Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Wednesday, March 23, 2011

Ciri-Ciri Pluralisme Agama

Ciri-Ciri Pluralisme Agama
Suara Pusat Islam Universiti Putra Malaysia
25 Mac 2011

Terdapat dua perkara penting yang perlu kita ketahui apabila membincangkan persoalan pluralisme. Pertama pluralisme dalam pengajian etnik dan kedua pluralisme dalam konteks agama. Pluralisme dalam konteks agama atau pluralisme agama adalah fahaman yang sangat merbahaya dan menjadi fokus perbincangan kita pada hari ini. Manakala pluralisme dalam pengajian hubungan etnik adalah perbahasan berkaitan kepelbagaian dalam masyarakat. Sebelum kita pergi lebih jauh, eloklah kita bincangkan dahulu pluralisme dalam pengajian etnik atau pengajian hubungan etnik. Pluralisme dalam konteks ini adalah suatu keadaan masyarakat berbilang bangsa atau kemajmukan masyarakat. Disiplin ilmu pluralisme dalam hubungan etnik mencakupi sebab-sebab berlaku kemajmukan, ciri-ciri kemajmukan, asal-usul bangsa, polisi dan dasar berkaitan etnik dan implikasi daripada kemajmukan. Pluralisme dalam konteks ini juga menimbulkan persoalan-persoalan kenegaraan di dunia dan sering mengundang berbagai penyelesaian.  Akibat daripada kemaraan globalisasi, masyarakat berbilang kaum menjadi semakin rencam dari segi budaya dan heterogeneous. Keadaan juga menjadi semakin kusut dengan berlakunya migrasi dan pembangunan. Dilema bagi setiap negara ialah sama ada kepelbagaian etnik dikekalkan atau pendekatan-pendekatan menangani kepelbagaian etnik dilakukan pengubahsuaian. Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa kepelbagaian atau pluralisme etnik merupakan satu keunikan dan kekuatan bagi sesebuah negara. Terdapat juga kerajaan di dunia yang menghargai kepelbagaian agama, persaingan antara etnik dan berusaha menyelesaikan masalah-masalah berkaitan hubungan etnik. Semua ini termasuk dalam perbahasan mengenai pluralisme dalam hubungan etnik.

Kita beralih pula kepada pluralisme agama. Isu pluralisme agama menimbulkan fenomena baru dalam pemikiran Islam. Ia mencetuskan pelbagai kontroversi dalam dunia Islam dan antarabangsa serta menggugat akidah umat Islam. Di antara ciri pluralisme agama ialah:

1. Ia mempunyai satu gerakan yang terancang yang berlindung di bawah gerakan-gerakan seperti global ethics, human rights dan interfaith dialogue atau dialogue of faith dan civilizational dialogue.
2. Ia  mempunyai jaringan luas hampir di seluruh dunia termasuklah Malaysia dan telah lama berakar umbi di Indonesia.
3. Ideologi dan fahaman pluralisme agama merupakan suatu serangan mental dan penjajahan pemikiran yang berbahaya terhadap Islam serta penganutnya. Ia dilakukan secara halus untuk mengelirukan pemikiran umat Islam atas nama rasional, toleransi dan perpaduan.
4. Ia mempunyai elemen-elemen fahaman Islam Liberal, sekularisme, rasionalisme, penolakan terhadap autoriti keagamaan, longgar dalam perbahasan mengenai hakikat kebenaran sesuatu agama dan sentiasa cuba menyamaratakan ajaran-ajaran agama yang berbagai.
5. Ia mempromosi nilai-nilai barat dengan berselindung di sebalik slogan dan penekanan kepada terminologi universal values, good values, shared-values, positive values, noble values dan istilah-istilah yang lunak didengari.
6. Ia menanamkan bibit kekeliruan dan ketidakpastian dengan menggunakan moto yang kelihatan baik dan muluk seperti “One God Different Ways”, “Unity in Diversity”, dan lain-lain lagi.
7. Ia memisahkan nilai daripada agama dengan menyatakan nilai sejagat atau universal mengatasi kebaikan nilai agama dan ini menidakkan peranan agama dalam kehidupan seseorang.
8. Apabila fahaman ini menyatakan nilai-nilai yang diterima majoriti itu adalah suatu kebaikan, maka ia sebenarnya menolak autoriti agama, kesahihan agama dan keabsahan agama.
9. Ia memperjuangkan kebebasan mengeluarkan pendapat dalam beragama kononnya setiap orang berhak untuk memberikan pandangan walaupun pandangan itu sebenarnya bertentangan dengan agama atau pandangan itu boleh menyakiti penganut-penganut agama lain.
10.  Metodologi yang digunakan mereka iaitu relativisme iaitu dengan menyatakan bahawa kebenaran adalah relatif dan tidak boleh didakwa mana-mana pihak, yang bertujuan kononnya memberi kebebasan yang mutlak dalam mengeluarkan pendapat dalam agama masing-masing. Jika kebenaran adalah relatif, maka agama juga bermakna bukanlah sesuatu yang benar dan tidak mutlak.
11. Pluralisme agama lebih cenderung meletakkan neraca akal melebihi neraca agama kerana akal dianggap sebagai berautonomi dan mampu memikirkan segala-galanya.

Sebagai orang Islam, kita perlu berhati-hati, berwaspada dan berawas dengan gerakan fahaman pluralisme agama kerana matlamat akhir gerakan ini ialah menghapuskan semua agama. Apabila nilai akal diletakkan diletakkan lebih tinggi daripada agama, maka agama tidak lagi mempunyai sebarang signifikan dan peranan. Apa yang penting ialah kita perlu berpegang teguh dengan agama Allah agar kita tidak terpesong. Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al-An’am, ayat 153 yang berbunyi: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutinya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya bertaqwa.”



Thursday, March 17, 2011

Pluralisme Agama Amat Merbahaya!

Pluralisme Agama Amat Merbahaya!
18 Mac 2011

Konsep pluralisme agama dibawa oleh pengaruh pemikir-pemikir Indonesia ke Asia Tenggara sebagai manifestasi apa yang diperjuangkan oleh gerakan Islam Liberal. Mereka ini kebanyakannya belajar daripada orientalis dan mendokong ajaran Pancasila. Mereka juga banyak terpengaruh dengan rasionalisme iaitu fahaman yang meletakkan kekuatan akal melebihi segala-galanya hatta wahyu sekalipun. Dengan ertikata lain, proses taakulan dianggap sebagai perkara yang mutlak dalam agama. Sedangkan Al-Quran dan Al-Sunnah itu adalah sebenarnya yang mutlak dalam agama. Prinsip utama para orientalis apabila memperkatakan mengenai al-Quran ialah bahawa Al-Quran itu adalah percampuran unsur-unsur Perjanjian Lama, Perjanjian Baru dan berbagai sumber-sumber lain termasuklah pengaruh agama Yahudi. Al-Quran juga biasanya didakwa sebagai bukan wahyu Allah bahkan ia hanyalah semata-mata karangan Nabi Muhammad s.a.w.. Ini adalah dakwaan klasik yang telah terdengar sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w. lagi. Dengan memberikan andaian yang merobah keaslian Al-Quran sebagai Kalamullah, para orientalis bukan sahaja telah cuba merobohkan tunjang sumber peradaban Islam bahkan boleh menggugat keaslian kesemua ajaran Islam itu sendiri. Begitu juga apabila dikatakan agama Islam serupa dengan agama-agama lain (walaupun agama Samawi), maka agama Islam tidak mempunyai sebarang nilai lagi berbanding dengan agama-agama lain. 

Kita juga janganlah mudah salah faham terhadap konsep pluralisme dalam pengajian hubungan etnik. Dalam hubungan etnik, pluralisme bermaksud berbilang masyarakat, bangsa atau kaum. Ia juga membawa maksud perihal kemajmukan, kepelbagaian agama, berbilang bangsa dan keturunan. Pluralisme dalam pengajian hubungan etnik dan fahaman pluralisme agama adalah dua perkara yang berbeza. Konsep pluralisme agama bertentangan dengan ajaran Islam manakala pluralisme dalam pengajian hubungan etnik adalah satu disiplin ilmu yang boleh dipelajari dan berkembang seiring dengan ilmu hubungan etnik.

Konsep pluralisme agama amatlah merbahaya kerana ia merosakkan akidah umat Islam. Apa yang paling fundamental dalam gerakan pluralisme agama ialah pernyataan bahawa semua agama adalah sama. Pada tanggapan pendokong pluralisme agama, agama-agama di dunia ini mempunyai nilai sepunya yang sama walaupun nama agamanya adalah berbeza seperti Islam, Kristian, Hindu, Buddha dan seumpamanya. Kedua, kebaikan yang dianjurkan oleh setiap agama juga dikatakan sama. Ketiga, Tuhan semua agama adalah sama iaitu Tuhan yang satu walaupun agama masing-masing berbeza antara satu sama lain. Keempat, kebenaran hakiki semua agama juga dikatakan sama kerana semua agama menuju kepada keredaan Tuhan yang satu seperti dalam ungkapan “Unity in Diversity” atau “One God Different Ways”. Kelima, konsep kesamarataan agama. Dikatakan bahawa semua agama adalah sama rata.

Fahaman pluralisme agama mempunyai banyak implikasi. Sekiranya dikatakan semua agama adalah sama, apa ertinya seseorang itu beragama Islam. Akan banyak berlaku kemurtadan kerana manusia Muslim akan keluar daripada agama Islam dan menganut agama lain jika ia berfahaman dan mengganggap memeluk semua agama adalah sama sebab semua agama adalah serupa belaka. Ini adalah fahaman yang sangat menyesatkan. Fahaman pluralisme agama juga mempunyai banyak kelemahan. Jika nilai semua agama dikatakan mempunyai persamaan kenapa wujud Tuhan yang berbeza-beza. Allah adalah Tuhan orang Islam. Adakah Allah juga Tuhan agama-agama lain? Jawapannya tidak! Tentu sama sekali orang-orang Islam tidak akan bersetuju bahawa nilai ibadat dalam Islam sama dengan nilai ibadat dalam agama-agama lain. Semestinya juga orang Islam tidak akan bersetuju bahawa nilai dalam Islam itu sama tahapnya dengan nilai dalam agama-agama yang lain. Sebenarnya, cara hidup, agama dan Al-Din di sisi Allah hanyalah Islam. Firman Allah s.w.t.. dalam Surah Al-An’am ayat 153 yang bermaksud: Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

Asal usul fahaman pluralisme moden bermula pada abad ke 20. Kemungkinan ia berkait rapat dengan perkembangan Kristianiti yang diperkembangkan oleh Hick. John Harwood Hick dilahirkan pada tahun 1922 dan mempunyai ijazah dalam bidang perundangan sivil. Ia berpendapat bahawa Tuhan mengizinkan kejahatan dan penderitaan di dunia ini untuk membangunkan potensi manusia menjadi makhluk berpekerti luhur yang mampu mematuhi semua perintahNya. Pandangannya yang terpesong dalam pluralisme agama bermula pada akhir tahun 60an. Hick telah mengalami pengalaman dan pendedahan bertemu dengan penganut dan mengamati ritual agama-agama lain di Birmingham ketika bekerja dan memperjuangkan isu dan hak sivil pada masa itu. Bermula ketika itu ia mempercayai bahawa penganut-penganut agama lain mengalami suatu pengalaman sama seperti yang dialami oleh penganut agama Kristian sungguhpun terdapat perbezaan kerana faktor budaya, sejarah dan doktrin. Maksud Hick, semua agama adalah sama menjangkau limitasi pengalaman atau yang disebut dalam ilmu falsafah sebagai transcendent (bersifat melebihi pengetahuan segalanya). Dengan erti kata lain, agama adalah sesuatu yang tidak berdasarkan pengalaman ataupun bukti dan melampaui batas pengetahuan manusia. Sebenarnya pendapat ini diambil daripada sistem dan kerangka falsafah Kant yang menyatakan bahawa agama adalah sesuatu yang tidak boleh diketahui kecuali secara hipotetikal.

Pengalaman ini membawanya untuk mengembangkan hipotesis pluralistik seperti yang dibawa dalam teori Kant mengenai phenomenal/noumenal distinction yang menyatakan bahawa penganut-penganut agama utama di dunia mengalami pengalaman yang tidak tergambar oleh kata-kata melalui lensa budaya masing-masing. Pandangan pluralisme agama menurut pandangan Hick ini membawa kepada pindaan teologikal oleh beliau sendiri dan menjurus kepada intepretasi baru doktrin Kristianiti seperti penjelmaan semula (incarnation), konsep pembalasan dan trinity. Beliau menganggap tiga perkara ini sebagai metafora atau metos dan bukannya metafizik. Pandangan yang songsang bahawa semua agama adalah sama terdapat dalam karyanya seperti Philosophy of Religion, The New Frontier of Religion and Science, A Christian Theology of Religions,  An Interpretation of Religion,  Arguments for the Existence of God dan God Has Many Names.

Tuesday, March 8, 2011

Krisis Di Libya: Di Mana Perpaduan?

Krisis Di Libya: Di Mana Perpaduan?
Suara Pusat Islam Universiti Putra Malaysia
11 Mac 2011

Krisis di Asia Barat dan Afrika Utara yang bermula di Tunisia dan kemudiannya Mesir kini merebak ke Libya secara tidak disangka-sangka. Muammar Gaddafi memerintah Libya selama 42 tahun. Rakyatnya menolak pemerintahannya yang terlalu lama dan mengadakan tunjuk perasaan di serata Libya. Saya percaya masalah sosio-ekonomi rakyat adalah masalah yang telah lama berakar umbi di Libya. Melalui kenyataan akhbar menerusi telefon, beliau menyatakan bahawa Libya akan musnah jika beliau meletakkan jawatan. Satu pujukan yang telah lali kita dengari dalam mana-mana kancah politik. Sebab itu, beliau bermati-matian akan mempertahankan kedudukannya.

Dalam satu ucapannya di Dataran Hijau Tripoli di hadapan para penyokong kuatnya, Ghaddafi yang merupakan seorang Kolonel ketika menguasai Libya pada tahun 1969 telah menyatakan bahawa puak ”pemberontak” akan ditewaskan. Katanya lagi, ”...menyanyilah, menarilah dan bersedialah kamu semua, jika perlu, kita akan buka semua gudang senjata kita”!

Gaddafi mengekang kebangkitan rakyatnya sendiri dengan menggunakan pasukan tentera yang masih setia kepadanya dan tentera upahan dari Republik Chad dan beberapa negara Afrika yang lain dengan gaji yang lumayan. Bahkan beliau mengedarkan senjata kepada puak yang masih menyokongnya untuk berhadapan dengan para penentangnya dengan slogan ”Bersedia Untuk Mempertahankan Libya”. Gaddafi juga mengapi-apikan sesama rakyatnya iaitu penyokong dan penentangnya dan ini boleh membawa kepada krisis yang lebih serius iaitu peperangan saudara. Pertempuran yang serius berlaku di Tajoura antara orang awam dengan pihak tentera serta kelompok orang awam yang merupakan penyokong-penyokongnya. Taktik dan strategi melaga-lagakan rakyatnya sendiri bakal mencetuskan perang saudara di Libya. Ini dilakukan atas nama kuasa dan kedudukan.

Implikasi krisis di Asia Barat dan Afrika bakal membawa kepada ekonomi dunia. Harga minyak dijangka meningkat mendadak, kos pengeluaran akan melonjak, inflasi akan turut mengancam ekonomi negara yang tidak kukuh, kenaikan ekstrem harga barang dan perkhidmatan, pengangguran akan berleluasa dan ini akan membawa kepada peningkatan masalah sosial dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap negara yang diperintah. Di Libya, rakyatnya beratur panjang dengan membawa tong-tong minyak untuk membeli minyak. Ghaddafi telahpun memperkuatkan pasukan separa tentera untuk membantu tenteranya yang setia menentang para pemberontak. Setakat 2 Februari 2011, NATO telah mengenakan zon larangan terbang di ruang udara Tripoli dan bandar-bandar yang lain.

Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu telah meluluskan embargo senjata, sekatan perjalanan dan pembekuan aset terhadap Gaddafi dan anak-pinaknya.  Barrack Obama mencadangkan dirampas semua harta Gaddafi dan saudara-maranya di Amerika dan di institusi kewangan milik Amerika. Ban Ki-moon, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah mengeluarkan kenyataan bahawa 1,000 orang telah terkorban setakat ini dalam insiden di Libya.

Kita menyeru kepada rakyat Libya agar bersatu kembali. Jika tidak, malapetaka besar akan berlaku dalam negara tumpah darah mereka sendiri dan musuh akan bermaharaja lela. Tiada siapa yang tahu siapakah dalang di sebalik revolusi yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya, Yaman, Bahrain dan Algeria. Semestinya Israel, Zionis dan orang-orang Yahudi bertepuk tangan bergembira!!

Monday, March 7, 2011

Asal usul Jemaah Islamiah Menurut Nasir Abas, Mantan Pimpinan Ketiga Tertinggi Jemaah Islamiah di Asia Tenggara

Asal usul Jemaah Islamiah Menurut Nasir Abas, Mantan Pimpinan Ketiga Tertinggi Jemaah Islamiah di Asia Tenggara
Dr. Amini Amir Abdullah
Suara Pusat Islam Universiti Putra Malaysia
6 Ogos 2010

Menurut Nasir Abas, Mantan Pimpinan Ketiga Jemaah Islamiah di Asia Tenggara, satu pertubuhan dikenali sebagai Al-Jamaah Al-Islamiyah telah ditubuhkan sekitar bulan Januari 2003. Ia dipercayai ditubuhkan di Indonesia. Walaupun nama gerakan ini ialah Al-Jamaah Al-Islamiyah, ia tidaklah berbeza dengan sejarah Jemaah Islamiah (JI) di Malaysia sebab JI mempunyai perkaitan yang amat rapat antara satu negara dengan negara yang lain dalam konteks Asia Tenggara. 

Ahli-ahli JI (Asia Tenggara) pada peringkat awalnya dilatih secara formal di Kem Towrkham, Afghanistan. Setelah memperolehi pengalaman di Afghanistan, mereka kembali ke Asia Tenggara dan melatih kader-kader JI yang lain pula sama ada di Filipina, Indonesia ataupun Malaysia. Pembabitan JI di selatan Thailand tidaklah diketahui kerana umat Islam di selatan Thailand mempunyai perjuangan yang agak kompleks. 

Pembabitan JI di Malaysia bermula pada tahun 1993. Ini berikutan dakwaan Nasir Abas bahawa beliau ditugaskan  untuk memberi  tausiyyah (penasihatan) kepada anggota JI di Johor Bahru (Madrasah Luqmanul Hakim)  pada pengakhiran tahun 1993 atau awalan tahun 1994. Nasir Abas dan empat anggota JI yang lain kemudiannya  ditugaskan ke Mindanao Filipina oleh Ustaz Zulkarnain melalui Mustaqim. Tidaklah diketahui apakah tugasan utamanya di Mindanao. Dipercayai beliau ke Mindanao untuk melatih anggota-anggota pejuang bangsa Moro di kem Hudaibiah, Mindanao, selatan Filipina. Kem Hudaibiyah, ditubuhkan pada bulan Disember 1994 sesudah Nasir Abas berjaya melatih ramai pejuang.

Pada ketika ini aktiviti JI di Malaysia amat malap kerana ketiadaan kepimpinan yang mantap dan kerana idea revolusiner serta ekstremisme gagal mempengaruhi masyarakat tempatan. Nasir Abas kemudiannya kembali ke Johor Bahru pada awal tahun 1997 dan bertugas sebagai guru bahasa Arab di Madrasah Luqmanul Hakim. Beliau mengaku bahawa ketika itu beliau adalah salah seorang ahli (anggota staf) di Wakalah Usman bin Affan atau Wakalah Johor. Pemimpin wakalah ini adalah Mukhlas dan dikenali juga sebagai Ali Ghufron. Mukhlas @ Ali Ghufron adalah warganegara Indonesia yang datang secara haram ke Malaysia.

Dari segi struktur organisasi, Wakalah Usman bin Affan atau Wakalah Johor adalah salah satu daripada Wakalah dalam Mantiqi I. Mantiqi I pula mencakupi Semenanjung Malaysia dan Singapura yang dipimpin oleh Hambali. Nasir Abas kemudiannya dilantik oleh Mukhlas sebagai Ketua Kirdas (Platun) yang terdiri daripada beberapa orang. Pada tahun 1997 juga, Nasir Abas berjumpa dengan Nordin Mat Top dan Dr. Azahari. Nordin Mat Top adalah ketua Fiah (kumpulan yang lebih kecil dan dari segi strukturnya berada di bawah Kirdas). 

Madrasah Luqmanul Hakim menjadi tumpuan para pendokong ideologi JI kerana mereka dapat berselindung di sebalik aktiviti pendidikan dan proses pembelajaran untuk mengaburi mata pihak berkuasa. Taktik ini ternyata berkesan. Antaranya seperti Tohir (penjenayah yang terlibat dalam pengeboman J.W. Marriot dan juga Ismail Datam (Bukan nama sebenar).  Nasir Abas mengakui mengenali kedua-dua “tokoh” di madrasah ini pada tahun 1997.
Menurut Nasir Abas, pada tahun itu juga Mustapha mengaku bahawa beliau dilantik menjadi Ketua Mantiqi III iaitu jawatan yang berkuasa dalam wilayah Sabah, Mindanao, Tarakan, Nunukan (Indonesia), Palu (Indonesia) dan Sulawesi Tengah. Nasir Abas telah dipilih untuk ditempatkan di Sabah kerana isterinya orang Sandakan dan beliau dengan mudah dapat menyusup masuk melalui Pulau Tawi-Tawi (daerah dalam Filipina Selatan) sebelum ke Mindanao. 

Pada tahun 1998, Nasir Abas telah dilantik sebagai Ketua Wakalah Badar (kawasan Sabah) untuk menguruskan kader-kader JI berlatih dan “berjihad” bersama pejuang-pejuang Moro di selatan Filipina. Latihan ketenteraan diberikan terlebih dahulu sebelum mereka dibenarkan pergi ke medan peperangan iaitu peperangan gerila atau counter-insurgency warfare. Ketika ini hinggalah ke akhir tahun 2002, Mustapha merupakan pemberi arahan kepada pengurusan kader-kader JI ke Mindanao. Ketika ini, Ustaz Abdul Halim merupakan mastermind JI kerana beliau adalah ketua tertinggi (AMIR) JI. Beliau dibantu oleh Ustaz Abu Bakar Baasyir (Nama samaran, Ustaz Abdus Somad). Selepas Ustaz Abdul Halim meninggal dunia pada akhir tahun 1999, Abu Bakar Basyir mengambilalih tempatnya.
Adalah suatu perkara yang menyedihkan kerana pimpinan JI menjadikan sekolah-sekolah agama sebagai tempat persembunyian dan menjalankan modus operandi mereka secara diam-diam dan penuh kerahsiaan. Pada bulan April 2001, Abu Bakar Basyir bersembunyi di sebuah sekolah agama iaitu Maahad ‘Ali di Gading, Solo. Di sinilah diadakan pertemuan enam mata antara Abu Bakar Basyir, Mustapha dan Nasir Abas. Dalam pertemuan itu juga Nasir Abas telah dilantik oleh Abu Bakar sebagai Ketua Mantiqi III bagi menggantikan Mustapha. Mustapha pula dinaikkan pangkat dalam “Bidang Diklat” pada tahap Markaziyyah.

Sebenarnya, Nasir Abas telah didedahkan oleh fahaman Wahabiyyah (kata Nasir Abas: “berpaham Muhammadiyah”) di Maahad Ittiba’ Al-Sunnah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan ketika beliau masuk ke Maahad itu pada tahun 1984. Menurut Nasir Abas, ramai mahasiswa IPTA pergi ke Maahad itu untuk mempelajari dan mendalami ilmu menterjemah Al-Quran. Maahad ini ketika itu dipimpin oleh Ustaz Hashim Abdul Ghani. Setelah setahun belajar di Maahad ini, Nasir Abas menjadi pengajar pula iaitu pada awal tahun 1986 hingga akhir tahun 1987 di samping terus berguru dengan Ustaz Hashim.

Pada awal tahun 1985, 50 orang rakyat Indonesia telah datang ke Maahad ini untuk membuat penyelidikan perbandingan antara sistem pendidikan di Malaysia dengan Indonesia. Termasuk dalam kelompok ini ialah Hilmi Bakar Al-Mascaty (Ketua DPP FPI). Di Maahad ini juga Nasir Abas bertemu dengan Ustaz Abdul Halim (Abdullah Sungkar) yang juga merupakan Amir JI kemudiannya. Di Maahad ini, Ustaz Abdul Halim (Abdullah Sungkar) dihormati orang dan dipanggil Abah oleh ahli-ahli rombongan yang lain. Nasir Abas juga turut berjumpa dengan Abu Bakar Basyir yang memasuki Malaysia pada awal tahun 1985. Tokoh Muhammadiyyah Indonesia, Lukman Harun juga pernah bertandang ke Maahad ini. Namun demikian, tidaklah diketahui sama ada Maahad Ittibaus Sunnah yang menceduk sistem pendidikan Muhammadiyyah ataupun sebaliknya.

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak