Profil Diri

My photo
Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, Malaysia
Seorang penjawat awam, telah berumahtangga dan beristeri. Menyukai respons orang ramai terhadap hasil penulisan dan berkongsi ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Bercita-cita besar dan mempunyai tujuan hidup yang futuristik. Ingin melihat Malaysia menjadi negara maju sebelum tahun 2020 dan rakyat Malaysia tersohor di persada antarabangsa. Ingin melihat agama Islam dan umat Islam melonjak naik.

Intro

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,

Manfaatkan Blog ini untuk tujuan pembelajaran dan penambahan ilmu pengetahuan.

KELAB KENEGARAAN MALAYSIA, TITAS DAN HUBUNGAN ETNIK

Friday, January 31, 2014

19.10.2010

Jangan pupuk 'sukan' gaduh

Bersukan adalah amalan yang diharuskan oleh Islam dalam usaha melahirkan umat yang kuat fizikal serta mentalnya. Sebab itu ada pepatah Arab yang berbunyi: "Akal yang sihat adalah dari badan yang sihat".
Malah, bagi mengukuhkan lagi keharusan bersukan ini, Nabi Muhammad SAW bersabda: Belajarlah memanah dan menunggang kuda. (riwayat Muslim)
Bagaimanapun, insiden pergaduhan yang berlaku antara segelintir penyokong bola sepak Kelantan dan Selangor di Shah Alam, Selangor, Selasa lalu menimbulkan keresahan tentang keharusan sukan itu.
Sukan yang sepatutnya mempunyai semangat kesukanan sebaliknya dicemari oleh insiden pergaduhan.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr. Amini Amir Abdullah bagi mengupas isu ini.
MEGA: Hukum bersukan dalam Islam adalah harus tetapi apakah syarat-syarat bersukan?
DR. AMINI: Memang hukum asal sukan adalah harus dalam Islam. Antara tujuannya adalah untuk menguatkan tubuh fizikal umat Islam. Sebab Allah menyayangi orang mukmin yang kuat.
Ia sebagai mana hadis Nabi SAW yang bermaksud: Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah dari orang beriman yang lemah. (riwayat Muslim)
Malah, Nabi SAW turut menyuruh ibu bapa mengajar anak masing-masing memanah (untuk ketelitian dan ketepatan), menunggang kuda (untuk ketangkasan fizikal dan emosi) dan juga berenang (pergerakan seluruh badan).
Badan yang sihat akan melahirkan minda yang sentiasa aktif untuk membuat sesuatu kebaikan dan menghilangkan rasa malas, kurang motivasi, mengurangkan penyakit dalam badan dan membawa kepada kecemerlangan dalam kehidupan seseorang Muslim.
Kualiti dalam hasil kerjanya juga akan terserlah dan meningkat dari semasa ke semasa kerana mempunyai tubuh badan yang sihat dan mampu memberi penumpuan dan fokus kepada kerjanya.
Malah, badan yang sihat juga antara faktor utama kita boleh menyempurnakan solat. Sebab itu, adalah wajib bagi kita menjaga kesihatan supaya mengelak daripada penyakit kronik.
Niat kita bersukan pula mestilah untuk menjaga kesihatan badan agar mendapat keredaan Allah SWT dan aktiviti itu tidak lakukan dalam suasana yang bercanggah dengan syariat Islam.
Antara syarat sukan adalah ia perlu dijadikan sebagai ibadat. Apabila disebut ibadat maka sudah tentu, sukan itu membawa kepada kebaikan dan bukan kemudaratan.
Ini termasuklah sukan itu tidak melalaikan atletnya daripada mematuhi perintah Allah seperti solat, menutup aurat dan tiada percampuran bebas lelaki perempuan yang bukan mahram.
Kita selalu dengar perkataan, sukan menyatukan semua kaum. Tetapi pergaduhan yang berlaku dalam pertemuan antara Kelantan dan Selangor baru-baru ini mengubah persepsi itu. Dalam keadaan begini, adakah sukan itu masih harus?
DR. AMINI: Kalau bersukan itu membawa kepada pergaduhan atau persengketaan maka ia menjadi haram.
Sepatutnya, sukan itu boleh menjadi wahana kepada menyatupadukan kaum dan merapatkan lagi silaturrahim. Bukannya membawa perpecahan dan pergaduhan.
Kata mengata, cerca-mencerca dan ejek mengejek yang kemudian membawa kepada tindakan fizikal seperti balas membalas balingan botol seterusnya membawa kepada pergaduhan tidak harus menjadi budaya umat Islam Malaysia.
Budaya football hooligans (samseng bola sepak) seperti di Barat tidak harus dicontohi di negara kita.
Kita perlu ada semangat kesukanan yang tinggi. Biar pengadil yang mengadili perlawanan sebab itu memang tugas mereka.
Apa yang dibimbangkan, akhirnya sukan bola sepak yang mempunyai ramai peminat ini akhirnya 'diharamkan' dipertandingkan ekoran insiden-insiden pergaduhan.
Ingatlah firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan....(al-Maidah: 2)

No comments:

Nostalgia

Nostalgia
YB Yang Bijak