datang ke Maahad ini untuk membuat penyelidikan perbandingan antara sistem pendidikan di Malaysia dengan Indonesia. Termasuk dalam kelompok ini ialah Hilmi Bakar Al-Mascaty (Ketua DPP FPI). Di Maahad ini juga Nasir Abas bertemu dengan Ustaz Abdul Halim (Abdullah Sungkar) yang juga merupakan Amir JI kemudiannya. Di Maahad ini, Ustaz Abdul Halim (Abdullah Sungkar) dihormati orang dan dipanggil Abah oleh ahli-ahli rombongan yang lain. Nasir Abas juga turut berjumpa dengan Abu Bakar Basyir yang memasuki Malaysia pada awal tahun 1985. Tokoh Muhammadiyyah Indonesia, Lukman Harun juga pernah bertandang ke Maahad ini. Namun demikian, tidaklah diketahui sama ada Maahad Ittibaus Sunnah yang menceduk sistem pendidikan Muhammadiyyah ataupun sebaliknya.
1 comment:
Salam perpaduan Dr,
Saya tidak melihat kenapa orang ramai, terutamanya orang Islam sendri menolak kumpulan pengganas yang hanya ingin berjuang demi keadilan agama, bangsa dan kemungkinan untuk negara mereka.
Bukankah dalam Islam juga ada diketengahkan mengenai konsep "jihad"?
Memang jika dilihat dari sudut kemanusiaan ia tidak mendatangkan manfaat, malah lebih banyak nyawa akan melayang. Namun jika untuk mempertahankan bangsa dan kaum anda dari dicabul, saya rasa ia tidak sesuatu yang tidak baik.
Post a Comment