Kekuatan tamadun Islam dan Asia
Oleh: AMINI AMIR ABDULLAHBARU-baru ini bertempat di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, telah dilangsungkan seminar dua hari mengenai Kecemerlangan Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Seminar itu telah mengundang ramai peserta dari seluruh negara dan pakar-pakar mengenai pengajian ketamadunan dari institusi-institusi pengajian tinggi tempatan.
Dalam perbincangannya mengenai Tamadun Melayu, Anwar Zainal Abidin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganalisis realiti tamadun Melayu, menghuraikan cabaran kontemporari dan masa depan tamadun itu. Pembentang ini telah memetik pendapat Ibn Khaldun bahawa pencapaian tamadun dan peradaban manusia, perubahan dalam cara hidup, pembangunan dan kemajuan yang tinggi haruslah dimulai dengan suatu perubahan dengan cara pemecahan pemusatan kuasa dalam sistem politik.
Analisis pembentang mengenai istilah-istilah yang berkaitan dengan peradaban dan ketamadunan seperti al-Hadarah, al-Umran, al-Madaniyyah dan al-Thaqafah diberikan rumusan bahawa yang dimaksudkan dengan tamadun Melayu ialah sebahagian daripada tamadun Islam sebenarnya.
Perubahan sikap dan kuasa politik diperlukan oleh orang Melayu dalam sektor pembangunan ekonomi. Banyak perkara yang diperlukan untuk memartabatkan penguasaan dan kepakaran dalam berbagai bidang ilmu, profesional dan pendidikan. Orang Melayu dari segi sosial budaya dipuji kerana mengisi ciri-ciri pengisian kebangkitan Islam.
Namun demikian, Anwar mempersoalkan hakikat bahawa apakah perlakuan zahiriah umat Melayu adalah hasil daripada kesedaran, keyakinan dan berasaskan ilmu. Begitu juga dengan watak lahiriah, apakah ia seiring dengan apa yang tersemat di sanubari dan merupakan manifestasi tingkah laku.
Dr. Muhammad Sabri Haron dari UKM juga dengan kertas kerjanya bertajuk Tamadun Islam - Perspektif Sejarah, Nilai dan Cabaran Masa Depan menegaskan bahawa Tamadun Islam adalah tamadun yang berasaskan manifestasi Islam sebagai addin yang mencakupi kemajuan rohani dan jasmani. Tamadun Islam mewujudkan keseimbangan dalam hubungan-hubungan manusia-Allah-alam sekitar.
Beliau menyarankan agar kita belajar dan mengambil pengiktibaran daripada pemaparan sejarah masyarakat lampau di dalam al-Quran mengenai akibat dan kesudahan menentang Allah dan para Rasul-Nya. Oleh kerana Islam tidak memisahkan urusan keduniaan dan urusan keagamaan, maka Islam boleh menjadi teras kepada sebuah tamadun agung. Akidah tauhid menjadi paksi kepada segenap aspek berkaitan dengan soal pembangunan ketamadunan. Menyentuh soal nilai dalam Islam, beliau menyatakan bahawa nilai yang diiktiraf oleh Islam adalah nilai yang diredhai oleh Allah s.w.t dan bukan berdasarkan pertimbangan mutlak manusia.
Beliau menggariskan lima cabaran masa depan tamadun umat Islam iaitu cabaran menghadapi iblis dan sekutunya, cabaran tentang ilmu, jati diri dan akidah Islam, kefahaman mengenai hak dan batil dan ancaman globalisasi.
Ustaz Azzam Hamzah dari UiTM pula membentangkan kertas kerjanya mengenai pengajaran mata pelajaran Tamadun Islam kepada pelajar-pelajar bukan Islam UiTM. Antara tujuan utama penawaran kursus ini ialah untuk menghilangkan salah faham, perasaan bimbang dan salah sangka sebagai persiapan ke arah pembinaan masyarakat majmuk Malaysia yang harmoni.
Kebanyakan pelajar bukan Islam UiTM adalah terdiri daripada pribumi Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Di antara beberapa persepsi salah di kalangan pelajar ini ialah bahawa Islam adalah agama orang Melayu/Arab, mereka tidak dibenarkan meneliti al-Quran dan kurang bergaul dengan rakan-rakan Muslim yang lain.
Azzam mengakui bahawa sejak kursus ini diperkenalkan pada tahun 1983, ia mendatangkan banyak kesan positif walaupun banyak aspek-aspek lain yang perlu diperbaiki terutamanya dari sudut metodologi pengajaran dan pendekatan yang bersesuaian.
Azhar Mad Ros dari Universiti Malaya melihat beberapa aspek berkenaan dengan Tamadun Jepun. Menurut beliau, tamadun Jepun banyak menerima pengaruh China dan Korea dalam pembinaan tamadunnya. Tamadun Jepun berasaskan pandangan semesta, falsafah dan kosmologi serta konsep agama dan ajaran Shinto, Buddha dan Konfusius yang memperkuatkan sistem kepercayaan diri orang Jepun.
Tamadun Jepun yang juga dikenali sebagai Daughter of Chinese Civilization banyak meminjam daripada budaya China dan diacukan dalam bentuk baru bersesuaian dengan budaya Jepun itu sendiri, seperti dalam bidang tulisan, agama Buddha, falsafah Konfusius dan lain-lain lagi.
Menyentuh soal asal-usul falsafah dan pandangan semesta tamadun Jepun, Azhar telah berhujah bahawa ia berasal daripada faktor latar belakang dan keperibadian orang Jepun sendiri dari kelompok Ainu, persoalan metos dalam budaya Jepun dan kepercayaan kepada dewa-dewi dan sifat dan sikap orang Jepun yang teliti dan tekun. Mereka mengadun dan menjepunisasikan semua pengetahuan dan budaya-budaya asing terutamanya aspek-aspek budaya dan cara hidup Tang yang berasal dari China.
Di dalam kertas kerjanya yang bertajuk Tamadun Cina: Signifikan di Dalam Pembentukan Tamadun Dunia, Prof. Madya Obaidellah Mohamad membincangkan tiga persoalan pokok dalam tamadun Cina yang berkaitan dengan ilmu tentang manusia, sifat-sifat naluri manusia dan pandangan tentang nilai dan ilmu. Berdasarkan ajaran-ajaran Konfusius tentang ilmu manusia, pembentang telah menganalisis beberapa ajaran Konfusius yang meletakkan manusia itu sebagai titik tolak segala perubahan dan pemupukan diri manusia menuju kesempurnaan peribadi dan ketinggian nilai kehidupan.
Perubahan-perubahan ini berkait rapat pula dengan ilmu pengetahuan, proses belajar dan berfikir. Mengenai sifat-sifat semula jadi manusia, Obaidellah menghuraikan beberapa pemikiran tokoh-tokoh Cina seperti Konfusius, Meng Zi dan Xun Zi. Pada dasarnya, sifat semula jadi manusia itu boleh dibentukkan sama ada menjadi baik ataupun jahat.
Beliau berpendapat bahawa pandangan nilai orang Cina banyak dipengaruhi oleh pemikiran Konfusius, Dao dan Buddha yang merangkumi persoalan nilai etika, nilai moral, tatasusila dan tingkah laku. Dalam tamadun Cina, pandangan nilai-nilai tertentu sama ada yang berbentuk keagamaan dan tradisi mempengaruhi perkembangan dan kemajuan tamadun itu sendiri. Antara pandangan nilai-nilai itu ialah nilai agama, kesedaran, ekonomi, politik, masyarakat, akhlak dan kejayaan.
Prof. Madya Dr. Zainiy Uthman dari ISTAC telah mengutarakan sebuah kertas kerja konsepsual mengenai pemupukan tamadun cemerlang. Kertas kerjanya yang bertajuk Pandangan Alam dan Budaya Cemerlang telah membincangkan persoalan kualiti, penghuraian asas falsafah pandangan alam Barat dan pandangan alam Islam. Beliau menyarankan agar pengertian kualiti yang selama ini dilihat dari sudut atau sifat jasmani turut disertakan bersekali dengan pemahaman aspek ruhani insan.
Bahkan aspek ruhani insan dalam perbincangan mengenai kualiti atau mutu harus dibincangkan secara mendalam. Bagi beliau, sesuatu yang baik dan berkualiti itu harus diberikan kepada mereka yang arif. Maknanya, hanya yang terbaik dapat melahirkan yang terbaik. Menyentuh soal falsafah pandangan alam Barat, pembentang telah mengutarakan pandangan-pandangan Aristotle di dalam bukunya Nicomachean Ethics yang menyentuh soal ilmu, akal dan intelek, gerak laku manusia, tujuan-tujuan ilmu dan kehidupan serta kebaikan ruhani dan jasmani.
Pandangan alam orang Barat bertitik tolak daripada fahaman bahawa kaedah-kaedah saintifiklah merupakan kaedah yang dapat menceritakan kebaikan alam. Fahaman ini mewarnai pemikiran Barat tentang alam sepanjang sejarahnya hinggalah pada awal zaman kebangkitan semula Eropah di mana penemuan-penemuan sains dan teknologi menundukkan kepercayaan-kepercayaan asasi mengenai pandangan alam Kristian. Implikasinya, alam ruhani yang batin yang tidak dapat disukat oleh kajian-kajian saintifik dinafikan hakikat dan kebenarannya. Sebenarnya, pada ketika inilah bermulanya apa yang dikatakan sebagai era sekularisme.
Mengenai pandangan alam Islami pula, pembentang berpendapat bahawa pandangan alam Islami menjurus kepada pemikiran secara akli mengenai hakikat dan kebenaran benda bernyawa dan tidak bernyawa dan seterusnya melahirkan ilmu dalam jiwa manusia. Ilmu-ilmu ini ialah ilmu yang merangkumi pengetahuan tentang alam ruhani dan jasmani yang memanifestasikan amal dan menuruti perintah Allah dan menjauhi larangannya baik yang bersangkutan dengan dunia mahupun yang akhirat.
Sebagai rumusan, asas kecemerlangan tamadun secara umumnya bertitik tolak daripada kepercayaan, agama, nilai, akhlak, moral, etika, tatasusila dan ilmu pengetahuan. Manusia sebagai pelakon utama dalam pembinaan tamadun harus menjalin hubungan yang rapat dengan Tuhan dan alam sekitar.
Pandangan alam semesta dan kosmologi turut menggarap perkembangan ketamadunan yang berkualiti. Nilai-nilai falsafah bagi setiap tamadun ternyata banyak mencorakkan perjalanan tamadun itu sendiri. Ilmu dan pengetahuan merupakan teras kepada tamadun dan sentiasa dikaji dan diperkembangkan untuk memupuk tamadun sejati. Bagi tamadun Islam, addin yang berpaksikan tauhid menjadi tunjang kekuatan tamadun itu sendiri.
* DR. AMINI AMIR ABDULLAH bertugas di Jabatan Pengajian Umum, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.
No comments:
Post a Comment