Dakwah secara hikmah tangani ‘mat rempit.
DR. AMINI AMIR ABDULAH.
Islam adalah agama sejahtera yang sentiasa menyuruh umatnya berbuat
kebaikan dan menghindari kejahatan termasuk segala aktiviti yang
boleh mendatangkan mudarat kepada diri seperti terlibat dalam
kegiatan ‘mat rempit?
Ini bertepatan dengan firman Allah: Janganlah kamu sengaja
mencampakkan diri kamu dalam bahaya kebinasaan. (al-Baqarah: 195)
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, MOHD. NOOR AMIN menemu
bual Pengarah Pusat Islam Universiti
Putra Malaysia, Dr. Amini Amir Abdullah bagi mengupas persoalan
mengenai cara-cara menangani masalah yang semakin meruncing ini.
UTUSAN MALAYSIA: Bagaimanakah cara untuk menangani isu ‘mat
rempit?ini menurut pandangan Islam?
DR. AMINI AMIR: Isu ini perlu ditangani secara bijaksana kerana
golongan yang terlibat kebanyakannya adalah remaja yang emosinya
agak agresif dan sukakan keseronokan. Apabila tindakan yang
dikenakan mengandungi unsur-unsur kekerasan, ia akan mengundang
tindakbalas oleh mereka.
Inilah yang berlaku apabila ada golongan terbabit yang menyerang
balai polis dan membaling batu ke arah polis yang menguatkuasakan
undang-undang lalu lintas.
Namun demikian, usaha mengekang kegiatan ‘mat rempit?perlu digiatkan
kerana dilaporkan kerajaan ‘kehilangan?kira-kira RM1.2 juta bagi
setiap kematian remaja.
Satu lagi golongan yang boleh membantu selain penguatkuasaan ialah
ibu bapa yang mengawal tindak-tanduk anak-anak. Ini bukan sahaja
untuk anak-anak yang merantau di ibu kota tetapi juga yang tinggal
di kampung.
Malangnya, `mat rempit?ini majoritinya melibatkan remaja Melayu.
Sebab itu, peranan ibu bapa penting. Mereka perlu melarang anak-anak
jika dilihat suka mengubah suai motosikal yang mempunyai ciri-ciri
untuk berlumba dan sebagainya.
Aktiviti ini mungkin berkembang kerana beberapa sebab, antaranya
hobi berlumba atau menunggang motosikal secara berbahaya dan juga
melibatkan unsur pertaruhan termasuk wang dan wanita.
Isu ini nampaknya kini semakin serius sehingga menjadi isu nasional.
Jadi apakah peranan pendakwah Islam dalam hal ini?
Pendakwah perlu turun padang mendekati golongan ini. Hal ini penting
kerana remaja terlibat dilaporkan bukan sahaja menunggang motosikal
secara berbahaya tetapi turut melibatkan penggunaan dadah termasuk
dadah sintetik serta minum arak.
Dadah sintetik ini memberi kesan negatif dalam jangka panjang,
begitu juga dengan penggunaan syabu yang dikatakan dapat
menghilangkan rasa takut sebelum berlumba.
Arak pula adalah ibu segala kejahatan di mana seseorang yang memilih
arak itu boleh melibatkan dirinya dalam pelbagai maksiat yang lain.
Ini berlaku dalam zaman para wali di mana seorang lelaki diberi
pilihan antara berzina atau minum arak. Dia memilih minum arak
tetapi akibat mabuk dia turut berzina. Malah untuk menutup malu,
anak yang dilahirkan serta wanita berkenaan juga turut dibunuhnya.
Maknanya, akhlak seorang Muslim yang mampu membezakan perkara yang
baik dan buruk itu tidak ada pada mereka.
Kita lihat golongan yang terlibat dalam kes khalwat misalnya
diberikan kaunseling. Mungkin golongan ‘mat rempit?ini juga perlu
diberikan kaunseling untuk menyedarkan mereka supaya tidak terlibat
dalam kegiatan negatif itu.
Pendakwah Muslim perlu bersama-sama dengan kumpulan ini dan
perlahan-lahan menggunakan ‘jarum suntikan?secara halus untuk menarik
mereka kembali ke pangkal jalan. Ini dijelaskan oleh Allah menerusi
firman-Nya: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan
pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.
(An-Nahl: 125)
Jika mereka tidak makan nasihat, barulah tindakan mengenakan hukuman
yang lebih berat mengikut undang-undang dikenakan. Ini supaya
mendidik mereka serta menjadi faktor penggerun (deterrent) yang
berkesan seperti kompaun dan juga operasi yang berterusan terutama
pada hujung minggu.
Apabila remaja Melayu terlibat maka ia tidak boleh lari daripada
menjejaskan imej Islam. Barangkali hal ini tidak disedari oleh
kumpulan ‘mat rempit?ini?
Memang benar. Apabila majoriti yang terlibat adalah remaja Melayu
maka imej umat Islam turut terjejas. Ini menyukarkan usaha
memulihkan imej Islam yang sering digambarkan oleh propaganda Barat
sebagai pengganas.
Kumpulan `mat rempit?ini harus disedarkan yang perbuatan mereka itu
bukan sahaja salah dari segi undang-undang tetapi juga agama. Segala
aktiviti mereka itu mempunyai konotasi negatif seperti membuang
masa, meninggalkan solat, menggalakkan pergaulan bebas lelaki dan
perempuan yang bukan mahram, terdedah kepada kecelakaan, mengancam
nyawa orang lain dan juga mengganggu ketenteraman awam.
Aspek itu semua perlu dielakkan untuk menjadi Muslim yang berjaya
sebagaimana ditegaskan oleh Allah: Sesungguhnya berjayalah
orang-orang yang beriman (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya
dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan)
yang tidak berguna. (al-Mukminun: 1-3)
Dalam sepotong hadis, Rasulullah ada menyatakan kalau hendak melihat
pemimpin masa depan maka lihatlah remaja masa ini. Apakah kaitan
hadis ini dengan kumpulan ‘mat rempit?
Memang benar terdapat hadis yang sedemikian. Remaja hari ini adalah
pemimpin masa depan. Oleh itu, jika mereka tidak mempunyai kualiti
kepimpinan negara akan berhadapan dengan masalah. Lebih-lebih lagi,
ke arah negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.
Kita mahu melihat remaja Islam yang berkualiti yang sentiasa
mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.
Sebaliknya, kalau kita lihat kumpulan ‘mat rempit?ini keluar
menjalankan kegiatan mereka pada waktu senja. Ini menimbulkan
persoalan adakah mereka solat Maghrib dan Isyak. Atau mungkin
semuanya hanyut termasuk Subuh.
Apabila solat dipermudahkan dan ditinggalkan maka benteng kepada
perkara kejahatan itu tidak ada dalam diri individu Muslim. Ini
ditegaskan menerusi firman Allah: Dan dirikanlah solat, sesungguhnya
solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. (al-Ankabut:
45)
Mungkinkah wujud faktor luaran atau dakyah Barat di sebalik kegiatan
‘mat rempit?ini?
Kemungkinan wujudnya dakyah ini tidak boleh ditolak begitu sahaja.
Barangkali ini adalah sebahagian usaha musuh Islam untuk melalaikan
umat Islam terutamanya golongan remaja agar mereka dipisahkan dengan
al-Quran dan menerima peringatan Allah. Hal ini sebagaimana
ditegaskan dalam firman Allah: Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan
senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka.
(Al-Baqarah: 120)
Mungkin ada gerakan secara terancang yang secara halus memesongkan
pemikiran umat Islam. Kita tidak boleh menolak penglibatan agensi
perisikan Amerika Syarikat iaitu CIA misalnya dalam politik di
Nicaragua, Venezuela dan beberapa negara Amerika Latin.
Adakah usaha pihak tertentu untuk mendaftar dan mengumpulkan ‘mat-mat
rempit?ini bagi mengadakan aktiviti berfaedah wajar disokong?
Saya setuju dengan beberapa cadangan oleh pihak tertentu seperti
Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir yang mencadangkan mat rempit ini
didaftar agar mudah dijejaki dan mengadakan aktiviti sihat.
Demikian juga dengan usaha Putera UMNO yang mahu mengumpulkan
kumpulan ini dan membawa mereka menyertai program bermanfaat
termasuklah di masjid. Cuma yang perlu diberi perhatian ialah
tentang menjaga adab-adab di rumah Allah dan juga batas pergaulan
lelaki dan perempuan.
Dalam masa yang sama, masyarakat umum harus sedar yang fenomena
sosial ini sedang cuba ditangani oleh kerajaan dan juga beberapa
pertubuhan bukan kerajaan.
Ada yang mengatakan ‘mat-mat rempit?ini hanya melibatkan golongan
rata-rata berpendidikan menengah. Betulkah dakwaan ini?
Kita tidak boleh membuat dakwaan sedemikian sebelum kajian
mengenainya dibuat. Ini perlu untuk mengenalpasti golongan mana yang
sebenarnya terlibat. Adakah golongan pelajar menengah, golongan
pekerja kilang, penganggur ataupun penuntut Institusi Pengajian
Tinggi (IPT) sebagaimana dakwaan beberapa pihak.
Semua ini penting bukan sahaja untuk melihat kumpulan sasar tetapi
juga merangka jalan penyelesaian kepada isu ini. Antaranya
barangkali menyediakan litar untuk perlumbaan motor cross atau
menggalakkan mereka menyertai Cub Prix.
Apa yang penting remaja kita jangan terpengaruh dengan sekularisme
sehingga melupakan tujuan kita dihantar ke muka bumi ini. Firman
Allah, Tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
untuk beribadat kepada-Ku. (Adz-Zariyat: 56)
Favor Share
002 - PeLePaK TeGaR
Berkongsi resipi anda di "CARI RECIPE" untuk mendapatkan wang.
Syd Send PM
Add Friend
Syd
UID1026025 Posts64159 Digest327 Credits114669 Credits114669 Cornflake
Reg. Time11-10-2004
Moderator
Posts64159 Credits114669 2# Posted at 31-10-2006 13:31
View this
author's posts
Tangani masalah mat rempit dari kaca mata mat motor
SAYA merupakan ‘mat motor?dan pernah terlibat dengan aktiviti ekstrem
sehingga dikenakan tindakan Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987
Seksyen 49(1) pada 1990-an.
Jika apa yang saya lakukan seperti berlumba, melakukan aksi bahaya
dan pelbagai gelagat di luar norma penunggang motosikal yang normal
itu dikatakan lagak ‘mat rempit? maka wajar saya digelar ‘mat rempit?
Dan saya tidak bangga pun akan gelaran tersebut.
Pengalaman lampau membuatkan saya lebih kenal dunia ‘mat rempit?yang
heboh diperkatakan sekarang. Jika dibaca, dilihat dan didengar, ‘mat
rempit?adalah remaja yang jahat, memberontak, seks bebas,
mempertaruhkan perempuan sebagai hadiah perlumbaan haram, curi
motor, bergaduh, peminum arak, salah guna dadah dan pelbagai lagi
perangai liar.
Simptom mat rempit sebenarnya telah wujud sejak tahun 1970-an hingga
sekarang. Perbezaannya adalah cara merempit mengikut perkembangan
zaman. Malah kepesatan ekonomi dan pemodenan juga menyumbang kepada
perubahan gejala rempit.
Dengan sebuah motosikal boleh dibeli dengan membayar deposit semurah
RM200 dan penurunan taraf penggunaan motosikal sebagai alat
pengangkutan pilihan kedua kerana lambakan kereta yang murah di
pasaran juga menjadi faktor penyumbang.
Jika dulu anak-anak muda bergerak dengan berjalan kaki dan menaiki
bas, sekarang mereka bebas ke mana-mana sama ada menunggang
motosikal sendiri atau motosikal kepunyaan ayah dan abang.
Jika dahulu aktiviti mereka hanya dalam lingkungan satu kilometer
dari rumah, kini mereka boleh bergerak melebihi 20 kilometer.
Atas pelbagai alasan termasuk kebosanan dan pengaruh rakan sebaya,
pada malam minggu sahaja dianggarkan lebih 500 hingga 1,000 mat
rempit berkeliaran di sekitar Kuala Lumpur. Ternyata gejala rempit
sekarang menjadi cara hidup remaja masa kini.
Lihat sahaja laman web Myspace. Rata-rata remaja bersekolah atau pun
berusia awal 20-an menjadikan rempit sebagai cara hidup dan ikutan
untuk menjadi lebih cool tanpa mengetahui implikasi buruk di
sebaliknya.
Kumpulan-kumpulan mat rempit baru tumbuh bagaikan cendawan. Majoriti
berumur 13 tahun hingga hujung 20-an.
Jika semuanya ditangkap, disabitkan kesalahan dan dihukum, mereka
bakal menjadi banduan. Adakah kita mahu bekas-bekas banduan
menggantikan tempat kita?
Dalam kita sibuk menuding jari dan menuntut hukuman yang lebih
tegas, fikirkanlah adakah pernah kita mendidik anak-anak kita
tentang gejala buruk rempit ini?
Di sekolah ada kempen keselamatan jalan raya, tapi berapa ramaikah
pelajar yang benar-benar dilibatkan di seluruh negara?
Saya sebagai Presiden Kelab Motosikal RD CLUB, telah 10 tahun
berkempen membanteras lumba haram dan kegiatan rempit, namun tidak
terdapat satu pun risalah Majlis Keselamatan Jalan Raya mengenai
gejala tersebut.
Saya terpaksa menggunakan risalah Agensi Dadah Kebangsaan bagi
menasihatkan mat rempit supaya jangan menggunakan dadah berbahaya
ketika menunggang.
Walau pun RD CLUB tidak mendapat bantuan daripada kerajaan, kami
tetap bergerak walau dengan dana kewangan yang amat terhad.
Sesekali apabila melihat mat rempit mengangkat tayar hadapan atau
berdiri di atas motosikal ketika motosikal sedang bergerak di jalan
awam, pasti gelagat mereka dipandang dengan penuh rasa benci.
Tetapi tahukah kita bahawa di luar negara, aksi yang memerlukan skil
yang tinggi itu juga menjadi kegilaan ‘mat motor?di sana.
Namun aksi tersebut yang dipanggil stunt dialihkan dari jalan awam
ke lokasi khas sama ada kawasan parkir atau kawasan lapang jauh dari
jalan awam untuk dijadikan tontonan penonton.
Aktiviti tersebut yang dipantau dan dikawal dapat dikomersialkan
sebagai pertunjukan motosikal sama ada bertaraf tempatan mahupun
dunia.
Kenapa kita di Malaysia tidak boleh menyediakan lokasi dan kemudahan
lain bagi aktiviti seumpama itu. Mat rempit suka aksi mereka
ditonton orang lain, maka jalan raya awam menjadi tumpuan mereka
kerana terdapat penonton.
Wajar kita menyediakan prasarana khas untuk mereka beraksi tanpa
gangguan pihak berkuasa dan tanpa mengganggu orang lain.
Tentulah tidak semua mat rempit akan menggunakan prasarana khas yang
disediakan untuk mereka, tapi majoriti akan ke sana.
Hanya ‘mat rempit tegar?sahaja akan terus beraksi di jalan raya awam.
Disebabkan bilangan mereka tidak ramai, pasti lebih mudah bagi pihak
berkuasa untuk membanteras mat rempit tegar ini.
Secara tidak langsung, prasarana yang disediakan dapat mengasingkan
‘mat rempit tegar?dan ‘mat rempit tidak tegar?
Saya amat bersetuju jika ‘mat rempit tegar?itu digelar ‘mat
bodoh?kerana setelah diberi pendidikan dan peluang untuk beraksi
secara sihat dan selamat, mereka masih tidak menggunakan akal untuk
berubah.
Apa pun, mereka hanyalah sekadar anak-anak muda yang melakukan
kesalahan trafik. Jika disabitkan kesalahan dan selesai menjalani
hukuman, mereka mestilah diberikan bimbingan melalui motivasi dan
kaunseling.
Jika tidak, mereka akan terus terawang-awang dalam mencari hala tuju
dan akhirnya kembali ke kegiatan lama.
Malah dikhuatiri mereka yang telah menjalani hukuman tapi tidak
berubah, akhirnya akan menjadi lebih ekstrem dan ganas.
Kesimpulannya, kita tidak boleh hanya menghukum, tapi mestilah
mendidik di sekolah dan melalui kempen serta ceramah.
Kita mestilah menyediakan prasarana dan mengatur program untuk
mereka. Kita juga hendaklah menyediakan program pemulihan selepas
hukuman dalam bentuk motivasi dan kaunseling.
Saya telah menyaksikan aplikasi rangkuman beberapa aspek tersebut
berjaya membentuk seorang mat rempit yang telah menjalani hukuman
penjara untuk menjadi seorang guru sekolah yang amat berdedikasi.