Pendekatan Islam tangani masalah
UMPAMA api di dalam sekam, walaupun api tidak menjulang namun isi dalamnya telah hangus dan hitam. Begitulah perumpamaan yang menggambarkan masalah gejala sosial di negara ini.Sungguh pun keadaannya belum tenat namun beberapa kejadian yang berlaku mengancam dan melanggar undang-undang, agama, adap dan kemanusiaan sejagat.
Benar, masyarakat dunia menerima perkembangan era globalisasi dengan tangan terbuka. Namun, globalisasi itu sendiri membawa berbagai jenis nilai yang kebanyakannya bertentangan dengan nilai-nilai ketimuran dan Islam.
Hal ini didedahkan oleh Dr. Amini Amir Abdullah dari Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Universiti Putra Malaysia (UPM).
``Impak yang paling ketara ialah pemaksaan nilai-nilai kebaratan ke atas budaya dan cara hidup masyarakat tempatan. Sekali gus ia mendedahkan masyarakat tempatan kepada pelbagai nilai dan budaya asing yang rata-rata jauh bezanya dengan nilai dan budaya Islam itu sendiri,'' jelasnya.
Lantaran itu, kata Dr. Amini, pelan bertindak dan strategi yang rapi dan berterusan perlu diambil dalam usaha menangani fenomena gejala sosial di kalangan masyarakat.
Kerajaan, pihak berwajib, pemimpin, masyarakat, guru dan pensyarah, ibu bapa dan setiap individu perlu memainkan peranan dalam menangani permasalahan ini.
Katanya, masyarakat Islam sedang mengalami proses globalisasi yang memberi impak positif dan negatif. Sama ada disedari ataupun tidak, sudut pandangan kita berkait dengan epistemologi dan aksiologi turut berubah.
``Nilai dan budaya hidup muslim dicemari arus besar kecanggihan teknologi terutamanya melalui media elektronik komputer dan media cetak.
``Institusi keluarga dicemari oleh sikap ibu bapa yang meletakkan nilai material melebihi segala-galanya. Budi bahasa kita semakin terhapus dek kerana nilai dalam budaya Barat yang diagung-agungkan,'' tegasnya.
Beliau berkata, contoh paling dekat, warga tua diabaikan dan rumah orang-orang tua diabaikan. Anak-anak kita bukan sahaja pandai bergaul bebas, menjadi bohsia dan bohjan malah sudah pandai membuang anak seperti membaling anak-anak patung.
``Anak yang berusia 12 tahun sudah pandai memperkosa anak berusia lima tahun dan kehamilan di kalangan remaja semakin menjadi-jadi.
``Kita kehilangan jati diri kerana tidak mempunyai tunjang yang kukuh,'' tegasnya.
Membendung masalah itu, katanya, pengajaran di sekolah mestilah menitikberatkan soal praktikal pendidikan itu sendiri yang boleh diamalkan dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara.
``Sungguh pun terdapat langkah-langkah untuk mempertingkatkan jam pengajaran dan silibus mata pelajaran yang berkaitan Islam dan pendidikan, kebanyakan kita mendapati, kes-kes sosial yang mengaitkan remaja masih berlaku.
``Ada yang menuding jari kepada sistem pendidikan dan tidak kurang juga menyalahkan ibu bapa serta pihak penguatkuasaan undang-undang.
``Sewajarnya kita menyedari, kekuatan jati diri dengan nilai-nilai keagamaan, keimanan dan ketakwaan boleh menjadi benteng kepada para remaja dan masyarakat daripada terjebak kepada gejala yang tidak sihat,'' tegasnya.
Dr. Amini menyenaraikan, antara strategi yang boleh dilakukan untuk menghalang gejala sosial antaranya dengan mengharmonikan persekitaran.
Katanya, jenayah yang berkaitan dengan seks seperti rogol, zina, sumbang mahram, perkosaan, pencabulan, gangguan seksual dan sebagainya dapat dibendung dan dikurangkan jika kita tahu punca daripada akar umbinya.
``Rogol biasanya dikaitkan dengan pelaku dan faktor penarik mangsa. VCD lucah yang mudah didapati di pasaran adalah punca utama.
``Apabila terlalu banyak menonton filem lucah, nafsu syahwat tidak lagi terkawal dan mangsa pula kadang-kala menarik perhatian perogol sama ada ketika kejadian tersebut hampir-hampir berlaku ataupun sebelumnya,'' jelasnya.
Beliau juga menekankan peranan ibu bapa dalam pembentukan sahsiah dan peribadi anak-anak.
Penentuan dan hala tuju pegangan akidah dan keagamaan anak-anak ditentukan hasil pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa.
``Begitu juga dengan kerapuhan dan keruntuhan kekeluargaan yang banyak menyumbang kepada gejala sosial hendaklah diperbaiki,'' bidasnya.
Tambahnya lagi, tindakan wajar dilakukan sesuai dengan segala kemudahan dan kemampuan yang ada. Jangan dijadikan sedikit kepincangan sebagai punca melengahkan pembanterasan.
``Gabungan dan kerjasama antara kerajaan, agensi-agensi pelaksanaan dan penguatkuasaan, pihak berwajib, guru dan pensyarah, pakar penyelidik, masyarakat serta ibu bapa harus digembleng bersama untuk menangani permasalahan ini,'' tegasnya. Sambungnya lagi, usaha pencegahan dan pembinaan kekuatan jati diri harus berjalan serentak.
Pembinaan kekuatan dalaman mampu membendung naluri daripada berlakunya sesuatu yang menyimpang daripada norma agama dan budaya masyarakat.
``Kekuatan jati diri pula dapat menangkis apa juga cabaran negatif dan maksiat,'' katanya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment