Beberapa
Komentar Terhadap Rang Undang-undang Akta Keharmonian Nasional Dan Yang
Berkaitan Dengannya
Segalanya bermula sesudah pengumuman
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Nancy Shukri pada 30 Mei 2014 yang
bersangkutan dengan hasrat kerajaan untuk memperkenalkan akta baharu yang akan
menggantikan Akta Hasutan 1948. Kerajaan mencadangkan tiga rang undang-undang
berkaitan untuk menggantikan Akta Hasutan 1948, iaitu:
i. Rang Undang-undang Akta Keharmonian Nasional
(National Harmony Bill),
ii.
Rang Undang-undang Perpaduan Nasional
(National Unity Bill) dan
iii. Rang Undang-undang Suruhanjaya Perpaduan dan
Integrasi Nasional (National Unity and Integration Commission Bill).
Sebagai fakta sejarah dan
sungguh mengelirukan, berlaku pindaan kepada nama rang undang-undang di atas di
mana ia kini dikenali sebagai:
i. Rang Undang-undang Jenayah Kebencian, Kaum
dan Agama (Hate, Race and Religion Crime Bill),
ii.
Rang Undang-undang Harmoni dan Rekonsiliasi (Harmony
and Reconciliation Bill) dan,
iii. Rang Undang-undang Suruhanjaya Harmoni dan
Rekonsiliasi (Harmony and Reconciliation Commission Bill).
Faktor yang mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969 adalah berpunca daripada
hasutan komunis, corak kempen pilihan raya yang rasis oleh pihak pembangkang
sama ada dari etnik Melayu, etnik Cina dan etnik bukan Melayu lain dan
provokasi yang dimulakan oleh etnik Cina sehingga menggugat kedudukan politik
etnik Melayu. Selain itu, insiden ini
juga disebabkan ketidakseimbangan ekonomi
dalam kelompok etnik Melayu yang jauh lebih mundur dan ketinggalan
berbanding dengan penguasaan ekonomi yang didominasi oleh etnik Cina dan bukan
Melayu.
Rusuhan 13 Mei 1969 tercetus apabila etnik Cina di bawah hasutan Parti Komunis
Malaya terlebih dahulu bertindak agresif menghina dan memprovokasi nilai kemelayuan-Islam
ketika mengadakan perarakan kemenangan. Implikasinya, kerajaan Perikatan
bertindak tegas iaitu mengharamkan isu yang melibatkan rukun teras komuniti
etnik tertentu daripada dibincangkan secara terang-terangan. Sebagai langkah
keselamatan, Darurat telah diisyatiharkan pada 13 Mei 1969 dan Parlimen serta
Perlembagaan telah digantung. Manakala pentadbiran negara telah diambil alih
oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak. Untuk mengembalikan semula
keamanan negara, kerajaan mengingatkan seluruh etnik agar mengelakkan provokasi
terhadap mana-mana isu yang boleh menyemarakkan ketegangan. Perjuangan etnik
Cina selepas peristiwa 13 Mei 1969 lebih kepada mempertikaikan perkara mutlak
bagi mendapat persamaan hak.
Antara undang-undang yang telah diwujudkan adalah Kanun Keseksaan di
bawah Seksyen 298A(1) yang menjelaskan bahawa menjadi satu kesalahan kepada
sesiapa yang menyebabkan keadaan yang tidak harmoni, perpecahan atau perasaan
kegusaran, benci atau sakit hati atas alasan-alasan keagamaan. Akta Hasutan 1948
pula menyatakan bahawa menjadi kesalahan jika menyebut perkataan-perkataan yang
boleh membawa kepada perpecahan. Selain itu, Akta Percetakan juga diwujudkan
antara lainnya bertujuan untuk mencegah kelakuan melakukan percetakan perkataan
yang menyebabkan perpecahan.
Akta Hasutan 1948 dihasilkan
untuk mengekang pengaruh komunisme dan subversif. Selain daripada itu ia boleh
menegakkan perpaduan dan mengekalkan keharmonian negara. Akta ini melindungi
empat tunggak orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 152,
Perkara 153, Perkara 152, Perkara 181 dan Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan
yang tidak boleh dipersoalkan.
Hakikat bahawa ramai editor akhbar yang ditahan di bawah Akta Hasutan
memang tidak dapat dinafikan. Penerbit akhbar dan majalah juga digalakkan
memberi sumbangan kepada usaha memantapkan perpaduan negara berdasarkan etika kewartawanan. Pengamal
media dituntut supaya bertanggungjawab dan peka apabila menyentuh dan
melaporkan perkara yang dapat menjejaskan perpaduan dan
perhubungan antara kaum
dan agama. Mereka
juga perlu memastikan bahawa laporan tidak melanggar Akta Hasutan
1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan
1984 serta tidak menjejaskan atau menggugat ketenteraman awam dan keselamatan
negara.
Tun Mahathir memperkenalkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk
mengekang penularan aktiviti subversif yang menggunakan kedua wahana ini. Ini
adalah satu daripada aspek pencegahan. Aspek pencegahan yang lain merangkumi:
i.
penguatkuasaan
sekatan di sisi undang-undang ke atas kebebasan bercakap,
ii.
berhimpun
dan menubuhkan persatuan,
iii.
tahanan
preventif,
iv.
penguatkuasaan
peruntukan Akta Hasutan 1948 dan,
v.
kawalan
terhadap penerbitan melalui undang-undang yang berkaitan.
Pemulihan pula ialah usaha untuk mententeramkan keadaan setelah
berlakunya sesuatu konflik. Aspek pemulihan termasuk keselamatan dan ketenteraman awam yang melibatkan tindakan, terutamanya
daripada pihak polis dan dibantu oleh pihak lain seperti angkatan tentera, Pasukan
Gerakan Am, Ikatan Sukarelawan Rakyat, Rukun Tetangga dan dalam keadaan yang
ekstrem, mengisytiharkan darurat. Unsur-unsur tradisi ini perlu kerana telah wujud
ratusan tahun sebelum Perlembagaan Persekutuan 1957. Unsur-unsur berkenaan
berperanan menstabilkan sistem politik negara dan laporan yang dibuat oleh
Suruhanjaya Reid menekankan betapa
pentingnya perlembagaan mengambil kira faktor-faktor sejarah, tradisi, ekonomi dan sosial
yang wujud sebelum tahun 1957. Menurut Shamsul Amri (2013), keadaan ini menunjukkan
betapa pentingnya unsur-unsur tradisi sehingga ia dilindungi di bawah
Akta Hasutan 1948 dan dianggap sebagai
isu-isu sensitif yang dilarang daripada dijadikan isu perbincangan awam (Amini,
2012). Bagi rakyat Malaysia,
khususnya etnik Melayu, unsur-unsur ini
penting kerana perkara ini menjadi identiti dan kestabilan negara.
Orang Melayu berasa bimbang dengan cadangan untuk memansuhkan Akta
Hasutan 1948 dan diganti dengan akta baharu kerana beberapa sebab:
i.
Akta Hasutan
1948 yang sedia ada mampu mengekang aktiviti tidak sihat dan subversif dan
hanya perlu ditambah baik.
ii.
Mereka yang
terlibat dengan penggubalan akta baharu diragui kepakaran mereka.
iii.
NUCC
dikuasai oleh orang-orang bukan Melayu
iv.
Penggubalan
akta baharu dipengaruhi oleh badan-badan yang menentang kerajaan
v.
Mereka yang
menggubal akta baharu ini tidak mempunyai citra nasional dan memahami falsafah
kontrak sosial.
Bahkan cadangan wujudnya satu tribunal yang dinamakan Tribunal
Diskriminasi Ketidakadilan dalam salah satu rang undang-undang oleh puak-puak
ultra chauvinis dilihat lebih kepada perjuangan untuk kepentingan sendiri dan
bukannya kepentingan nasional.